ISU terbaru 'iras tokoh pembangkang' yang
disiarkan oleh harakah daily sebagai gambar 'Anwar' dimuat naik oleh
rajagoyang 360.blogspot.com dengan aksi songsang seorang lelaki dengan
pasangan lelaki lain.
Seperti biasa Anwar dengan segera menyatakan bahawa ini konspirasi jijik UMNO menjelang pilihan raya. Kalau Utusan Malaysia yang menyiarkannya, ia akan segera disaman tetapi tidak pula terhadap blog-blog lain yang menyiarkannya.
Sesungguhnya Anwar sedang menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan
jiwa yang gelabah. Ia tidak bersih dan kelihatan bersih dengan imej dan
kredibiiti yang banyak menimbulkan persoalan.
Isu Lahad Datu juga 'dikaitkan' dengannya dan ternyata pihak
keselamatan negara hampir berjaya menghadapi masalah yang berbangkit
kerana pergolakan di Sabah tidak sampai memberi kesan kepada pilihan
raya yang bakal mendatang.
Peristiwa di Lahad Datu memberi kesan dan momentum yang cukup
bermakna kepada warga keselamatan dan juga masyarakat umum, dan sokongan
yang luar biasa terhadap wira negara yang telah pergi amat dirasakan.
Banyak perkara pokok yang diperjuangkan oleh Anwar memberi kesan
kepada masyarakat. Meski penyokong tegarnya mungkin tidak berubah kerana
memiliki sifat 'mati rasa' tetapi kelompok simpatisan dan atas pagar
yang penting dalam pengundian ternyata ada kesannya.
Isu pluralisme agama yang dibangkitkan oleh Anwar di London School of
Economics 'menyamakan semua agama itu sama' masih belum selesai
dibangkitkan di seluruh negara dan ia menjadi polimik berterusan.
Pendekatan liberal Anwar dalam agama terlihat dengan sikapnya
terhadap kalimah Allah walaupun Majlis Syura Pas mengambil keputusan
tidak membenarkan ia digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.
Anwar sebagai orang politik sepatutnya faham bahawa kalimah Allah
adalah perkara sensitif bagi orang Melayu dan masyarakat Islam di rantau
ini. Anwar pernah menjadi pemimpin gerakan Islam semasa dalam ABIM
dulu. Apakah ia tidak berasa peka terhadap perkara ini khususnya dalam
kalangan akar umbi Pas dan umat Islam yang lain.
Fahaman liberal yang dianut oleh Anwar menyebabkan beliau dikatakan
'amat simpati' dengan gerakan LGBT seperti kenyataan yang dibuat oleh
anaknya Nurul Izzah semasa dialog di gereja tidak lama dulu.
Terus ditunggu oleh masyarakat ialah tidak sedianya Anwar menyaman Tun Dr. Mahathir Mohamad penulis buku Doctor Inside the House atau terjemahannya Doktor Umum kerana memuatkan bab-bab tentang dirinya. Salah satu bab yang ditulis sangat menyentuh kredibiliti Anwar.
Ia mengingatkan penulis tentang kenyataan Lee Kuan Yew suatu ketika dulu yang membuat kenyataan dalam Wikileaks menyatakan "He did it" atau "Dia melakukannya". Kenyataan ini adalah serius dan Anwar patut saman Kuan Yew.
Lebih jauh daripada itu Anwar wajib saman Datuk Eskay Abdullah yang
menyiarkan gambarnya dengan perempuan Cina kerana ia sangat memalukan.
Dan orang masih bertanya ke mana gerangan jam Omega yang dikatakan oleh
Anwar disimpan oleh Wan Azizah.
Orang yang cintakan integriti masih terus menunggu Anwar menyaman
Datuk S. Nallakaruppan dan Ummi Hafilda yang seringkali mengeluarkan
kenyataan yang sangat kontroversial mengenai peribadi Anwar supaya
beliau membersihkan dirinya. Ia penting kerana Anwar dikatakan ingin
menjadi Perdana Menteri.
Kesnya di Mahkamah Rayuan akan dibicara tidak lama lagi. Tiba-tiba
masyarakat dikejutkan dengan kenyataan bapa Mohd Saiful Bukhari, Azlan
Mohd Lazim yang berputar arah walaupun semasa perbicaraan ia terus
berdiri bersama anaknya dan sanggup bertemu Yang di-Pertuan Agong
mengenai kes anaknya. Kalau tidak berada-ada masakan tempua bersarang
rendah.
Kes ini juga terkait dengan peguamnya Yuktes Vijay yang mengeluarkan
dua pucuk surat dan mencabar Anwar menyamannya. Yuktes musykil mengapa
Anwar tidak berani memberikan keterangan cara bersumpah di mahkamah.
Apakah semua ini dan banyak lagi yang belum sempat dipaparkan
menyebabkan Pas semacam merasakan ada perkara yang tidak kena kepada
Anwar. Ketua Penerangan Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man pernah membuat
kenyataan bahawa jawatan Perdana Menteri tidak semestinya Anwar.
Ia amat bercanggah dengan pendirian awal pakatan pembangkang ingin
menabalkan Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya mereka menang. Apakah
Majlis Syura telah membuat keputusan terhadap isu ini. Kalau sekadar
isu kalimah Allah rasanya Nik Aziz tidak akan menziarahi Karpal Singh
baru-baru ini. Karpal masih berpendirian seperti yang dilafazkan di
Parlimen suatu ketika dulu bahawa Anwar adalah "kaki liwat" dan ia tidak
ditarik balik hingga kini.
Karpal Singh dan DAP semacam cenderung mahukan Anwar menjadi Perdana
Menteri. Karpal Singh terkenal sebagai orang yang ada kredibiliti.
Mengapa dalam isu Anwar, Karpal menjadi lunak sedangkan jawatan Perdana
Menteri memerlukan kredibiliti yang tinggi.
Ini yang menyebabkan Anwar berasa gelabah menghadapi Pilihan Raya
Umum Ke-13 kerana isu-isu dulu tidak terlerai dan isu-isu baru datang
satu demi satu. Helah sedang dicari tetapi masyarakat umum mula mengerti
siapa sebenarnya Anwar.
No comments:
Post a Comment