BARU-BARU ini berlangsungnya Wacana Cuit: Dilema
Melayu Moden yang mengupas buku Cuit: Dilema Melayu Moden, sebuah karya
himpunan rencana tulisan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan,
Datuk Zaini Hassan.
Menampilkan tiga orang panel iaitu bekas Menteri Penerangan, Tan Sri
Zainuddin Maidin; Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba dan bekas Naib Canselor
Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob, wacana hampir dua
jam itu sarat dengan peringatan untuk anak bangsa dalam 'mengayuh' masa
depan atas nama perjuangan Melayu.
Malah, anak bangsa juga ditiup puisi bernada 'amaran' oleh Dr. Hashim
agar mereka tidak mati di bumi berdaulat ini sebagai penderhaka. Juga,
ingatan untuk mereka agar mempertahan kubu negara selain tidak menjadi
pengkhianat dengan 'mengagung-agungkan' penderhaka di tanah tumpah darah
ini.
''...Ini kedaulatan bangsa,
Ini maruah negara,
Kita pertahan,
Kita jaga,
Aduhai saudara,
Jangan saudara bawa penderhaka
ke dalam kota kita,
Jangan saudara bawa penderhaka
ke dalam kubu kita."
Itu antara bait-bait puisi ringkas yang dirakam menerusi luahan
ikhlas beliau yang tersentuh dengan senario kedudukan semasa Melayu di
bumi sendiri termasuk sikap anak bangsa yang sedikit terleka dek omongan
kosong sang petualang bangsa.
Ini tegasnya, telah menjadikan Melayu yang suatu ketika dahulu hanya
berbeza ideologi dalam skala kecil, kini mula membesar seperti
dinyatakan oleh Zaini di dalam tulisannya. Sedikit sedutan daripada
penulisan tersebut, tegas Zaini, secara kasar, orang Melayu sekarang
sudah terdiri daripada beberapa pecahan golongan. Mereka yang dulunya
majoriti, sudah menjadi minoriti.
Melayu itu berpecah kepada Melayu Liberal, Melayu Ulama, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu Atas Pagar dan Melayu UMNO.
Hakikatnya, Melayu kini sudah jauh berubah. Tetapi, perubahan dan
kemajuan yang dikecapi, ada ketika menjadikan mereka lupa siapakah
Melayu itu yang hadir serta wujud dalam sanubari sendiri. Lebih
mengecewakan, Melayu itu tidak mahu atau malu bergelar Melayu dan
memperjuangkan kemelayuan yang diwarisi.
Dr. Hashim dalam pada itu melahirkan rasa kecewanya terhadap
segelintir orang Melayu yang dahulunya berpendidikan rendah tetapi mula
lupa diri setelah berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi
dengan hasil usaha kerajaan.
''Saya ada pengalaman begini. Seorang anak Melayu yang dahulunya
mendapat gred rendah dalam peperiksaan, diambil kerajaan untuk belajar
ke luar negara sehingga ke peringkat kedoktoran.
Namun, selepas itu, dia
bertindak mempersoalkan apa sumbangan kerajaan terhadap dirinya. Orang
macam ini cukup ramai. Banyak kali saya tegaskan, orang Melayu jangan
lupa jasa kerajaan," jelasnya.
Begitu juga dengan kata-kata 'Cikgu' Sidek yang menterjemah
perpecahan Melayu itu akibat daripada pengaruh simpang-siur pemikiran
luar yang kemudiannya cuba dibawa masuk oleh pihak tertentu termasuk
sesetengah pemimpin Melayu ke dalam persekitaran negara.
Terpukau dengan idealisme Barat, Revolusi Iran dan terbaharu cubaan
'mengimport' Arab Spring, pemikiran ini sedikit sebanyak menjadi punca
Melayu itu pincang sehingga ada yang sanggup saling kafir-mengkafir
antara satu sama lain.
''Simpang siur aliran pemikiran berlaku akibat tak faham sejarah
budaya dan realiti kewujudan serta perubahan umat Melayu. Ini masalah
kita sebenarnya. Terutama apabila kita merdeka, bila kita maju,
anak-anak dihantar ke luar negara dan mula terlibat dengan pelbagai
aliran pemikiran dan dakwah.
Anak-anak kita yang pergi ke Barat mula
terpukau dengan pelbagai aliran pemikiran tanpa melakukan sinergi dengan
perkembangan budaya dan sejarah tempatan kita ini.
''Mereka ini apabila belajar di Barat, membawa aliran pemikiran yang
revolusioner, nak wujudkan republik di Malaysia, menolak institusi
beraja. Maknanya dia tak faham tentang realiti negara. Menyerap
(pemikiran) dari luar, bawa balik ke sini, kemudian terlibat dengan
politik kepartian dan perjuangkan pemikiran tersebut," katanya.
Seperkara lain yang disebut beliau adalah realiti mereka yang
terpengaruh dengan Revolusi Iran apabila ramai kalangan umat Melayu kini
mula 'menganut' fahaman syiah.
''Ini saya katakan akibat aliran pemikiran yang bersimpang siur
menyebabkan perpecahan terjadi. Cuba kita lihat tokoh pembangkang ketika
berlakunya Revolusi Iran. Pendekatan partinya berubah kepada radikal.
Maka berlakunya isu kafir-mengkafir, sekali lagi membawa kepada
perpecahan umat Melayu.
''Dan hari ini, apabila berlaku perubahan di Mesir, ada yang nak bawa
Arab Spring ke Malaysia. Persoalannya, apakah sama situasi di Mesir
dengan Malaysia? Tidak. Kita berubah, aman, maju membangun dan
pertumbuhan terjadi serta ekonomi berkembang," tegasnya.
Dan, ujarnya, lebih menyedihkan apabila wujud watak-watak Si Tanggang
yang menderhaka kepada negara dengan mewujudkan 'nada' songsang dalam
aliran berfikir serta jalur bertindak.
''Antara kesannya yang kita lihat, dahulu Melayu itu penuh dengan
jiwa gotong-royong, semangat bekerjasama dan ukhuwah berteraskan Islam.
Tetapi hari ini ia semakin menipis. Akibat kafir-mengkafir, orang
berpisah, keluarga berpecah," ujarnya penuh rasa kecewa.
Beliau menambah, selain itu sikap terbuka orang Melayu untuk mendengar pandangan dan perbezaan sudah semakin hilang.
Hal ini jauh menyimpang dengan sikap terpuji yang ditonjolkan oleh
Imam Shafie ketika berada di dalam situasi perbincangan serta muzakarah.
Beliau pernah menyebut : ''Pandangan aku mungkin benar dan mungkin
salah. Pandangan kamu mungkin benar dan mungkin salah. Jadi ambillah
yang benar sahaja."
Begitulah mulianya sikap Imam Shafie dalam menerima apa jua idea atau
pandangan. Sikap sebegini perlu dicontohi semua pihak untuk kita terus
maju ke depan. Perbalahan demi perbalahan, tuduh-menuduh antara satu
sama lain dan mendabik dada bahawa hanya diri sendiri sahaja yang benar,
sikap ini tidak ke mana. Malah, ia membuatkan kita semakin mundur.
Sementara itu, Rasulullah SAW pula pernah menyebut bahawa perbezaan
pandangan dalam kalangan umatnya terkandung hikmah. Hal ini kerana
mereka mengamalkan satu kaedah dalam ilmu fekah iaitu 'Adabul Ikhtilaf'
atau adab perbezaan.
Bagaimanapun ujar Sidek, adab-adab itu tidak diamalkan oleh umat
Melayu. ''Kita tak terbuka kepada pandangan orang lain. Kita kata
pandangan kita sahaja yang betul. Dan, kita kata kita lebih Islam
daripada orang lain. Itulah dilema yang sedang kita hadapi.
''Timbul rasa taksub. Parti aku adalah segala-galanya. Tetapi mereka
lupa bahawa setiap organisasi politik yang dikendalikan manusia, tetap
ada kelemahannya. UMNO ada kelemahannya. Begitu juga Pas. Kita
kasar-kasar label orang sebagai taghut, kafir, syaitan, firaun. Ini
ajaran mana?'' soalnya. Masih berpaksi kepada persoalan Melayu, beliau membidas pemikiran
songsang sesetengah pihak yang mengaitkan bangsa itu dengan pelbagai
persepsi khususnya bersikap perkauman dan menzalimi bangsa lain.
''Persoalan tentang Melayu, baik namanya Utusan Melayu, baik namanya
orang Melayu, hari ini kita lihat pelbagai persepsi dilontarkan dengan
menghubungkan Melayu itu dengan perkauman. Lalu menjadikan kita ini rasa
bersalah menyebut Melayu di negara sendiri. Kita rasa bersalah dan
seolah-olah orang lain dizalimi. Apakah itu benar? Ini mencuit hati kita
untuk berfikir.
''Orang Melayu bukan jumud, perkauman dan anti bangsa lain. Dalam
negara kita, kemajuan ekonomi itu dirasai. Tetapi siapa lebih dominan?
Berapa peratus pegangan orang kita? Hakikatnya orang bukan Melayu gah
dalam ekonomi. Apakah kita lakukan kezaliman kepada mereka? Jawapannya
tidak," katanya.
Beliau turut membidas tanggapan songsang sesetengah pihak yang kini
menganggap ulama yang mampu berdebat dengan 'panas' sebagai ulama hebat
tetapi ulama yang membangunkan institusi-institusi Islam pula dilabel
sebagai ulama jahat dan pembodek.
''Allahyarham Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim, sebagai contoh. Tokoh
ilmuan Islam ini menyantuni umara. Hari ini faktor syariah yang
berkembang dalam kewangan Islam adalah hasil kerja beliau. Apabila kita
dapat membebaskan kita daripada belenggu riba, tidakkah dia menyumbang
kepada pembangunan negara?
''Orang lain yang berdegar-degar menghentam segala macam, ke mana?
Dia hanya menjadi pengguna kepada model yang kita hasilkan. Dia tak jadi
penyumbang. Tidakkah membangunkan UIAM, Bank Islam, Universiti al-Quran
itu sesuatu yang maaruf? Tidakkah membina infrastruktur untuk kebaikan
masyarakat sebagai sesuatu yang maaruf? Tidakkah menolong orang miskin
itu sesuatu yang maaruf? Maaruf itu sangat luas," ujar beliau.
Sementara itu, Zainuddin yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan
Utusan dengan fakta-fakta seriusnya mengajak anak-anak Melayu supaya
mengkaji sejarah bangsa agar tidak hilang jati diri. Sama seperti panel lain, beliau mahu anak bangsa mempertahankan
kedaulatan negara daripada jatuh ke tangan si penderhaka yang sentiasa
mencari jalan memporak-perandakan negara.
No comments:
Post a Comment