PARTI Keadilan Rakyat (PKR) sememangnya sebuah parti yang 'aneh'. Ia
ditubuhkan bukan atas dasar perjuangan tetapi lahir berikutan perasaan
tidak puas hati, marah dan kebencian berikutan pemecatan Datuk Seri
Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan UMNO pada tahun 1998.
Sejak tarikh berkenaan arena politik negara tidak lagi tertumpu
kepada DAP atau Pas, biar pun kedua-dua parti itu jauh lebih berusia.
Percaturan politik pembangkang lebih berkisar kepada apa yang
dirancang oleh PKR manakala DAP dan Pas akan bersetuju sahaja
memandangkan mereka mempunyai hasrat yang sama iaitu menumbangkan
kerajaan Barisan Nasional (BN) dan meletakkan Anwar sebagai Perdana
Menteri.
Ketika DAP dan Pas dilihat menjalin kerjasama yang cukup aneh
berikutan perbezaan ideologi antara mereka, perjalanan politik PKR pula
cukup 'aneh' tetapi penuh kepincangan. Berikut penulis paparkan antara
'keanehan' dan kepincangan tersebut:
Paling berkuasa bukan Presiden
l Semua orang tahu biar pun Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail adalah Presiden namun beliau seolah-olah tidak ada apa-apa kuasa.
Segala-galanya diuruskan oleh suaminya, Anwar. Apa juga isu berkaitan
PKR amat sukar sekali kita hendak mendengar Wan Azizah memberikan
ulasan atau membuat kenyataan. Beliau hanya tampil jika ada isu
melibatkan suaminya.
Berikutan itu, orang ramai tidak pernah melihat Wan Azizah mempunyai
apa-apa kekuatan atau kelebihan. Apa yang mereka tahu, Wan Azizah hanya
sekadar Presiden dalam catatan sebuah organisasi dan pernah melakukan
pengorbanan terbesar dalam karier politiknya apabila meletakkan jawatan
Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya
bertanding. Sikap Wan Azizah inilah yang memungkinkan muncul desakan supaya beliau mengundur diri secara terhormat.
Berjaya menanam politik kebencian
l Ini boleh dianggap kejayaan terbesar bagi PKR kerana
pemimpin-pemimpin mampu memainkan peranan untuk menanam kebencian rakyat
kepada kerajaan BN.
Apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan BN diperlekeh dan
dipersendakan. Tidak pernah sekali pun kita mendengar PKR memuji
usaha-usaha kerajaan BN. Sebaliknya, apa kita sering dengar setiap usaha
itu akan diperlekehkan dan kononnya mereka boleh melakukan lebih baik
lagi. Lebih hebat mereka juga sering mendakwa apa yang dilakukan oleh BN menciplak idea mereka.
Parti pertama di Malaysia tiga beranak memegang jawatan penting dalam parti
l Ini juga satu keunikan, selain si bapa, Anwar menjadi Penasihat, si
ibu, Wan Azizah menjadi Presiden, si anak pula, Nurul Izzah menjadi
Naib Presiden. Jika keadaan ini berlaku dalam UMNO sudah pasti, parti
itu akan diserang habis-habisan oleh pembangkang atas alasan mengamalkan
nepotisme dan kronisme.
Masih kekal berpolitik, biar pun dikaitkan dengan kontroversi
l Walaupun isu melibatkan pemimpinnya mencetuskan polemik ada antara
melibatkan soal moral. Namun pemimpin-pemimpin PKR bijak mempertahankan
diri. Mereka begitu tegas menyatakan tidak bersalah dan apa yang berlaku
ke atas mereka adalah konspirasi dan fitnah UMNO serta media arus
perdana.
Berjaya mempengaruhi Pas untuk menjadi 'pak turut'
l Inilah kehebatan PKR. Biar pun Pas ditubuhkan sejak 1951 dan
mempunyai rekod politik yang agak hebat namun parti yang suatu ketika
memperjuangkan negara Islam itu 'tunduk' kepada pengaruh politik PKR.
Pemimpin-pemimpin PKR berjaya mempengaruhi pemimpin-pemimpin Pas
termasuk dalam kalangan ulama untuk mengikut rentak politik mereka
sehingga Pas dilihat sanggup mengorbankan hatta prinsip perjuangannya
semata-mata termakan janji berkuasa bersama PKR dan DAP.
Malahan PKR juga berjaya memainkan peranan sehingga memungkinkan Pas
yang suatu ketika dahulu menuduh UMNO kafir kerana bekerjasama dengan
MCA dan MIC, bersedia berpeluk erat dengan DAP.
Walaupun pemimpin-pemimpin DAP secara tegas menolak perjuangan negara
Islam dan hukum hudud, namun PKR mampu memujuk Pas untuk bertolak-ansur
dalam soal itu. Akhirnya Pas mengorbankan perjuangan negara Islam dan
mengubah kepada negara berkebajikan.
Paling ramai pemimpin kanan keluar
l PKR juga mencatatkan sejarah sebagai sebuah parti yang paling ramai pemimpin-pemimpin kanannya keluar parti.
Pemimpin-pemimpin bukan ahli biasa tetapi sebahagian besar adalah
kelompok yang bertanggungjawab memperjuangkan Anwar dan menubuhkan PKR.
Mereka ini juga bersedia menentang habis-habisan kerajaan BN dan UMNO
suatu ketika dulu semata-mata untuk mencapai matlamat politik PKR.
Namun akhirnya dari semasa ke semasa, bukan kata pemimpin malahan
wakil rakyat PKR juga turut meninggalkan parti itu selepas mendapati
pelbagai kepincangan dalam parti berkenaan.
Mengajar rakyat demonstrasi jalanan
l Sebelum tahun 1998, demonstrasi jalanan adalah sesuatu yang asing
bagi rakyat Malaysia. Bagaimanapun bermula pada tahun tersebut,
demonstrasi jalanan seolah-olah menjadi 'senjata' baru kepada
pembangkang yang diketuai oleh PKR.
Dari semasa ke semasa sehinggalah ke hari ini, pembangkang menjadi
pendekatan itu untuk membuat tuntutan mereka. Apa yang anehnya, DAP dan
Pas berjaya dipengaruhi oleh PKR untuk turut serta biar pun mereka
mengetahui kesan buruknya.
Kerajaan negeri pertama disaman kerana tak tunai janji
l Kerajaan di bawah pimpinan PKR di Selangor menjadi kerajaan negeri
pertama di negara ini yang disaman kerana tidak menunaikan janji dalam
manifesto pilihan raya.
Keadaan ini berlaku kerana PKR sememangnya pandai yang pandai
menunaikan janji. Inilah yang memungkinkan mereka meraih kemenangan agak
besar dalam pilihan raya umum lalu. Namun begitu apabila kejayaan sudah
dicapai segala-galanya janji hanya tinggal janji.
Pandai bercakap tetapi tiada pengetahuan
l Satu 'kehebatan' pemimpin-pemimpin PKR ialah mahu mempolitikkan
segala-galanya. Ia termasuklah juga dalam soal keselamatan negara. Ada
pemimpinnya yang tidak ada pengetahuan mahu memberi ulasan, ia akhirnya
mendedahkan betapa ceteknya pemikiran beliau dalam sesuatu perkara.
Begitu juga apabila mudah membuat tuduhan dan tohmahan tanpa
disertakan dengan bukti kerana apa yang penting ialah memburukkan
kerajaan BN.
Demikian beberapa catatan mengenai 'keanehan' politik penuh
kepincangan PKR. Namun begitu seperti mana kata penganalisis politik,
Ahmad Masrizal Muhammad, PKR tidak akan bertahan lama. Katanya, PKR bukanlah sebuah parti yang ditubuhkan atas dasar perjuangan atau bergantung kepada 'grass root' tetapi individu.
''Mereka perlu akui, PKR bergantung kepada Anwar, kalau Anwar tumbang maka berakhirlah riwayat politik PKR.
''Berbanding tahun 2008, kedudukan Anwar kini semakin tergugat.
Beliau semakin ditolak oleh rakyat berikutan pelbagai isu yang melumuri
diri beliau,'' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur. Menurut Ahmad Masrizal, pemimpin-pemimpin pembangkang lain amat
mengetahui keadaan itu sebab itulah tiada kesepakatan siapa yang bakal
menjadi Perana Menteri jika pembangkang menang dalam pilihan raya umum
akan datang.
Apa pun keadaannya adalah jelas, PKR semakin terhakis kehebatan
politik putar belitnya. Dari semasa ke semasa kepincangan parti itu
semakin terdedah dan inilah akibatnya apabila sebuah parti ditubuhkan
semata-mata mahu merebut kuasa.
1 comment:
SLM BROO..DH TERANG LG KN BERSULUH...PRJUANGAN UTAMA PR NK MENJAHANAMKN NEGARE IKUT PINTU BLKNG...SBIJIK MCM STAIL ANUWAR GAK BROO KEHKEHKEH
Post a Comment