DARI UTUSAN MALAYSIA
12/2/2012
Bertambah manis buat United, ia bukan sahaja memastikan dendam tersingkir di tangan Liverpool pada pusingan keempat Piala FA dapat dilunaskan tetapi ia seolah-olah satu kemenangan moral buat Patrice Evra yang kecewa dengan tindakan tidak beradab Luis Suarez kerana enggan berjabat tangan dengannya sebelum perlawanan.
Ledakan pertama Rooney hadir hanya seminit selepas separuh masa kedua bermula melalui situasi sepakan sudut selepas separuh masa pertama, kedua-dua buntu mencari jaringan biarpun perlawanan banyak dikuasai oleh Red Devils.
Steven Gerrard gagal menanduk keluar bola sepakan sudut United yang diambil oleh Ryan Giggs sebelum bola tersebut hadir tepat di kaki Rooney yang berada di hadapan gawang Liverpool dan melepaskan rembatan padu bagi meletakkan Red Devils di hadapan pada minit ke-46.
Gol itu ternyata membuatkan United semakin bersemangat memburu kemenangan ke atas musuh tradisinya itu dan tiga minit kemudian, Red Devils berjaya menambah gol kedua, sekali lagi menerusi Rooney.
Berpunca daripada kesilapan Jay Spearing yang kehilangan bola berhampiran kotak penalti, Antonio Valencia pantas merampas bola untuk menghantar tepat kepada Rooney yang tidak dikawal dan merembat leret melepasi celahan kaki Pepe Reina.
Liverpool bagaimanapun tidak cepat mengalah apabila terus meningkatkan asakan dengan membawa masuk Andy Carroll dan Craig Bellamy untuk menggantikan Spearing dan Stewart Downing pada minit ke-60.
Akhirnya, Liverpool berjaya merapatkan jurang pada minit ke-80 menerusi Suarez yang bijak menghukum kesilapan Rio Ferdinand yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya sepakan percuma Luis Enrique.
Namun, harapan The Reds untuk mencari gol penyamaan tidak kesampaian dengan peluang terbaik menerusi Glen Johnson dari jarak 25 kaki dapat ditepis keluar oleh David De Gea.
Kemenangan itu meletakkan United kini memungut 58 mata daripada 25 perlawanan, merampas sementara kedudukan City dengan kelebihan satu mata yang akan beraksi hari ini menentang Aston Villa di Villa Park.
Perlawanan itu sudah mencipta kontroversi sebelum permainan bermula kerana Suarez enggan berjabat tangan dengan Evra sehinggakan pertahanan United cuba memegang lengan penyerang Liverpool itu tetapi tidak diendahkan.
Insiden itu bertambah tegang apabila Ferdinand yang ternampak kejadian itu membalas tindakan pemain antarabangsa Uruguay dengan turut tidak menghulurkan tangan kepada Suarez.
No comments:
Post a Comment