Ia mengakibatkan 'tsunami politik' yang bukan kepalang - Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara.
Tambah mengguris hati kepemimpinan tonggak BN itu lagi adalah apabila gerakan sabotaj di Perak dalam Pilihan Raya Umum ke-12 itu didapati dilakukan oleh ahli UMNO secara beramai-ramai dan bukan secara bersendirian. Ia ekoran sikap ahli parti yang tidak berpuas hati dengan calon komponen BN yang bertanding di kawasan mereka. Pendekatan ahli yang kononnya mahu 'mengajar' dan mengembalikan sesebuah kerusi itu kepada UMNO dengan mengundi pembangkang akhirnya membawa padah apabila BN Perak secara keseluruhannya tewas.
Pada tahun tersebut, ramai ketua bahagian UMNO dan ahli parti itu digantung keahlian dan jawatan mereka. Namun, malang sekali tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO itu dibuat hanya selepas PRU berkenaan. Ibarat 'sudah terhantuk, baru terngadah' atau 'rumah siap tapi pahat berbunyi'.
Namun kali ini mendepani PRU13, UMNO lebih bersedia. Dan buat julung kalinya UMNO mengambil tindakan drastik mengaktifkan Lembaga Disiplin sebelum PRU13 ini untuk mengekang unsur dan anasir mensabotaj parti oleh kalangan ahlinya sendiri - jika benar-benar berlaku - sebagai persiapan awal.
Ketika mengumumkan demikian 28 Januari lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, langkah itu diambil untuk mengukuhkan disiplin parti. Ini seterusnya dapat menghalang sebarang usaha untuk sabotaj pemilihan parti sebelum pilihan raya diadakan.
"Kami tidak mahu sesuatu berlaku selepas pemilihan, kesannya telah pun berlaku. Jadi, lebih baik kita proaktif," kata beliau.
Dan jika pada 2008, hanya 18 anggota Lembaga Disiplin digerakkan untuk memantau perbuatan dan anasir sabotaj parti ini, kali ini ditambah 10 orang lagi - menjadikan 28 orang kesemuanya. Cuma, yang sama ialah Lembaga Disiplin masih diketuai Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.
Seorang anggota Lembaga Disiplin yang ditemui Utusan Malaysia di ibu negara semalam memberitahu, pasukan lembaga itu akan mula turun padang secara berperingkat bermula bulan depan, yakni Mac ini.
"Kami akan menemui empat sektor iaitu kepemimpinan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri. Lokasi tidak dapat diumumkan sekarang tetapi kami mungkin menghala ke pantai Timur dahulu," kata beliau.
Menurut beliau, matlamat utama Lembaga Disiplin adalah untuk memastikan kemenangan mutlak BN pada PRU13 dengan mengelakkan 'kesilapan-kesilapan dari akibat mensabotaj parti'.
"Namun saya ingin maklumkan bahawa kaedah yang kami praktikkan adalah dengan menemui empat sektor berkenaan secara 'soft approach'.
"Kami mahu menemui seberapa ramai yang boleh, dengan menasihat, meminta dan merayu mereka agar tidak melakukan sabotaj terhadap parti. Dan seterusnya bekerjasama untuk memastikan mandat penuh diberikan kepada pucuk pimpinan dalam soal pemilihan calon-calon pilihan raya," kata beliau.
Begitupun, beliau mengingatkan bahawa Lembaga Disiplin tidak akan sewenang-wenangnya bertindak ke atas ahli parti yang dituduh mensabotaj parti.
"Apa yang kami dengar atau bersifat spekulasi atau desas-desus tidak akan dilayan melainkan ada laporan rasmi dibuat kepada lembaga ini. Mereka 'satu kampung boleh bercerita', tapi kalau tak ada report, tak guna juga," katanya.
Tegas anggota Lembaga Disiplin itu lagi, pihaknya akan bekerja keras dalam usaha memastikan hasrat kepimpinan tertinggi parti mengutamakan perpaduan ahli berbanding kepentingan diri sendiri tercapai. Ini khususnya dalam meletakkan pilihan raya umum fokus penting daripada pemilihan parti.
Tambah lagi, gendang pilihan raya semakin kuat, justeru semua ahli perlu mementingkan 'calon mampu menang' pada pilihan raya umum, yang diramalkan akan menjadi 'luar biasa'.
"Meskipun pada 2008 dikatakan kes-kes ini minimum apabila cuma 22 kes atau 22 laporan sabotaj parti ini dibuat berbanding keanggotaan UMNO sebanyak 3.3 juta ahli, namun kami kena ambil serius risikonya.
"Jika tidak, akibatnya BN bukan sahaja sekali lagi hilang majoriti dua pertiga tetapi mungkin lenyap terus," kata beliau.
Dalam menggalas tanggungjawab besar ini, Lembaga Disiplin kali ini akan menggunakan khidmat ahli-ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), veteran UMNO dan Kelab Pesara Kerajaan yang tidak berkepentingan untuk menjadi pelapor dan pemantau kes-kes sabotaj parti.
Ahli-ahli UMNO akar umbi juga amat dialu-alukan untuk membuat laporan dan menyalurkan maklumat tepat bagi memudahkan Lembaga Disiplin menjalankan tugas dengan cekap.
Setakat ini spekulasi yang masih menerawang mengenai 'perkhabaran sabotaj parti' ini diluahkan oleh Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang yang juga Setiausaha BN negeri, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berhubung sindrom Geng Tolak Bahagian (GTB).
Dakwa Hilmi, GTB wujud di setiap bahagian negeri itu yang dianggotai ahli-ahli UMNO sendiri yang cuba memboikot atau mensabotaj bahagian masing-masing jika 'orang mereka' tidak di pilih sebagai calon pada pilihan raya umum nanti.
Cuma, adalah lebih molek Hilmi bersemuka dengan anggota Lembaga Disiplin nanti. Dan seperkara lagi, barangkali ketika ini ahli UMNO kurang senang dengan tindak tanduk seorang anggota veterannya.
Dikatakan dia menyertai sebuah NGO yang dipimpin oleh seorang lagi veteran parti. Namun pada 9 Januari lalu, dia dilihat bersama-sama pula mengiringi ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah. Beberapa hari selepas itu, dia turut hadir di majlis kesyukuran sempena pembebasan Anwar dari tuduhan kes liwat di Bukit Segambut.
Veteran UMNO itu sekali lagi 'menguak' perasaan ahli parti apabila mengeluarkan dakwaan bahawa parti kononnya menggunakan wang bagi membeli undi untuk memenangi pilihan raya umum. Dikatakan ada yang meluahkan 'usah diambil peduli tindak tanduknya'.
Namun ahli UMNO masih menunggu jawapan dan tindakan Lembaga Disiplin.
KOMEN : KALAU MASIH TAK BELAJAR DARI SEJARAH SIKITOL TAK TAHULAH... KENAPA PERLU DI JAGA HATI DUA TIGA ORANG KETUA SEDANGKAN BERIBU HATI AHLI UMNO TERLUKA...?
No comments:
Post a Comment