Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY dan NOR AZAN FITRI
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek yang akan dibangunkan oleh Iskandar Waterfront Holdings (IWH) merupakan pendahulu kepada inisiatif transformasi Johor Bahru untuk menjadi destinasi perniagaan, komersial dan pelancongan.
"Iskandar Waterfront City, dengan Danga Bay sebagai pusat pembangunannya adalah antara kawasan pembangunan paling menarik di Malaysia dan Johor khususnya. Akses mudah melalui udara, laut dan jalan raya serta kedudukan uniknya di penghujung Semenanjung bersempadan dengan Singapura memberi kelebihan besar sebagai destinasi gaya hidup dan menarik masuk pelaburan.
"Usaha memajukan semula kawasan perbandaran ini adalah selari dengan pendekatan pembangunan koridor oleh kerajaan Persekutuan bagi memberi nafas baru kepada bandar lama dengan gaya kehidupan moden. Ia bukan saja melibatkan pemuliharaan dan naik taraf bangunan warisan, landskap dan mewujudkan kawasan hijau tetapi juga pengenalan kepada produk hartanah dan elemen nilai tambah kepada bandar sedia ada," katanya pada Majlis Ulang Tahun ke-15 Danga Bay di Pusat Persidangan Danga Bay, di sini hari ini.
Hadir mencemar duli pada majlis berkenaan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan isterinya, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail serta Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; isterinya, Prof. Datin Dr. Jamilah Ariffin, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, Ismail Ibrahim dan Pengarah Urusan IWH, Datuk Lim Kang Hoo.
Sultan Ibrahim juga berkenan melancarkan Pusat Maklumat Iskandar Malaysia dan Yayasan Danga sebagai tanda kemeriahan sambutan ulang tahun Danga Bay.
Iskandar Waterfront Citu turut menyaksikan perancangan membina terminal kapal layar, marina, dermaga nelayan, bangunan menara menempatkan pejabat kewangan dan komersial, hotel, pusat pameran dan konvensyen serta kawasan perumahan.
Najib turut menyatakan keyakinan Danga Bay akan menjadi destinasi dermaga utama kerana pelan induk yang baru diumumkan itu bakal menarik lebih ramai pelabur, pelancong dan ahli perniagaan di rantau ini.
"Potensi sebenarnya Danga Bay akan direalisasi dengan pelancaran fasa terbaru cetak biru pembangunan Iskandar Waterfront City ini. Saiz dan skop projek ini bukan saja besar tetapi menakjubkan. Sebaik siap kelak, ia akan melonjakkan Johor Bahru menjadi bandar dermaga termoden bukan saja di Malaysia tetapi juga rantau ini," katanya lagi.
Jelas beliau, sejak 15 tahun lalu, IWH dengan sokongan kuat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) telah berjaya merubah kawasan ini yang dulunya dikenali sebagai Pantai Lido kepada pusat pembangunan dengan permintaan yang tinggi.
No comments:
Post a Comment