Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 11 June 2015

POLITIK : Debat cetus konfrontasi

Tidak beri kebaikan kepada UMNO, BN – Najib

KAMIL MASLIH | 11 Jun 2015 2:01 AM

KUALA LUMPUR 10 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pertukaran format program Dialog Perdana Menteri bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 5 Jun lalu daripada satu majlis dialog tertutup kepada perbahasan terbuka hanya akan menjadi pencetus konfrontasi terbuka antara beliau dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Najib Tun Razak

Menurut Perdana Menteri, beliau kesal acara tersebut dibatalkan kerana sesi dialog tertutup itu memberi peluang kepadanya untuk menjelaskan bahawa wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM42 bilion tidak lesap sebagaimana yang telah didakwa oleh Dr. Mahathir.

“Majlis ini telah bertukar format, daripada satu majlis dialog tertutup kepada majlis pembahasan terbuka. Perubahan-perubahan seperti ini akan mengakibatkan majlis ini menjadi pencetus konfrontasi politik terbuka antara Tun Dr. Mahathir dengan saya.

“Sebagai seorang Perdana Menteri, memang tidak wajar untuk debat seperti ini diadakan secara terbuka di khalayak ramai dengan bekas Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir), dan dari parti politik yang sama. Ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam laman blognya najibrazak.com hari ini.

Program Dialog Perdana Menteri bersama NGO bertemakan Nothing to Hide di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 5 Jun lalu yang turut dihadiri Dr. Mahathir telah ditunda selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta sesi berkenaan dibatalkan atas faktor keselamatan.

Menurut Najib, beliau telah menerima jemputan untuk program dialog tertutup anjuran Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu pada 19 Mei lalu dan menghargai jemputan berkenaan untuk berdialog mengenai isu-isu semasa.

“Saya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, bertanggungjawab untuk menjaga nama baik kerajaan dan parti. Tun Mahathir berhak bertanya dan saya sanggup memberi penjelasan kepada beliau. Ini saya lakukan agar perkara munasabah yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir dapat dijelaskan.

“Saya kesal acara tersebut terpaksa dibatalkan atas alasan keselamatan dan niat saya untuk berdialog dengan badan badan NGO yang dijemput tidak dapat diteruskan,” katanya.

Kata Najib, berhubung perkembangan semasa 1MDB, beliau ingin memaklumkan bahawa pihak Kementerian Kewangan bersama-sama 1MDB telah menjana satu pelan rasionalisasi untuk mengurangkan tahap hutang syarikat tersebut.

“Baru baru ini, 1MDB telah berjaya membuat pembayaran sebanyak RM3.6 bilion ke arah mencapai matlamat ini. Namun, amat duka­cita apabila usaha ini tidak disambut baik oleh pihak yang mengkritik hutang 1MDB,” katanya.

Menurut beliau, meskipun kesal program dialog itu terpaksa dibatalkan, beliau akan terus menyampaikan maklumat dalam apa jua cara yang baik dan berhemah termasuk menerima undangan NGO-NGO dan berjumpa dengan kumpulan NGO-NGO dalam masa akan datang.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/debat-cetus-konfrontasi-1.101572#sthash.swHnNJ3b.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Menang tapi kurang garang

09 Jun 2015 1:12 AM


NURRIDZUAN ABU HASSAN (kanan) menyempurnakan satu daripada dua gol yang diperoleh Malaysia ketika mengalahkan Brunei 2-0 dalam saingan Kumpulan B, semalam.

SINGAPURA – Bagai aksi pemanas badan, skuad Bawah 23 tahun negara seperti bermain sambil lewa ketika menewaskan Brunei 2-0 di Stadium Bishan, semalam.

Dua jaringan daripada Muhammad Nurridzuan Abu Hassan pada minit ke-71 dan Adam Nor Azlin, minit ke-77 sudah cukup untuk mempertahankan maruah Malaysia.

Beberapa perubahan dilakukan oleh Datuk Ong Kim Swee dalam kesebelasan utama dengan memasukkan Adan Nor Azlin, S.Kumaahran, Mohd.Fandi Othman dan Mohd. Ariff Farhan Mohd. Isa tetapi tidak banyak memberi impak pada corak permainan negara.

Selepas melepaskan banyak peluang pada babak pertama, gol sulung skuad negara akhirnya ditemui melalui sepakan bebas diambil Nurridzuan dari jarak 30 meter.

Enam minit kemudian, berpunca daripada situasi kelam kabut di depan pintu gol, Adam bijak menyepak masuk ke dalam gawang yang terhidang.

Syahrul sepatutnya menjadikan angka perlawanan dengan keputusan 3-0 apabila pintu gol ternganga luas ekoran penjaga gol, Mohd. Ahsanuddin Mohd.Dani yang terkeluar posisi.

Kim Swee mengakui, pasukannya mencipta banyak peluang, namun disebabkan sudah kehilangan minat ekoran sudah tersingkir, pemainnya seperti tidak menunjukkan kesungguhan.

“Kita berjaya mendapatkan tiga mata namun banyak peluang dilepaskan dan memang ketara kita masih di bawah Vietnam dan Thailand.

“Macam ada satu peluang yang kita dapat jaringan tadi, takkan saya hendak masuk ke dalam padang dan beritahu bagaimana hendak jaringkan gol,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/menang-tapi-kurang-garang-1.100692#sthash.d6Yyks4y.dpuf


KELAYAKAN PIALA DUNIA DAN PIALA ASIA : Kehadiran Safiq buat Dollah lega

10 Jun 2015 1:59 AM


KUALA LUMPUR – Pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh lega kerana dia dapat menggunakan kembali khidmat pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Safiq Rahim apabila skuadnya memulakan kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia menentang Timor Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Safiq terlepas perlawanan pemanas badan menentang Hong Kong pada minggu lalu kerana menerima kad kuning ketika bertemu Oman dalam perlawanan persahabatan pada 26 Mac lalu.

Kehadiran semula Safiq ke dalam kem latihan nyata melegakan Dollah yang memerlukan pemain yang bijak melorongkan bola kepada jentera serangan malah antara pakar sepakan bebas terbaik di rantau ini.

“Tidak dapat dinafikan dia (Safiq) kerap membantu jentera serangan skuad kita, malah pada masa sama dia juga berkebolehan bertindak sebagai penyerang. Jadi kehadiran pemain yang memiliki kaliber seperti dia amatlah diha­rapkan.

“Dalam setiap perlawanan saya lihat dia (Safiq) begitu bersemangat untuk mencari gol. Saya percaya dengan kemasukan Safiq mampu menyemarakkan lagi semangat rakan sepasukannya dan saya percaya dia membuatkan pasukan menjadi lebih mantap,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Dollah turut menjelaskan kecederaan yang dialami oleh penjaga gol Mohd. Farizal Marlias (lutut) serta pemain tengah Junior Eldstal (koyak tendon) kian pulih dan mereka berkemungkinan beraksi pada malam esok.

“Kalau nak diikutkan kecederaan Junior tidak begitu serius, dia boleh main cuma setiap kali selepas beraksi dia akan rasa sakit. Dia ada memberitahu saya bahawa dia tidak sabar untuk beraksi menentang Timor Leste dan semangat seperti ini yang saya mahukan.

“Farizal pula, semasa latihan saya lihat tiada masalah cuma dia berasa sakit setiap kali dia merebahkan badan. Tetapi ahli fisioterapi pasukan memberitahu buat masa sekarang dia tiada masalah,” katanya lagi.

Dollah turut memberitahu dia kini sedang menggandakan usahanya mencari kombinasi terbaik dalam membentuk kesebelasan utama menjelang perlawanan esok.

“Ini merupakan fasa terakhir kepada persiapan kami, jadi saya lebih tumpukan kepada latihan kesebelasan utama dan saya lihat banyak peningkatan yang dilakukan oleh pemain. Sekarang ini saya cuma perlu memastikan keserasian dalam kesebelasan utama dapat dibentuk dengan baik,” katanya lagi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kehadiran-safiq-buat-dollah-lega-1.101066#sthash.en69W1r5.dpuf

kELAYAKAN PIALA DUNIA DAN ASIA : Misi tawan semula 
hati peminat – Safee

FADHILUL IZMEL ISHAK | 10 Jun 2015 1:59 AM


Safee Sali bersedia untuk membuat percubaan sewaktu sesi latihan Harimau Malaya di padang Wisma FAM, Petaling Jaya semalam. UTUSAN/Farid Janudin

KUALA LUMPUR - Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safee Sali menyifatkan perlawanan pembukaan kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia menentang Timor Leste esok adalah platform terbaik untuk skuad negara mengembalikan semula keyakinan peminat tempatan selepas kegagalan Harimau Muda dalam temasya Sukan SEA yang sedang berlangsung di Singapura.

Bagi Safee sudah menjadi lumrah pemain dalam skuad senior menerima tempias akibat kegagalan pasukan junior, oleh itu adalah penting untuk dia dan rakan-rakannya dalam Harimau Malaya membuktikan kemampuan sebenar mereka sekali gus memikat semula hati peminat tempatan.

“Saya sudah melalui berbagai kerenah serta mengalami sendiri keperitan itu namun tidak dapat dinafikan sudah menjadi lumrah kepada setiap pemain apabila pasukan junior gagal, mata akan beralih kepada skuad senior.

“Tetapi tidak mengapa sebab saya fikir ini adalah masa yang sesuai untuk membuktikan kepada peminat tempatan dengan mendapatkan tiga mata penuh pertama di halaman sendiri. Bagi saya secara tidak langsung ia juga menaikkan lagi semangat kepada setiap pemain untuk mencipta kejayaan,” katanya.

Dalam pada itu, Safee tetap waspada dengan ancaman yang mampu diberikan oleh Timor Leste pada Khamis ini kerana tidak pernah melihat pasukan itu beraksi.

“Memang kita risau kepada pihak lawan dan prestasi kita sendiri, secara peribadi saya tidak tahu taktikal pasukan lawan malah jarang bertemu dengan mereka. Saya juga risau kepada prestasi saya sendiri dan juga rakan sepasukan pada hari perlawanan.

“Kami telah mengkaji corak permainan Timor Leste (menerusi rakaman video) dan saya fikir persiapan yang kami lakukan cukup untuk menewaskan mereka walaupun mereka mempunyai pemain naturalisasi,” katanya lagi.

Difahamkan Timor Leste mempunyai enam pemain asal luar yang telah mendapat kerakyatan, salah seorang adalah bekas pemain import Selangor, Juninho Aparacido.

“Ketika bertemu Hong Kong tempoh hari, apa yang disuruh oleh jurulatih (Dollah Salleh) berjaya kami terapkan dalam permainan dan bagi saya masalah keserasian tidak timbul sebab sebelum ini pun kami pernah bermain bersama cuma ada beberapa muka baharu sahaja. Bagi saya tiada apa yang perlu dirisaukan,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/misi-tawan-semula-8232-hati-peminat-8211-safee-1.101068#sthash.yHD4ddBu.dpuf


SUKAN SEA 2015 : Grace Wong tak sangka raih gangsa

10 Jun 2015 2:00 AM


Grace Wong beraksi dalam acara baling tukul besi wanita akhir, Sukan SEA 2015 di Stadium Nasional, Singapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA – Atlet berusia 15 tahun, Grace Wong Xiu Mei tidak menyangka penampilan sulungnya dalam Sukan SEA berjaya menghadiahkan pingat gangsa kepada kontinjen Malaysia apabila menamatkan saingan baling tukul besi wanita di tangga ketiga di Stadium Nasional, Kallang semalam.

Berasal dari Sarawak, Grace melakukan balingan terbaik 53.80 meter, ketinggalan 1.67m di belakang pemenang pingat perak yang juga penyandang juara, Gimsrang Panwat dari Thailand (55.47m).

Seorang lagi atlet Thailand, Koomphon Mingkamon mengungguli saingan tersebut dengan catatan 56.57m, sekali gus memadam rekod Sukan SEA, 56.41m yang dilakukan atlet negara, Tan Song Hwa di Laos pada 2009.

Menurut Grace, dia hadir di Singapura hanya untuk mengutip pengalaman kerana sandaran Malaysia sebenarnya diletakkan kepada Casier Lee Renee Kelly, namun Casier sebaliknya sekadar menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 50.78m.

“Saya sebenarnya agak tertekan sepanjang saingan kerana terpaksa bersaing dengan ramai atlet yang sangat berpengalaman.

“Kejayaan meraih pingat benar-benar meningkatkan keyakinan saya. Sasaran saya selepas ini adalah cuba untuk menjadi atlet baling tukul besi terbaik Asia dalam tempoh lima tahun dari sekarang, saya kena berlatih lebih gigih,” kata Grace, yang memahat nama sebagai atlet olahraga paling muda meraih pingat pada Sukan SEA.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, teknik balingan yang kurang tepat menyaksikan jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong sekadar meraih gangsa, sekali gus mengulangi pencapaiannya di Myanmar dua tahun lalu.

Jackie melakukan catatan 61.18m, ketinggalan jauh di belakang pemenang pingat emas, Caleb John Christian Stuart dari Filipina (65.63m). Perak milik Tantipong Phetchaiya dari Thailand dengan jarak 62.12m.

“Teknik balingan saya dalam percubaan kedua terakhir sangat teruk,” kata Jackie. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/grace-wong-tak-sangka-raih-gangsa-1.101072#sthash.iYgr4pD9.dpuf


SUKAN SEA 2015 : Atlet pecut gagal beri saingan

10 Jun 2015 2:00 AM


Zaidatul Husniah Zulkifli (kanan) hanya mampu melihat Kayla Anise Richardson (kiri) dan Tassaporn Wannakit menamatkan larian sebagai pemenang pertama dan kedua acara 100m Sukan SEA 2015 di Stadium Nasional, Singapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA – Pengalaman adalah pengajaran terbaik. Itulah yang berlaku kepada pelumba remaja Zaidatul Husniah Zulkifli apabila dia membuang tenaga dalam peringkat saringan dan tidak sempat pulih ketika bersaing dalam perlumbaan akhir acar 100 meter wanita Sukan SEA ke-28 semalam.

“Saya terlalu penat,” katanya selepas menamatkan acara riben biru itu di kedudukan keempat dengan catatan masa 11.93 saat di Stadium Nasional, Singapura.

Gelaran ratu pecut Sukan SEA 2015 menjadi milik atlet dari Filipina, Kayla Anise Richardson yang melakukan catatan masa 11.76s menewaskan Tassaporn Wannakit dari Thailand (11.76s) di tempat kedua manakala gangsa milik wakil tuan rumah, Veronica Shanti Pereira (11.88s).

“Saya sudah cuba yang terbaik dan pada pertengahan larian tenaga saya seakan berkurangan untuk berlari lebih pantas, saya terlalu penat,” kata Zaidatul, mengulas lariannya dalam perlumbaan akhir.

“Ini adalah kali pertama saya beraksi dalam Sukan SEA dalam acara 100m, jadi ini adalah pengajaran kepada diri saya dan pengalaman ini akan saya gunakan untuk melakukan yang lebih baik dalam 200m esok (hari ini),” katanya lagi.

Dalam acara 100m lelaki, sandaran utama negara Mohd. Izzuddin Yahya tersingkir pada peringkat saringan selepas hanya mampu melakukan catatan masa 10.61s untuk berada di tempat keenam. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/atlet-pecut-gagal-beri-saingan-1.101079#sthash.FSiVmOLi.dpuf


SUKAN SEA 2015 : Muslifah bantu tembak perak rifle prone 50m

10 Jun 2015 2:00 AM


Muslifah Zulkifli (dua, kanan) beraksi pada Acara 10 Meter Air Rifle Wanita Sukan SEA ke-28 di Kelab Menembak Safra hari ini. Malaysia berjaya meraih pingat perak dalam acara itu. BERNAMA

SINGAPURA – Walaupun ditimpa kecederaan mata, Muslifah Zulkifli tidak menjadikan alasan itu untuk menghalang dia meraih pingat perak dalam acara 50 meter rifle prone berpasukan di Pusat Menembak Nasional semalam.

Bergandingan dengan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Nur Sur­yani Mohammed Taibi, mereka me­ngumpul keseluruhan 1,839 mata.

Acara itu dimenangi trio Thailand yang mengutip 1,869.3 mata sementara Singapura meraih gangsa apabila mengutip 1,829 mata.

Ketiga-tiga penembak negara itu masih berpeluang mendapatkan emas dalam acara itu selepas layak beraksi dalam acara 50m prone rifle individu akhir hari ini.

Muslifah berkata, dia berdepan masalah semasa siri terakhir tembakan kerana minyak dalam senjata­nya terpercik ke dalam mata kanan tetapi dia tetap cekal meneruskan tembakan untuk muncul empat peserta terbaik dalam sesi kelayakan.

“Semasa siri tembakan terakhir, minyak terpercik ke dalam mata dan saya terus mencuci mata kerana baki tembakan pada masa itu tinggal lima minit lagi. Saya tiada pilihan dan terus menghabiskan tembakan namun saya gagal memberikan tembakan terbaik,” katanya yang terpaksa berkejar ke National University Hospital selepas itu untuk mendapatkan rawatan.

Dalam satu lagi acara, gandingan Gan Kong Leong, Amran Risman dan Teh Chee Fei memungut gangsa untuk skeet berpasukan lelaki selepas mengumpul 308 mata.

Pingat emas diraih oleh Thailand yang mengumpul 342 mata sementara perak menjadi milik Singapura yang mencatat 338 mata. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/muslifah-bantu-tembak-perak-rifle-prone-50m-1.101081#sthash.3Vex0CrN.dpuf


SUKAN SEA 2015 : Ing Yueh curi perhatian

10 Jun 2015 2:01 AM


Tan Ing Yueh (kiri) dan Farah Ann Abdul Hadi bergaya bersama pingat yang mereka menangi dalam acara gimnastik artistik Sukan SEA 2015 di Kompleks Sukan Bishan, Singapura semalam.

SINGAPURA – Seperti diduga, gimnastik artistik berjaya meraih emas kedua dalam Sukan SEA 2015 semalam, namun apa yang mengejutkan emas tersebut bukan dijelmakan oleh Farah Ann Abdul Hadi, sebaliknya Tan Ing Yueh mencuri tumpuan dengan menjuarai acara palang bertingkat individu wanita di Kompleks Sukan Bishan.

Gimnas kelahiran Melaka berusia 19 tahun itu melakar kejutan dalam penampilan pertamanya pada Sukan SEA selepas mengutip mata tertinggi 12.766 mata, mengatasi peserta Filipina, Ava Lorein Verdeflor (12.366) di tempat kedua.

Farah yang diletak sebagai pilihan utama terpaksa berpuas hati pulang bersama gangsa dengan mengutip 12.200 mata.

Ing Yueh yang sebelum ini membantu Malaysia meraih emas pertama gimnasik dalam saingan berpasukan, Ahad lalu turut merangkul sebutir perak menerusi acara melombol di belakang gimnas Vietnam, Phan Thi Ha Thanh. Farah sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

Sebelum mengambil giliran membuat persembahan, Ing Yueh mengakui dia sedikit gergamam selepas melihat Farah terjatuh ketika melakukan pendaratan.

Bagaimanapun katanya, insiden tidak diduga itu telah menguatkan lagi semangatnya untuk memberi aksi terbaik kerana tidak rela emas terlepas daripada genggaman Malaysia.

“Sebelum tiba giliran saya, Farah terlebih dulu masuk ke gelanggang dan saya terkejut dia boleh terjatuh kerana selama ini dia sering melakukan pendaratan yang sempurna dalam setiap persembahannya.

“Memandangkan kami adalah rakan sepasukan dan berjuang buat negara, saya bertekad untuk memastikan emas tetap milik Malaysia dengan memberikan persembahan terbaik. Akhirnya saya benar-benar melakukan aksi yang bagus.

“Terima kasih juga kepada Farah yang selalu menjadi contoh buat saya dan sentiasa menyokong setiap persembahan saya sepanjang di sini. Harap pada Sukan SEA di Kuala Lumpur, dua tahun akan datang saya mampu melakukan yang lebih baik,” katanya.

Bakal turun dalam acara senaman lantai pada hari terakhir gimnastik artistik hari ini, penuntut Kolej Sunway menegaskan, dia tidak mahu membebankan dirinya dengan meletakkan sasaran pingat.

Sementara itu, Farah nyata kecewa kerana gagal memenangi acara kegemarannya, palang bertingkat, namun dalam masa yang sama dia tetap lega kerana emas masih dimiliki oleh Malaysia.

“Rasa sedih sikit kerana acara inilah yang saya sasarkan untuk memenangi emas, namun inilah sukan. Bukan setiap hari anda akan berada di tahap terbaik.

“Apun, saya tetap gembira kerana rakan sepasukan masih berjaya mendapatkan emas untuk Malaysia,” katanya. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/ing-yueh-curi-perhatian-1.101093#sthash.joFY87gh.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Rafiq raih emas sulung boling

10 Jun 2015 2:01 AM


Peserta negara Muhammad Rafiq Ismail membuat balingan ketika menyertai acara Boling Perseorangan Lelaki sempena Sukan SEA ke-28, di Orchid Country Club Yishun, hari ini. Beliau meraih pingat emas untuk acara itu. BERNAMA

SINGAPURA – Walaupun baru mencecah usia 18 tahun pada 24 Mei lalu dan hanya membuat penampilan sulung dalam Sukan SEA, namun Muhammad Rafiq Ismail berjaya menenggelamkan beberapa nama besar dari Singapura, Thailand dan Indonesia untuk menghadiahkan pingat emas pertama boling dalam acara individu lelaki di Orchid Country Club, semalam.

Biarpun masih mentah di peringkat Sukan SEA, namun Rafiq sememang­nya disandarkan harapan tinggi oleh skuad boling negara selepas mempamer prestasi memberangsangkan tahun ini dengan muncul juara Masters Kejohanan Kebangsaan, Mac lalu dan Terbuka Thailand, April lalu.

Semalam, dia diberi tentangan hebat oleh atlet berpengalaman Thailand, Annop Arromsaranon sebelum mengesahkan kejuaraan dengan kelebihan tipis, tiga pin.

Pemenang empat pingat emas Kejohanan Remaja Asia itu me­ngumpul 1,308 jatuhan pin, me­ninggalkan Annop dengan 1,305 pin. Peserta tuan rumah, Javier Tan terpaksa berpuas hati meraih gangsa menerusi 1,284 jatuhan pin.

Walaupun Rafiq kelihatan tenang sepanjang permainan, namun atlet remaja itu mengakui, dia sebenar­nya sedikit tertekan menuju peng­hujung permainan hingga me­lakukan jatuhan rendah dalam dua game terakhir iaitu 192 dan 189 pin.

Begitupun, aksi cemerlang dalam empat game pertama iaitu 246, 221, 235 dan 225 jatuhan pin berjaya membantu atlet Kuala Lumpur itu merangkul emas Sukan SEA buat kali pertama.

“Saya perlu berterima kasih kepada jurulatih Holloway (Cheah) dan Uncle Fred (Tan, pakar psikologi Majlis Sukan Pulau Pinang). Kata-kata mereka membantu saya untuk bertenang selepas agak tertekan ketika mengharungi dua game terakhir.

“Saya mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan lorong pada game kelima dan itu menyebabkan saya melakukan jatuhan yang rendah. Ketika mengharungi game terakhir, saya sedar cabaran hebat diberikan oleh Annop, Javier dan Ryan Lalisang (Indonesia), jadi sekali pun saya tidak melakukan strike, saya perlu membuat spare.

“Selepas melalui keadaan yang sangat tertekan, saya gembira kerana akhirnya berjaya menghadiahkan emas buat Malaysia. Ini adalah pe­ngalaman baharu buat saya, tetapi kemenangan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk memburu emas selepas ini,” kata Rafiq.

Sementara itu, Singapura me­nguasai kedudukan 1-2 dalam saingan individu wanita menerusi Daphne Tan (1,368) dan Jazreel Tan (1,313), meninggalkan pemain berpengalaman negara, Esther Cheah di tempat ketiga dengan 1,291 pin. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/rafiq-raih-emas-sulung-boling-1.101096#sthash.z0lq77eQ.dpuf


SUKAN SEA 2015 : Terjun bolot kesemua 8 emas

10 Jun 2015 2:02 AM


SINGAPURA – Terjun menutup kempen Sukan SEA 2015 dengan sempurna apabila menyapu bersih semua lapan emas yang ditawarkan di Singapura dengan menambah dua lagi emas pada hari terakhir di Pusat Akuatik OCBC, semalam.

Ooi Tze Liang (kiri) dan Ahmad Amsyar Azman mempamerkan aksi menarik dalam persaingan akhir acara 3m papan anjal seirama lelaki Sukan SEA 2015 di Pusat Akuatik OCBC, Singapura semalam. UTUSAN

Ooi Tze Liang meletakkan dirinya sebagai calon olahragawan selepas meraih emas keempat peribadi dalam 3 meter papan anjal seirama lelaki bersama Ahmad Amsyar Azman, manakala pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012, Pandelela Rinong memastikan cabaran Malaysia diharungi tanpa cacat cela apabila menyambar emas terakhir yang ditawarkan dalam acara 10m platform individu wanita.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian sempurna yang dilakukan Malaysia dalam Temasya Myanmar, dua tahun.

Penerjun negara berada dalam kelas tersendiri, malah saingan 10m platform bagaikan sesi latihan buat mereka apabila Pandelela mengetepikan rakan senegara, Loh Zhiayi untuk mengetuai kemenangan 1-2 Malaysia.

Pandelela mengumpul 353.00 mata, diikuti Zhiayi dengan 305.25 mata. Kedua-dua mereka meninggalkan jauh pemenang gangsa, Frieda Lim dari Singapura yang meraih 251.70 mata.

Walaupun melakukan kesilapan pada terjunan kedua dan hanya mengutip 49.30 mata, tiga terjunan terakhir Pandelela sudah memadai untuk membolehkan atlet kelahiran Sarawak itu mempertahankan emas buat kali keempat berturut-turut sejak kali pertama memenanginya pada Sukan SEA 2009 di Laos.

“Saya sebenarnya agak keletihan hari ini, namun lega kerana masih mampu melakukan yang terbaik. Saya dan seluruh pasukan sangat gembira dengan apa yang kami capai di sini kerana sejak awal lagi sasaran kami adalah memenangi semua emas yang dipertandingkan.

“Terus terang saya tidak pernah memandang rendah kemampuan peserta negara lain kerana kita boleh lihat banyak peningkatan ditunjukkan dalam Sukan SEA kali ini, berbanding di Myanmar dua tahun lalu,” kata Pandelela.

Biarpun Sukan SEA ibarat pemanas badan buat Pandelela, namun penuntut Universiti Malaya itu menegaskan, penampilan di Singapura amat penting untuk membantunya mempersiapkan diri menghadapi beberapa kejohanan Siri Dunia yang akan menjadi pentas kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 di Rio.

Sementara itu, gandingan Tze Liang-Amsyar mengutip 409.56 mata dalam 3m papan anjal seirama untuk mengetepikan pasangan adik-beradik Singapura, Mark Lee-Timothy Lee (381.78). Gangsa milik penerjun Indonesia, Akhmad Sukran Jamjami-Putra Adiyto Restu dengan catatan 342.45 mata.

Tiga emas Tze Liang sebelum ini hadir dalam acara 3m papan anjal individu, selain 10m platform individu dan seirama. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/terjun-bolot-kesemua-8-emas-1.101101#sthash.2Ij1VJHo.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Kutipan emas belum tersasar

Malaysia tambah 6 pingat, terjun lulus cemerlang

10 Jun 2015 2:03 AM


Ooi Tze Liang (kiri) dan Ahmad Amsyar Azman.




Muhammad Hakimi Ismail


Muhammad Rafiq Ismail


Tan Ing Yueh


Pandelela Rinong


SINGAPURA - Tambahan enam pingat emas yang diraih semalam menyaksikan sasaran kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA 2015 masih tidak tersasar, malah terjun menutup kempen dengan ‘kepujian’ selepas menyapu bersih semua lapan emas yang ditawarkan di Singapura.

Boling yang membuka tirai semalam turut bermula langkah kanan apabila menghadiahkan emas sulung, manakala gimnastik artistik dan pelayaran masing-masing menokok emas kedua mereka.

Bagaimanapun daripada enam emas yang diraih Malaysia semalam, kejayaan atlet olahraga, Muhammad Hakimi Ismail mengembalikan emas lompat kijang yang sudah 18 tahun hilang paling mencuri tumpuan.

Malah, Hakimi melakar kemenangan dengan penuh bergaya apabila memecah rekod kebangsaan dan rekod temasya. Catatan 16.76 meter yang dilakukannya membolehkan dia memperbaharui rekod lama Sukan SEA, 16.67m, selain memadam rekod kebangsaan, 16.44m.

Hakimi muncul atlet Malaysia pertama meraih emas lompat kijang lelaki Sukan SEA sejak kali terakhir Zaki Sadri melakukannya di Jakarta pada 1997.

Terdahulu, terjun melunaskan janji untuk menutup Sukan SEA tanpa melepaskan walau sebutir pun emas apabila menambah dua lagi menerusi Ooi Tze Liang-Ahmad Amsyar Azman dalam 3m papan anjal seirama dan Pandelela Rinong (10m platform individu).

Di Orchid Country Club, atlet remaja berusia 18 tahun, Muhammad Rafiq Ismail yang membuat penampilan sulung Sukan SEA menunjukkan aksi cemerlang untuk meraih emas pertama boling dalam saingan individu lelaki.

Sukan SEA Singapura turut menjadi pentas buat seorang lagi atlet remaja, Nur Shazrin Mohamad Latif untuk menyerlah apabila dia meraih emas acara pelayaran Laser Radial Perempuan (Bawah 19 tahun) .

Lagu Negaraku berkumandang buat kali kedua di gelanggang gimnastik artistik selepas Tan Ing Yueh menghadirkan emas tidak diduga dalam acara palang bertingkat individu wanita, biarpun tumpuan sebenar acara itu adalah rakan sepasukannya, Farah Ann Abdul Hadi.

Walaupun tiada lagi kilauan emas dapat dilihat daripada acara terjun, namun pungutan emas Malaysia dijangka tidak berhenti, malah skuasy, boling, olahraga, renang, pelayaran dan snuker bakal menjadi tumpuan hari ini.

Malaysia dijangka tidak menghadapi masalah untuk menguasai dua emas yang ditawarkan dalam skuasy dengan mempertaruhkan Sanjay Singh Chal dan Mohd. Addeen Idrakie dalam perseorangan lelaki serta Rachael Arnold dan Vanessa Raj menerusi perseorangan wanita.

Turut menjadi tumpuan hari ini pastinya pasangan Thor Chuan Leong-Moh Keen Hoo yang berentap dalam perebutan pingat emas snuker beregu lelaki, manakala boling cuba memburu dua emas yang ditawarkan dalam beregu lelaki serta wanita.

Selepas lima hari berlangsung, Malaysia kini mengumpul 21 emas, 26 perak dan 31 gangsa untuk kekal di tangga keempat pungutan pingat keseluruhan. Singapura terus mengungguli carta menerusi 52-44-54, diikuti Thailand (38-40-35) dan Vietnam (33-16-38). – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/kutipan-emas-belum-tersasar-1.101132#sthash.raQJ9G1U.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Chuan Leong-Keen Hoo 
bangkit untuk menang emas

11 Jun 2015 12:55 AM


Moh Keen Hoo ketika beraksi dalam acara berpasangan snuker Sukan SEA 2015 di OCBC Arena, Singapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA – Aksi tenang yang dipamerkan pasa­ngan negara Thor Chuan Leong dan Moh Keen Hoo menjadi tunjang kebangkitan mereka untuk memenangi pingat emas snuker Sukan SEA 2015 dalam acara beregu di OCBC Arena selepas menewaskan pasangan Thailand 3-1 semalam setelah ketinggalan selepas tamat frame pertama.

Ini adalah emas kedua daripada snuker selepas Chuan Leong muncul juara dalam acara individu lelaki pada Isnin lalu.

Chuan Leong berkata, beraksi menentang Kritsanut Lertsattayathorn-Ratchayothin Yotharuck memerlukan lebih banyak strategi taktikal dan itu semua hanya dapat dilakukan jika tenang dalam permainan.

“Sebelum masuk bertanding semangat kami memang berada di tahap yang terbaik, cuma semasa set pertama kami tiada peluang untuk mendapatkan mata.

“Persaingan lebih mencabar dapat dilihat dalam frame kedua hingga keempat yang menyaksikan mereka cuba untuk mendapatkan mata bagi memintas kami namun tidak berjaya.

“Saya anggap ini sebagai kejayaan besar buat skuad snuker ke­rana berupaya menyumbang lebih daripada satu emas,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Pasangan negara tewas 0-76 dalam frame pertama namun berjaya bangkit selepas itu untuk menang 49-36, 113-1, 66-19.

Sementara itu, pingat gangsa dikongsi oleh pasangan Filipina dan Singapura yang kecundang dalam separuh akhir kelmarin. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/chuan-leong-keen-hoo-8232-bangkit-untuk-menang-emas-1.101398#sthash.XAp3JsmR.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Farah Ann tambah koleksi emas

11 Jun 2015 12:56 AM

SINGAPURA – Masih belum puas dengan satu pingat emas, ratu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi mempamerkan prestasi memukau untuk menambah koleksi kemenangannya dalam Sukan SEA 2015 apabila memenangi rutin senaman lantai pada hari terakhir acara gimnastik artistik di Kompleks Sukan Bishan semalam.


Farah Ann Abdul Hadi ketika beraksi dalam rutin senaman lantai dalam laluannya untuk memenangi acara itu di Sukan SEA 2015 di Singapura semalam. UTUSAN

Setelah kecewa dengan sekadar tiga pingat gangsa dalam acara palang bertingkat, melombol dan batang titian, Farah, 21, menggunakan kelebihan selaku gimnas pertama memulakan persaingan tanpa sebarang tekanan untuk mencatat 13.733 mata.

Gimnas Indonesia, Rifda Irfanalutfi memberikan saingan sengit kepada Farah apabila meraih 13.700 mata namun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak manakala juara individu all-around Phan Thi Han Thanh di tangga ketiga dengan 13.433 mata.

Sementara itu, pemenang pingat emas acara palang bertingkat pada Selasa lepas, Tan Ing Yueh hampa apabila berada di tempat keempat.

“Memang saya sudah sasarkan untuk mendapatkan pingat acara ini kerana senaman lantai ialah acara kegemaran saya tetapi untuk meraih emas bukan sesuatu yang mudah.

“Walaupun ada rasa macam kecewa sedikit kerana tidak dapat pingat emas (Selasa lalu) namun rakan sepasukan telah berikan semangat kepada saya.

“Syukur sangat kerana persembahan saya ternyata agak baik dan walaupun bermula selaku peserta pertama, situasi itu mungkin mengurangkan sedikit tekanan kepada saya kerana tidak perlu melihat peserta lain sebelum buat persembahan,” katanya.

Farah turut mengutip satu gangsa semalam menerusi rutin batang titian, tewas kepada dua gimnas Vietnam, Phan Thi Ha Tanh dan Do Thi Van Anh.

Secara keseluruhan, dia membawa pulang dua pingat emas dan tiga pingat gangsa daripada Sukan SEA kali ini.

Pencapaian itu ternyata jauh le­bih baik berbanding di Sukan SEA Indonesia pada 2011 di mana dia sekadar menang satu perak manakala gimnastik artistik tidak dipertandingkan dua tahun lalu di Myanmar.

Berasa bangga dapat mengharumkan nama negara, Farah berkata, kejayaan gimnastik artistik yang membawa pulang tiga pingat emas, tiga pingat perak dan tiga gangsa memberikan satu mesej yang jelas kepada pencabar lain.

Sementara itu, Jeremiah Loo meraih pingat perak rutin palang tunggal selepas mengutip 14.133 mata, ke­tinggalan hanya 0.100 mata kepada peserta pilihan Phuong Thanh Dinh dari Vietnam yang menang emas.

Pingat gangsa dimiliki oleh Muhammad Jufrie Aizat dari Singapura dengan 12.833 mata.

Jeremiah yang baharu berusia 18 tahun berkata, dia berharap pingat itu sebagai satu permulaan baik kepada perkembangan gimnas lelaki negara setelah sekian lama ditenggelami oleh atlet wanita.

“Pingat ini memang langsung tidak dijangka kerana acara ke­gemaran saya ialah kekuda pelana,” katanya. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/farah-ann-tambah-koleksi-emas-1.101402#sthash.5aA6ToTC.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Enam lagi emas dituai

11 Jun 2015 12:56 AM




SINGAPURA - Malaysia terus menghampiri sasaran menang 56 pera­tus pingat Sukan SEA 2015 tanpa mengira warna apabila mengutip enam lagi pingat emas semalam dengan skuasy didominasi oleh pemain-pemain negara.

Meskipun terjun menjadi pasukan paling cemerlang setakat ini, namun pujian wajar diberikan kepada barisan atlet gimnastik artistik, snuker, boling, ekuestrian dan skuasy kerana turut menampilkan aksi cemerlang semalam.

Pasukan gimnastik artistik negara menutup kempen kali ini dengan meraih pingat emas dalam disiplin senam lantai wanita menerusi Farah Ann Abdul Hadi sekali gus berjaya melepasi sasaran dua pingat emas yang ditetapkan.

Skuad snuker negara turut merangkul pingat emas kedua menerusi Thor Chuan Leong-Moh Keen Hoo yang memenangi acara beregu setelah Chuan Leong muncul juara individu Isnin lalu.

Penampilan kali ini adalah jauh lebih baik berbanding dua tahun lalu yang menyaksikan pasukan snuker negara sekadar membawa pulang satu pingat emas, juga menerusi Chuan Leong dalam acara 6 red snooker.

Ekuestrian turut mencapai sasaran satu pingat emas menerusi R. Sharmini dalam acara jumping sambil mencipta kejutan ke atas wakil tuan rumah Catherine Chee.

Jaguh boling wanita Sin Li Jane pula menamatkan penantiannya selama empat tahun untuk mengutip pingat emas Sukan SEA apabila menjadi tunjang kepada kejayaan dalam acara beregu bersama Esther Cheah, sekali gus meng­ha­diahkan kontinjen negara emas ke­dua se­takat ini.

Pingat gang­sa turut menjadi milik Malaysia menerusi gandingan Shalin Zulkifli-Syaidatul Afifah.

Keunggulan pasukan skuasy negara nyata tidak mampu ditandingi walaupun menghantar skuad muda apabila mengutip dua pingat emas dalam acara perseorangan lelaki dan wanita, malah aksi akhir mempertemukan atlet negara dalam kedua-dua kategori.

Dalam perseorangan wanita, Rachel Arnold menewaskan Vanessa Raj 11-13, 11-9, 11-3, 11-5 dalam tempoh 30 minit untuk meriah pingat emas pertama sebelum Sanjay Singh Chal melengkapkan hari penuh bergaya untuk kem skuasy negara selepas mudah menumpaskan Muhd. Addeen Idrakie Bahtiar 11-7, 11-3, 12-10.

Namun, harapan skuad olahraga negara untuk menambah emas tidak kesampaian setelah Mohd. Izzuddin Yahya dan G. Aravinn Thevarr sekadar meraih tempat keempat dan kelima dalam acara 200 meter manakala atlet lontar peluru Adi Aliffudin Hussin sekadar me­nyumbang gangsa di Stadium Nasional Singapura.

Aksi di kolam renang pula me­nyaksikan hanya dua perak dan dua gangsa dikaut oleh pasukan negara di Pusat Akuatik OCBC.

Phee Jinq En (32.46 saat) dan Erika Kong (32.58s) masing-masing menang perak dan gangsa acara 50m kuak dada, tunduk kepada pe­renang tuan rumah Roanne Ho yang memecahkan rekod kejohanan 32.00s milik sendiri apabila me­rakamkan 31.45s.

Dalam acara 1,500 m gaya bebas lelaki, Kevin Yeap sekadar me­raih gangsa sekali gus gagal mengulangi pencapaian perak di Myanmar dua tahun lalu. Dia melakukan catatan 15 minit 55.69 dan emas dimenangi perenang Vietnam manakala perak milik Indonesia.

Harapan yang diletakkan dalam acara 400m gaya bebas wanita melalui Khoo Chai Lin juga berkubur apabila perenang senior itu hanya mampu meraih perak di belakang jaguh Vietnam, Nguyen Thi Anh Vien.

Acara 4x100 m rampaian wanita yang diwakili barisan perenang Yap Sew Hui, Caroline Chui Lai Kwan dan Phee Jinq En gagal meraih sebarang pingat apabila acara tersebut mudah dikuasai Singapura manakala Thailand dan Filipina meraih perak dan gangsa.

Malaysia turut meraih satu gangsa menembak menerusi Mohd. Hadafi Jaafar dalam acara 50m rifle prone lelaki individu di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Singapura.

Misi menambah pingat emas akan diteruskan hari ini menerusi skuad badminton lelaki dan wa­nita yang melangkah ke separuh akhir dan bakal berdepan cabaran Indonesia di Stadium Tertutup Singapura.

Malaysia dijangka mampu meneruskan aksi cemerlang hari ini menerusi beberapa acara termasuk memanah, renang, badminton, olahraga, boling, berbasikal, silat, petanque, pelayaran serta menembak.

Lapangan olahraga dilihat mampu menyumbang satu pingat emas hari ini menerusi Muhammad Irfan Shamsuddin dalam acara lempar cakera namun dia berdepan dua pencabar utama dari Thailand, Narong Benjaroon dan Kwanchai Numsonboon.

Nauraj Singh Randhawa juga bakal berdepan pencabar dari Thailand, Pramote Prumurai dalam acara lompat tinggi.

Wong Fu Kang diharap mampu melakarkan kejutan dengan menyumbang satu lagi pingat emas menerusi acara 50m kuak lentang selepas menang 100m kuak dada Ahad lalu selain Daniel Beego juga akan bersaing dalam acara 400m gaya bebas. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/enam-lagi-emas-dituai-1.101403#sthash.zj83lm99.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Silap teknik saksikan Adi sekadar raih gangsa

11 Jun 2015 12:56 AM


Adi Alifuddin Hussin membuat lontaran ketika bersaing dalam acara lontar peluru Sukan SEA 2015 di Stadium Nasional SIngapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA – Bermula dengan baik tetapi akhir­nya merudum.

Itu yang berlaku kepada atlet lontar peluru lelaki negara Adi Aliffudin Hussin dalam Sukan SEA 2015 apabila sekadar berupaya mengutip pingat gangsa dengan jarak lontaran 16.96 meter sekali gus gagal mengatasi pencapaian pingat perak di Myanmar dua tahun lalu.

Adi mendapatkan catatan tersebut menerusi lontaran pertama namun selepas itu prestasinya merosot serta tidak konsisten hingga gagal mengatasi jarak lontaran dua atlet dari Thailand iaitu Promrob Juntima yang meraih pingat emas dengan catatan 17.47m dan pemenang pingat perak Chatchawal Polyiam, 17.07m.

Adi berkata, kesilapan dalam teknik melontar menjadi punca utama dia sukar untuk mendapatkan jarak yang jauh.

“Saya sudah berusaha melakukan yang terbaik. Pesaing kali ini amat hebat namun ini tidak mematahkan semangat saya.

“Keputusan ini tetap menggembirakan kerana dapat mengatasi catatan terbaik saya musim ini dan saya juga berterima kasih kepada Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) dan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana memberikan kepercayaan kepada saya,” katanya selepas tamat acara tersebut di Stadium Nasional Singapura semalam.

Dalam Sukan SEA 2013, Adi meraih pingat perak dengan jarak lontaran 17.10m.

Sementara itu, dalam saingan lompat jauh wanita menyaksikan wakil negara Noor Amira Mohamad Nafiah hanya mampu menamatkan aksi di tempat ketujuh dengan jarak 6.08m manakala dalam saingan 800m lelaki, M. Kasaven menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan masa satu minit, 53.30 saat. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/silap-teknik-saksikan-adi-sekadar-raih-gangsa-1.101407#sthash.96ZoYWZm.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Jaguh pecut kita 
belum cukup pantas

11 Jun 2015 12:56 AM


Mohd. Izzuddin Yahya (kanan) dan G. Aravinn Thevarr (kiri) hanya mampu melihat atlet Vietnam, Le Trong Hinh menjuarai acara akhir 200m dalam Sukan SEA 2015 di Singapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA – Harapan untuk melihat pingat pertama Sukan SEA dalam acara pecut 200 meter lelaki selepas 12 tahun tidak kesampaian apabila dua wakil negara Mohd. Izzuddin Yahya dan G. Aravinn Thevarr sekadar meraih tempat keempat dan kelima dalam pertarungan akhir di Stadium Nasional Singapura semalam.

Mohd. Izzuddin mencatat masa 21.20 saat manakala Aravinn Thevarr, 21.33s sekali gus menghampakan harapan sejak Sukan SEA 2003 di Vietnam di mana Nazmizan Mohamed meraih emas.

Pingat emas semalam dimenangi oleh Le Trong Hin dari Vietnam yang menamatkan saingan dengan masa 20.89s manakala pingat perak dan gangsa diraih atlet Thailand, Sathoengram Jaran di tempat kedua (21.05s) serta Meenapra Jirapong di tempat ketiga (21.05s).

Mohd. Izzuddin berkata, perlumbaan semalam amat mencabar kerana semua peserta begitu laju namun tetap berpuashati kerana dia memperbaharui catatan peribadi terbaiknya.

“Tiada rezeki saya untuk mendapatkan pingat untuk negara namun ini bukan kesudahannya ke­rana saya akan terus memberikan cabaran selepas ini.

“Saya juga berterima kasih kepada jurulatih saya, Nazmizan yang telah menaikkan semangat saya selepas kecewa dalam perlumbaan 100m semalam (kelmarin),” kata­nya, yang gagal ke perlumbaan akhir acara itu setelah hanya menduduki tempat keenam.

Sementara itu, dalam 200m wa­nita, atlet negara Zaidatul Husniah Zulkifli menamatkan saingan di tempat keenam.

Zaidatul Husniah mencatat masa 24.18s dalam perlumbaan yang dimenangi Veronica Shanti Pereira dari Singapura yang melakukan catatan masa 23.60s.

Tempat kedua menjadi milik Kayla Anise Richardson dari Fili­pina dengan masa 23.71s dan gangsa milik atlet Vietnam, Thi Oanh Nguyen dengan 23.92s. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/jaguh-pecut-kita-8232-belum-cukup-pantas-1.101409#sthash.dFVsMbtr.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Hakimi raih emas pecah rekod lompat kijang

10 Jun 2015 2:00 AM


Muhammad Hakimi Ismail bergambar di hadapan papan skor yang menunjukkan rekod baharu lompat kijang setelah dia memenangi acara itu dalam Sukan SEA 2015 di Singapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA - Selepas 18 tahun hilang daripada genggaman, pingat emas lompat kijang Sukan SEA akhirnya dikembalikan ke pangkuan kontinjen negara menerusi Muhammad Hakimi Ismail, malah melakukannya dengan penuh bergaya apabila mencipta rekod baharu temasya dan kebangsaan semalam.

Atlet berusia 24 tahun itu menang dengan catatan 16.76 meter untuk memadam rekod lama 16.67m milik Nguyen Van Hung dari Vietnam yang dilakukan di Myanmar hanya dua tahun lalu. Catatan tersebut juga memadam rekod kebangsaan miliknya sendiri, 16.44m.

Hakimi muncul atlet Malaysia pertama meraih emas lompat kijang lelaki Sukan SEA sejak kali terakhir Zaki Sadri melakukannya di Jakarta pada 1997.

“Berjaya menjadi pemenang pingat emas pertama sejak Zaki Sadri adalah satu penghormatan. Zaki seorang legenda dan saya sangat menghormatinya.

“Saya amat bangga berjaya memenangi pingat emas selepas apa yang berlaku di Myanmar, dua tahun lalu,” kata Hakimi, merujuk kepada kegagalannya meraih kejuaraan selepas dipintas oleh Van Hung.

Pingat perak acara tersebut menjadi milik atlet Thailand, Kongnil Varunyoo dengan lompatan 16.20m, manakala Van Hung sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan 15.92m.

“Syukur saya dapat meraih emas bersama rekod baharu, ini satu pencapaian besar dalam karier olahraga saya.

“Saya sebenarnya tidak berjaya melepasi had kelayakan Sukan SEA, namun diberi kepercayaan untuk beraksi atas tiket pemenang pingat perak Sukan SEA 2013. Hari ini, saya berjaya membalas kepercayaan tersebut,” katanya lagi.

Olahraga turut menghadiahkan tiga pingat gangsa semalam, dua menerusi baling tukul besi manakala satu daripada skandar Alwi dalam lompat bergalah lelaki.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli selepas gagal menamatkan perlumbaan dalam kedudukan pingat apabila sekadar berada di tempat keempat dengan masa yang buruk, 11.93 saat pada final 100m. Catatan itu jauh lebih buruk daripada yang dilakukan di peringkat saringan, 11.69s.

Iskandar pula melakukan lompatan 5.05m dan gagal mengatasi pencapaian perak yang dibuat di Myanmar, dua tahun lalu.

Emas milik atlet Thailand, Porranot Purahong dengan catatan 5.30m, manakala perak diraih John Obeina Ernest dari Filipina (5.25m).

Terdahulu dalam saingan baling tukul besi, atlet remaja berusia 15 tahun, Grace Wong meraih pingat dalam penampilan pertama Sukan SEA dengan mencatat balingan terbaik 53.80m, manakala Jackie Wong mencatat 61.18m dalam acara lelaki. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/hakimi-raih-emas-pecah-rekod-lompat-kijang-1.101077#sthash.72lZdQEw.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Sharmini pastikan skuad ekuestrian pulang dengan emas

11 Jun 2015 12:56 AM


R. Sharmini beraksi dalam rutin jumping dalam acara ekuestrian Sukan SEA 2015 di Kelab Turf Singapura semalam. BERNAMA

SINGAPURA - Sebaik sahaja disahkan muncul pemenang acara jumping individu, air mata ke­gembiraan mengalir di wajah R. Sharmini yang akhirnya memastikan skuad ekuestrian negara pulang dengan satu emas.

Terpaksa bertarung sehingga persembahan penentuan dengan penunggang Singapura, Catherine Chew selepas kedua-duanya mempamer tunggangan bersih, kekuatan mental Sharmini ternyata menjadi pemisah antara mereka.

Mengambil giliran terlebih dahulu melakukan tunggangan bersama kuda kesayangannya Arcado L, dia menunggang tenang untuk tidak melakukan sebarang kesilapan selain mencatat masa 35.90 saat.

Sebaik sahaja Catherine melintas garisan penamat, sorakan penyokong Malaysia menggamatkan suasana apatah lagi apabila penunggang Singapura itu pula hanya mampu mencatat masa 36.69 saat.

Pingat gangsa menjadi milik penunggang Thailand, Sailub Lertratanachai yang mengecewakan seorang lagi penunggang tuan rumah Predrag Marjanovic dalam penentuan show off.

Ketika ditemui pihak media, Sharmini tidak mampu menahan air mata gembiranya dan tidak percaya mampu mengalahkan Catherine yang lebih berpengalaman.

Kejayaannya itu menamatkan penantian Malaysia selama lapan tahun untuk meraih emas dalam acara berkenaan.

Kali terakhir Malaysia menang pingat emas acara jumping individu ialah pada 2007 di Korat, Thailand me­lalui Qabil Ambak.

“Sebenarnya saya bukanlah yang terbaik dalam situasi jump-off, namun segala-galanya menjadi dalam akhir perlumbaan, saya terkejut mampu memenanginya.

“Catherine sebenarnya seorang yang berpengalaman dan rentak kudanya jauh lebih baik tetapi mungkin hari ini ialah hari saya.

“Terima kasih kepada jurulatih peribadi Lars Bak Andersen, ibu bapa, adik saya yang menjadi penyokong nombor satu saya selama ini serta semua pengurusan ekues­trian,” katanya sambil menangis.

Dalam Sukan SEA 2011 di Indonesia, Sharmini menjadi sebahagian daripada pasukan jumping untuk meraih pingat gangsa tetapi pada kali ini dia boleh tersenyum dengan membawa pulang satu emas dan satu perak.

Mula berjinak-jinak dengan dunia ekuestrian sejak berumur enam tahun dan kini berkelana di bumi Eropah bagi mendapatkan pendedahan, Sharmini berharap satu hari nanti dia mampu melayak­kan diri ke Sukan Olimpik.

“Kelayakan untuk Sukan Olimpik Rio mungkin sudah tertutup, saya kini meletakkan sasaran mampu beraksi di Tokyo pada 2020 nanti,” katanya.

Secara keseluruhan, acara ekuestrian yang menutup tirai hari ini menyaksikan skuad negara memperbaiki pencapaian dua tahun lalu di Myanmar, tanpa mengambil kira acara endurance yang tidak dipertandingkan kali ini.

Mereka membawa pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa dari Singapura berbanding hanya mendapat satu emas di Myanmar. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/sharmini-pastikan-skuad-ekuestrian-pulang-dengan-emas-1.101400#sthash.OgHEMRKu.dpuf


Tuesday, 9 June 2015

SUKAN SEA 2015 : Hari paling cemerlang

Malaysia raih 7 emas menerusi terjun, wusyu, renang, snuker, petanque

09 Jun 2015 1:13 AM

Chuan Leong Thor

Phee Jing En

Wendy Ng (kiri) dan Nur Dhabitah Sabri.

Loh Jack Chang

Ooi Tze Liang

Muhd. Hafizuddin Mat Daud

TRIO wusyu negara, Chan Audrey Yee Jo, Chan Lu Yi dan Cheah Aggie Ruey Shin menghadiahkan emas dalam acara duilian barehand berpasukan wanita. - See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/hari-paling-cemerlang-1.100705#sthash.A4AEEhQ1.dpuf

SINGAPURA - Wusyu akhirnya menggegarkan Singapura, manakala terjun terus menjadi lubuk emas Malaysia pada hari ketiga Sukan SEA 2015 yang menyaksikan kontinjen negara melakar keputusan paling cemerlang dengan merangkul tujuh emas keseluruhan.

Petanque, renang dan snuker turut menjadi penyumbang emas Malaysia semalam, sekali gus menyaksikan kontinjen negara memperbaiki kedudukan pingat keseluruhan daripada tangga kelima ke tangga keempat dengan mengumpul 15 emas, 19 perak dan 23 gangsa.

Selepas berdepan risiko pulang tangan kosong, skuad wusyu akhirnya menutup kempen dengan merangkul dua emas menerusi Loh Jack Chang dalam acara wajib taijiquan lelaki serta trio Chan Audrey Yee Jo, Chan Lu Yi dan Cheah Aggie Ruey Shin dalam duilian barehand berpasukan wanita.

Wusyu sememangnya sering menjadi sandaran emas Malaysia, malah mereka melakar pencapaian yang lebih baik di Myanmar, dua tahun lalu apabila meraih tiga emas, lima perak dan enam gangsa.

Sementara itu, terjun terus menjadi lubuk emas Malaysia dengan meraih enam daripada lapan emas yang ditawarkan di Singapura.

Dua lagi emas berjaya ditokok semalam menerusi juara Sukan Komanwel, Ooi Tze Liang dalam 10 meter platform lelaki dan gandingan 3m papan anjal seirama wanita, Wendy Ng-Nur Dhabitah Sabri.

Di Arena OCBC, Thor Chuan Leong terpaksa bertarung hampir tiga jam sebelum menghadiahkan emas dalam snuker individu lelaki dengan menewaskan jaguh Myanmar, Htet Ko 4-2.

Memulakan saingan pada pukul 7 malam, Chuan Leong bagaimanapun menamatkan permainan ketika jam dinding menunjukkan 15 minit lagi hendak memasuki pukul 10 malam.

“Saya tidak sangka akan menerima tekanan seperti ini, saya perlu bermain dengan perlahan untuk menyekat tempo permainan lawan,” kata Chuan Leong.

Selain menjadi lubuk emas Malaysia dalam acara terjun, Pusat Akuatik OCBC turut membawa tuah kepada perenang remaja berusia 17 tahun, Phee Jing En apabila meraih emas pertamanya dalam Sukan SEA menerusi 100 meter kuak dada wanita.

Jing En turut mencatat masa peribadi terbaik, 1 minit 10.47 saat untuk mengejutkan rakan senegara yang juga juara bertahan, Christina Loh. Christina beraksi buruk apabila menduduki tempat kelima.

“Sasaran saya hari ini hanya cuba melakukan yang terbaik. Sebaik saja melihat papan markah memang rasa terkejut.

“Saya sebenarnya bersemangat hendak mengekalkan gelaran ini kerana kita adalah penyandang juara(Christina),” katanya.

Gelanggang petanque turut memahat sejarah apabila Muhd. Hafizuddin Mat Daud muncul atlet Malaysia pertama meraih emas acara tersebut selepas menjuarai saingan perseorangan lelaki.

Hari ini, buruan emas Malaysia akan diteruskan dengan terjun menawarkan dua emas terakhir dalam 3m papan anjal lelaki dan 10m platform individu wanita, yang menampilkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Pandelela Rinong.

Turut menjadi tumpuan pastinya olahraga, di mana Malaysia memasang misi merampas kembali gelaran Raja Pecut dalam 100m lelaki.

Boling, gimnastik artistik, pelayaran dan menembak turut menawarkan emas yang mampu diraih atlet negara.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/hari-paling-cemerlang-1.100705#sthash.A4AEEhQ1.dpuf

SUKAN SEA 2015 : Hafizuddin pahat sejarah petanque

Semangat juang tinggi bantu raih emas sulung

09 Jun 2015 12:56 AM


Muhd Hafizuddin Mat Daud puas selepas akhirnya meraih pingat emas pertamanya dalam Sukan SEA selepas menewaskan pemain pilihan, Chhoeun Thong dari Kemboja di Singapura, semalam.

SINGAPURA - Tidak kenal erti putus asa, ak­hirnya membawa Muhd. Hafizuddin Mat Daud melakar sejarah menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara petanque Sukan SEA selepas muncul juara perseorangan lelaki di The Padang, semalam.

Malah, Hafizuddin turut membuktikan tempoh persiapan yang singkat bukan penghalang buatnya untuk mempamer aksi cemerlang apabila mengetepikan lawan dari Kemboja, Chhoeun Thong 13-6.

Atlet kelahiran Kelantan berusia 22 tahun itu menjangkakan peluangnya sudah berakhir apabila ketinggalan 0-5.

Begitupun, semangat juang yang tinggi membantunya mencatat kebangkitan hebat sebelum melakar kemenangan tidak diduga.

“Dalam perlawanan akhir, saya dapati diri saya tiba-tiba tertekan dan sangat emosional, biarpun menunjukkan ketenangan di awal permainan.

“Bagaimanapun saya enggan berputus asa begitu saja...ini adalah peluang terbaik saya untuk menang emas.

“Semangat saya sedikit menurun selepas ketinggalan tetapi jurulatih dan rakan-rakan tidak henti-henti memberi sokongan. Mereka memberi semangat kepada saya dan mengembalikan keyakinan saya.

“Selepas itu, saya mula berfikir...saya boleh melakukannya untuk Malaysia.

“Saya sangat gembira dan agak emosional ketika ini... ini adalah pingat emas pertama Malaysia dalam sukan petanque,” kata Hafizuddin, yang membuat persiapan kurang enam bulan untuk acara perseorangan kerana dia sebelum beraksi dalam saingan beregu dan trio.

Hafizuddin, yang mula beraksi dalam sukan petanque sejak lapan tahun lalu berharap, kemenangan ini akan memberi inspirasi kepada rakan-rakannya untuk memburu emas dalam saingan berpasangan dan trio.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara petanque Sukan SEA sebelum ini adalah meraih dua pe­rak dan satu gangsa di Temasya Laos 2009.

“Saya hanya bermain untuk acara individu sejak Januari lalu sewaktu menyertai kejohanan Piala Dunia 2015 di Perancis.

“Sejak itu, jurulatih membe­ritahu bahawa saya mampu cemerlang dalam acara individu kerana itu saya cuba mencabar diri beraksi dalam acara yang baharu bagi saya.

“Semasa saingan menentang lawan dari Kemboja tadi (semalam) saya dicabar hebat, namun berkat kesabaran membolehkan saya mendahului dengan baik sekali gus meraih kemenangan,” katanya lagi yang meraih gangsa di Temasya Palembang 2011 dan Myanmar 2013.

Sementara itu, pingat gangsa petanque individu lelaki dikongsi bersama atlet Vietnam, Ron Ngo dan atlet Laos, Phoudthala Keokannika yang tersingkir dalam saingan separuh akhir.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/hafizuddin-pahat-sejarah-petanque-1.100681#sthash.Xvunyu6i.dpuf


dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: 45 Soalan Yang Wajar Rakyat Tanya Mengenai Kenyata...

dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: 45 Soalan Yang Wajar Rakyat Tanya Mengenai Kenyata...: Ramai yang meminta saya terjemahkan artikel Matthias Chang ( KLiK ) yang mengulas kenyataan Arul mengenai ke mana perginya hutang RM42 bil ...