Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 11 April 2014

MH370 - Zon mencari kotak hitam diperkecilkan

Anggota tentera laut Australia, Richard Brown (kiri) menggunakan teropong di atas kapal HMAS Perth dalam usaha mengesan serpihan pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi, baru-baru ini. - AFP

PERTH 10 April - Zon mengesan isyarat kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 telah dikecilkan di Lautan Hindi hari ini, selepas dua isyarat baharu dikesan oleh kapal Ocean Shield.

Ketua Penyelaras Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC), Angus Houston berkata, zon carian di barat Australia kini dikecilkan kepada 57,923 kilometer (km) persegi, kira-kira 20,000 kilometer persegi berkurangan berbanding semalam.

"Bagaimanapun, kapal Ocean Shield akan tertumpu di kawasan Lautan Hindi kira-kira 2,280 kilometer dari barat daya Perth yang mana lokasi dua isyarat getaran baharu dikesan pada Selasa lalu.

"Tiada serpihan pesawat MH370 dikesan setakat pencarian semalam. Pasukan mencari mengesan sejumlah besar objek di permukaan laut semalam, namun hanya beberapa objek kecil ditemukan.

"Tetapi semua objek yang dijumpai itu tiada kaitan dengan pesawat MH370," katanya.

Jelas Houston, beliau berharap serpihan kapal terbang itu akan ditemui dalam beberapa hari walaupun jangka hayat bateri kotak hitam itu mula berkurangan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak­nya khuatir beberapa isyarat yang dikenal pasti pada awalnya, mungkin tidak dapat dikesan lagi berikutan jangka hayat bateri kotak hitam MH370 hanya mempunyai kira-kira 30 hari sahaja.

"Isyarat semalam akan membantu dalam menentukan kawasan pencarian yang lebih jelas dan memudahkan operasi kesan MH370 di kawasan dasar laut.

"Saya percaya, kami sedang mencari di kawasan yang betul namun, perlu mengenal pasti secara visual pesawat itu sebelum mengesahkan bahawa itu merupakan lokasi terakhir MH370," katanya.

Katanya, operasi mengesan isyarat kotak hitam pesawat MH370 akan berterusan.

"Mudah-mudahan dengan banyak isyarat yang diperoleh, kami akan mempunyai kawasan pencarian yang jelas dan kecil. Malah, dalam beberapa hari lagi, kita jangkakan dapat mencari sesuatu benda di bawah laut yang mungkin boleh disahkan lokasi terakhir MH370," katanya.

Semalam, Australia mengesahkan isyarat pertama yang dikesan adalah konsisten dengan isyarat yang akan dikeluarkan oleh sebuah perakam kotak hitam.

"Analisis ini menunjukkan bahawa isyarat yang diterima sangat stabil, berbeza dan jelas dikesan pada frekuensi 33.31 kilohertz (kHz) serta ia berdenyut secara konsisten pada selang 1.106 saat," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa frekuensi boleh berubah mengikut masa dan keadaan.

"Bagaimanapun, pakar percaya isyarat berkenaan konsisten dengan spesifikasi dan gambaran perakam data penerbangan," katanya.

Lebih 10 pesawat tentera, empat pesawat awam dan 13 kapal terlibat dalam operasi mencari pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang bersama anak kapal yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140411/dn_02/Zon-mencari-kotak-hitam-diperkecilkan#ixzz2yXwtzIHh  © Utusan Melayu (M) Bhd


UiTM Sarawak miliki autonomi

SAHOL Hamid Abu Bakar memperkatakan sesuatu ketika melancarkan buku ‘Mencorak Destini’ di UiTM Kampus Samarahan II, Sarawak, baru-baru ini.

KOTA SAMARAHAN 8 April - Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sarawak diberikan autonomi penuh untuk menguruskan kewangan dan pentadbiran.

Menurut Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, melalui autonomi penuh yang diberikan itu, standard pembelajaran di Sarawak sama dengan kampus induk di UiTM Shah Alam di Selangor itu termasuk konvokesyen juga sudah dijalankan di situ.

"Ini bermakna UiTM Sarawak akan menguruskan sendiri semua perkara. UiTM Sarawak akan terus berkembang apabila kampus baharu di Mukah siap pada 2015.

"Pembukaan kampus di Mukah nanti menjadikan jumlah kampus UiTM di negeri ini bertambah kepada tiga buah dan saya berbangga dengan perkembangan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika melancarkan buku bertajuk ‘Mencorak Destini’ di UiTM Kampus Samarahan II di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Rektor UiTM negeri, Datuk Dr. Jamil Hamali.

Mengulas tentang buku ‘Mencorak Destini’, Sahol Hamid berkata, inspirasi untuk menghasilkan buku itu disebabkan rasa terhutang budi kepada UiTM.

"Saya sayang kepada UiTM. Dalam buku ini saya turut selitkan tentang kisah hidup saya dan perkembangan UiTM.

"Hasil jualan buku tersebut akan disalurkan kepada Yayasan Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB). MDAB merupakan inisiatif kita untuk menjadikan pelajar daripada ‘Zero kepada Hero’," ujarnya.

Jelasnya lagi, hasil jualan buku ini akan disalurkan kepada Yayasan MDAB untuk membantu lebih ramai pelajar.

Buku tersebut dijual dengan harga RM50 dan boleh diperoleh di kampus UiTM negeri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20140409/wb_05/UiTM-Sarawak-miliki-autonomi#ixzz2yXr5EK5P  © Utusan Melayu (M) Bhd


Cuba fahami pengorbanan ATM, bukan memperlekeh

Anggota Tentera turut membantu mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Paya Berenjut, Kemaman, Terengganu hujung tahun lalu.

DARAH pahlawan yang mengalir dalam diri ini menyebabkan penulis terpanggil menulis artikel mengenai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini.

Tajuk berita 'Rakyat diseru pertahan ATM' di muka surat tiga akhbar Mingguan Malaysia baru-baru ini menyuntik semangat berkobar-kobar dalam diri penulis. Hakikatnya, tidak dapat ditolak bahawa ATM adalah peneraju barisan pertahanan negara kita. Jika goyah pasukan keselamatan ini maka musnah sesebuah negara.

ATM adalah pasukan keselamatan yang terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). ATM bertanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman luar yang mampu menggugat kedaulatan tanah air.

Mereka juga berperanan mengekalkan keamanan negara bermula daripada pasca pra merdeka hingga sekarang seperti Perang Dunia ke-2, Darurat 1948 (ancaman komunis), Konfrontasi Indonesia-Malaysia, Pencerobohan Lahad Datu, Sabah dan banyak lagi. ATM turut dihantar dalam misi pengaman dunia seperti di Kemboja, Somalia, Bosnia dan lain-lain.

Persoalan di sini, sejauh mana kita menghargai pengorbanan anggota tentera yang berjuang bermati-matian mempertahankan tanah air dari serangan musuh? Setiap kali bencana atau konflik berlaku di Malaysia, pasti ada suara sumbang yang mempersoalkan kemampuan dan memperlekeh usaha yang dilakukan anggota tentera kita.

Hal ini bukan sahaja terkesan kepada anggota ATM malah ahli keluarga turut merasakannya. Penulis sendiri tersentuh hati apabila ada pihak yang mempersoalkan pengorbanan ATM.

Mereka tahukah anggota tentera sanggup meninggalkan keluarga demi menyahut seruan negara? Anak-anak, isteri atau suami, harta diketepikan sementara hanya untuk memberi sepenuh perhatian memperjuangkan kedaulatan, keamanan dan ketenteraman awam.

Hal ini tidak terkecuali bagi keluarga penulis. Bapa yang menjadi ketua keluarga menyahut seruan semboyan berbulan-bulan lama di perairan laut. Sewaktu penulis masih kecil, ibu adalah tempat bermanja dan hari-hari menjadi `kaunter pertanyaan’ di mana bapa berada. Mujurlah ketika itu, penulis mempunyai adik-beradik, rakan-rakan, guru-guru dan Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) . BAKAT sering menganjurkan aktiviti bagi mengisi masa lapang. Mereka juga menjaga kebajikan dan hal ehwal keluarga tentera.

Namun begitu, seiring pertambahan usia penulis amat berbangga kerana lahir dalam keluarga pejuang. Jika tidak pasti penulis tidak dapat merasai erti sedih, rindu dan kesunyian. Walaupun berbulan lama tidak berjumpa, bapa penulis tetap memainkan peranan terbaik dalam keluarga kami sehingga bergelar veteran ATM. Ini semua mengajar kami sekeluarga menghargai keamanan yang perlu dikekalkan oleh semua pihak.

Penulis pernah ditanya tentang tugasan penjawat badan beruniform seperti tentera dan polis sewaktu kekecohan pencerobohan Lahad Datu tidak lama dahulu. Tanggapan sinis dan berat sebelah kebanyakan orang amat menguji kesabaran penulis. Mereka menganggap bahawa ATM hanya makan gaji buta dan apabila timbul isu besar seperti Lahad Datu baru mereka melihat keterlibatan ATM.

Ini sangat tidak adil. Jika diukur pengorbanan yang diberi anggota tentera dan polis demi mengekalkan sebuah kemerdekaan nescaya pihak yang memandang negatif peranan ATM akan terduduk malu. Bayangkan bagaimana keadaan negara ini tanpa ATM. Jika sesaat mereka leka pasti ketenteraman negara tergugat. 

Bagaimana pula jika perairan laut tidak dikawal? Lanun dan penjenayah pasti bermaharajalela di mana laut dan kawasan sekitar tidak selamat. Pendatang asing tanpa izin mudah membolosi sempadan laut kita. Begitu juga hal dengan darat dan udara. Jika ATM tidak mengawal, mana mungkin kita bersenang-lenang di sini.

Terbaru, peristiwa kehilangan pesawat MH370. Ada pihak yang membuat kenyataan tidak adil seperti di papar dalam media massa. Ada juga pihak yang membuat kenyataan berat sebelah di dalam akhbar Daily Telegraph yang berpangkalan di United Kingdom. Ini sepatutnya tidak berlaku. Rakyat Malaysia dan semua pihak perlu mendoakan agar pencarian MH370 dipermudahkan .

Jika negara-negara lain berusaha mencari dan menyelamat bersama ATM dan tidak pula menyalahkan Malaysia. Kenapa kita perlu saling menyalahkan satu sama lain meskipun berbeza fahaman politik seperti stesen televisyen Cable News Network (CNN) cuba menimbulkan pelbagai andaian dan spekulasi menghentam kerajaan?

Berburuk sangka merugikan semua pihak dan setiap berita perlu diselidiki terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan seperti firman Allah dalam surah Al-Hujuraat ayat 6 bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan."

Kepada semua perajurit tanah air, syabas dan teruskan menabur bakti demi kepentingan bangsa, agama dan negara. Kami tetap sentiasa bersama kalian dengan iringan doa dan pesanan selamat berjuang walau di mana sahaja anda ditugaskan.

OLEH NUR NABILA ZUKIFLI
PENULIS ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140409/re_06/Cuba-fahami-pengorbanan-ATM-bukan-memperlekeh#ixzz2yXoSwWMi  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK - Erti Taat Setia: Baik sungguhlah kerajaan Malaysia ini...


Oleh Zaini Hassan





PADA satu petang seorang pelajar Malaysia peringkat pasca siswazah di sebuah universiti di United Kingdom (UK) sedang tumpu bekerja sambilan di sebuah sekolah di kota Glasgow bagi mencari wang tambahan sara hidup.

Tiba-tiba dia disapa oleh seorang guru di sekolah itu yang katanya berasal dari Hong Kong, dan telah lama menetap di UK.

Guru itu sudah lama memerhati budak Melayu itu bekerja dan ingin bertanya sesuatu.

"Saudara dari Malaysiakah?" "Ya, jawab pelajar itu." "Boleh saya tanya satu perkara."

"Boleh," jawab pelajar itu ringkas.

"Benarkah orang Melayu di negara saudara menindas kaum minoriti?" tanya cikgu wanita itu.

Pelajar lelaki itu terpinga-pinga? "Mengapa puan tanya soalan begitu?" "Saya diberitahu oleh seorang rakyat dari Malaysia yang mereka ditindas teruk di negara saudara. Mereka kata mereka warganegara kelas kedua."

Muka pelajar itu merah padam. Malu pun ada. Merasa dimalukan pun ada. "Pernahkah puan melawat Malaysia?" "Tidak pernah," kata guru itu ringkas.

"Tahukah puan, kaum itu di Malaysia adalah orang yang paling kaya di Malaysia. Merekalah yang menguasai ekonomi Malaysia. Merekalah juga yang paling berjaya dalam bidang-bidang profesional."

Jawab pelajar itu lagi "jika negara saya menindas orang itu, mereka tidak akan berjaya dan kaya seperti itu. Tahukah puan lagi, mereka juga adalah antara yang berada dalam 10 teratas bilionair di negara saya."

Guru itu pula terpinga-pinga. Pelajar itu bertanya lagi guru itu.

"Oleh kerana puan tidak pernah ke Malaysia, saya menjemput puan melawatlah negara saya yang aman, damai, sentosa, makmur dan cukup indah itu. Tengok dengan mata sendiri."

Cikgu itu tersenyum dan berlepas pulang.

Itu adalah dialog oleh seorang sahabat kepada saya baru-baru ini, yang telah lulus pengajian peringkat doktor falsafahnya di negara itu. Di luar negara ramai rakyat Malaysia yang suka memburuk-burukkan negara sendiri.

Mereka menuduh yang bukan-bukan. Mungkin juga ramai yang membuat tuduhan seperti itu kerana mereka mahukan perhatian, simpati, belas kasihan atau kerana mereka ada hati mahu tinggal terus di negara beriklim empat musim itu.

Baru-baru ini saya terbaca satu berita dari UK, kira-kira 1,000 orang Malaysia "tiada bernegara" merempat di negara itu setelah mengambil keputusan membatalkan atau 'mengoyakkan' pasport Malaysia kerana mahu menjadi warganegara England.

Setelah membuat keputusan melepaskan kerakyatan Malaysia, hampir sebahagiannya yang berasal dari Pulau Pinang, kini menghadapi dilema kerana tidak mendapat hak kerakyatan negara itu.

Mereka kini sudah menjadi manusia terumbang-ambing kerana sudah "tiada bernegara" atau stateless. Negara Malaysia mereka sudah berpaling-tadah, negara orang putih itu pula tidak mahu menerima mereka.

Ada antara mereka adalah profesional yang kini terpaksa bekerja sebagai pencuci pinggan atau ada yang terpaksa mengemis.

Namun, saya tertarik apabila terbaca satu portal berita fz.com yang menyebut nama Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Berita itu berbunyi begini:

GEORGE TOWN (4 April): Kira-kira 500 orang yang didakwa "tiada bernegara" (stateless) dari Malaysia yang tinggal di United Kingdom seharusnya menarik nafas lega apabila kerajaan Malaysia memberi jaminan untuk menguruskan kepulangan mereka.

Ia dilihat sebagai satu kejayaan kepada Ahli Parlimen DAP, Tanjung Ng Wei Aik yang begitu bersungguh-sungguh mahu menyelesaikan masalah kumpulan tidak bernegara itu, yang ada antaranya hidup dalam daif kerana tidak dibenarkan kerja di UK.

Kumpulan itu yang telah menyerahkan taraf kewarganegaraan Malaysia, dan kemudian memohon Taraf Kewarganegaraan Luar Negara British (BOC), setelah mempercayai ia adalah sijil yang laku digunakan di negara itu.

Ketika mendedahkan maklum balas yang diberikan oleh Ahmad Zahid dalam sepucuk surat (pada 3 April), Ng berkata, kerajaan Malaysia telah bersetuju menyediakan perkhidmatan imigresen bagi membolehkan mereka berada di Malaysia secara sah apabila pulang kelak.

Kementerian Dalam Negeri berkata, perbincangan dengan kerajaan British berhubung dengan rayuan pemegang BOC itu juga akan dilakukan.

"Sebuah kaunter khas akan diwujudkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membolehkan pemegang BOC melapor diri sebaik tiba di Malaysia dan mereka akan dibantu oleh pegawai imigresen di KLIA.

"Zahid berkata pemegang BOC itu akan diberi nasihat oleh atache imigresen Malaysia di UK, serta pegawai-pegawai jabatan imigresen di sini dan KDN," kata Ng dalam satu sidang akhbar.

Berita lanjut mengenainya baca di sini: http://m.fz.com/content/stateless-malaysians-uk-can-return-ministry-tells-dap-rep

Bacaan tambahan mengenai kisah itu di sini:

*http://jebatmustdie.wordpress.com/2009/10/14/boc-disloyalty-has-its-price/

*http://www.independent.co.uk/news/uk/politics/immigration-rules-leave-stateless-malaysians-in-limbo-2240532.html

*http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/asia/malaysia/6316612/Malaysians-left-stateless-in-UK-after-passport-gamble-backfires.html

Apabila membaca berita-berita itu dan kisah bekas rakyat Malaysia yang "berpaling tadah" itu dan kemudian mahu kembali semula, setelah UK enggan menerima mereka, maka kesimpulan saya mengenai erti 
"ketaatsetiaan kepada negara" ialah: Baik sungguhlah negara kita ini.

Maka itu saya teringat sajak Allahyarham Usman Awang mengenai sikap "baik hati" orang Melayu yang antara petikannya:

Baiknya hati Melayu itu

tak terbandingkan

Selagi yang ada sanggup diberikan

Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan

Suami pulang lapar tak makan

Kera di hutan disusu-susukan

Anak di pangkuan mati kebuluran"

Tetapi malangnya, kebaikan kita sering kali diambil kesempatan pula oleh orang lain. Kebaikan kita, dibalas dengan tuba.

Saya enggan mengulas panjang mengenai isu ini, bimbang nanti dituduh rasis pula. Tetapi fikir-fikirkanlah.
Benarkah kita ini terlalu lurus bendul? Allahualam.

Dan terus doakan MH370.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140409/re_05/Erti-Taat-Setia-Baik-sungguhlah-kerajaan-Malaysia-ini#ixzz2yXkR1QnH  © Utusan Melayu (M) Bhd



KOMEN : KENA PERIKSA BETUL2 ENTAH2  TAK PERNAH JADI RAKYAT MALAYSIA... TEST PENGUASAAN BAHASA MALAYSIA MEREKA... KALAU K.O. SAH BUKAN WARGANEGARA MALAYSIA... TAPI SEBENARNYA SAYA TAK SETUJU MEREKA DI BAWA BALIK SEBAB SENDIRI CARI PENYAKIT BUANG STATUS KERAKYATAN MALAYSIA...

Politik 'menangguk di air keruh'




Oleh Zulkiflee Bakar







ARENA politik negara sentiasa sahaja diwarnai oleh permainan politik tidak berkesudahan oleh pakatan pembangkang. Tidak kira apa pun isu segalanya mahu dijadikan modal politik oleh mereka dengan hasrat untuk meraih sokongan rakyat.

Bermula sejak 2008, pakatan pembangkang begitu ghairah sekali untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN), menawan Putrajaya menjadi misi utama mereka. Atas sebab itulah, mereka tidak pernah berputus asa untuk terus menyakinkan rakyat kononnya merekalah pilihan terbaik bagi memerintah negara dan sudah pasti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi sasaran seterusnya.

Sememangnya, tidak salah untuk pakatan pembangkang menyimpan cita-cita untuk memerintah negara ini kerana itulah politik, ia berkaitan soal kedudukan dan kekuasaan. Namun begitu dalam keghairahan dan keterujaan itu janganlah segalanya mahu dipolitikkan.

Begitulah juga apabila berlakunya beberapa kejadian melibatkan negara khususnya dalam peristiwa pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, penculikan warga China di Semporna dan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu.

Kesemua isu ini tidak terlepas menjadi bahan politik kepada pakatan pembangkang. Politik ‘menangguk di air keruh’ dengan menjadikan peristiwa-peristiwa itu sebagai modal politik sebenarnya bukanlah menunjukkan keprihatinan pembangkang sebaliknya menampakkan wajah sebenar mereka dalam memburu kekuasaan.

Bagi pembangkang, apa sahaja yang boleh dipolitikkan akan dipolitikkan, sama ada ia memberi kebaikan atau keburukan kepada negara itu soal kedua. Apa yang penting imej kerajaan di bawah kepimpinan BN harus diburuk-burukkan seumpama mungkin dengan harapan ia akan menjejaskan sokongan majoriti rakyat kepada parti tersebut.

Ketika pakatan pembangkang begitu mendabik dada bercakap soal menegakkan kebenaran, mengwujudkan keadilan dan memperjuangkan kebebasan melalui demokrasi tetapi tindak tanduk mereka sendiri tidak memaparkan semangat itu.

Kalau mahu mengatakan mereka mampu memerintah jauh lebih daripada BN, ia hanyalah omong kosong, kalau mahu mendabik dada kononnya mereka lebih telus daripada kerajaan BN itu hanyalah pembohongan dan kalau mereka mahu berbangga menyatakan mereka memperjuangkan demokrasi ia hanyalah penipuan.

Sebenarnya, pakatan pembangkang sendiri mempunyai seribu satu keburukan tetapi ia berjaya ditutupi melalui politik alih isu dan menangguk di air keruh. Kepetahan bercakap, kepakaran memutar belit fakta dan kebijaksanaan mengwujudkan persepsi menjadi kelebihan kepada pembangkang untuk menutupi kepincangan politik mereka.

Kesudahannya, mereka semakin rancak menyerang kerajaan walaupun memahami dalam sesetengah isu mereka sepatutnya bersama kerajaan menanganinya atau sekurang-kurangnya bersedia memberikan pandangan yang membina.

Dalam isu kehilangan pesawat MH370 sejak hari pertama lagi, pakatan pembangkang menganggap ia kesempatan terbaik untuk dipolitikkan. Lidah rasmi mereka menyerang kerajaan habis-habisan melalui teori-teori yang cukup memualkan. Malah ada pula dalam kalangan pemimpin mereka bersedia membuat kenyataan yang dilihat berupaya memburukkan imej kerajaan negara ini.

Isu MH370 juga menjadi modal untuk menarik orang ramai ke ceramah-ceramah mereka dengan memaparkan tajuk sensasi seperti ‘penjelasan misteri MH370'. Tetapi sebenarnya tidak ada pun penjelasan, sebaliknya hanya dakwaan dan tuduhan kepada kerajaan semata-mata.

Ada dalam kalangan pemimpin pakatan pembangkang yang merasakan seolah-olah mereka jauh lebih bijak berbanding seluruh masyarakat dunia yang kini berusaha bermati-matian mencari dan merungkai misteri kehilangan pesawat tersebut.

Bagaimanapun kita bersyukur kerana setakat ini tiada mana-mana negara yang bersedia bersekongkol dengan pakatan pembangkang untuk memburuk-burukkan Malaysia dalam isu MH370 ini. Sebaliknya, 26 buah negara dengan sukarela tampil membantu Malaysia.

Pemimpin-pemimpin negara terlibat tidak mempedulikan kerenah politik pembangkang di Malaysia kerana apa yang lebih penting sekarang ialah mencari pesawat yang hilang tersebut. Mungkin pemimpin pembangkang boleh berbangga kerana ada media asing yang mahu bersekongkol dengan mereka bagi memburuk-burukkan kerajaan tetapi soalnya sejak bila pula media asing pernah membuat liputan baik mengenai Malaysia apabila timbul sesuatu isu?

Politik ‘menangguk di air keruh’ pembangkang ini juga berterusan apabila kerajaan mahu melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang Rang Undang-undang mengenai perkara itu sedang dibahaskan di Dewan Rakyat. Pakatan pembangkang cuba memberi pandangan negatif terhadap pelaksanaan cukai itu biar pun ia amat baik untuk masa depan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Sebenarnya seperti mana ditegaskan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz ketika membahaskan rang undang-undang itu, pembangkang membantah GST kerana kesan positif daripada pelaksanaan sistem percukaian tersebut akan mengundang malapetaka politik kepada mereka.

Hujah Ikmal Hisham, pelaksanaan GST bukan sahaja mampu mengukuhkan ekonomi negara malah turut menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

"Pakatan pembangkang sebenarnya takut apabila ekonomi negara kukuh dan rakyat gembira dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan, ia akan menyebabkan mereka tiada lagi modal untuk memburuk-burukkan kerajaan sekali gus menghalang niat songsang mereka meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti," kata Ikmal Hisham.

Hujah Ikmal Hisham tersebut memang tepat kerana pakatan pembangkang takut dengan apa juga perkara yang dilihat mampu menaikkan imej kerajaan BN. Atas alasan inilah jika apa juga perkara baik yang hendak dilakukan oleh kerajaan BN akan dipolitikkan dan diberikan gambaran negatif.

Bukan kata dalam soal pengurusan politik dan negara malah dalam bidang agama juga mereka bimbang, kalau BN khususnya UMNO menonjol dalam soal mengembangkan syiar Islam.

Sebab itulah, program selawat perdana yang dianjurkan oleh kerajaan BN dan UMNO di seluruh negara diperlekehkan dengan pelbagai hujah. Mereka bimbang kalau UMNO menonjol dalam melaksanakan aktiviti Islam, apa modal politik mereka untuk meraih sokongan orang Islam? Bagaimana mereka hendak meneruskan agenda menuduh UMNO menolak Islam?

Bagaimanapun biarlah pakatan pembangkang dengan apa juga corak politik mereka termasuklah mengamalkan politik ‘menangguk di air keruh’ kerana akhirnya seperti mana kata Ikmal Hisham, rakyat pasti akan menyedari bahawa pembangkang hanyalah saudagar mimpi, pedagang janji dan penjual ilusi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140409/re_03/Politik-menangguk-di-air-keruh#ixzz2yXdVetEU  © Utusan Melayu (M) Bhd 



HUDUD - Harap bukan satu lagi gimik politik Pas

Ibrahim Ali

KOTA BHARU 8 April - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berharap hasrat kerajaan Pas Kelantan membawa usul rang undang-undang persendirian dalam sidang Dewan Rakyat bagi melaksanakan hukum hudud di negeri ini bukan satu lagi gimik politik parti itu.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, memandangkan isu tersebut telah lama dijanjikan oleh Pas namun tidak pernah dikotakan, umat Islam di negeri ini tidak mahu tertipu sekali lagi dengan pengumuman terbaharu itu.

"Sebagai rakyat Kelantan, saya menyokong sejuta peratus, menyokong penuh ibarat air di dalam cawan yang akan tumpah (kerana penuh) dengan cadangan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

"Diharap kali ini bukan gimik lagi kerana umat Islam Kelantan sudah tertipu begitu lama. Bagaimanapun, saya masih ragu-ragu sehinggalah perkara ini menjadi kenyataan," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk membawa usul rang undang-undang persendirian dalam sidang Dewan Rakyat akan datang bagi melaksanakan hukum hudud di negeri ini menjelang 2015.

Keputusan tersebut susulan kesediaan Kerajaan Persekutuan memberi laluan kepada mana-mana kerajaan negeri bagi menguatkuasakan hukum hudud di negeri masing-masing.

Mengulas lanjut, Ibrahim menggesa Pas tetap mengotakan janji melaksanakan hudud meskipun menerima bantahan sekutu-sekutunya dalam pakatan pembangkang.

"Saya nak tengok, Pas lebih takut kepada Allah atau takut kepada (Ketua Pembangkang, Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan DAP?

"Pas sebenarnya menjadi lebih hebat dalam menunaikan amanah Allah jika membawa usul berkaitan hudud bukan sahaja untuk Kelantan tetapi untuk Malaysia, seiring dengan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140409/po_03/Harap-bukan-satu-lagi-gimik-politik-Pas#ixzz2yXagSytb © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK - Malaysiakini, RBA kongsi agenda




Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my






KUALA LUMPUR 8 April - Portal propembangkang, Malaysiakini yang dalam banyak perkara membuat laporan tidak bersandarkan fakta sebaliknya gemar bermain sentimen bagi memburuk-burukkan imej kerajaan disifatkan tidak ubah seperti Red Bean Army (RBA).

Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Perak, Hamdan Mohd. Salleh berkata, Malaysiakini dan RBA dilihat sebagai entiti yang berkongsi agenda dan fokus sama sebagai ejen penyebar propaganda menerusi bantuan dana pihak ter­tentu.

Katanya, JMM pernah membangkitkan mengenai isu dana asing diterima Malaysiakini tetapi sehingga kini portal berkenaan masih menutup mulut.

"Anggota RBA pula didakwa dibiayai oleh banyak syarikat bagi membodohkan orang awam dengan pelbagai provokasi memburuk-burukkan kerajaan.

"Malaysiakini dan RBA mempunyai hubungan yang akrab untuk menjatuhkan kerajaan. Dana yang mereka peroleh amat besar dan mereka menafikan serta bersikap berdiam diri ketika pendedahan dibuat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Hamdan, Malaysiakini semakin menjadi barah kepada kerajaan dan dilihat sebagai satu ancaman dengan memberi impak negatif terhadap pembaca khususnya di negara ini.

Katanya, bentuk ancaman halus itu adalah liabiliti kepada kerajaan tetapi tiada tindakan diambil termasuk melibatkan isu portal propembangkang berkenaan memperoleh dana asing dalam menyebarkan agenda mereka.

"Kerajaan harus bertindak awal jika ingin membendung ancaman halus yang telah menular dan menjadi racun kepada pemikiran rakyat," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Osman Mansor berkata, laporan yang disiarkan oleh Malaysiakini lebih ke arah memburukkan keadaan apabila dengan mudah melemparkan tuduhan tidak berasas.

Sedangkan katanya, sesuatu laporan itu mesti berlandaskan fakta dan ditulis mengikut garis panduan serta etika kewartawanan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140409/po_01/Malaysiakini-RBA-kongsi-agenda#ixzz2yXZSXcCr  © Utusan Melayu (M) Bhd 









PARLIMEN - Karpal tuduh Anwar meliwat kerana tugas













KUALA LUMPUR 8 April - Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) menjelaskan, beliau mendedahkan bukti tentang kegiatan liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Dewan Rakyat pada 1997 selepas beberapa individu ­menemuinya.

Menurut beliau, tindakan itu dibuat kerana melaksanakan tugasnya sebagai seorang ahli Parlimen yang mewakili pembangkang.

"Anwar ketika itu di dalam Barisan Nasional (BN) memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Saya telah dijumpai oleh beberapa orang yang membuat pertuduhan terhadap Anwar.

"Sebagai tugas saya dalam pembangkang, apabila mendapat aduan daripada seseorang, maka saya di dalam dewan ini membuat pertuduhan itu ke atas Anwar," katanya ketika mencelah semasa Mohamed Hanipa Maidin (Pas-Sepang) membahaskan Rang Undang-Undang Saraan Hakim (Pindaan) 2013 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Zainuddin Ismail (BN-Jelebu) ketika mencelah perbahasan Mohamed Hanipa meminta Karpal menjelaskan tentang tuduhan liwat yang dikemukakannya terhadap Anwar dalam sidang Dewan Rakyat pada 1997.

Karpal juga menyifatkan kesediaannya menjadi peguam Anwar dalam perbicaraan kes liwat terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan adalah tindakan yang benar.

Beliau memberitahu, tindakan itu dilakukan selepas nama Anwar telah dibersihkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mokhtar Abdullah.

"Dr. Mahathir pada masa itu mempertahankan timbalannya dan menyatakan (tuduhan) itu adalah satu rancangan menjatuhkan maruah timbalannya.

"Peguam Negara juga ada membuat kenyataan umum iaitu tidak ada apa-apa yang berasas dalam pertuduhan itu," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman ketika mencelah perbahasan itu berkata, beliau juga pernah mempertahankan Anwar sejak 1982 kerana melihat Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut sebagai pemimpin harapan kepada orang Melayu dan Islam.

"Tetapi kita berubah. Mengapa kita berubah? Sebab di luar kawalan kita. Dia yang mencari masalah sendiri, pergi ke mahkamah dan mahkamah buat keputusan," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140409/pa_06/Karpal-tuduh-Anwar-meliwat-kerana-tugas#ixzz2yXVurNEL  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PARLIMEN - Malaysia bantah sebarang intipan

Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR 8 April - Malaysia membantah sebarang bentuk pengintipan dan pengawasan daripada mana-mana pihak yang berniat menjejaskan kedaulatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kerajaan melalui Kementerian Luar dan agensi-agensi berkaitan sentiasa memantau isu pengintipan yang secara tidak langsung boleh menjejaskan hubungan dua hala sesebuah negara.

"Kita akan terus memantau perkembangan isu ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat bukti kukuh berhubung hal ini," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pasir Mas-Pas) yang ingin tahu mengenai laporan aktiviti pengintipan beberapa buah negara terhadap Malaysia.

Tahun lepas, media asing melaporkan mengenai pendedahan pemberi maklumat perisikan, Edward Snowden bahawa risikan dibuat ke atas Malaysia oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memintas maklumat radio, telekomunikasi dan internet.

Berhubung pendedahan Snow­den, Shahidan berkata, kerajaan AS sedang mengkaji serta me­nyiasat semua tuduhan kegiatan pengintipan dan akan memaklumkan kepada Malaysia dan negara-negara terlibat mengenai hasil kajian itu.

"Kerajaan Malaysia telah beker­jasama dan berbincang bersama agensi-agensi yang terlibat bagi menyusun langkah seperti menghantar nota bantahan kepada AS dan Australia bagi mengekang aktiviti tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Shahidan memberitahu, kerajaan telah menggubal Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP) pada 2006 bagi melindungi Infrastruktur Sistem Maklumat Kritikal Negara.

"Dasar ini memfokus kepada penggunaan teknologi yang selamat ke arah penggunaan dan pengeluaran teknologi tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar," katanya.

Katanya, 10 sektor kritikal dikenal pasti oleh NCSP adalah pertahanan dan keselamatan, perbankan dan kewangan, maklumat dan komunikasi, tenaga, pengangkutan, air, perkhidmatan kesihatan, kerajaan, perkhidmatan kecemasan, makanan dan pertanian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140409/pa_01/Malaysia-bantah-sebarang-intipan#ixzz2yXTmItKX  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Dasar Pandang Ke Timur wajar diteruskan

dr. Mahathir Mohamad bersalaman dengan sebahagian daripada peserta ketika hadir ucap utama persidangan pelaburan Affin Investment Bank di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Ghazali Basri

KUALA LUMPUR 8 April - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan pada 1982 dan terbukti memberi manfaat besar kepada pertumbuhan ekonomi negara, wajar diteruskan dengan memberi fokus kepada pembentukan budaya dan etika kerja tinggi dalam kalangan pekerja tempatan.

Beliau berpendapat, dasar itu yang di awal pelaksanaannya memberi fokus kepada pemindahan teknologi dari Asia Timur khususnya Jepun, perlu diperluaskan melibatkan bidang-bidang lain selain turut mengambil contoh kejayaan negara Asia Timur lain seperti Korea dan China yang muncul sebagai antara kuasa ekonomi dunia.

Katanya, budaya dan etika kerja yang tinggi di negara terbabit menyaksikan rantau Asia Timur telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi lebih pantas berbanding negara Barat, selain mampu menghasilkan barangan berkualiti pada harga lebih kompetitif untuk pasaran dunia.

"Masa hadapan adalah untuk Asia Timur, saya percaya Asia Timur akan mengalami pembangunan yang amat hebat sehingga sukar diatasi oleh Barat. Barat sukar untuk membangun kerana mereka tidak mampu menghasilkan barangan dan perkhidmatan berkualiti pada harga kompetitif. Justeru mereka beralih kepada pasaran kewangan dengan memanipulasinya untuk mengaut keuntungan.

"Saya percaya, sekiranya seseorang itu mempunyai budaya dan etika kerja yang baik, mereka akan berjaya," katanya dalam ucapan khas bertajuk ‘Perspektif Dasar Pandang Ke Timur’ sempena Persidangan Dasar Pandang ke Timur 2.0 anjuran Affin Investment Bank di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Affin Investment Bank, Maimoonah Hussain.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, hasil budaya dan etika kerja rakyatnya yang tinggi, Jepun telah berjaya membina semula ekonomi­nya selepas tamat Perang Dunia, selain mampu menganjurkan Sukan Olimpik pada 1964 dengan jayanya.

Budaya dan etika kerja tersebut jelas beliau, cuba disemai dalam kalangan rakyat Malaysia agar negara ini mampu berkembang dan berdaya saing dengan negara lain.

Menjawab satu soalan, Dr. Mahathir berkata, selain menekankan aspek budaya dan etika kerja tinggi, tumpuan juga perlu diberikan bagi menarik kemasukan lebih banyak pelabur Jepun dalam pelbagai sektor ke Malaysia.

"Kita seharusnya menjadi bangsa yang bebas bukannya bergantung kepada pihak lain, untuk itu kita perlu membina keupayaan sendiri," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140409/ek_01/Dasar-Pandang-Ke-Timur-wajar-diteruskan#ixzz2yXR8hPXR  © Utusan Melayu (M) Bhd


Tindakan politik MH370 dibidas

Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas menyampaikan sijil penghargaan di atas kejayaan kerjasama Strategik Lautan Biru antara UPP dan ATM dalam membanteras penyeludupan dadah di Kelantan baru-baru ini di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir ialah Ketua Pengarah UPP, Datuk Ab Rahim Ismail (kanan). - BERNAMA

PUTRAJAYA 8 April - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi membidas tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac lalu.

Beliau juga secara tegas mempertahankan kesungguhan kerajaan melalui Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bertungkus lumus membantu mangsa pesawat tersebut dan ahli keluarga mereka.

Ahmad Zahid berkata, dalam tempoh 31 hari Hishammuddin telah berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan pelbagai masalah bagi mencari pesawat yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.

"Media luar juga memberi liputan terbaik mengenai usaha yang dilakukan, jadi saya tidak faham kenapa ada tokoh politik yang cuba mempolitikkan isu ini," katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Dalam majlis yang sama, Ahmad Zahid turut menyatakan sokongan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertanggungjawab menyiasat insiden MH370.

"Kini telah memasuki fasa kedua siasatan, kita beri sokongan penuh kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan PDRM untuk lakukan siasatan penuh dan mencari puncanya," katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan, tumpuan siasatan PDRM dalam fasa kedua ialah terhadap kemungkinan berlaku unsur jenayah dalam insiden MH370.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam memberitahu, PDRM akan menilai semula semua hasil siasatan terdahulu dalam segenap aspek berhubung kes pesawat MH370 yang hilang.

Empat elemen iaitu rampasan, sabotaj, masalah peribadi dan psikologi masih menjadi pedoman utama siasatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140409/dn_06/Tindakan-politik-MH370-dibidas#ixzz2yXNxM4sD  © Utusan Melayu (M) Bhd


Definisi demokrasi perlu ditulis semula?

MAHATHIR MOHAMAD

KUALA LUMPUR 8 April - Definisi demokrasi perlu ditulis semula sekiranya pembentukan sesebuah kerajaan melalui demonstrasi jalanan dibolehkan dan dianggap sah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, terdapat kecenderungan di sesetengah negara di mana kumpulan anti kerajaan berusaha menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi proses pilihan raya, melalui demonstrasi jalanan.

Beliau berkata, apa yang mendukacitakan ialah fenomena tersebut semakin berkembang dan pendekatan itu sering disalahgunakan oleh kumpulan tertentu sehingga boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara.

"Dalam demokrasi, rakyat majoriti memilih kerajaan, tetapi terdapat kumpulan minoriti yang berusaha menggulingkan kerajaan (dipilih melalui proses pilihan raya).

"Malaysia adalah sebuah negara demokrasi sebab kita mengadakan pilihan raya setiap lima tahun. Bagaimanapun, jika kita asyik turun ke jalanan untuk menjatuhkan kerajaan, ia pasti akan menjejaskan negara," katanya menjawab soalan seorang peserta Persidangan Dasar Pandang ke Timur 2.0 anjuran Affin Investment Bank di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Affin Investment Bank, Maimoonah Hussain.

Dr. Mahathir mengambil contoh India, negara yang dianggap mengamalkan sistem demokrasi liberal terbesar di dunia, tetapi sistem tersebut dilihat menjadi hambatan kepada pembangunan ekonominya secara mampan.

Sebaliknya jelas beliau, negara China yang mengamalkan pemerintahan satu parti dan dipimpin oleh pemimpin yang baik, terbukti lebih berjaya membangunkan ekonominya sehingga muncul antara kuasa baharu ekonomi dunia.

"Sekiranya China mengamalkan demokrasi, mungkin mereka juga tidak bersatu kerana negara demokrasi selalu bermasalah. Pada hari ini, demokrasi bermaksud turun ke jalanan untuk menjatuhkan kerajaan, dan kita dianggap menjadi lebih demokratik.

"Dalam demokrasi anda memilih orang yang paling popular bukan kerana dia bijak, mungkin disebabkan dia dari puak yang sama atau seagama," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140409/dn_04/Definisi-demokrasi-perlu-ditulis-semula#ixzz2yXMGtvIL  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370: Bantuan UAE dihargai

MUHYIDDIN Yassin sewaktu tiba untuk menghadiri forum tahunan Pelaburan Berprofil Tinggi (AIM) di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Dubai (DICEC), semalam. Turut sama Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kiri). - BERNAMA

DUBAI 8 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyampaikan penghargaan Malaysia terhadap Emiriyah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan negara itu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Timbalan Perdana Menteri mengambil kesempatan itu ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Pelaburan Tahunan (AIM) 2014 di Pusat Pameran dan Konvensyen Dubai, di sini hari ini.

"Izinkan saya bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia menyampaikan ucapan berbesar hati kepada UAE kerana membantu misi pencarian MH370.

"Ini adalah waktu yang amat sukar bagi waris mereka yang berada di dalam pesawat itu. Ingatan dan doa kita akan terus bersama mereka," katanya.

AIM merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi UAE di bawah naungan Naib Presiden dan Perdana Menterinya, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, yang juga Pemerintah Dubai.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada pukul 12.41 pagi 8 Mac lalu sebelum hilang dari radar kira-kira sejam kemudian, dipercayai ketika berada di ruang udara Laut China Selatan.

Sejak kehilangan misteri pesawat itu, 26 negara terlibat dalam misi SAR yang kini genap sebulan. UAE turut terlibat dalam usaha itu dengan menghantar dua pesawat tenteranya.

Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan salam daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib terpaksa membatalkan lawatan rasminya ke Abu Dhabi bulan lalu bagi memberi tumpuan kepada misi pencarian MH370. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140409/dn_03/MH370-Bantuan-UAE-dihargai#ixzz2yXKxrYO2  © Utusan Melayu (M) Bhd