Diletak dalam Kumpulan B bersama penyandang juara
ZAZALI JAMIAN DAN
MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 16 April 2015 1:49 AM
ONG KIM SWEE perlu melakukan perancangan terbaik bagi memastikan pasukannya mampu mengharungi jadual padat Kumpulan B dalam Sukan SEA, Jun ini.
KUALA LUMPUR - Harapan pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, untuk ditempatkan dalam Kumpulan A bersama Singapura tidak kesampaian apabila Malaysia dijodohkan bersama juara bertahan, Thailand dalam Kumpulan B.
Satu lagi pasukan pilihan, Vietnam turut diundi bersama pasukan negara, selain Laos, Brunei dan Timor Leste.
Tambah mengusutkan lagi pemikiran Kim Swee yang berhajat mengulangi pencapaian pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011, mereka perlu menghabiskan lima perlawanan di peringkat kumpulan dalam tempoh 14 hari.
Malah, sekiranya berjaya mara ke separuh akhir dan seterusnya ke final, mereka hanya mendapat rehat selang satu hari.
Situasi itu memaksa Kim Swee melakukan perancangan terbaik untuk memastikan pemainnya berada di tahap kecergasan tertinggi dan mampu mengharungi jadual yang padat.
“Kita tahu pasukan dalam kumpulan A akan bermain kurang satu perlawanan dan agak seimbang daripada segi kekuatan sementara dalam Kumpulan B, ia terdiri daripada pasukan-pasukan terkuat Asia Tenggara termasuk kita.
“Selain itu, kita juga tidak boleh mengambil mudah cabaran pasukan seperti Laos, Brunei dan Timor Leste kerana mereka mungkin mampu mencipta kejutan dalam kumpulan tersebut,” katanya selepas perlawanan persahabatan menentang MK Land di Wisma FAM, semalam.
Kim Swee bagaimanapun tetap optimis, pasukannya berpeluang mara lebih jauh pada temasya kali ini biarpun diundi bersama Thailand dan Vietnam, sekali gus berupaya merealisasikan sasaran pingat emas.
Skuad bawah 23 tahun negara perlu menamatkan aksi peringkat kumpulan dalam kelompok dua terbaik bagi melangkah ke saingan separuh akhir dan sekiranya mampu mengatasi sama ada Thailand atau Vietnam, peluang buat anak-anak buah Kim Swee tampak terbentang luas.
Thailand dijangka memberikan tumpuan utama untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 yang dijadual berlangsung serentak dengan aksi Sukan SEA 2015.
Mereka mungkin tidak menurunkan barisan pemain terbaik Bawah 23 tahun yang membantu mereka menjulang kejuaraan Piala AFF, Disember lalu
Sementara itu, Vietnam mempunyai prestasi yang sukar diramal, namun kemenangan 2-1 ke atas Malaysia dalam aksi pembukaan Kumpulan I Kelayakan AFC B-23 di Stadium Shah Alam bulan lepas memerlukan lebih banyak kerja keras dilakukan Kim Swee.
Tiga lagi perlawanan menentang Laos, Brunei dan Timor Leste harus dimanfaatkan sebaiknya oleh skuad Bawah 23 tahun negara bagi meraih tiga mata penuh untuk memastikan slot ke saingan separuh akhir berada di landasan terbaik.
“Pada bulan Mei nanti, kita akan membuat persiapan terakhir dan ia sangat penting bagi mempertingkatkan kekuatan dan memperbaiki kelemahan pasukan sebelum bertolak ke Singapura.
“Kita juga sudah merancang tiga perlawanan persahabatan bagi meningkatkan lagi persefahaman dan keserasian antara pemain bagi mempamerkan aksi terbaik,” kata Kim Swee lagi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jodoh-malaysia-dengan-thailand-1.81311#sthash.0u9RKIHP.dpuf
No comments:
Post a Comment