Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 27 April 2015

Hodak ‘direhat’, Gomez latih JDT


MOHAMAD FAIZAL HASHIM | 27 April 2015 1:16 AM


Tunku Ismail Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU - Karier Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) sampai ke peng­hujungnya apabila dia direhatkan dan akan digantikan dengan pengurus baharu dari Argentina, Mario Gomez.

Presiden Persatuan Bola Se­pak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, tindakan tersebut diambil oleh persatuan untuk membawa perubahan kepada era baharu Harimau Selatan.

“Bojan banyak menyumbang jasa kepada JDT dan melakukan tugasan yang baik sebagai seorang jurulatih dengan membantu pasukan memenangi Liga Super musim lalu dan memenangi Piala Sumbangsih awal tahun ini.

“Dia adalah seorang jurulatih yang mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak Malaysia dan para pemain banyak belajar daripadanya. Jasanya akan dikenang dan menjadi sebahagian daripada sejarah pasukan JDT.

“Cuma buat masa ini, JDT perlu melakukan perubahan dari segi taktikal untuk meningkatkan tahap taktikal permainan. Oleh itu, kami memerlukan tenaga pakar dari luar yang berpengalaman luas menguruskan sebuah pasukan besar,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Hodak memulakan kariernya bersama JDT pada tahun lalu se­telah mengambil alih tugas daripada Cesar Ferrando Jimenez dari Sepanyol. Dia berjaya membim­bing JDT memenangi Liga Super buat kali pertama dan kemudian merangkul Piala Sumbangsih Ja­nuari lalu selain melangkah ke final Piala FA dan Piala Malaysia.

Bagaimanapun, kariernya ber­sama Harimau Selatan dilihat ha­nya menunggu masa untuk ditamatkan apabila anak-anak bu­ah­nya gagal menunjukkan pres­tasi yang diharapkan daripada sebuah pasukan yang ber­belanja besar apabila kini hanya menduduki tempat keempat dalam carta liga dengan 15 mata daripada sembilan perlawanan.

JDT juga telah tersingkir daripada Piala FA tetapi masih bersaing dalam peringkat kumpulan kempen Piala AFC.

Jurulatih Ismail Ibrahim akan memangku sementara kekosongan yang ditinggalkan Bojan, untuk membimbing skuad itu untuk satu perlawanan iaitu menentang pasukan India, East Bengal dalam aksi Piala AFC esok sebelum Gomez mengambil alih.

Berhubung keputusan direhatkan itu, Tunku Ismail berkata, Bojan tidak berkecil hati terhadap keputusan yang diambil sebalik­nya memahami hala tuju pasukan yang mahu mempertingkatkan kualiti permainan.

“Kami sudah pun bertemu dan berbincang soal ini, dia memahami situasi pasukan dan menghormati keputusan yang diambil. Walaupun dia direhatkan, kami sentiasa membuka ruang kepada Bojan sekiranya ingin terus bersama kami dalam membangunkan bola sepak di negeri ini,” katanya.

Hodak masih memiliki baki kontrak hingga Oktober depan.

Beliau berkata, Gomez yang kini melatih kelab Hong Kong, South China akan memulakan tugasnya bersama JDT apabila tiba Jumaat ini.

Menurut Tunku Ismail, bekas pembantu jurulatih Valencia dan Inter Milan itu amat teruja dan tidak sabar untuk mengemudi Harimau Selatan setelah mengikuti rapat perkembangan pasukan tersebut.

“Gomez merupakan seorang jurulatih yang berpengalaman besar dan amat berminat untuk menjadi sebahagian daripada projek pembangunan bola sepak yang ingin dilakukan (JDT),” katanya.

South China kini mendahului Kumpulan G dalam kempen Piala AFC, diekori Pahang yang ketinggalan empat mata.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hodak-8216-direhat-8217-gomez-latih-jdt-1.84944#sthash.ZxwtaOra.dpuf


No comments: