09 April 2015 1:00 AM
SHANGHAI - Mercedes AMG Petronas akan berusaha untuk kembali selaku kuasa dominan dalam Formula Satu apabila Grand Prix China berlangsung Ahad ini selepas pasukan itu berasa terpukul dengan kemenangan pemandu Ferrari, Sebastian Vettel di Malaysia.
LEWIS HAMILTON menjadi pelumba pilihan untuk menang Grand Prix China di Shanghai kerana litar yang bersesuaian dengan kereta Mercedes AMG Petronas selain muncul juara tahun lalu.
Lewis Hamilton menerajui penguasaan satu-dua Mercedes bersama Nico Rosberg dalam perlumbaan pembukaan musim di Melbourne, Australia bulan lalu, dengan pasangan itu menang mudah di Litar Albert Park.
Mereka dijangka mengulangi penguasaan itu di Malaysia tetapi Vettel dan Ferrari menghalangnya untuk kedua-duanya menang satu perlumbaan buat kali pertama sejak 2013, hasil kereta yang tidak begitu ‘mendera’ tayar semasa perlumbaan dalam cuaca panas, selain kebijaksanaan dalam mengatur taktikal.
Mercedes kini sangat sedar yang mereka berdepan persaingan sengit daripada pasukan yang sebelum ini merosot akibat satu demi satu krisis yang melanda mereka semasa kempen 2014, tetapi pasukan dari Jerman itu pastinya lega kerana mereka akan berlumba di gelanggang yang sesuai dengan kereta mereka manakala suhu litar tidak begitu mendera tayar Pirelli yang digunakan.
“Kami meninggalkan Malaysia dengan banyak perkara untuk difikirkan. Keputusan di sana mungkin bagus untuk sukan ini...tetapi untuk kami, itu adalah satu amaran.
“Pencabar kami telah meningkatkan kualiti mereka dan kini kami mesti meningkatkan kualiti kami lebih lagi. Seperti yang kami katakan sejak di Melbourne, kami menjangkakan persaingan sengit sepanjang musim ini untuk merebut kedua-dua kejohanan dunia (pengeluar dan pemandu) dan kami mesti memaksimumkan setiap peluang.
“China ialah peluang seterusnya untuk berbuat begitu...litar yang sangat sesuai untuk pasukan kami,” kata ketua perlumbaan Mercedes, Toto Wolff.
Hamilton menewaskan Rosberg di Shanghai tahun lalu dan walaupun trend semasa menjadikan Mercedes sebagai pilihan di litar sepanjang 5.451 kilometer itu, Ferrari pernah menang pada 2013 dan sangat teringin untuk menghalang pemandu Britain itu daripada mencatatkan kemenangan keempat di China.
Fernando Alonso merupakan seorang lagi pemandu yang mendapat amaran di Malaysia dan sementara pemandu Sepanyol itu terpaksa menarik diri lebih awal dalam perlumbaan sulungnya untuk McLaren selepas tidak berlumba di Melbourne akibat kemalangan pramusim, menyaksikan bekas pasukannya meraih kemenangan semestinya menjengkelkannya.
Williams dan Red Bull juga akan mengharapkan keputusan lebih positif selepas dua perlumbaan pertama mendedahkan ketidakmampuan mereka.
Williams pada awalnya dijangkakan akan bersaing dengan Ferrari untuk tempat kedua tetapi kalah teruk kepada Vettel di Australia dan Malaysia, sementara Red Bull telah diganggu oleh masalah dengan Renault yang membina enjin untuk mereka, dan gagal untuk membina sesuatu daripada sesi ujian yang cemerlang di Malaysia. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/mercedes-tekad-bangkit-di-china-1.78937#sthash.6zTDrUvJ.dpuf
No comments:
Post a Comment