Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 11 April 2014

Gagasan ASEAN Berteraskan Rakyat

NAJIB Tun Razak semasa menghadiri Program Kolokium Nasional yang bertemakan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015: Ke arah ASEAN Berteraskan Rakyat yang turut disertai Mustapa Mohamed (dua kanan) di Hotel Double Tree, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

KUALA LUMPUR 8 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan melaksanakan gagasan 'ASEAN Berteraskan Rakyat' apabila menduduki jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun depan bagi menjadikan rantau ini sebagai tempat tinggal yang selesa untuk semua lapisan penduduk.

Perdana Menteri berkata, gagasan itu akan menjadi instrumen lebih berkesan untuk merealisasikan impian penduduk di rantau ASEAN iaitu ke arah tadbir urus kerajaan yang lebih efektif dan responsif, standard kehidupan lebih baik, pengukuhan perlindungan persekitaran, pengupayaan golongan wanita dan menawarkan peluang lebih baik untuk semua masyarakat.

"Gagasan ‘ASEAN Berteraskan Rakyat’ adalah visi Malaysia untuk melibatkan semua lapisan masyarakat dalam aktiviti-aktiviti ASEAN. Rantau ini tidak lagi akan menjadi tempat untuk golongan elit dan istimewa semata-mata.

"Sebuah komuniti ASEAN yang berteraskan rakyat akan benar-benar menjadikan ‘Satu ASEAN untuk Semua’," katanya dalam ucaptama semasa merasmikan Kolokium Nasional yang bertemakan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015: Ke arah ASEAN Berteraskan Rakyat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin serta duta-duta besar dan pesuruhjaya tinggi luar negara ke Malaysia.

Najib berkata, Malaysia yang mempunyai nisbah kebergantungan perdagangan keempat terbesar di dunia memerlukan persekitaran rantau yang stabil untuk terus berkembang maju dan dalam hal ini, penyelesaian berhubung isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan antara negara-negara ASEAN dan China adalah penting.

Di samping itu, katanya, masalah konflik dalaman negara-negara anggota terus menjadi kebimbangan yang perlu ditangani di rantau ini, di samping memenuhi harapan rakyat untuk tadbir urus kerajaan yang lebih baik dan demokratik.

"Atas alasan-alasan ini, Malaysia mengenalpasti ‘ASEAN Berteraskan Rakyat’ sebagai elemen asas dan tema menyeluruh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2015," ujarnya.

Perdana Menteri turut menggariskan empat cabaran yang perlu ditangani ASEAN pasca 2015 yang cabaran pertamanya ialah menangani jurang antara 'cara ASEAN' yang memberikan penekanan kepada hubungan peribadi dan perjanjian di belakang tabir dengan pendekatan berdasarkan peraturan bagi menjaga kepentingan pelabur dan negara-negara anggota.

Seterusnya, matlamat ASEAN perlu dinyatakan dalam terma yang lebih konkrit dan relevan yang memperlihatkan kepentingannya supaya pertubuhan itu mempunyai perbincangan yang fokus terhadap isu-isu kritikal seperti perubahan iklim serta masalah jerebu, kata Najib.

"Pencapaian dan kepentingan ASEAN juga mesti diketahui ramai. Kurangnya kesedaran mengenai ASEAN dalam kalangan rakyat merupakan halangan utama bagi memenuhi visi ‘ASEAN Berteraskan Rakyat’. Kajian oleh Sekretariat ASEAN pada 2012 menunjukkan hanya 34 peratus rakyat Malaysia pernah mendengar Komuniti ASEAN berbanding 96 peratus rakyat Laos," katanya.

Beliau berkata, cabaran keempat ialah perlunya langkah-langkah untuk mengukuhkan penyelarasan dan bersepadu bagi mewujudkan kecekapan serta mengelakkan pertindihan dalam kalangan negara-negara anggota.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau percaya institusi-institusi yang diterajui ASEAN seperti sidang Kemuncak Asia Timur boleh menerokai kaedah-kaedah baharu bagi menggalakkan kerjasama serantau dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) supaya negara-negara anggota lebih bersiap sedia apabila berlaku tragedi seperti kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu.

Beliau turut menyatakan amat tersentuh dengan sokongan yang ditunjukkan negara-negara rakan antarabangsa Malaysia dan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada bantuan yang dihulurkan sepanjang pencarian pesawat itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140409/dn_02/Gagasan-ASEAN-Berteraskan-Rakyat#ixzz2yXJKQCRd  © Utusan Melayu (M) Bhd


Tuesday, 8 April 2014

F1 - Mercedes cemerlang



Manama: Lewis Hamilton menjuarai Grand Prix (GP) Bahrain kelmarin di depan rakan sepasukan dari Mercedes, Nico Rosberg selepas satu perlumbaan sengit sekali gus membolehkannya menyamai rekod 24 kemenangan karier milik Juan Manuel Fangio.

Hamilton yang turut menang dua minggu lalu di Malaysia, menamatkan perlumbaan 1.085 saat di depan Rosberg dalam satu lagi kejayaan buat pasukan Mercedes yang memenangi semua tiga perlumbaan musim ini.

Sergio Perez dengan jentera Force India di tangga ketiga, 24.067 saat di belakang juara, untuk memberikan pasukannya kedudukan podium kali kedua.

Pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo yang bermula di petak ke-13, berakhir di tangga keempat, diikuti Nico Hulkenberg dengan jentera Force India dan juara dunia Sebastian Vettel dari Red Bull melengkapkan senarai enam teratas.

Keputusan itu membolehkan Rosberg, juara GP Australia, kekal mengungguli kejuaraan dunia dengan 61 mata. Hamilton mengumpul 50 dengan Hulkenberg di tangga ketiga, 28 mata.

Pemandu Britain itu selesa mendahului dalam perlumbaan GP kali ke-900 dengan lebih sembilan saat apabila kereta keselamatan masuk pada pusingan ke-42 daripada perlumbaan 57 pusingan itu.

Rosberg yang bermula di petak utama, seketika berjaya mengatasi pemandu Britain itu namun Hamilton kembali memintas ketika membrek sekalipun tayar mediumnya kurang cengkaman berbanding tayar lembut pemandu Jerman itu.

Hamilton akhirnya berjaya meraih kemenangan sulung di Bahrain selepas dicabar sengit rakan sepasukan.

“Hebat melihat kami mempunyai ramai pengikut di sini. Saya amat bersyukur kerana pasukan berjaya dan ini kemenangan pertama saya di Bahrain,” jelas Hamilton.

“Ia amat menarik, Nico memandu dengan menakjubkan, amat adil tapi sukar untuk berada di depan, saya mempunyai peluang di hujung perlumbaan dan berjaya menggunakan kelebihan itu.”- AFP


MH370 - DCA punyai kuasa analisis kotak hitam



KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) selaku agensi yang mengawal selia industri penerbangan negara mempunyai kuasa untuk memeriksa kotak hitam pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang.

Menegaskan demikian, Bekas Pengarah Urusan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, "Bagaimanapun mereka boleh melantik mana-mana pihak ketiga sama ada dari dalam atau luar negara untuk melakukannya. 

"Hasil analisis data juga seharusnya diumum kepada orang ramai (bagi mengelak salah faham)," katanya, hari ini. 

Beliau menyatakan hal itu ekoran pengumuman Australia mengenai pengesanan isyarat yang konsisten dengan isyarat kotak hitam, dalam pencarian pesawat MAS itu.

Pengumuman itu memberi harapan kepada penemuan pesawat berkenaan, namun yang menjadi tanda tanya ialah pihak mana berhak menyiasat kotak hitamnya.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Sabtu lepas berkata, Malaysia akan melantik seorang 'Penyiasat Bertanggungjawab' yang bebas untuk mengetuai pasukan penyiasat, sebagaimana menurut amalan standard dan perakuan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). 

Sehingga kini, Malaysia telah meminta Australia menjadi wakil rasmi kepada pasukan penyiasat ini dan turut menyenaraikan China, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis sebagai wakil rasmi dalam pasukan itu bersama negara lain yang dirasakan perlu. 

Pagi ini, Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston berkata kapal Australia Ocean Shield mengesan isyarat berkenaan sebanyak dua kali pada malam Ahad. 

Menurut JACC yang berpangkalan di Perth, dua isyarat itu dikesan di 1,650 km barat laut Perth, iaitu di utara dalam kawasan pencarian. 

Isyarat pertama dikesan selama dua jam 20 minit manakala isyarat kedua selama 13 minit. - Bernama


MH370 - Lokasi pencarian lebih fokus




Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Info Grafik

Perth: Lokasi pencarian kotak hitam dan pesawat MH370 dikecilkan hari ini kepada 77,580 kilometer persegi berbanding 234,000 kilometer persegi semalam, di lokasi terletak 2,268 kilometer di barat laut Perth.

Pasukan Penyelaras Agensi Bersama (JACC) dalam kenyataannya berkata sebanyak 11 pesawat tentera, tiga pesawat komersial dan 14 kapal laut terbabit dalam pencarian pesawat MH370 bermula pagi tadi. 

Kapal pertahanan Australia ADV, Ocean Shield akan meneruskan pencarian isyarat bawah laut di utara lokasi ditetapkan manakala kapal perang China, Haixun 01 dan kapal HMS Echo akan melakukan pencarian di kawasan selatan seperti ditetapkan Agensi Keselamatan dan Maritim Australia (AMSA). 

Cuaca di Lautan Hindi selatan dijangka baik sepanjang hari ini untuk operasi pencarian secara besar-besaran.


POLITIK - Itu dakyah pembangkang

Ahmad Fauzi

KUALA LUMPUR 7 April - Rakyat diminta tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang kononnya pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) boleh dimansuhkan sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan.

Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) berkata, pemimpin-pemimpin pembangkang memberi gambaran kurang tepat apabila mendakwa pelaksanaan GST di beberapa negara seperti Kanada dan Australia merupakan faktor yang membawa kepada peralihan parti yang memerintah.

Menurut beliau, andaian itu dibuat berdasarkan kepada kejayaan Parti Liberal yang berpendirian anti-GST menewaskan Parti Progresif Konservatif pimpinan Brian Mulroney pada pilihan raya Kanada 1993.

"Perlu diingat bahawa Parti Liberal pimpinan Jean Chretien bukan sahaja memungkiri janji untuk memansuhkan GST malah meneruskannya sehingga menyebabkan dua ahli Parlimen dari parti tersebut iaitu Sheila Copps dan John Nunziata meletak jawatan.

"Kerajaan Kanada selepas itu sehingga di bawah pimpinan Perdana Menteri sekarang, Stephen Harper tidak berani memansuhkan GST," katanya ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang GST 2014 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Ahmad Fauzi, situasi sama turut berlaku di Australia apabila Perdana Menteri selepas John Howard iaitu Kevin Rudd, Julia Gillard dan Tony Abbott tidak memansuhkan pelaksanaan GST.

Malah, jelas beliau, Parti Liberal pimpinan Howard yang berkempen menentang GST pada pilihan raya Australia 1996 telah melaksanakan sistem percukaian itu pada 1 Julai 2000.

"Sekiranya Kanada dan Australia menjadi rujukan oleh pakatan pembangkang dalam isu GST, maka saya cukup yakin mereka juga akan melakukan perkara yang sama iaitu pura-pura menolak GST tetapi setelah memegang kuasa, mereka akan meneruskannya," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140408/pa_01/Itu-dakyah-pembangkang#ixzz2yFvLK3cE  © Utusan Melayu (M) Bhd 









POLITIK - Kesan positif GST malapetaka kepada pembangkang

Ikmal Hisham

KUALA LUMPUR 7 April - Pakatan pembangkang membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana kesan positif daripada pelaksanaan sistem percukaian tersebut akan mengundang malapetaka politik kepada mereka.

Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) berkata, pelaksanaan GST bukan sahaja mampu mengukuhkan ekonomi negara malah turut menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

Menurut beliau, pakatan pembangkang sebenarnya takut apabila ekonomi negara kukuh dan rakyat gembira dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan.

"Saya yakin ketakutan pakatan pembangkang terhadap GST yang kadangkala bagaikan hantu yang memburu mereka di siang hari bukanlah kerana GST tidak baik kepada negara.

"Sebaliknya, saya yakin pakatan pembangkang bimbang pelaksanaan GST akan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN)," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang GST 2014 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ikmal Hisham menambah, bantahan terhadap GST dilakukan kerana pakatan pembangkang tiada lagi modal untuk memburuk-burukkan kerajaan sekali gus menghalang niat songsang mereka meraih sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Beliau memberitahu, pakatan pembangkang tidak sepatutnya menghasut rakyat untuk menentang pelaksanaan GST tahun depan.

"Biarlah rakyat menilai sendiri apabila GST dilaksanakan. Sama ada ia baik atau tidak, biarlah rakyat menentukannya," ujarnya.

Namun, Ikmal Hisham yakin impian pakatan pembangkang untuk melihat kerajaan BN tumbang selepas GST dilaksanakan tidak akan menjadi realiti.

"Apabila GST dilaksanakan, sokongan kepada BN bukan sahaja akan bertambah kukuh malah semakin meningkat khususnya dalam Dewan Rakyat.

"Situasi tersebut akan berlaku kerana apabila GST dilaksanakan, rakyat akan sedar betapa bijaknya kerajaan BN mentadbir negara sekali gus menolak segala tohmahan dan dakyah pembangkang terhadap pelaksanaan cukai ini," jelasnya.

Berikutan kejayaan pelaksanaan GST itu, beliau percaya rakyat akan menolak pakatan pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 setelah menyedari hakikat bahawa mereka hanyalah saudagar mimpi, pedagang janji dan penjual ilusi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140408/pa_02/Kesan-positif-GST-malapetaka-kepada-pembangkang#ixzz2yFtlj1Vz  © Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : PUAK PEMBANGKANG NI KUAT KENCING DAN TEMBERANG AJE... FITNAH NOMBOR WAHI....

PMSP serah memorandum kepada Kedutaan AS












KUALA LUMPUR 7 April - Majlis Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) hari ini menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi menjelaskan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada akhir 90-an.

Presidennya, Ramesh Rao Krishna Naidu berkata, penjelasan melalui memorandum itu perlu dihantar bagi memastikan Presiden AS, Barack Obama mengetahui hal sebenar kes liwat membabitkan Anwar sekali gus tidak meletakkan satu persepsi kononnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai dalang kes liwat berkenaan.

"Kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah meminta Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh untuk mendedahkan pencetus sebenar kes liwat Anwar pada 1990-an.

"Pada ketika itu, Anwar telah dituduh dan difitnah secara bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN) sekali gus mencemarkan reputasi beliau ketika dalam pentadbiran kerajaan ketika itu," katanya dalam memorandum yang diserahkan kepada Ketua Keselamatan Kedutaan AS di sini.

Dalam memorandum yang dihantar itu, PMSP turut meminta Karpal menjelaskan segera kepada orang ramai siasatannya terhadap Anwar sama ada ketua pembangkang itu terlibat dengan aktiviti luar tabii.

"Rekod sebelum ini menunjukkan Karpal sendiri yang telah meminta kerajaan Malaysia untuk menyiasat majlis angkat sumpah yang dibuat oleh Azizan Abu Bakar dan Umi Hafilda," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140408/po_02/PMSP-serah-memorandum-kepada-Kedutaan-AS#ixzz2yFrmiRPG  © Utusan Melayu (M) Bhd



MH370 - Henti sokong kempen Anwar

Huan Cheng Guan (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di luar pekarangan Balai Polis Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/Ani Awang

KUALA LUMPUR 7 April - Rakyat negara ini dan media antarabangsa diminta berhenti mempertahankan kempen memburukkan imej Malaysia yang sedang diusahakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat mempunyai agenda politik tertentu.

Presiden Pusat Kesedaran Politik Malaysia (CPAM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, daripada menunding jari kepada kerajaan, rakyat perlu mempersoalkan mengapa Anwar mewujudkan kempen sedemikian serta menyedari perbuatan Ketua Pembangkang itu menghina negara dalam beberapa temu bual dengan media antarabangsa.

Menurut beliau, walaupun kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk merungkai tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, Anwar pula dilihat menyerang reputasi Malaysia dengan cara yang amat memalukan di media antarabangsa.

"Tiada rakyat di negara ini kecuali Anwar yang menyerang Malaysia di peringkat antarabangsa secara kejam.  Tanpa rasa malu, Anwar secara berterusan menggunakan media antarabangsa untuk mengkritik secara tidak berasas beberapa pemimpin dan cara pengendalian operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan mengambil kesempatan daripada pendedahan media itu untuk meraih publisiti selain menjejaskan imej Malaysia di mata dunia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Cheng Guan mengambil contoh beberapa temu bual Anwar dengan media antarabangsa antaranya Global Times pada 20 Mac lalu bersama Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, yang mengkritik usaha kerajaan mengendali misi SAR dengan menuduh kerajaan cuba melibatkannya dengan juruterbang pesawat itu yang merupakan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, dalam temu bual dengan South China Morning Post pada 17 Mac pula, Anwar menafikan mengenali juruterbang tersebut secara peribadi sebaliknya pernah melihat kehadiran juruterbang tersebut ketika mesyuarat parti, namun ironiknya ketika dalam temu bual media yang sama pada keesokan harinya, beliau membuat pusingan U apabila mengakui juruterbang itu mempunyai hubungan persaudaraan dengan menantu perempuannya.

Dakwa Cheng Guan, adalah menjadi kebiasaan propaganda pakatan pembangkang untuk menanam sifat benci rakyat terhadap kerajaan.

Katanya, Anwar secara tidak langsung membuka ruang kepada orang luar untuk menjejaskan imej negara menerusi temu bualnya.

"Amat memalukan sebagai seorang bekas timbalan menteri dan menteri, beliau mengkritik negara sendiri dan rakyat di seluruh dunia terikut-ikut dengan percakapan beliau.

"Mungkin beliau sudah lupa bahawa Malaysia bukan lagi Malaya. Beliau juga perlu sedar Malaysia adalah milik kami rakyat Malaysia dan kami amat berbangga menjadi rakyat negara ini.

"Dengan memalukan negara sendiri bermakna Anwar sekali gus memalukan kami. Perkara ini bukan berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau Barisan Nasional (BN), sebaliknya berkaitan negara ini. Sehubungan itu, amat pelik bagaimana rakyat Malaysia membenarkan perkara itu terjadi," katanya.

Sehubungan itu Cheng Guan berharap rakyat negara ini sedar permainan politik Anwar dan menimbang perkara itu secara teliti.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140408/po_01/Henti-sokong-kempen-Anwar#ixzz2yFodLoRO  © Utusan Melayu (M) Bhd


Jambatan persahabatan

NAJIB Tun Razak bersama delegasi Malaysia (kanan) bermesyuarat dengan delegasi Singapura yang diketuai Lee Hsien Loong (kiri) semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-5 selama dua hari di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA 7 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mengemukakan cadangan kepada Singapura untuk membina sebuah jambatan baharu yang dapat menghubungkan kedua-dua negara berjiran itu.

Beliau berkata, rancangan itu yang merupakan inisiatif jangka masa panjang dijangka meningkatkan hubungan jalan raya dan menambah baik keadaan alam sekitar.

"Salah satu rancangan jangka masa panjang adalah dengan membina jambatan persahabatan bagi meningkatkan hubungan jalan raya, menambah baik keadaan alam sekitar, sekali gus menjadi simbol persahabatan kedua-dua negara.

"Rancangan ini merupakan rancangan jangka masa panjang dan kedua-dua negara akan mengkaji lebih lanjut tentang inisiatif ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kelima di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, cadangan tersebut dibuat kerana kapasiti kenderaan yang melalui Tambak Johor untuk ke negara jiran itu semakin bertambah.

Menurut Najib, pembinaan jambatan tersebut merupakan salah satu daripada inisiatif baharu yang dirancang, selain untuk mewujudkan kawalan sempadan bersama antara kedua-dua negara berjiran itu.

Beliau berkata, menerusi pendekatan itu, rakyat kedua-dua negara yang hendak memasuki salah sebuah negara hanya perlu melalui sekali pemeriksaan sahaja.

Hsien Loong ketika mengulas perkara sama berkata, rancangan jambatan persahabatan itu telah dibincangkan, namun katanya, tumpuan utama Singapura pada masa ini adalah meningkatkan kemudahan laluan jalan raya antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan untuk membina jambatan yang bakal menjadi simbol ikonik kepada kedua-dua negara itu akan tetap dikaji secara mendalam sebagai salah satu kaedah mengurangkan kesesakan.

Sementara itu, ditanya tentang inisiatif yang diambil oleh Singapura bagi mengurangkan kesesakan ketika memasuki ke negara itu, Hsien Loong berkata, pihaknya akan menggunakan kaedah biometrik untuk pengguna yang kerap memasuki negara itu.

"Pengguna yang kerap memasuki Singapura hanya perlu menggunakan kaedah biometrik dan hanya perlu mengimbas ibu jari dalam tempoh 10 saat dan semua data dan maklumat akan terpapar. Kita harap 90 hingga 95 peratus pengguna terbabit akan menggunakan kaedah ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140408/dn_03/Jambatan-persahabatan#ixzz2yFem4w4N  © Utusan Melayu (M) Bhd


MH370 - Kesan isyarat kotak hitam

ANGUS Houston menunjukkan peta lokasi operasi kapal Ocean Shield dan Haixun 01 di Lautan Hindi ketika sidang akhbar terkini bagi Misi Mencari dan Menyelamat pesawat MH370 di Dumas House, Perth, semalam. - BERNAMA

PERTH 7 April - Sebuah kapal milik tentera laut Australia mengesan beberapa isyarat baharu di dasar laut konsisten dengan isyarat kotak hitam pesawat yang disifatkan sebagai 'petunjuk terbaik setakat ini' dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia, Angus Houston berkata, isyarat akustik itu yang dikesan dari dasar laut di Lautan Hindi menunjukkan operasi carian peringkat multinasional menggunakan kapal laut dan pesawat itu semakin hampir dengan lokasi kehilangan.

"Towed Pinger Locator dari kapal pertahanan Australia, Ocean Shield telah mengesan isyarat yang konsisten dikeluarkan oleh kotak hitam.

"Namun, pihak kami belum mene­mui sebarang serpihan pesawat terbabit, Oleh itu, kami memerlukan pengesahan yang lebih lanjut," katanya sambil menjelaskan maklumat yang diterima dalam tempoh 24 jam lalu amat menggalakkan.

Menurut beliau, isyarat pertama diterima secara berterusan selama dua jam 20 minit diikuti isyarat kedua selama 13 minit, beberapa jam kemudiannya.

"Kedua-dua isyarat yang berbeza itu boleh didengar. Nyata sekali, isyarat ini boleh dianggap konsisten dan dikeluarkan perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan. Ini merupakan petunjuk utama dan terbaik dalam operasi pencarian pesawat MH370 setakat ini. Malah, ia mungkin maklumat yang terbaik kita ada.

"Pada masa ini, kami berada di kawasan carian yang sangat jelas dan diharapkan isyarat itu membawa kepada maklumat yang kita perlukan untuk mengesahkan pesawat MH370 terhempas di perairan ini," katanya.

Dalam pada itu, Houston turut menggesa orang ramai untuk melihat maklumat terbaharu itu secara berhati-hati dengan mengambil kira sensitiviti keluarga penumpang yang dianggap telah hilang.

"Maklumat itu dijangka me­ngambil masa beberapa hari untuk ditentukan sama ada boleh disahkan daripada pesawat MH370 atau tidak. Masyarakat perlu faham dengan keadaan laut yang dalam, tiada apa yang boleh berlaku dengan cepat," katanya.

Sementara itu, Houston berkata, sebanyak sembilan pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 14 kapal laut kini berada di lokasi pencarian kira-kira 2,000 kilometer (km) di barat laut Perth.

Isyarat terbaharu itu dikesan selepas kapal laut milik China, Haixun 01 mengesan dua isyarat kira-kira 300 batu nautika yang menyamai frekuensi digunakan untuk data penerbangan pesawat dan perakam suara kokpit.

Pihak berkuasa Australia berkata, kapal Haixun 01 telah mengesan isyarat sebanyak dua kali iaitu isyarat selama 90 saat pada Sabtu lalu dan isyarat elektronik pada Jumaat lalu.

Houston berkata, kapal Haixun 01 berada di perairan dengan kedalaman kira-kira 4.5 km dan operasi itu sangat mencabar dan mengambil masa yang panjang jika pesawat MH370 ditemui di lokasi tersebut.

Tambah beliau, nahas Air France yang terhempas di Lautan Atlantik pada 2009 mengambil masa selama dua tahun untuk menemui kotak hitam pesawat terbabit.

"Pencarian pesawat MH370 telah dilakukan tanpa menemui sebarang serpihan setakat ini, jadi saya fikir ini merupakan perkara yang luar biasa dan apa yang saya harapkan adalah untuk menemui beberapa serpihan," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140408/dn_02/Kesan-isyarat-kotak-hitam#ixzz2yFd5V555  © Utusan Melayu (M) Bhd


MH370 - Penemuan 2 kapal SAR beri harapan

HISHAMMUDDIN Tun Hussein (tiga, kiri) ketika sidang akhbar mengenai perkembangan terkini kehilangan pesawat MAS MH370 di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi (dua, kanan), Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin (dua, kiri), Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri (kanan) Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman (tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya (kiri). - BERNAMA

KUALA LUMPUR 7 April - Malaysia berharap petunjuk terbaharu yang diperoleh kapal pertahanan Australia, Ocean Shield dan kapal peronda China, Haixun 01 dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 membawa ke arah penemuan yang lebih kukuh.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau lebih optimis berkaitan perkembangan terbaharu itu tetapi tetap berwaspada sehingga bukti sahih diperoleh.

Katanya, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia memaklumkan Ocean Shield mengesan dua isyarat getaran kira-kira 1,650 kilometer di barat daya Perth.

"Isyarat pertama dikesan kira-kira dua jam 20 minit manakala yang kedua selama 13 minit yang konsisten dengan transmisi perakam data dan perakam suara kokpit penerbangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Hishamuddin, Haixun 01 juga mengesan isyarat serupa sebanyak dua kali.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkaitan perkembangan terbaharu operasi SAR MH370 di Perth, pagi ini.

"Semua pihak diminta memberi masa dan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung perkembangan terbaharu ini," katanya.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu itu merupakan petunjuk paling meyakinkan dalam misi mencari pesawat MH370.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa supaya terus berdoa dan tidak putus harapan.

"Kami akan meneruskan segala usaha untuk mencari MH370," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140408/dn_01/Penemuan-2-kapal-SAR-beri-harapan#ixzz2yFbiEWgq  © Utusan Melayu (M) Bhd 



F1 - Dennis selar Vettel

Sebastian Vettel membantu marshal menolak keretanya selepas gagal melengkapkan sesi latihan ketiga pada Grand Prix Formula Satu Bahrain di Sakhir, Sabtu lalu. - AGENSI

MANAMA - Pemilik McLaren, Ron Dennis menyelar juara dunia empat kali, Sebastian Vettel selepas pemandu Red Bull itu menghina bunyi deruan enjin baharu Formula Satu, V6 yang lebih senyap.

Pemandu Jerman itu menyatakan pandangannya pada sidang akhbar di Grand Prix Malaysia, dua minggu lalu ketika ditanya mengenai bunyi jentera baru Formula Satu yang senyap berbanding enjin lama, V8s.

Supremo Formula Satu, Bernie Ecclestone dan Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Jean Todt pada Grand Prix Bahrain hujung minggu lalu bersetuju bahawa bunyi deruan enjin akan ditentukan selepas mendapat persetujuan bersama semua pasukan.

Walaupun FIA telah mengingatkan pemandu agar menjaga bahasa mereka apabila bercakap kepada orang ramai, namun Todt memberitahu pemberita, bahawa beliau menghormati panda­ngan Vettel dan senang untuk berbincang mengenai perkara itu.

Namun begitu, Dennis sebaliknya menganggap kenyataan Vettel sebagai keterlaluan apabila pemandu Red Bull itu menggambarkan bunyi deruan enjin baharu Formula Satu sebagai 'shit'.

"Sebagai juara dunia, dia perlu me­lakukan pendekatan yang bermaruah, jadi dia kena menjaga percakapannya, begitu juga dengan sentimen.

"Pada saya ia mudah saja. Kalau dia kini berada dalam pasukan Mercedes, dia pasti sangat gembira, saya yakin dia akan mengeluarkan empat atau lima perkataan yang menggambarkan kegembiraannya.

"Dia perlu menerima hakikat bahawa penguasaannya ada tempoh ter­tentu dan hanya kerana dominasi yang ditunjukkan selama ini telah dirampas oleh Mercedes, itu tidak memberikan dia lesen untuk tidak menghormati peraturan baharu yang ditetapkan, ­apatah lagi dia bercakap sebagai seorang juara dunia," kata Dennis kepada stesen TV Sky Sports.

Pasukan Mercedes mengungguli tiga perlumbaan pertama musim ini apabila juara dunia dua kali, Lewis Hamilton memenangi dua perlumbaan berturut-turut di Malaysia dan Bahrain, manakala Nico Rosberg menduduki tangga kedua dalam kedua-dua saingan tersebut.

Malah, Rosberg juga menjuarai perlumbaan sulung 2014 di Australia.

Vettel, 26, menjuarai empat gelaran dunia secara berturut-turut, namun jentera Red Bull yang menggunakan kuasa enjin Renault tampak agak bergelut musim ini. Pencapaian ter­baiknya adalah menduduki tangga ketiga di Sepang, dua minggu lalu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140408/sl_03/Dennis-selar-Vettel#ixzz2yFYme3pu  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Monday, 7 April 2014

LIGA SUPER - Tok Gajah kembali ke takhta Liga Super

Pemain Pahang, Dickson Nwakaeme (kanan) cuba melepasi kawalan dua pemain T-Team, Nelson Marcelo (kiri) dan Mohd. Faizal Muhammad dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. - BERNAMA

KUALA LUMPUR - Tok Gajah kembali ke kedudukan pendahulu Liga Super selepas menundukkan T-Team 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.

Pahang kini mengumpul 22 mata untuk kembali berada dua mata di depan Terengganu, yang sempat berada di puncak liga selama 24 jam, selepas 11 perlawanan.

Selain kembali mengungguli carta liga, kejayaan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah The Titans di laman sendiri.

Jaringan Matias Conti pada minit ke-60 dan pemain gantian, Zeshan Rehman pada minit ke-88 memastikan skuad Tok Gajah membawa pulang tiga mata berharga.

Selangor pula berkongsi 20 mata dengan Terengganu apabila menewaskan pasukan tercorot liga, Perak 1-0 di Stadium Perak, Ipoh tetapi memerlukan sepakan penalti untuk meraih gol kemenangan.

Sepakan penalti disempurnakan oleh penyerang dari Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-21 setelah S. Veenod dijatuhkan pertahanan Perak pasti melegakan jurulatih Red Giants, Mehmet Durakovic kerana pulang dengan tiga mata penuh.

Skuad Bos Gaurus tambah malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Shahrizal Mohd. Saad dilayangkan kad merah pada minit ke-87 selepas melakukan kekasaran terhadap Stilianos Pantelidis.

Aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu menyaksikan tuan rumah, Kelantan turut meraih tiga mata berharga selepas menundukkan ATM 1-0 menerusi jaringan tunggal pemain import, Mohamad Shawky yang menanduk masuk hantaran kapten, Mohd. Badri Radzi pada minit ke-60.

Kemenangan tipis itu bagaimanapun sudah cukup memberi makna kepada The Red Warriors selepas gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir sebelum ini.

Sementara itu aksi di Stadium Selayang menyaksikan Lions XII meraih tiga mata berharga selepas menundukkan Sime Darby dengan keputusan 2-0.

Jaringan pasukan pelawat diperoleh menerusi Safuwan Baharudin pada minit ke-54 dan Khairul Amri Kamal sembilan minit kemudian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140406/su_01/Tok-Gajah-kembali-ke-takhta-Liga-Super#ixzz2yBIeqXMS  © Utusan Melayu (M) Bhd






LIGA SUPER & PERDANA - Terengganu libas Bujang Senang


Oleh MD. AZRIN ROSLY
dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my




KUCHING - Terengganu kembali menerajui Liga Super apabila membelasah Sarawak 3-1 dalam perlawanan manakala Johor Darul Ta'zim (JDT) melepaskan beberapa peluang pada babak kedua untuk hanya seri 1-1 dengan PKNS Sela­ngor yang menamatkan perlawan­an dengan 10 pemain malam tadi.

Dengan Pahang hanya akan beraksi pada malam ini di Kuala Terengganu menentang T-Team, Terengganu berada di tangga teratas dengan memungut 20 mata, satu mata mengatasi Tok Gajah namun masih mempunyai kelebihan satu perlawanan di dalam tangan.

Ketua pasukan Terengganu, Zairo Anuar Zailani meletakkan skuad Penyu di hadapan pada minit ke-20 selepas berjaya menyumbat gol melalui sepakan bebas setelah Mohd. Nor Farhan Muhamad dikasari pertahanan lawan di Stadium Negeri, Kuching.

Walaupun dalam keadaan hujan, semangat tuan rumah tidak luntur dan skuad Bujang Senang akhirnya mendapat jaringan hasil hantaran pemain dari Australia, Ryan Griffiths yang menanduk kepada Mohamad Rashid Aya dan bekas pemain Johor FC itu terus menyepak kencang ke arah kiri gawang gol Terengganu untuk menewaskan Mohd. Sharbinee Allawee pada minit ke-28.

Namun babak kedua memperlihatkan kebangkitan pelawat apabila pada minit ke-64, pemain yang baru didaftarkan Moustapha Dabo dari Senegal tidak menunggu lama untuk meledak jaringan sulungnya dalam kancah Liga Malaysia setelah menyambut hantaran lintang Zubir Mohd. Azmi.

Skuad Bujang Senang yang kelihatan hilang fokus sekali lagi dihukum oleh Terengganu menerusi sepakan menarik Nor Farhan pada minit ke-69.

Di Stadium Shah Alam, JDT gagal mengambil kesempatan ke atas PKNS, yang kekurangan seorang pemain pada lima minit terakhir permainan setelah P. Gunalan dibuang padang, untuk membawa pulang tiga mata penuh.

Patrick Ronaldinho meletakkan PKNS di hadapan terlebih dahulu pada minit ke-37 setelah memanfaatkan bola muntah percubaan Mohd. Faiz Isa sebelum Mahalli Jasuli menyamakan kedudukan pada minit ke-57 melalui serangan balas yang direncanakan oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Dalam saingan Liga Perdana, Pulau Pinang terus menghimpit PDRM di puncak liga apabila meraih kemenangan 4-1 ke atas JDT II melalui dua jaringan pemain import Angola, Titi Andre Buengo pada minit ketiga dan 79, Lee Gil Hoon pada minit ke-54 dan Shazuan Ashraf Matthews pada minit ke-76 dengan gol saguhati JDT II disumbangkan oleh Shahril Ishak pada minit ke-44 di Stadium Bandaraya.

Bagaimanapun, PDRM semakin kukuh di anak tangga teratas selepas berpesta jaringan ketika mengalahkan SPA Putrajaya 7-1 di Stadium Petaling Jaya dengan Ashfaq Ali dari Maldives menghasilkan gol pada minit ke-20 dan 88 dan Charles Souza Chad juga dengan dua gol (minit 68 dan 80).

Tiga lagi gol disumbang oleh Bobby Gonzales (minit 31), Fazilidin Khalid (minit 83) dan jaringan sendiri oleh pemain SPA, Hafiszuan Salehuddin pada minit ke-89.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140405/su_02/Terengganu-libas-Bujang-Senang#ixzz2yBGpqzsf  © Utusan Melayu (M) Bhd


MH370 - Tiada jalan kawal kos operasi mencari

ALAT pengesan ping (TPL-25) ditarik di belakang perisai kapal laut pertahanan Australia di sekitar selatan Lautan Hindi ketika operasi pencarian perakam data dan perakam suara kokpit pesawat MH370. Misi pencarian pesawat tersebut diteruskan dan memfokuskan sekitar kawasan laut dalam dengan bantuan alat pengesan kotak hitam berteknologi tinggi milik tentera Amerika Syarikat. - REUTERS

KUALA LUMPUR 6 April - Tidak ada cara untuk mengawal atau meminimumkan kos operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Itulah rumusan Ketua Jaringan Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman berhubung kos operasi SAR pesawat malang itu yang kini sudah melebihi RM164 juta iaitu operasi paling mahal dalam sejarah nahas penerbangan dunia setakat ini.

Menurut beliau, walaupun kos pencarian akan terus meningkat kerana operasi itu dijangka berpanjangan, ini sesuatu yang harus ditanggung oleh kerajaan demi tanggungjawab kepada penumpang di dalam pesawat tersebut dan keluarga mereka.

"Sebenarnya, saya tidak nampak ada cara khusus untuk mengawal kos walaupun pencarian ini akan mengambil masa yang lama dan kos sudah tentu akan bertambah. Pencarian ini mesti diteruskan.

"Ini satu risiko yang kerajaan telah ambil kerana insiden ini bukan berlaku setiap tahun. Mahu atau tidak, kerajaan perlu tanggung kerana tanggungjawab kepada rakyat dan melibatkan hubungan dengan negara luar terutamanya China yang mempunyai penumpang teramai dalam pesawat MH370," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini yang memetik laporan Fairfax Media, melaporkan operasi SAR pesawat MH370 menjadi operasi paling mahal dalam sejarah nahas penerbangan dunia mengatasi perbelanjaan siasatan nahas Air France selama dua tahun sebelum ini.

Menurut laporan itu, kos operasi kapal HMAS Success milik Australia yang digunakan dua minggu lalu berjumlah RM1.8 juta sehari manakala HMAS Toowoomba yang dikerahkan minggu lalu pula berjumlah RM1.25 juta sehari dan apabila jumlah keseluruhan bagi operasi kedua-dua kapal itu sehingga kini dianggarkan RM32.8 juta.

Laporan itu turut menyatakan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) telah memperuntukkan RM11.81 juta untuk kegunaan pengesan pinger ditunda dan dron dasar laut bagi mengesan kotak hitam pesawat MH370.

Abdul Rahim berpendapat, ca­baran sebenarnya kepada masa depan MAS kerana kos tersebut perlu ditanggung oleh syarikat penerbangan itu.

Katanya, memandangkan pemegang saham terbesar MAS ialah Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) iaitu syarikat milik kerajaan, sudah tentu kos operasi mencari itu secara langsung akan membebankan kerajaan.

"Kita patut risau kesan yang akan berlaku kepada MAS selepas ini kerana kedudukan kewangan syarikat itu tidak stabil dan mengalami kerugian. Ini adalah isu maruah negara sebab syarikat penerbangan negara mengalami kerugian.

"Mungkin, kerajaan perlu menswastakan MAS kerana kerajaan tidak sepatutnya berterusan menanggung beban kos ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140407/dn_03/Tiada-jalan-kawal-kos-operasi-mencari#ixzz2yBCfXcDj  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370 - Kapal Ocean Shield kesan isyarat

PESAWAT Angkatan Tentera Udara Diraja (RNZAF) Orian bersedia untuk berlepas dari Pengkalan Tentera Udara Diraja itu untuk menjalankan misi mencari MH370 semalam.

PERTH 6 April - Kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield mengesan satu isyarat ketika menyertai operasi mencari penerbangan MH370 di selatan Lautan Hindi pada Ahad.

Perkembangan terbaharu ini menyusuli dua denyut pendek yang juga dikenali sebagai isyarat akustik yang dikesan 36 jam lalu dan pada petang Sabtu oleh kapal China, Haixun 01.

Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston berkata setakat ini belum dapat diputuskan sama ada untuk mengesahkan atau menolak petunjuk itu memandangkan siasatan masih berjalan.

"Kapal HMS Echo dalam perjalanan ke lokasi Haixun 01 manakala Ocean Shield sedang menyiasat isyarat itu menggunakan peralatan bawah permukaan air," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya jarak antara Haixun 01 dan Ocean Shield ialah kira-kira 300 batu nautika.

Houston menyifatkan Ocean Shield sebagai kapal terbaik untuk tugas itu memandangkan aset tersebut dilengkapi 'towed pinger' (alat pengesan isyarat yang ditunda) dan kenderaan bawah permukaan air kawalan jauh.

Beliau bagaimanapun menjelaskan pengesahan isyarat itu boleh mengambil masa beberapa hari selain pencarian yang sukar kerana kedalaman di kawasan berkenaan ialah kira-kira 4.5 km di samping pelbagai cabaran lain.

Penerbangan MH370 ke Beijing itu yang membawa 239 orang hilang tanpa jejak ketika di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, 8 Mac lalu.

Analisis data satelit kemudian menunjukkan pesawat mengubah haluan jauh daripada laluan asal dan penerbangan berakhir di selatan Lautan Hindi. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140407/dn_01/Kapal-Ocean-Shield-kesan-isyarat#ixzz2yBBZ0jMT  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370 - Operasi SAR paling mahal

ANGGOTA kru pesawat Tentera Udara Diraja New Zealand (RNZAF), P3 Orion meneliti skrin semasa terbang di ruang udara selatan Lautan Hindi dalam misi mencari pesawat MH370, semalam. - REUTERS

PERTH 5 April - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu menjadi operasi paling mahal dalam sejarah nahas penerbangan dunia setakat ini.

Menurut laporan Fairfax Media, jumlah kos siasatan yang diketahui pada masa ini sudah melebihi RM164 juta mengatasi perbelanjaan siasatan nahas Air France selama dua tahun, sebelum ini.

“Menurut jurucakap Pertahanan, perbelanjaan terbesar adalah melibatkan tentera dan aset pemantauan seperti kapal laut, satelit, pesawat dan kapal selam yang dikerahkan dalam usaha mencari MH370 bagi peringkat pertama di Laut China Selatan dan Selat Melaka kemudian di kawasan terpencil Lautan Hindi," katanya.

Tambah laporan akhbar itu, kos operasi kapal HMAS Success milik Australia yang digunakan dua minggu lalu berjumlah RM1.8 juta sehari manakala HMAS Toowoomba yang dikerahkan seminggu lalu pula RM1.25 juta sehari termasuk perbelanjaan minyak dan gaji anak kapal.

“Apabila kos kedua-dua kapal ini digabungkan, jumlahnya RM32.8 juta sepanjang pencarian di Lautan Hindi walaupun pihak pertahanan dijadualkan berada di kawasan itu.

“Bagaimanapun, kos ini boleh dimasukkan dalam pengiraan pelbagai sumber yang ditumpukan dalam operasi mencari pesawat MH370 yang hilang membawa 239 penumpang dan anak kapal," katanya.

Laporan itu turut menyatakan, Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) telah memperuntukkan RM11.81 juta untuk kegunaan Towed Pinger Locator dan dron dasar laut bagi mengesan kotak hitam pesawat MH370.

“Rabu lalu, Pentagon mendedahkan pihaknya telah membelanjakan sebanyak RM10.82 juta bagi penggunaan kapal laut dan pesawat dalam misi mencari MH370.

“Vietnam pula dilaporkan ber­belanja lebih RM26.24 juta dalam operasi ini.

Satu lagi perbelanjaan utama adalah kos 12 pesawat yang dikerahkan setiap hari dalam misi ini untuk mencari serpihan pesawat MH370," katanya.

Dalam pada itu, pakar siasatan nahas udara Central Queensland University, Geoffrey Dell berkata, kos operasi harian pesawat yang terbang selama 10 jam setiap hari di­jangka mencecah RM3.28 juta sehari.

Katanya, sepanjang empat minggu lalu, anggaran konservatif bagi kos operasi pencarian di udara tidak termasuk penggunaan pesawat AS mencecah RM81.99 juta setakat ini.

“Kos yang diketahui untuk ope­rasi di udara dianggarkan RM174 juta malah ia menjadi sebahagian kecil perbelanjaan pada masa ini dengan penglibatan 26 negara dalam misi tersebut. Lebih 40 kapal milik tentera laut terlibat dan China juga telah mengerahkan sebanyak tujuh kapalnya di Lautan Hindi sahaja.

“Selain itu, terdapat juga kos bagi penganalisis perisikan, polis dan pakar penyiasat nahas udara dari Malaysia, AS, Britain dan Perancis dan lain-lain lagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Kerjasama Agensi (JACC) Angus Houston berkata, pihaknya akan memberikan angka perbelanjaan sebenar dalam masa terdekat.

“Ia melibatkan wang yang banyak," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140406/dn_09/Operasi-SAR-paling-mahal#ixzz2yB6toP2b  © Utusan Melayu (M) Bhd


MH370 - Kapal China kesan "isyarat getaran"

DUA kakitangan Phoenix International, Mike Unzicker dan Chris Minor menurunkan peranti Towed Pinger Locator (TPL) dari kapal Ocean Shield dalam operasi pertama untuk mencari kotak hitam MH370 di selatan Lautan Hindi, semalam. - AFP

BEIJING 5 April - Sebuah kapal China yang menyertai operasi mencari pesawat MH370 mengesan ‘isyarat getaran’ di selatan Lautan Hindi, hari ini.

Media tempatan melaporkan, setakat ini masih belum jelas sama ada isyarat itu ada kaitan dengan pesawat berkenaan atau tidak.

Isyarat tersebut mempunyai frekuensi 37.5 kHz sesaat, isyarat pengenalan yang selalunya di­keluarkan oleh perakam pesawat penerbangan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, alat pengesan kotak hitam yang digunakan oleh kapal China Haixun 01 mengesan isyarat itu pada kedudukan kira-kira 25 darjah garisan lintang ke selatan dan 101 darjah garisan bujur ke timur.

Bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan sama ada isyarat yang dikesan oleh Haixun 01 itu mempunyai kaitan dengan pesawat MH370.

Pihak berkuasa Malaysia percaya bacaan satelit menunjukkan pesawat MH370 hilang di Lautan Hindi, di luar perairan pantai barat Australia, tersasar jauh dari laluan penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Setakat ini tiada bukti menjelaskan bagaimana pesawat itu hilang.

Hanya penemuan kotak hitam pesawat itu sahaja dapat menjelaskan misteri kehilangan MH370. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140406/dn_08/Kapal-China-kesan-isyarat-getaran#ixzz2yB4BxyDX  © Utusan Melayu (M) Bhd