Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 18 December 2015

Mulai Januari 2016

Mara Digital Mall, pusat IT bumiputera di setiap ibu negeri

FARHANA JONI | 18 Disember 2015 1:39 AM


Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Zamani Md Noor (dua dari kiri), Junaidah Abd Majid (dua dari kanan) dan Ameer Ali Mohamed (kanan) menunjukkan keputusan prestasi dana terbaik PMB Investment di Ibu Pejabat Kumpulan Pelaburan Mara, 1 Sentral, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/FARID JANUDIN

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Mara Digital Mall, pusat barangan teknologi maklumat (IT) bumiputera yang baru beroperasi seminggu di Mara Atrium Busana Mall, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, akan diperluas di setiap ibu negeri bermula tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pusat berkenaan akan diperluaskan di bangunan milik Mara yang sedia ada.

Katanya, selain bagi memberi peluang kepada lebih ramai golongan bumiputera melibatkan diri dalam pasaran digital dan IT, usaha itu juga bertujuan menghidupkan semula bangunan Mara yang kurang mendapat sokongan akibat perniagaan yang tidak menonjol.

“Sebelum ini peluang bumiputera untuk berniaga di pusat IT agak kurang diberikan dan sewa yang dikenakan terlalu tinggi sehingga ramai yang tidak mampu.

“Kami lihat sektor IT mempunyai pasaran jangka panjang yang tinggi dan apa salahnya kami beri ruang dan peluang kepada mereka untuk terlibat dalam sektor yang mempunyai potensi besar ini,” katanya selepas pengumuman prestasi dana terbaik PMB Investment dan melepaskan kenderaan sempena pelancaran Brand Ambassador Programme, di Ibu Pejabat Kumpulan Pelaburan Mara, 1 Sentral, di sini hari ini.

Brand Ambassador Programme merupakan strategi pemasaran yang menggunakan kereta milik kakitangan PMB Investment sebagai ruang iklan untuk mempromosikan jenama PMB.

Yang turut hadir, Pengerusi PMB Investment, Datuk Dr. Zamani Md. Noor; Pengarah Kanan Pelaburan Mara, Datin Junaidah Abd. Majid; Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment Berhad, Ameer Ali Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Nazim Rahman.

Menurut Ismail Sabri, Mara memiliki banyak bangunan sendiri di seluruh negeri dan daerah, tetapi kebanyakan perniagaan di situ agak malap seperti di Anggerik Mall, Shah Alam kerana para peniaga di situ hanya menjual pakaian serta kain pasang.

Jadi katanya, pembaharuan perlu dilakukan di bangunan-bangunan tersebut dan beliau melihat perniagaan IT adalah yang terbaik kerana dapat menarik ramai pengunjung khususnya generasi muda.

Sementara itu, Ismail Sabri menolak dakwaan subsidi sewa selama enam bulan yang diberikan kepada peniaga di Mara Digital Mall sebagai tindakan ‘memanjakan’ golongan peniaga bumiputera, sebaliknya itu adalah strategi pemasaran.

Jelasnya subsidi sewa itu diberikan sebagai bantuan sementara bagi peniaga memulakan perniagaan selama tempoh enam bulan sehingga perniagaan mereka stabil dan mendapat keuntungan.

“Dulu semasa zaman saya ingin memulakan perniagaan, ada bangunan yang tempatnya maju dan dikenali ramai tetapi sewa bulanan sangat mahal dan menjadi bebanan.

“Jadi kami memahami peniaga ini dan beri peluang stabilkan perniagaan dan dapat untung sebelum dikenakan sewa selepas enam bulan,” katanya.

Sementara itu di Shah Alam, Ismail Sabri menyatakan, usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi bumiputera melalui pembukaan pusat sehenti penjualan gajet dan alat telekomunikasi, Mara Digital tidak wajar diperkecilkan oleh mana-mana pihak.

Operasi pusat itu pada masa ini bukanlah kayu pengukur tahap kejayaannya kerana ia baru dibuka pada 8 Disember lalu, katanya sambil menambah beliau yakin Mara Digital akan berjaya kerana banyak syarikat terkenal telah pun menunjukkan minat dan bersedia untuk beroperasi di sana.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Malam Penghargaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej/Non Residen (JPK/NR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam tadi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mulai-januari-2016-1.170211#sthash.GslpM4jB.dpuf

No comments: