Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 7 December 2015

Istiadat pemakaman lancar

Allahyarham Tunku Abdul Jalil selamat disemadi sebelah makam nenda

07 Disember 2015 2:02 AM


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mendahului jenazah Allahyarham Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim ketika dibawa menuruni tangga Istana Besar, Johor Bahru selepas penghormatan terakhir semalam. – BERNAMA




JOHOR BAHRU 6 Dis. - Hujan tidak lama selepas jenazah Allahyarham Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim diarak keluar dari Istana Besar Johor dan sebaik sahaja istiadat pemakaman selesai, seolah-olah mewakili kesedihan kerabat diraja dan rakyat negeri ini keseluruhannya.

Istiadat bagaimanapun berjalan lancar dengan rakyat pelbagai bangsa mengambil peluang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di pekarangan Istana Besar Johor seawal pukul 9 pagi ketika bendera seluruh negeri mula dikibarkan separuh tiang selama tiga hari.

Kesayuan mengisi ruang Bilik Singgahsana Istana Besar tempat jenazah Allahyarham ditempatkan ketika bacaan tahlil dan al-Quran oleh petugas Jabatan Agama Islam Johor dan rakyat yang beragama Islam.

Penghormatan terakhir kemudiannya dilakukan kerabat diraja dari negeri lain dan orang kenamaan iaitu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom serta Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut memberikan penghormatan terakhir diikuti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Sementara itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang tidak dapat hadir kerana menghadiri Konvensyen PAP, menghantar Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean serta Menteri Hal Ehwal Luar dan Menteri Undang-Undang Singapura, K. Shanmugam.

Selesai solat zuhur, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat bersama Pe­ngarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dan Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. mengiringi jenazah Allahyarham dari Istana Besar ke Makam Diraja Mahmoodiah sejauh kira-kira tiga kilometer.

Jenazah Allahyarham di atas pedati diraja turut diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang duduk di sebelah kanan manakala Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim di sebelah kiri.

Jenazah turut diiringi ribuan pengiring lelaki berpakaian baju Melayu teluk belanga berwarna putih dan sut hitam berlilit putih di lengan bagi bukan Islam manakala kaum wanita memakai baju kurung teluk belanga putih.

Allahyarham selamat disemadikan di sebelah makam nendanya iaitu Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail sambil disaksikan Sultan Ibrahim; Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Ismail dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam serta anakanda baginda yang lain.

Sultan Ahmad Shah dan Pengiran Muda al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah turut mencemar duli dalam bacaan doa dan talkin yang dipimpin Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut sehinggalah istiadat pemakaman itu berakhir pukul 3.20 petang.

Allahyarham yang menghidap kanser hati tahap empat sebelum ini mangkat di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pukul 7.11 malam semalam.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/istiadat-pemakaman-lancar-1.166404#sthash.5QmwxEXw.dpuf

1 comment:

Mrs. A said...

Al-fatihah.
Semoga roh baginda dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman di sisi Allh SWT.
Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga arwah.