Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 16 June 2014

WORLD CUP 2014 - Croatia kecam pengadil



PENYERANG Brazil, Fred (depan) meminta sepakan penalti, mendakwa dijatuhkan oleh pertahanan Croatia, Dejan Lovren (kanan) dalam perlawanan pertama Kumpulan A di Stadium Corinthians, Sao Paulo semalam. - AFP
SAO PAOLO - Bengang dengan kekalahan 3-1 menentang Brazil pada perlawanan pembukaan semalam, penyerang Croatia, Dejan Lovren menyifatkan penalti yang dikenakan terhadapnya sebagai satu skandal dalam Piala Dunia 2014.

Croatia, pasukan bukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia kali ini, telah mendahului apabila Marcelo menjaringkan gol ke gawang sendiri sebelum Neymar menyamakan kedudukan di depan penyokong Brazil di Stadium Corinthians.

Bagaimanapun pasukan Eropah itu bermain dengan bagus sehinggalah pengadil, Yuichi Nishamura menunjukkan ke arah titik penalti selepas Fred berundur ke arah Lovren dan tumbang.

"Saya berpendapat pengadil ini (Nishimura) tidak layak untuk berada di sini. Saya tidak pasti atas sebab apa yang melayakkannya berada di sini. Situasi ini amat mengecewakan tetapi apa yang boleh awak buat apabila menentang 12 pemain? Awak tidak boleh berbuat apa-apa," kata penyerang Southampton itu.

Lovren juga berpendapat tindakan Nishimura menghadiahkan sepakan penalti kepada Brazil adalah tindakan berat sebelah dan sangat mendukacitakan.

"Saya kecewa, kerana kami bermain dengan baik dan pengadil - itu bukan satu kesilapan, itu satu skandal. Itu adalah skandal untuk semua, skandal untuk FIFA. Saya fikir pengadil ini tidak seharusnya berada di sini," tambahnya.

Jurulatih pasukan Croatia, Niko Kovac berkata, pengadil bertindak di luar kewarasan namun jurulatih pasukan tuan rumah, Luiz Felipe Scolari mengatakan Nishimura bertindak betul dengan memberikan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Neymar untuk menjadikan kedudukan 2-1.

"Jika sesiapa menyokong penalti diberikan, sila angkat tangan. Saya tidak boleh menyokong," kata Kovac.

Kovac berkata, dia merasakan pasukannya sekurang-kurangnya wajar mendapat satu mata, dan memuji pemain-pemainnya atas prestasi mereka di hadapan penyokong fanatik tuan rumah.

Katanya, dia tidak menyalahkan Fred kerana tumbang, walaupun dia mempersoalkan mengapa pemain itu begitu mudah terlantar di padang.

Scolari pula berkata pengadil betul apabila memberikan sepakan penalti.

"Bagi saya, itu adalah penalti. Saya melihatnya sebanyak 10 kali dan saya fikir itu adalah penalti," katanya.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, (FIFA), Sepp Blatter kelmarin telah mencadangkan agar pengurus-pengurus pasukan diberikan dua peluang membantah dalam setiap perlawanan apabila mereka boleh memeriksa keputusan penting pengadilan menerusi rakaman video.

Cadangan itu, yang dibuat pada majlis penutup kongres FIFA, akan mengikuti sistem yang digunakan dalam tenis, kriket dan badminton, seiring dengan pengenalan teknologi garisan gol dalam kejohanan ini. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140614/sl_02/Croatia-kecam-pengadil#ixzz34lsYMO2x  © Utusan Melayu (M) Bhd 


WORLD CUP 2014 - Peminat Sepanyol berduka, akhbar kritik



KEKECEWAAN jelas tergambar pada wajah para penyokong Sepanyol yang menonton perlawanan pasukan mereka dengan Belanda menerusi layar gergasi di Madrid, semalam. - REUTERS

KUALA LUMPUR - Akhbar-akhbar di Sepanyol meratapi kekalahan memalukan 5-1 pasukan mereka kepada Belanda dalam Piala Dunia semalam, dan menganggapnya sebagai suatu malapetaka buat pasukan itu.

Kebanyakan muka depan akhbar - yang dapat dibaca menerusi edisi Internet - memaparkan gambar penjaga gol yang juga ketua pasukan, Iker Casillas sedang berlutut sambil kepalanya tunduk sedang pemain-pemain Belanda meraikan kemenangan mereka.

Akhbar terkemuka di negara itu, Marca berkabung selepas menghadapi “malapetaka bersejarah" itu, mengakui kehebatan Belanda dalam menjaringkan gol ketika menewaskan Sepanyol.

“Ini bukan kekalahan biasa tetapi malapetaka bersejarah buat pasukan. Tiada satu pasukan pun yang per" menurut akhbar itu.

Sementara itu akhbar El Mundo menggunakan ‘Penghinaan’ sebagai tajuk utamanya.

Kafe-kafe di sepanjang bandar Madrid bergema dengan sorakan kegembiraan apabila Xabi Alonso menjaringkan gol pendahuluan Sepanyol pada minit ke-27.

Suasana sunyi sepi kemudian menyelubungi ibu negara Sepanyol ini apabila Robin van Persie membuat tandukan lambung yang cantik untuk menewaskan Casillas bagi mendapatkan gol penyamaan Belanda pada minit ke-44.

Sementara itu penyokong Belanda dari seluruh dunia begitu gembira dengan kejayaan pasukan kegemaran mereka, yang diluahkan menerusi Facebook di akaun ‘The Netherlands football team’ selepas kemenangan pasukan itu.

Seorang penyokong yang menggunakan nama Kirito Hitsuzen di laman Facebook menyatakan rasa bangganya terhadap pasukan Belanda dengan berkata, ‘kesempurnaan’.

Seorang peminat tempatan, Fandi Madzlan pula menjadikan kekalahan Sepanyol itu sebagai jenaka.

“Sepanyol tercekik tulang ayam belanda," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140615/sl_07/Peminat-Sepanyol-berduka-akhbar-kritik#ixzz34lqLFn1p  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Piala Dunia 2014 era Messi?



TIGA bintang Argentina, Augusto Fernandez (kiri), Lionel Messi (tengah) dan Sergio Aguero bergurau ketika sesi latihan di Vespasiano, dekat Belo Horizonte semalam menjelang perlawanan dengan Bosnia-Herzegovina. - AFP

RIO DE JANEIRO - Lionel Messi akan cuba menempatkan dirinya sebagai jaguh sepanjang zaman apabila Argentina menghadapi Bosnia-Herzegovina dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F Piala Dunia mereka di Rio de Janeiro esok.

Piala, pujian dan penghormatan individu telah menghujani sensasi Barcelona berusia 26 tahun itu, yang telah mencatat rekod demi rekod sepanjang beberapa tahun lalu tetapi masih gagal menunjukkan prestasi cemerlang dalam sebuah kejohanan antarabangsa yang besar.

Walaupun dia antara anggota pasukan Argentina yang meraih emas Olimpik di Beijing pada 2008, kejayaan dalam Piala Dunia dan Copa America masih menjauhinya.

Pemenang Ballon d’Or empat kali dan ju­ara Eropah tiga kali bersama Barcelona, kemampuan Messi menjaringkan gol tidak boleh dipersoalkan tetapi tanpa kejayaan de­ngan Argentina, akan sentiasa ada satu kecacatan terhadap pencapaiannya.

Ketika Piala Dunia 2006 dan 2010 harapannya tidak tertunai, tetapi ada satu perasaan bahawa edisi 2014 wajar menjadi detik Messi.

Ketika berusia 18 tahun pada 2006, dia menjaringkan satu gol sebagai pemain gantian ketika menentang Serbia dan Montenegro, manakala pada 2010, taktik Diego Maradona menjadikannya terlebih beban sebagai tenaga kreatif tunggal dalam formasi yang tidak seimbang, 4-1-3-2.

Namun kini, dia memberikan segala yang diperlukannya untuk berjaya, dengan jurulatih Alejandro Sabella berhati-hati membentuk pasukannya untuk meletakkan Messi dalam satu posisi khusus untuk menyerlah.

Sabella kini meminta Messi menerajui barisan depan yang akan diisi tiga pemain yang amat berbakat, biasanya di samping Gonzalo Higuain dan Sergio Aguero.

Dengan Angel di Maria dari Real Madrid, pemain terbaik perlawanan akhir Liga Juara-juara, turut dibawa ke depan dari bahagian tengah, tindakan itu akan memastikan bahawa Messi tidak menjadi tumpuan tunggal pertahanan lawan tetapi menolak sebarang andaian bahawa Argentina sebuah pasukan yang bergantung kepada hanya seorang pemain.

“Saya tidak fikir pasukan kebangsaan Argentina bergantung kepada saya - jauh sekali.

“Kami mempunyai sekumpulan pemain yang hebat yang boleh beraksi pada tahap terbaik mereka dan menjulang piala, yang merupakan matlamat utama kami," katanya kepada majalah FourFourTwo baru-baru ini.

Di sebalik ancaman Messi, pilihan jurulatih Bosnia, Safet Susic bagi sistem pengawalan berzon bererti bahawa ketua pasukan Argentina itu tidak akan dikawal ketat.

“Itu satu dilema buat saya, tetapi untuk mengorbankan seorang pemain hanya untuk mengawal Messi, saya tidak fikir itu bagus bagi kami," kata Susic kepada laman sesawang FIFA.

Bosnia yang akan diteajui oleh penyerang, Edin Dzeko, merupakan satu-satunya muka baharu dalam Piala Dunia dan akan menjadi negara ke-77 yang mengambil bahagian dalam pertandingan bola sepak paling berprestij ini. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140615/sl_06/Piala-Dunia-2014-era-Messi#ixzz34lpKNKgp  © Utusan Melayu (M) Bhd 



WORLD CUP 2014 - Magis Belanda musnahkan Sepanyol



PENJAGA gol Sepanyol, Iker Casillas hanya mampu melihat bola yang ditanduk penyerang Belanda, Robin van Persie melayang melepasinya dan menerjah jaring dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Dunia di Stadium Fonte Nova, Salvador semalam. AFP

SALVADOR Robin van Persie menjaringkan salah satu gol terhebat dalam Piala Dunia dan kemudian mendakwa Belanda mampu membolosi Sepanyol sebanyak tujuh kali selepas pasukannya membelasah penyandang juara Piala Dunia itu 5-1 semalam.

Ini merupakan kekalahan terbesar Sepanyol dalam perlawanan antarabangsa sejak tewas 6-2 kepada Scotland pada 1963.

“Pada saya itu adalah gol yang menakjubkan. Selepas menilai semula perlawanan, itu merupakan jaringan terbaik saya," katanya.

Rakaman filem gol itu menjadi popular di internet. Jaringan itu juga memberikan idea kepada Belanda yang sebelumnya berfikir bahawa penalti yang dikenakan kepada Stefan de Vrij kerana asakan keke atas Diego Costa tidak adil bahawa dendam kekalahan mereka kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir edisi 2010 mampu dilunaskan.

Sepanyol mendahului menerusi sepakan penalti pemain veteran Xabi Alonso pada minit ke-27 dan kelihatan mampu di depan sehinggalah rehat, hanya untuk menyaksikan Van Persie menyamakan kedudukan menerusi jaringan menakjubkan itu.

Arjen Robben menjaringkan dua gol pada babak kedua dan turut ditambah satu gol masing-masing dari Van Persie dan Stefan de Vrij.

Perlawanan itu juga telah mencipta sejarah buat Van Persie selepas berjaya menjaringkan gol ke-45 peribadi untuk negaranya dan penyerang Manchester United itu menjadi pemain Belanda pertama menjaringkan gol dalam tiga edisi Piala Dunia berturut-turut.

Jaringan cantik itu berjaya dilakukan apabila Van Persie menerima hantaran tepat dari pemain pertahanan, Daley Blind dari jarak 40 meter sebelum penyerang itu melayang ke udara untuk menanduk masuk bola ke gawang gol sambil penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas hanya dapat memerhatikannya.

“Saya lihat Casillas berada di hadapan gawang gol maka saya mengambil keputusan untuk menanduk bola lambung dan tidak sangka helah itu menjadi dengan sempurna kerana jaringan seperti ini sukar dilakukan," kata Van Persie.

Gol itu dianggap terbaik buat skuad Oranje seperti jaringan yang dilakukan sebelum ini oleh Marco van Basten yang membuat voli dari sudut sukar ketika Kejohanan Eropah 1998 untuk menewaskan Kesatuan Soviet 2-0 dan rembatan menakjubkan oleh Dennis Berkamp ketika menumpaskan Argentina 2-1 dalam Piala Dunia 1998 di Perancis.

Jaringan cantik Van Persie itu dilakukan selepas pemain tengah Sepanyol, David Silva berpeluang menambah jaringan apabila menyungkit bola ke gawang namun berjaya ditangkap oleh Jasper Cillessen.

Jaringan Van Persie itu juga menunjukkan bahawa pasukan yang melepaskan peluang akan dihukum. Dan hukuman yang diberikan oleh Belanda sangat berat.

“Kami menjaringkan gol tepat pada masanya iaitu di akhir babak pertama dan turut menambah jaringan pada separuh masa kedua malah kami mampu menjaringkan enam atau tujuh gol berdasarkan aksi yang dipamerkan," katanya.

Pengurus Belanda, Louis van Gaal percaya pasukannya masih mampu bermain lebih baik selepas ini.

“Ini bukan sesuatu yang awak jangkakan berlaku dalam perlawanan pertama Piala Dunia, saya memang menjangkakan akan ada gol, tetapi tidak terfikir begitu banyak.

“Semuanya adalah berkaitan dengan strategi dan keazaman pemain-pemain untuk menyempurnakan peluang," katanya.

Bakal pengurus Manchester United itu menjawab dengan begitu yakin apabila ditanya apakah pasukannya mampu bermain lebih baik lagi.

“Ya, tanpa ragu, awak boleh lihat dalam 20 minit terakhir kami mula bermain di serta padang. Keputusan ini memberikan pemain-pemain keyakinan dan saya menjangkakan kami akan bermain lebih baik lagi," kata Van Gaal. AGENSI



WORLD CUP 2014 - Uruguay jelas perlukan Suarez



PEMAIN pertahanan Costa Rica, Oscar Duarte (kanan) begitu gembira selepas menjaringkan gol kedua pasukannya ketika menentang Uruguay di Fortaleza semalam. Costa Rica menang 3-1. - AFP

FORTALEZA - Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez mengakui pasukannya amat memerlukan pemain bintang mereka, Luiz Suarez, 27, untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya setelah tewas mengejut 3-1 kepada Costa Rica semalam.

Keputusan mengejutkan itu mungkin boleh menamatkan impian Uruguay untuk mara ke pusingan kedua dari Kumpulan D yang dilihat sebagai antara kumpulan paling sengit bagi Piala Dunia 2014.

Penyerang Liverpool, Suarez diletakkan di bangku simpanan dalam perlawanan tersebut dan pada suatu masa ketika pasukannya beraksi, dia diarahkan supaya memanaskan badan, namun Tabarez mendapati pemainnya itu masih tidak cukup cergas.

"Tidak mungkin Suarez berada di bangku simpanan jika masih cedera, tetapi kami akan lihat sama ada dia sudah cukup bersedia untuk kembali beraksi dalam perlawanan seterusnya kerana bagi kami, dia merupakan pemain penting untuk pasukan ini," katanya.

Menjelang perlawanan menentang England di Sao Paulo (pada Khamis ini waktu Malaysia), Tabarez berharap Suarez akan kembali cergas sepenuhnya.

"Jelas sekali bahawa kami perlu bangkit semula dalam perlawanan menentang England yang merupakan antara pasukan terbaik dan keadaan ini menjadi sedikit sukar buat Uruguay.



PEMINAT-peminat Costa Rica meraikan kejayaan pasukan mereka mencipta kejutan apabila menewaskan Uruguay dalam perlawanan Kumulan D Piala Dunia di Brazil semalam. - AFP

"Bagaimanapun, kami akan menggunakan segala senjata yang ada untuk memastikan impian menjadi juara Piala Dunia tidak terkubur begitu sahaja," katanya.

Dalam perlawanan semalam, Uruguay mendahului saingan pada separuh masa pertama menerusi sepakan penalti Edinson Cavani, namun tiga gol oleh pihak lawan pada separuh masa kedua yang dijaringkan Joel Campbell, Oscar Duarte dan Marcos Urena membolehkan Costa Rica mencipta keputusan paling mengejut setakat ini dalam kejohanan ini.

"Saya tidak tahu bagaimana prestasi terbaik Costa Rica, namun dalam perlawanan tadi (semalam) mereka bermain dengan bagus apabila mengawal rentak permainan secara taktikal dan berhak untuk menang," kata Tabarez.

Sementara itu, penyerang Costa Rica, Campbell percaya pasukannya boleh melangkah ke peringkat kalah mati kejohanan tersebut, meskipun tidak berstatus pasukan pilihan.

"Semua pemain pasukan ini merupakan bintang kerana bermain dengan bagus sekali dalam perlawanan tadi dan sentiasa percaya yang kami mampu mengatasi Uruguay serta kuat dari segi mental walaupun pihak lawan menjaringkan gol pertama.

"Kami masih mempunyai baki dua perlawanan dan berharap dapat keputusan yang baik supaya layak ke peringkat 16 terakhir," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140616/sl_08/Uruguay-jelas-perlukan-Suarez#ixzz34lbkuXav  © Utusan Melayu (M) Bhd 



WORLD CUP 2014 - England tumbang ditanduk Balotelli



PENYERANG Itali, Mario Balotelli (tengah) menanduk bola untuk menjaringkan gol kemenangan Itali sewaktu menentang England di Manaus semalam. Itali menang 2-1. - AFP

MANAUS - Penyerang Itali, Maria Balotelli kembali menghantui England selepas menanduk gol kedua skuad Azzurri ketika mereka menewaskan England 2-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D Piala Dunia yang berlangsung di Manaus semalam.

Dalam iklim lembap bandar di tengah hutan hujan Amazon ini, Claudio Marchisio meletakkan Itali di depan pada minit ke-35, tetapi Daniel Sturridge menyamakan kedudukan hasil serang balas England yang begitu lancar.

Hanya selepas lima minit separuh masa kedua berlangsung, Balotelli menjaringkan gol kedua buat Itali menerusi tandukan dari sudut sukar, setelah Antonia Candreva membuat hantaran silang, sekali gus menghadiahkan tiga mata penuh buat skuadnya.

Jurulatih Itali, Cesare Prandelli memuji England yang katanya telah meningkat tetapi berkata, pendekatan taktikalnya berbaloi.

"Sehingga beberapa tahun lalu, England bergantung kepada sepakan jauh, tetapi sekarang mereka ialah pasukan yang berkemahiran tinggi dengan hantaran tiga segi yang bagus.

"Mereka telah banyak berubah dan sekarang mempunyai antara barisan serangan paling kuat dalam Piala Dunia. Sebab itulah saya berpuas hati dengan keputusan ini.

"Logik kami ialah bahawa kami tidak memiliki pemain yang segagah England tetapi kami mempunyai pemain yang berkemahiran secara teknikal dan dalam babak pertama, kami memiliki penguasaan bola lebih baik.

"Kami membariskan Andrea Pirlo, Daniele De Rossi dan Marco Veratti, menyebabkan kami unggul daripada segi bilangan pemain di tengah padang dan itu berkesan.

"Kami perlu menjadi amat bagus dalam mengekang England yang pemainnya mempunyai kemampuan untuk bergerak dengan cepat dan memecut," katanya.

Prandelli berkata, sesuatu yang 'gila' tidak mengadakan masa keluar atau rehat untuk pemain minum dalam cuaca panas dan lembap tetapi gembira dengan cara pasukannya menangani persekitaran yang getir itu.

"Kami menderita malam ini tetapi tindak balas pemain kepada keadaan itu luar biasa," katanya.

Ekoran kekalahan tersebut, skuad England kini dalam misi wajib menang dalam perlawanan seterusnya, iaitu berdepan Uruguay yang juga dikejutkan dengan kekalahan 3-1 kepada Costa Rica di Sao Paulo.

Kedua-dua pasukan tidak boleh tewas dalam perlawanan tersebut dan hanya keputusan seri yang mampu menghidupkan peluang mereka bersama untuk ke kelompok 16 pasukan terakhir melalui perlawanan ketiga.

"Itali merupakan pasukan yang sangat hebat malam ini dan kami berasa seperti kekurangan.

"Namun kami masih lagi berpeluang untuk mara daripada kumpulan ini," kata ketua pasukan England, Steven Gerard.

Itali hampir menambah gol melalui sepakan bebas jarak jauh Andrea Pirlo tetapi bola mengenai palang semasa waktu kecederaan.

England mempersembahkan permainan yang menarik dan menunjukkan peningkatan berbanding ketika kalah kepada pasukan yang sama pada suku akhir Kejohanan Eropah 2012 menerusi penalti selepas seri 0-0 selepas tamat masa tambahan.

Bagaimanapun, England masih belum mengalahkan Itali sejak 1977 dan perbezaan antara kedua-dua pasukan semalam ialah Itali begitu cekap apabila menguasai bola di luar kawasan gol lawan. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140616/sl_07/England-tumbang-ditanduk-Balotelli#ixzz34lalrkXM  © Utusan Melayu (M) Bhd 


WORLD CUP 2014 - Ronaldo diharap pamer aksi terbaik





CAMPINAS - Cristiano Ronaldo dijangka beraksi dalam perlawanan menentang Jerman walaupun masih mengalami kecederaan lutut, kata penjaga gol Portugal, Eduardo.

Ronaldo yang menyertai sesi latihan pemanas badan dilihat berhati-hati ketika melakukan lompatan.

Walaupun Ronaldo beraksi penuh dalam perlawanan pemanas badan terakhir Portugal iaitu menentang Ireland minggu lalu, tumpuan akan diberikan kepadanya kerana masih dalam proses pemulihan kecederaan paha dan lutut.

Kecergasan penyerang Real Madrid itu, yang dianggap penting untuk membawa kemenangan kepada Portugal, telah menimbulkan kerisauan apabila dia dilihat meletakkan ais pada lututnya selepas sesi latihan pada Khamis lalu.

Namun Ronaldo dilihat berupaya membuat larian pecut jarak dekat dan pada masa sama mempraktikkan taktik sepakan tanpa bola.

Eduardo turut menyokong pandangan rakan sepasukan, William Carvalho yang berpendapat Ronaldo bakal cergas dan sedia beraksi dalam perlawanan di Salvador (12 pagi Selasa waktu Malaysia).

"Cristiano berlatih dengan gigih dan bekerja keras. Kami yakin dia akan memberi 100 peratus tumpuan untuk membantu pasukan menghasilkan permainan terbaik," katanya.

Pertembungan dengan Jerman dalam Kumpulan G di Salvador merupakan ulangan perlawanan kedua-dua pasukan pada Euro 2012 di mana Portugal kalah 1-0, hasil jaringan Mario Gomez. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140616/sl_03/Ronaldo-diharap-pamer-aksi-terbaik#ixzz34lZW7j1a  © Utusan Melayu (M) Bhd 


WORLD CUP 2014 - Jerman mahu kunci Ronaldo



PEMAIN-pemain Jerman merehatkan minda dengan berjalan di pantai di Santo Andre selepas menamatkan sesi latihan sebagai persediaan menentang Portugal esok. - AFP

SALVADOR - Jerman akan memulakan kempen Piala Dunia mereka (esok waktu Malaysia) dengan menyasarkan untuk mengawal pergerakan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.

Mereka berjaya menewaskan Portugal dalam beberapa siri perlawanan, termasuk dalam Piala Dunia 2006 dan kedua-dua kejohanan Eropah sebelum ini dan mahu membuka tirai saingan Kumpulan G dengan kemenangan buat empat kali berturut-turut.

Pemain pertahanan Jerman, Benedikt Hoewedes mengingatkan bahawa perlawanan tersebut bukanlah di antara pasukannya menentang Ronaldo, tetapi Portugal.

Pemain tengah Jerman pula, Sami Khedira berkata, rakan sepasukannya di kelab Real Madrid itu telah memberitahunya bahawa perlawanan ini merupakan peluang Portugal untuk menamatkan kemarau kemenangan terhadap pasukan Jerman.

Penyerang Arsenal, Lukas Podolski pula memberitahu, Jerman akan menghormati pakar sepakan bebas itu, tetapi tidak gentar dengannya.

"Kami sudah cukup bersedia untuk mengatasi Portugal dan bukan sahaja tertumpu kepada seorang pemain sahaja walaupun Ronaldo amat berbahaya serta mampu mengubah haluan permainan, Jerman turut mempunyai pemain yang terdapat ciri-ciri sama.

"Jika pasukan kami mampu mempamerkan prestasi yang bagus, maka segala aksi Ronaldo di atas padang nanti tidak akan memberi sebarang impak terhadap perlawanan itu," katanya.

Persoalan utama yang menjadi tumpuan adalah merupakan mampukah Jerman mengulangi prestasi konsisten mereka setelah menduduki tempat ketiga pada edisi lalu setelah membelasah Argentina dan England dalam laluan mereka ke separuh akhir.

Jurulatih Jerman, Joachim Loew memilih untuk menggunakan penyerang tunggal dalam skuadnya iaitu Miroslav Klose, 36, yang hanya berada satu gol untuk menyamai rekod 15 gol Ronaldo dalam Piala Dunia.

Satu faktor penting yang mungkin boleh menyababkan keseimbangan perlawanan berpihak kepada salah satu pasukan adalah keputusan Loew untuk menukarkan posisi ketua pasukannya, Philipp Lahm dari pertahanan ke bahagian tengah. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140616/sl_02/Jerman-mahu-kunci-Ronaldo#ixzz34lXrsF2P  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Bajet 2015: Fokus kurangkan defisit

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
ekonomi@utusan.com.my


Ahmad Husni Hanadzlah

IPOH 15 Jun - Malaysia perlu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi melebihi 5 ke 5.5 peratus biar apa jua senario ekonomi dunia pada tahun depan, bagi memastikan pengurangan defisit secara beransur-ansur sekali gus mencapai bajet berimbang menjelang 2020.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pertumbuhan ekonomi yang memfokuskan kesejahteraan rakyat tidak semata-mata mementingkan kepada pengukuhan kedudukan fiskal, malah menitikberatkan Indeks Keba

hagiaan dengan mengambil kira taraf hidup semasa.

Katanya, bersandarkan kepada prestasi ekonomi negara mencecah 6.2 peratus pada suku pertama tahun ini, beliau optimis Malaysia mampu mengunjur pertumbuhan sekiranya tahap produktiviti ditingkatkan selain diimbangkan kadar pendapatan penduduk yang tinggal di bandar mahupun luar bandar.

"Kita tidak serta-merta mengurangkan defisit kerana ingin menyeimbangkan dengan pertumbuhan. Pertumbuhan yang terjejas boleh mengakibatkan ekonomi menguncup, peluang pekerjaan berkurangan, kadar pengangguran meningkat seterusnya mengakibatkan pendapatan serta perbelanjaan rakyat berkurangan.

"Tahun ini kita sasar defisit 3.5 peratus, tahun lepas 4.7 peratus, tahun depan tiga peratus sehingga menjadi berimbang pada 2020 dan kemudian baru kita wujudkan lebihan bajet," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis silaturahim dan pusat khidmat bergerak Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun di Padang Awam Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, Bajet 2015 yang juga merupakan bajet terakhir bagi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) perlu mendapat input daripada akar umbi dalam memperuntuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Menurut beliau, antara perkara yang terkandung dalam taraf hidup rakyat yang perlu diteliti termasuk soal gaji, kualiti pendidikan, akses kepada kesihatan, keselamatan dalam negara, kuasa beli rakyat serta peluang mendapatkan perumahan berkualiti.

"Soal gaji pekerja, kita sekarang telah mencapai 32 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, maka kita akan tingkatkan kepada 40 peratus pada 2020 agar seiring dengan negara maju. Perkara ini bukanlah satu isu mudah tetapi memakan masa.

"Kos sara hidup akan terus meningkat di semua negara, tetapi yang penting adalah taraf kehidupan rakyat bagi menghadapi peningkatan tersebut.

"Namun, kadar pengangguran rendah di Malaysia yang berada sekitar tiga peratus jika dilihat dari segi perkiraan dunia sebagai penggunaan tenaga kerja penuh berbanding Amerika Syarikat dan China yang masing-masing mencatatkan tujuh dan empat peratus," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140616/ek_01/Bajet-2015-Fokus-kurangkan-defisit#ixzz34lWlFP00  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Op Warta Khas bermula hari ini

Oleh MASZUREEN HADZMAN
pengarang@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 15 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan Op Warta Khas berkuat kuasa esok bagi mengesan pesalah trafik yang masih enggan menyelesaikan waran tangkap mereka di seluruh negara.

Berdasarkan rekod, kira-kira 1.9 juta waran tangkap masih belum diselesaikan sehingga kini.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Fuad Abd. Latiff (gambar) berkata, pihaknya akan mengesan pemilik waran tangkap itu, antaranya melalui sekatan jalan raya.

"Di negeri-negeri, terpulang kepada polis yang bertanggungjawab dalam Op Warta Khas ini untuk membuat perancangan sendiri. Ini adalah bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjalankan Op Warta Khas dengan lebih berkesan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 15 Mei lalu, Mohd. Fuad dalam sidang akhbarnya memberitahu, polis akan melancarkan Op Warta Khas secara besar-besaran bagi memburu pesalah trafik ekoran jumlah waran tangkap yang belum diselesaikan masih banyak.

Ini kerana, sebanyak 4.2 juta waran tangkap dikeluarkan sejak 10 tahun lalu dan sehingga kini hanya 2.3 juta waran tangkap telah diselesaikan oleh pesalah trafik yang terlibat.

Op Warta Khas kali ini juga memberi tumpuan kepada nombor plat kenderaan yang tidak mengikut undang-undang, menggunakan lampu mata arah (beacon light) atau strobe light tanpa kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140616/je_02/Op-Warta-Khas-bermula-hari-ini#ixzz34lOA46rC  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Kerajaan tidak berkompromi

Oleh AIN SAFRE BIDIN
pengarang@utusan.com.my



Ahmad Zahid Hamidi (kanan) bersalaman dengan penduduk tempatan selepas majlis kesyukuran dan tahlil di rumahnya dekat Sungai Nipah, Bagan Datoh, Perak, semalam.

BAGAN DATOH 15 Jun - Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangan kerajaan khususnya dalam sektor keselamatan dan pertahanan yang menjadi tali barut kepada pihak luar.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak kementerian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjejaki kumpulan yang bersekongkol dengan pihak luar sehingga mengancam keselamatan negara.

Katanya, perkara itu tertakluk juga kepada mereka yang menjual maklumat atau melindungi serta memberi laluan kepada pihak luar untuk memasuki Malaysia.

"Kami tidak akan berkompromi dalam perkara ini, tidak kira sama ada rakyat biasa yang terlibat mahu pun mereka yang berpakaian uniform keselamatan.

"Dalam hal ini, sudah tentu kami berasa tidak sepatutnya seorang penguat kuasa keselamatan terlibat dan menjadi tali barut. Mereka sepatutnya menjaga kepentingan negara, bukannya memberi keutamaan kepada kepentingan peribadi," katanya ketika ditemui selepas majlis kesyukuran dan tahlil di rumahnya dekat Sungai Nipah, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Rungkup yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tiga warga tempatan termasuk seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan di Sandakan, Sabah kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan militan.

Mengulas mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadap tiga warga tempatan berkenaan, Ahmad Zahid memberitahu, perkara itu akan diserahkan kepada mahkamah setelah siasatan mendalam dilaksanakan.

Katanya, berdasarkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan seterusnya dengan mengheret mereka ke muka pengadilan selepas siasatan menyeluruh dibuat.

"Semua maklumat siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara," jelas beliau.

Ahmad Zahid memberitahu, kementerian bersama-sama PDRM akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membendung kegiatan yang memudaratkan negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140616/dn_02/Kerajaan-tidak-berkompromi#ixzz34lLhjR5L  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Friday, 13 June 2014

Jangan cemarkan keagungan agama Islam



Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mempengerusikan Persidangan Jabatan Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke-187 di Bangunan Kompleks Islam Negeri Perak di Ipoh, Perak, semalam. Turut serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (lima dari kiri).

Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Persidangan Ke-187, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di Ipoh, Perak semalam.

SEGALA puji milik Allah SWT. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan ulama. Semoga beroleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke-187, merafakkan sembah ucap takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun, di atas kemangkatan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada Rabu, 28 Rejab 1435 Hijrah, bersamaan 28 Mei 2014.

Kali terakhir Almarhum bertitah di Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, dizahirkan semasa berlangsungnya Persidangan Majlis kali ke-117, bertarikh 20 Februari 1997. Antara peringatan Almarhum semasa menzahirkan titah tersebut, dapat dirumuskan kepada tujuh perkara:

Pertama: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak adalah badan tertinggi yang diamanahkan sebagai pembuat dasar, penentu matlamat serta pengatur strategi dan keutamaan; oleh itu segala perbincangan dan keputusan Majlis mempunyai kesan besar dan langsung terhadap kedudukan serta kemajuan agama dan masyarakat Islam.

Kedua: Amanah dan tanggungjawab membangun dan memajukan masyarakat Islam perlu dipikul dengan penuh keikhlasan, kesungguhan, berstrategik dan kerelaan.

Ketiga: Kemajuan dan pencapaian ekonomi dan material tidak memberi makna sekiranya umat Islam lemah dari segi iman.

Keempat: Pentingnya pendidikan agama untuk melahirkan umat Islam yang maju, berdaya saing dan bertakwa.

Kelima: Umat Islam perlu bersatu, memiliki kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu, sanggup bekerja kuat dan memiliki disiplin yang tinggi.

Keenam: Perlunya diutamakan pembinaan sahsiah di kalangan umat Islam dengan memberikan perhatian kepada program membina keluarga dan rumah tangga bahagia.

Ketujuh: Pentingnya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak memantapkan usaha memajukan tanah-tanah wakaf dan Baitulmal dan Majlis perlu berusaha untuk mendapatkan lebih banyak tanah yang strategik dan berpotensi supaya dapat dimajukan secara komersial. Walaupun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah mangkat, kata-kata yang telah dizahirkan oleh Almarhum 17 tahun lalu, hendaklah terus dijadikan kompas panduan untuk memandu arah haluan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Semoga roh Almarhum dilimpahkan segala ihsan daripada Allah SWT, ditempatkan bersama roh para Solihin.

Sama-samalah kita membaca surah Al-Fatihah, memohon rahmat daripada Allah SWT, semoga apa jua ganjaran daripada bacaan tersebut disampaikan kepada roh Almarhum. Al-Fatihah.

Atas nama peribadi Beta sebagai anakanda kepada Almarhum serta bagi pihak Paduka Bonda Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun dan seluruh anggota keluarga Almarhum, Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri Perak, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta pelbagai agensi, institusi, pertubuhan dan individu yang terlibat baik secara tertera dan secara terselindung, mengendalikan urusan pemakaman Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Beta amat tersentuh, menyaksikan begitu ramai kalangan rakyat jelata dari pelbagai lapisan, pegangan agama dan kaum yang datang berduyun-duyun; di kalangan mereka ada yang uzur, berusia tua, bertongkat, dipapah, berkerusi roda, berpakaian lusuh, berjalan kaki mendaki bukit - memanjat tangga istana, tetapi berhati cekal untuk menziarahi dan mendoakan kesejahteraan jenazah Almarhum.

Beta percaya, kebanyakan mereka, tidak pernah menemui Almarhum secara peribadi semasa hayat Almarhum, tetapi secara khusus, mereka mempamerkan semangat kasih setia rakyat kepada batang tubuh seorang raja pemerintah yang telah mangkat; dan secara simboliknya, mereka mempamerkan sifat kesetiaan, mendukung kelangsungan institusi pemerintahan berteraskan raja.

Dalam suasana hiba menghadapi kemangkatan ayahanda Beta, kehadiran rakyat biasa ini, telah menjadikan Balai Rong Seri Istana Iskandariah sebagai bilik darjah pengajian kepada Beta.

Pada ambang Beta dimasyhurkan sebagai seorang Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan, pintu hati Beta dibukakan oleh Allah SWT kepada satu pendidikan yang amat berharga, untuk Beta dapat mengenali hati budi rakyat jelata secara dekat. Kehadiran mereka di Balai Rong Seri, telah menginsafkan Beta akan nilai kasih serta erti kesetiaan rakyat jelata kepada Raja mereka.

Kehadiran mereka telah meningkatkan kesedaran Beta bahawa tanggungjawab utama seorang raja pemerintah itu, adalah untuk memastikan menyempurnakan pemerintahan secara adil, mengambil berat akan hal ehwal rakyat, mempamerkan rasa kasih terhadap rakyat, membela nasib rakyat biasa yang majoriti. Bahawa raja pemerintah itu wajib memberikan setinggi-tinggi perhatian terhadap kehidupan rakyat biasa - rakyat jelata yang merupakan kumpulan majoriti penduduk dalam sesebuah negara.

Titah di Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke 187 ini, merupakan titah sulung yang Beta zahirkan atas nama Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan.

Hubungan langsung Beta dengan Majlis bermula pada 1 Julai 1997, ketika Beta diperkenankan lantikan sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak oleh Marhum Al-Maghfur-Lah.

Tanpa disedari, lantikan tersebut merupakan satu latihan yang disediakan oleh Almarhum ayahanda Beta, mempersiapkan diri didik Baginda, untuk pada kemudian hari nanti, mengambil tanggungjawab lebih besar sebagai Ketua Agama Islam di negeri Perak.

Ia adalah amanah dan tanggungjawab amat berat; meletakkan Beta dengan akauntabiliti baik di dunia, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan Tuhan Rabbuljalil di hari kebangkitan; dengan keinsafan dan kesedaran akan peringatan yang terkandung dalam ayat 72 Surah Al-Ahzaab bermaksud;

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggung jawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan" .

Pengalaman bersama ahli-ahli Majlis dan amanah untuk memimpin Majlis, telah memberi ruang memperdekat Beta dengan para ulama dan ilmuwan Islam, satu pendedahan dan pengalaman yang amat berharga.

Demikian perancangan dan wawasan seorang ayahanda kepada anakandanya, yang pada hari ini diamanahkan mewarisi takhta singgahsana seorang Raja Melayu, sekali gus dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

Dengan penentuan Ilahi juga, pada pagi ini, titah sulung atas nama seorang Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah berlangsung dalam Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Titah yang dizahirkan pada pagi ini, merupakan titah terakhir Beta atas nama Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Beta pertama kali mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak atas kapasiti seorang Yang Dipertua ketika berlangsungnya Persidangan Majlis kali ke-118 pada 28 Ogos 1997. Ketika menzahirkan titah, Beta telah menyentuh lima perkara utama;

Pertama: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak perlu bertindak secara strategik dan berhati-hati supaya tidak timbul kontroversi yang boleh menjejaskan nama baik Majlis.

Kedua: Perlunya umat Islam memiliki disiplin dan daya ketahanan diri yang kuat terutama dalam mengharungi era globalisasi dan era teknologi maklumat.

Ketiga: Kebimbangan atas masalah gejala sosial yang kian gawat dan perlu ditangani dengan kebijaksanaan dan kewarasan.

Keempat: Perlu ditingkatkan program-program keagamaan terutama program-program yang melibatkan golongan remaja.

Kelima: Perlunya institusi masjid dimakmurkan serta dihidupkan dengan pelbagai aktiviti, di samping memastikan kebersihan dan keindahan landskap di perkarangan dan kawasan masjid.

Perkara-perkara yang Beta zahirkan semasa pertama kali mempengerusikan Persidangan Majlis, masih relevan dan masih perlu diberikan perhatian. Sehingga persidangan ini, Beta telah mempengerusikan 70 kali Persidangan Majlis.

Beta menzahirkan penghargaan di atas bimbingan dan nasihat yang telah disampaikan kepada Beta oleh ahli-ahli Majlis demikian juga oleh para alim ulama untuk membolehkan Beta menyempurnakan amanah dan tanggungjawab yang telah diletakkan di bahu Beta.

Beta memohon untuk terus mendapat nasihat dan bimbingan daripada para alim ulama, memandu Beta untuk memenuhi amanah yang lebih besar sebagai Amirul Mukminin.

Mempertahankan kemurnian, kesucian serta keagungan syiar Islam adalah amanah serta tanggungjawab besar yang wajib disempurnakan sebaik mungkin dan tidak boleh dikompromikan.

Tanggungjawab tersebut hendaklah disempurnakan secara bijaksana lagi bestari, baik dalam bentuk kata-kata yang diungkapkan begitu juga melalui tindak tanduk yang dilakukan oleh umat Islam, lebih-lebih lagi oleh institusi yang diamanahkan dengan urusan hal ehwal Islam.

Umat Islam dan institusi yang berkaitan wajib memperlihatkan sebaik contoh teladan ketika memenuhi tanggung jawab yang telah diamanahkan dengan melaksanakannya secara amanah, jujur, adil lagi saksama. Umat Islam wajib mencerminkan minda berilmu dan berperibadi mulia.

Imej Islam perlu dicerminkan melalui gerak kerja yang berlandaskan unsur-unsur keinsanan serta sifat-sifat kemanusiaan, bersandarkan hikmah - bersandarkan timbang rasa. Keagungan agama Islam jangan sama sekali dicemarkan kerana adanya tindak tanduk bersifat impulsif lagi ofensif yang didorong naluri; sesungguhnya tindak tanduk sedemikian amat tidak bijaksana.

Warga Malaysia terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya. Hakikat ini wajib diterima dan amat perlu difahami. Islam bukan sahaja pegangan akidah beragama; Islam adalah addin, budaya dan tata cara adab kehidupan yang lebih menyeluruh. Islam amat mengutamakan keadilan - mementingkan keharmonian - menganjur perdamaian; dan sama sekali tidak membenarkan perlakuan berunsur penindasan.

Untuk itu umat Islam dan institusi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam perlu peka kepada sensitiviti penganut agama lain. Pada masa sama, orang bukan Islam pula wajib memahami serta menghormati sensitiviti umat Islam.

Mereka hendaklah sensitif akan perasaan umat Islam apabila mereka memilih untuk mengupas apatah lagi ketika mereka memilih untuk mengkritik secara terbuka perkara-perkara menyentuh hukum hakam Islam serta seruan Ilahi yang terkandung di dalam al-Quran, begitu juga panduan kehidupan yang terkandung di dalam Sunah Rasul.

Membina keharmonian adalah tanggungjawab kolektif semua warga. Oleh itu perbuatan tidak melanggar batasan dan tidak menyeberangi sempadan antara agama, wajib dihormati oleh setiap warga pada setiap masa.

Seorang Yang Dipertua baru akan dilantik untuk menggantikan Beta. Namun Beta akan terus memantau dan mengikuti secara dekat kegiatan-kegiatan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Berikanlah sepenuh kerjasama kepada pengganti Beta.

Semoga Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak sentiasa mendapat rahmat serta petunjuk Ilahi dan terus mencipta kejayaan lebih gemilang lagi cemerlang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140613/re_01/Jangan-cemarkan-keagungan-agama-Islam#ixzz34Te9i6hc  © Utusan Melayu (M) Bhd

Petrol, diesel dikecualikan GST?



Datuk Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR 12 Jun - Kerajaan akan mempertimbangkan tidak mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas bahan api terutama petrol dan diesel apabila sistem percukaian baharu itu dilaksanakan April tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, perkara itu boleh dilaksanakan jika rasionalisasi subsidi petroleum yang akan diumumkan dalam masa terdekat berupaya memberi penjimatan besar sebagaimana disasarkan.

"Ketika ini, petrol dan diesel di Malaysia memang dikecualikan daripada cukai jualan. Bagi setiap liter petrol, 58.26 sen cukai jualan dikecualikan manakala bagi setiap liter diesel pula 40 sen cukai jualan tidak dikenakan," katanya semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa rang undang-undang Akta Perbekalan Tambahan 2014 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Ahmad bersetuju dengan Rafizi Ramli (PKR-Pandan) iaitu jika GST dikenakan ke atas petrol dan diesel, kerajaan mampu meraih sehingga RM3 bilion setahun.

Namun, tegasnya, ‘kehilangan’ hasil tersebut jika GST tidak dikenakan ke atas petrol dan diesel, mampu ditampung jika pelan rasionalisasi subsidi yang bakal dilaksanakan kelak memberi penjimatan besar.

Ahmad memberitahu, bermula Januari tahun hadapan, kerajaan akan menerbitkan buku panduan tentang barangan yang dikenakan GST.

Jelasnya, menerusi buku panduan tersebut, orang ramai dapat mengetahui harga sesuatu barangan sama ada naik atau tidak mengalami sebarang perubahan selepas GST.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140613/pa_01/Petrol-diesel-dikecualikan-GST#ixzz34TZ2WnZY  © Utusan Melayu (M) Bhd 

KOMEN : SUKA KE TAK SUKA KE SEBELUM GST DILAKSANAKAN AKAN ADA RASIONALISASI SUBSIDI PETROLEUM PADA MASA TERDEKAT... ADA KAH HARGA MINYAK AKAN NAIK LAGI?????

Hudud: Nik Aziz tidak setuju kenyataan Dyana



LIM Kit Siang memperkenalkan Dyana Sofya Mohd. Daud kepada Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa mengunjungi bekas Menteri Besar Kelantan itu di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/IRWAN MAJID

KOTA BHARU 12 Jun - "Saya tidak setuju kenyataan awak mengenai hudud." Itu antara kenyataan awal yang keluar dari mulut Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika bertemu bekas calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd. Daud di sini hari ini.

Dyana Sofya hadir mengiringi Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang melakukan kunjungan hormat ke atas Nik Abdul Aziz di pejabat beliau di Kompleks Kota Darulnaim.

Dalam pertemuan tersebut, bekas Menteri Besar itu turut menasihatkan Dyana Sofya supaya berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan pada masa depan.

Nasihat beliau itu adalah sebagai reaksi kepada tindakan Dyana Sofya yang dilaporkan berkata tidak akan menyokong pelaksanaan hudud ketika berkempen dalam PRK Parlimen Teluk Intan baru-baru ini.

Bagaimanapun, butiran lanjut perbualan mereka selepas itu tidak diketahui kerana petugas media diarahkan beredar dengan alasan pertemuan itu sepatutnya diadakan secara tertutup.

Mengulas mengenai pertemuan yang berlangsung selama kira-kira setengah jam itu, Dyana Sofya berkata, beliau memanfaatkan sebaik mungkin ruang yang ada untuk menjelaskan pendiriannya mengenai hudud kepada Nik Abdul Aziz.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya jelaskan kepada beliau saya tidak pernah menolak hudud sebab sebagai orang Islam saya tidak boleh menolak hudud.

"Bagaimanapun pendirian saya sama seperti pendirian parti (DAP)," katanya.

Menurut Dyana Sofya, selain isu hudud, Nik Abdul Aziz turut memberi nasihat dan panduan berguna untuk beliau terus survive dalam dunia politik seperti perlu mempunyai prinsip dan sering turun padang bertemu masyarakat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140613/po_01/Hudud-Nik-Aziz-tidak-setuju-kenyataan-Dyana#ixzz34TXJTm00  © Utusan Melayu (M) Bhd

 KOMEN : MASIH NAK BAGI KUNCI SYURGA KE NIK AZIZ WOI?

Agihan terus ikut kelayakan - PEMBAYAR CUKAI LEBIH LAYAK

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 12 Jun - Pemberian diesel dan petrol bersubsidi secara terus kepada rakyat mengikut kelayakan adalah langkah terbaik untuk memastikan tidak berlaku ketirisan dan menghalang warga asing daripada turut menerima manfaat tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (gambar) berkata, langkah tersebut dapat membendung bahan api itu daripada terus dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang mengaut keuntungan dengan menjualnya di pasaran gelap.

Menurut beliau, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM136.6 bilion dana untuk membekalkan bahan bakar tersebut sejak 2000 justeru jumlah itu boleh dikurangkan jika sistem baharu agihan diesel dan petrol diperkenalkan.

"Pada 2006 kerajaan membelanjakan sebanyak RM7.3 bilion dan meningkat kepada RM23.5 bilion pada 2014 untuk membekalkan bahan api bersubsidi.

"Bagaimanapun, bekalan yang sepatutnya untuk rakyat Malaysia turut dinikmati warga asing malah isunya sekarang adalah penyeludupan yang berleluasa sehingga di jual ke luar negara," katanya ketika menjadi ahli panel pada program dialog 21st Nation Building Series ‘Revisiting The New Economic Model’ di sini, malam tadi.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan desakan pelbagai pihak supaya kerajaan memperkenalkan langkah baharu agihan bahan api selepas pendedahan bahawa daripada sejumlah 8.5 bilion liter diesel subsidi yang diguna pakai oleh kenderaan komersial, 3.5 bilion liter telah disalahgunakan akibat aktiviti penyeludupan dan kegiatan mengaut untung keterlaluan termasuk melalui ‘cara gelap’.

Persoalan timbul tentang bagaimana ini boleh berlaku dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM1.2 bilion akibat sindiket penyeludupan petrol dan diesel subsidi.

Menjelaskan langkah yang akan diambil kerajaan, Abdul Wahid berkata, agihan bahan api secara umum sudah tidak relevan justeru pendekatan langsung adalah yang terbaik untuk memberi keadilan kepada rakyat Malaysia.

"Kita boleh melantik lebih ramai anggota penguatkuasaan tetapi tidak akan berjaya menyelesaikan masalah ini secara total justeru kerajaan akan mengeluarkan langkah baharu yang lebih relevan selepas ini.

"Penyeludup akan sentiasa mengambil kesempatan dalam apa juga cara maka kita perlukan satu penyelesaian secara menyeluruh yang lebih berkesan iaitu pendekatan terus," tegas beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140613/dn_13/Agihan-terus-ikut-kelayakan#ixzz34TVTgvIi  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Purata 32 polis mati sebulan

Oleh AZRAI MOHAMMAD




KUALA LUMPUR 12 Jun - Sebanyak 32 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dilaporkan meninggal dunia setiap bulan sejak Januari lalu dengan majoritinya berpunca daripada penyakit tiga serangkai iaitu jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi yang antaranya mempunyai kaitan dengan masalah obesiti.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menekankan pelaksanaan aktiviti riadah yang sememangnya diwajibkan terhadap semua anggota pada setiap hari Jumaat bagi mengatasi masalah kesihatan di kalangan warga PDRM.

"Daripada jumlah 32 kematian sebulan tersebut yang dikira secara purata, ada yang meninggal dunia akibat kemalangan namun majoritinya adalah disebabkan penyakit tiga serangkai.

"Kita memang ada melaksanakan aktiviti yang dipanggil ‘games day’ pada setiap Jumaat bagi menggalakkan setiap anggota beriadah, namun aktiviti terbabit kini kurang dilakukan kerana kesibukan tugas seperti terlibat dengan operasi atau mempunyai tugas luar jangka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai susulan kenyataannya semalam mengenai tindakan PDRM yang memberi amaran tegas kepada setiap anggotanya yang mempunyai masalah obesiti dengan peluang kenaikan pangkat mereka boleh terjejas. Kenyataan itu disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat ketika beliau diminta mengulas rua­ngan Bisik-Bisik Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu yang mengutarakan masalah obesiti dalam kalangan anggota tentera dan polis.

Kata Awang Selamat, tidak segak kalau mereka berpakaian seragam tetapi berperut boroi dan masalah itu juga berlaku dalam kalangan bos-bos polis dan tentera.

Menurut Mohd. Fuzi, pihaknya telah pun memberi peringatan kepada semua penyelia yang terdiri daripada ketua-ketua balai, sub-inspektor atau sarjan mejar agar memantau dan menasihati anggota-anggota yang mempunyai masalah berkaitan.

"Kita juga menggalakkan mereka agar membuat pemeriksaan kesihatan yang lebih kerap supaya penyakit tersebut dapat dikesan lebih awal dan dapat dikawal daripada menjadi lebih serius," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140613/dn_19/Purata-32-polis-mati-sebulan#ixzz34TTXovsh  © Utusan Melayu (M) Bhd 


WORLD CUP 2014 - Neymar berselera

Sao Paolo: Brazil membuka langkah kanan bagi kempen Piala Dunia 2014 apabila menumpaskan Croatia, 3-1, pada pertemuan pembukaan Kumpulan A, di Corinthians Arena, awal pagi ini.

Ayam tambatan tuan rumah, Neymar muncul wira apabila menyumbang dua gol, masing-masing pada babak pertama dan kedua. 

Gol keramat Brazil muncul apabila Fred dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain Croatia, Lovren pada minit ke-69 yang kemudian membuatkan pengadil perlawanan Nishimura dari Jepun memberikan Brazil sepakan penalti. 

Neymar kemudian menyempurnakan sepakan berkenaan dan Pletikosa tumpas buat kali kedua yang memberikan kelebihan satu jaringan ke atas Croatia.


NEYMAR meraikan gol keduanya. FOTO Agensi

Brazil kemudian bagaikan tidak dapat disekat apabila Oscar memperoleh gol ketiga pada minit ke-90.

Brazil yang turun sebagai pasukan pilihan dikejutkan pada minit ke-11 apabila kelalaian barisan pertananan menghukum pasukan itu. 

Gol berkenaan berpunca daripada Olic dari sebelah kiri kawasan Brazil. Dia kemudian melorongkan hantaran rendah yang melintasi gawang Brazil yang kemudian disungkit oleh Nikica Jelavic di depan gawang. 

Sungkitan itu melepasi pertahanan Brazil sebelum Marcelo yang cuba menampannya tetapi terlepas ke gawang sendiri. 

Tersentak degan keadaan itu, Brazil bertali arus melakukan serangan yang kemudianya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-29. 

Neymar mengelecek melepasi pertahanan Croatia, sebelum melakukan rembatan kaki kiri melepasi Pletikosa. 

BRAZIL: Julio Cesar, Dani Alves, Thiago Silva, David Luiz, Marcelo, Luiz Gustavo, Paulinho, Oscar, Hulk, Neymar, Fred 

CROATIA: Stipe Pletikosa, Darijo Srna, Vedran Corluka, Dejan Lovren, Sime Vrsaljko, Luka Modric, Mateo Kovacic, Ivan Rakitic, Ivan Perisic, Ivica Olic, Nikica Jelavic 

PENGADIL: Yuichi Nishimura (Jepun)

WORLD CUP 2014 - Mengharapkan AS julang trofi tak realistik - Klinsmann



Juergen Klinsmann (kiri) berkata sesuatu kepada pemain-pemain AS sewaktu sesi latihan di Sao Paulo semalam. - AFP

SAO PAULO - Penyokong Amerika Syarikat (AS) tampak bersemangat dengan mengenakan kostum berwarna merah, putih dan biru bagi menunjukkan sokongan mereka kepada pasukan mereka ketika sesi latihan terbuka di Brazil.

Bagaimanapun jurulatih AS, Jurgen Klinsmann tetap dengan pendirian tidak meletakkan harapan tinggi untuk menjulang trofi Piala Dunia kali ini selagi tidak melepasi peringkat kumpulan.

Klinsmann berkata, dia akan memberi tumpuan kepada mempersiapkan pasukannya bagi menghadapi lawan di peringkat kumpulan menentang Ghana pada 17 Jun.

"Adalah tidak realistik jika saya menyatakan hasrat untuk menjulang trofi kemenangan sedangkan banyak yang perlu diberi tumpuan bagi menentang Ghana dalam peringkat kumpulan," katanya.

Penganalisis sukan ESPN, Landon Donovan dan penyampai berita ESPN, Alexi Lalas tidak bersetuju dengan kenyataan Klinsman.

"Sebagai seorang individu yang pernah bersama-sama dengan pemain lain, kami percaya AS berpeluang untuk menang," katanya.

Klinsmann yang sebelum ini pernah bersama-sama pasukan Jerman Barat memenangi Piala Dunia pada tahun 1990 dan pernah menjadi jurulatih Jerman yang membawa pasukannya mara hingga ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2006.

Beliau telah menimbulkan kontroversi apabila mengeluarkan kenya­taan yang disifatkan peminat bola sepak di AS sebagai ‘tidak berfikiran Amerika’ kepada akhbar New York Times.

"Kami tidak akan memenangi Piala Dunia kali ini kerana kami masih belum berada pada tahap yang diyakini untuk menang," katanya.

Pemain tengah AS, Mix Diskerud, 23, menganggap kenyataan Klinsmann sebagai satu cabaran kepada pasukan AS.

"Ini adalah peluang untuk kami membuktikan bahawa dia silap," katanya.

Pemain tengah AS, Alejandro Bedoya berpendapat bahawa perdebatan tersebut adalah sia-sia dan ber­anggapan masyarakat dunia masih melihat AS sebagai pasukan mentah yang diramalkan akan membuat kejutan pada bila-bila masa. - AGENSI



HOKI - Pulang tanpa kemenangan

Oleh FIKRI AJLAN
sukan@utusan.com.my


Austin Smith (tengah) meraikan kejayaan meledak gol keempat Afrika Selatan ketika pasukan itu membelasah Malaysia 6-2 dalam perlawanan terakhir Piala Dunia di The Hague, Belanda semalam. - AFP
KUALA LUMPUR - Memulakan kempen dengan meyakinkan, Malaysia bagaimanapun menutup cabaran hoki Piala Dunia dengan mengecewakan apabila gagal mencatat walau satu pun kemenangan apabila tewas 2-6 kepada Afrika Selatan dalam penentuan tempat ke-11 di Stadium Hoki Kyocera, The Hague, Belanda semalam.

Seperti biasa, pasukan negara memulakan permainan dengan baik dan mengawal rentak, namun pada pertengahan saingan anak-anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah membenarkan kebangkitan Afrika Selatan dan menyaksikan gawang mereka dibolosi enam kali pada separuh masa kedua.

Kekalahan itu bukan saja me­nyaksikan Malaysia terpaksa menamatkan kempen tanpa sebarang kemenangan, keputusan yang sedikit mengecewakan buat pasukan yang datang ke The Hague bersama misi memburu tempat 10 terbaik.

Pukulan penalti yang diberikan kepada Afrika Selatan pada babak kedua menyentap semangat anak-anak buah Dharma dan menyebabkan mereka hilang kosentrasi.

"Mereka mula hilang fokus selepas itu (lawan diberikan pukulan penalti) dan melepaskan tiga gol pantas menerusi pukulan sudut penalti.

"Ini adalah pengajaran berguna buat pemain-pemain kami apabila beraksi di tahap seperti ini.

"Anda tidak boleh melakukan kesilapan mudah dan meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menang. Kami bermain baik di awal permainan, namun tidak cukup bagus untuk mengekalkan rentak.

"Afrika Selatan juga menun­juukkan kesungguhan untuk mengelak daripada menamatkan cabaran di kedudukan tecorot dan mereka jelas lebih baik daripada pasukan negara pada separuh masa kedua," akui Dharma.

Dalam aksi semalam, Malaysia gagal menyelamatkan maruah negara yang tercalar sekali pun berjaya meledak gol pembukaan pada minit ke-26 menerusi jaringan padang Firhan Ashaari.

Namun, kegembiraan pasukan negara tidak kekal lama apabila Afrika Selatan berjaya menyamakan kedudukan melalui pukulan penalti yang disempurnakan Justin Reld-Ross pada minit ke-43 dan pintu gol Malaysia sekali lagi dibolosi selang dua minit berikut melalui pemain yang sama.

Afrika Selatan melebarkan kedudukan 3-1 apabila Reld-Ross menyempurnakan jaringan daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-48 dan pasukan itu menambah gol keempat pada minit ke-50 hasil jaringan padang Lyold Jones.

Austin Smith menjadikan kedudukan 5-1 apabila meledak gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-64 dan Afrika Selatan berpesta jaringan setelah Jean-Pierre de Voux menyumbat gol keenam pada minit ke-69.

Sebelum perlawanan berakhir, Malaysia memperoleh gol kedua melalui Shahrun Nabil Abdullah yang sudah tidak memberi sebarang erti kepada pasukan negara.