Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 24 September 2013

Siapa mengalah, siapa bertahan




Oleh ZULKIFLI JALIL
 
 
Tempoh bertenang 72 jam akan tamat pada pukul 5 petang hari ini. Siapakah daripada senarai khususnya 261 mereka yang menyerahkan borang pencalonan peringkat UMNO Pusat Sabtu lalu, bakal menarik diri akan diketahui selepas 5 petang ini. Dan berkemungkinan diumumkan secara rasmi esok (Rabu 25 September).
 
Adakah terdapat calon Naib Presiden daripada enam orang akan menarik balik pencalonan mereka? Tetapi bagi yang mahu menjadikan kerjaya politik darah daging mereka akan terus bertahan dan kekal dalam senarai sehingga ke hujung bulan ini dan 19 Oktober nanti.
 
Kelmarin, Ahad 22 September, penulis sempat menghubungi seorang pegawai di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn mengenai perkembangan semasa pencalonan.
 
Katanya: "Saya terima banyak panggilan daripada individu tentang bagaimana cara hendak menarik diri. Ini bukan setakat yang bertanding di Pusat sahaja (MT dan sayap-sayap parti) tetapi banyak juga di peringkat bahagian.
 
"Cara nak tarik diri mudah sahaja, iaitu sama ada anda menelefon ibu pejabat UMNO memaklumkannya. Atau bercakap secara terbuka kepada media dan disiarkan percakapan itu. Jika itu dibuat, penarikan diri diterima secara rasmi oleh ibu pejabat parti," kata pegawai itu kepada penulis.
 
Apa pun kepada yang empunya diri, tanyalah diri sendiri adakah anda mahu mencapai sasaran selepas melalui pelbagai perjuangan dan persaingan.
 
Bagi kebanyakan menteri UMNO, mereka akan menawarkan diri untuk kerusi-kerusi Majlis Tertinggi, badan tertinggi pentadbiran parti itu. Jika seorang menteri gagal memenangi kerusi di dalamnya, maka kedudukan beliau dalam Kabinet hanya menunggu masa sahaja.
 
Secara umumnya, satu atau dua dekad lalu, andaian ini boleh dianggap benar. Sebagai satu amalan, seorang yang bukan ahli MT jarang diberi peluang untuk berkhidmat dalam Kabinet. Dalam Kabinet Pak Lah, terdapat hanya empat menteri UMNO yang bukan ahli MT parti. MT adalah satu forum di mana dasar-dasar parti yang penting dibincangkan.
 
Kedudukan menteri-menteri seperti Tan Sri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Dr. Rais Yatim merupakan pengecualian daripada kelaziman ini. Ini kerana selepas tewas pertandingan merebut kedudukan Naib Presiden pada tahun 2000, kedua-dua menteri ini tidak lagi menjadi ahli MT sejak 1999 hingga 2004.
 
Pernah di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa menteri yang tewas atau tidak bertanding dalam pemilihan parti pada Mac 2009, telah dilantik oleh Presiden untuk duduk di dalam MT. Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Rais dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, antara yang termasuk dalam kategori ini.
 
Baik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Najib tidak menganggap ia mustahak untuk memberi isyarat kepada menteri-menteri bukan ahli MT, iaitu jika mereka mahu kekal sebagai anggota Kabinet, mereka mesti menang kerusi MT.
 
Mungkin pemimpin-pemimpin ini sedar bahawa ahli-ahli Kabinet yang telah cuba dan gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan kedudukan dalam MT, keperluan untuk menggantikan mereka tidak timbul.
 
Sebaliknya, jika ini dijadikan dasar, ia mungkin keras dan boleh menjejaskan gabungan yang sihat, yang benar-benar berkebolehan. Tetapi corak ini nampaknya tidak diguna pakai dalam proses lantikan menteri-menteri daripada parti-parti komponen BN lain.
 
Semua menteri mewakili MCA, MIC, SUPP dan lain-lain dalam keluarga BN memegang jawatan-jawatan penting dalam parti.
 
Tanpa segan-silu, ia perlu dinyatakan, tanpa kedudukan parti yang diperlukan, menteri-menteri bukan ahli MT UMNO akan terasa janggal bila menghadapi isu-isu politik yang membabitkan orang Melayu. Menteri-menteri dalam kalangan ini, diakui tidak akan mencapai tahap optimum dalam kepimpinan kerajaan, walaupun cemerlang dalam portfolio tertentu.
 
Seseorang perlu menjadi orang penting dalam parti jika beliau ingin menerajui kerajaan.  Pencapaian menjadi seorang menteri sudah memadai bagi ahli-ahli politik biasa. Tetapi sekiranya seseorang itu berkaliber, terkenal dalam kalangan akar umbi dengan mempunyai kemahiran dalam komunikasi yang berkesan, pemidato yang hebat dan dilihat sebagai seorang pekerja atau pembekal perkhidmatan, maka peluang untuk menaiki tangga politik dijangka berhasil.  Ketangkasan politik mesti wujud di dalam diri anda.
 
Sudah tentu, yang ironinya jika pekerjaan sebagai ahli politik itu membebankan, mengapa 261 bakal calon mahu terus menggapai cita-cita dalam politik? Dan terus menceburi politik?
 
Satu soalan yang baik, tetapi ia mungkin akan peroleh jawapan yang sebaliknya kerana ia tidak mempunyai penjelasan yang rasional. Boleh dikatakan ia mempunyai tarikan yang tersendiri. Jika anda mempunyai adrenalin politik, ia akan mengalir keluar untuk mencari tahap dan bentuknya sendiri.
 
Walau apa pun, seseorang itu akan terjerumus dalam sistemnya selepas beberapa ketika. Biasanya, seseorang ahli politik dengan bersahaja akan berkata, "Ia adalah dari gerak hati".
 
Edmund Burke seperti yang dipetik dari The Oxford Dictionary of Quotations (3rd.Edn) 1980, mempunyai alasan yang baik apabila beliau berkata: "Setiap ahli politik kena berkorban kepada limpah kurnia Tuhan dan mematuhi pemikiran/kemunasabahan (Every politician ought to sacrifice to the grace, and to join compliance with reason).
 
Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan orang ramai yang kadang kala berkata bahawa politik itu adalah perkara sambilan bagi seseorang yang meminati bidang politik.
 
Dia sewajarnya seorang yang mempunyai sifat reaksioner untuk bertahan dalam keperitan kerja-kerja rutinnya.
 
Cooling off period akan tamat 5 petang ini. Siapakah ahli politik yang mendambakan apa yang dihasratkan oleh Burke.
 
Dan siapakah yang akan mengalah meskipun keterbukaan UMNO menerusi pindaan perlembagaan 2009 yang menghapuskan kuota kelayakan, telah membuka peluang dan ruang selebar-lebarnya untuk mereka membuktikan diri sebagai ahli politik tulen.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130924/re_01/Siapa-mengalah-siapa-bertahan#ixzz2fmBagm1X
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: