Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 11 September 2013

'Kerajaan sekat guna kalimah Allah elak kekeliruan agama'


SEKUMPULAN peguam yang diketuai oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (kanan) keluar rehat sebelum Mahkamah Rayuan menyambung semula mendengar rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan terdahulu yang membenarkan kalimah Allah digunakan dalam majalah mingguan Herald di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA 10 Sept. - Kerajaan bertindak berlandaskan undang-undang ketika melarang majalah mingguan Herald daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya bagi mengelak kekeliruan agama yang boleh mengancam ketenteraman awam serta menimbulkan sensitiviti keagamaan.

Arahan bertarikh 7 Januari 2009 yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri itu munasabah dan selaras dengan Enakmen-Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam (Negeri-Negeri).

Perkara tersebut dinyatakan sewaktu Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Kerajaan dan enam pihak lain yang tidak berpuas hati dengan keputusan kontroversi Mahkamah Tinggi membenarkan kalimah suci itu digunakan dalam seksyen Bahasa Melayu majalah tersebut.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh selepas mendengar penghujahan dalam mahkamah yang penuh sesak, menangguhkan keputusan hingga bulan depan.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili perayu-perayu sebelum itu berhujah, Menteri Dalam Negeri membuat pertimbangan keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya boleh terancam jika kalimah Allah digunakan dalam penerbitan itu.

Beliau menyatakan, masyarakat Islam di negara ini amat sensitif terhadap perkara berhubung isu agama terutamanya penggunaan kalimah Allah yang merujuk kepada Tuhan bagi penganut agama itu.

''Kalimah Allah merupakan kalimah suci umat Islam dan diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi yang kesuciannya mesti dipelihara. Ia merujuk kepada keesaan-Nya dan tidak boleh disamakan dengan konsep Triniti mengikut kepercayaan penganut Kristian,'' hujah beliau.

Sehubungan itu, Suzana menyatakan, kalimah Allah bukan semata-mata terjemahan kepada perkataan Tuhan seperti yang dinyatakan dalam Herald tetapi merupakan kata nama khas bagi Tuhan untuk masyarakat Islam.

Dalam hujahnya, Suzana turut membangkitkan bukti baharu berhubung keharmonian kaum yang tercemar melalui afidavit yang menyatakan beberapa kejadian antaranya cubaan membakar gereja berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Beliau turut menyatakan, arahan tersebut merupakan tindakan awal menteri dan tidak memerlukan insiden sebenar yang menggugat ketenteraman awam berlaku terlebih dahulu sebelum membolehkan arahan dikeluarkan.

Sehubungan itu, kata beliau, tiada bukti yang menunjukkan menteri berkenaan bertindak atas niat jahat atau melaksanakan budi bicara secara tidak munasabah ketika mengeluarkan sekatan terhadap majalah berkenaan.

Sementara itu, peguam Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhujah, kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh agama lain kerana kalimah itu hak eksklusif umat Islam dan tiada bukti menunjukkan perkataan itu sebahagian daripada agama Kristian.

''Jika seseorang menggunakan kalimah Allah, ia merupakan seorang Islam,'' hujah beliau. Abdul Aziz turut mempertikaikan terjemahan perkataan Allah kerana Injil yang asli adalah dalam bahasa Ibrani (Hebrew) yang kemudian diterjemahkan kepada bahasa Latin.

Menurut beliau, kitab terjemahan di Sabah dan Sarawak tidak asli kerana Bible dalam bahasa Inggeris yang telah diterjemahkan tidak mengandungi kalimah Allah.

Dalam pada itu, Mubashir Mansor yang berhujah bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyatakan, sekatan itu munasabah bagi menghalang isi kandungan majalah itu yang turut boleh diakses secara dalam talian, disebarkan kepada umat Islam.

Peguam itu turut mempertikaikan penggunaan kalimah Allah yang diterjemahkan dalam seksyen bahasa Melayu kerana Kitab Bible versi bahasa Inggeris tidak terkandung kalimah berkenaan. Hujah Mubashir, Terengganu melaksanakan enakmen yang melarang penggunaan perkataan itu dalam kalangan bukan Islam dan mereka perlu mendapat kebenaran Sultan untuk menggunakannya.

Mahkamah turut mendengar penghujahan Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) yang menyatakan, Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam keputusannya kerana gagal menimbangkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan tidak boleh berdiri sama tinggi dengan agama lain.

Pada sebelah petang, Porres Royen yang mewakili Gereja Roman Katolik berhujah, penggunaan kalimah Allah tidak harus disekat kerana ia bukan merupakan satu kesalahan memandangkan perkataan itu hanya digunakan untuk penganut Kristian.

Beliau menghujahkan, isu yang ditimbulkan itu bukan perkara baharu kerana perkataan tersebut telah digunakan sejak zaman berzaman lamanya dan tiada perkataan lain yang lebih sesuai bagi menggantikan perkataan Tuhan melainkan dengan menggunakan kalimah Allah.

Seorang lagi peguam pihak gereja, Benjamin Dawson turut berhujah, kalimah Allah yang digunakan dalam bahasa Indonesia di Sabah dan Sarawak serta di negara jiran itu tidak langsung membangkitkan sebarang kekacauan.

Menurut beliau, perkataan itu merupakan yang sama digunakan dalam Bible dan juga al-Quran dan tidak sesuai untuk mengubahnya kerana telah lama digunakan dan penerbitan itu hanya khusus untuk penganut Kristian.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam agar Herald dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan Herald daripada menggunakan kalimah Allah dalam majalah edisi bahasa Malaysia, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.
 

No comments: