Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 27 September 2013

PAU - Laluan berliku Naib Presiden


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my



JAWATAN Naib Presiden yang bakal diisi oleh tiga penyandang 19 Oktober depan adalah tiket laluan awal untuk parti, kerajaan dan rakyat mengukur potensi dan kewibawaan kepimpinan kanannya sebelum melangkah lebih jauh

Apabila Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tunku Abdul Rahman, beliau memilih Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang ketika itu berada dalam kedudukan nombor tiga di barisan Naib Presiden, sebagai timbalannya. Apabila Dr. Ismail meninggal dunia, Tun Razak memilih Tun Hussein, juga Naib Presiden ketiga.

Tun Razak tidak pernah menduduki jawatan Naib Presiden. Begitu juga Almarhum Tunku Abdul Rahman yang terus menjadi Presiden UMNO kedua, menggantikan Datuk Onn Jaafar pada 1951 dengan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Raya ketika itu. Tun Razak pula terus ke jawatan Timbalan Presiden (1951-1971) selepas memenanginya dengan menewaskan dua calon lain.

Pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, dua Naib Presiden yang paling kanan dan dua Naib Presiden nombor dua menjadi pilihannya untuk menyandang jawatan nombor dua. Ia meskipun sejarah sebelum itu membuktikan Naib Presiden nombor tiga termasuk Dr. Mahathir sendiri adalah mereka yang sentiasa bernasib baik.

Naib Presiden paling kanan yang dipilih Dr. Mahathir sebagai orang nombor dua ialah Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi kedua-duanya tersadai di situ. Apabila Tun Ghafar Baba dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau adalah Naib Presiden nombor dua selepas Tengku Razaleigh Hamzah dan nombor tiga ketika itu ialah Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, bekas Menteri Besar Terengganu.

Dr. Mahathir, juga merupakan Naib Presiden nombor tiga apabila dilantik oleh Tun Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 5 Mac 1976 berikutan kematian mengejut Razak. Pada hal ketika itu, Naib Presiden UMNO paling kanan ialah Ghafar, diikuti Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada 8 Januari 1999 pula, Dr Mahathir memilih Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, juga nombor dua selepas Najib, sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apabila tiba giliran Abdullah pula, beliau memilih Najib, Naib Presiden paling kanan sebagai timbalannya.

Pada 2009 itulah buat julung kali dalam sejarah UMNO, perwakilan menentukan sendiri siapa yang mereka mahu untuk menyandang jawatan nombor dua dalam parti. Ini bukan lagi secara tradisi dalam sejarah 63 tahun kewujudannya, apabila Presiden memilih timbalannya dalam kalangan tiga Naib Presiden tanpa mengira sama ada Naib Presiden paling kanan, kedua atau yang ketiga.

Pada ketika itu, Muhyiddin dari kerusi Naib Presiden menang menewaskan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam. Jawatan Timbalan Perdana Menteri mempunyai sejarah tersendiri dan sepanjang kewujudan jawatan itu, ia sudah disandang oleh sembilan pemimpin iaitu Tun Razak, Dr. Ismail, Tun Hussein, Dr Mahathir, Musa, Ghafar, Anwar, Abdullah dan Najib.

Namun, untuk rekod, antara Naib Presiden yang pernah menjadi Timbalan Presiden ialah Dr. Ismail, Tun Hussein, Dr. Mahathir, Musa Hitam, Ghafar, Anwar, Abdullah, Najib dan Muhyiddin. Antara mereka, cuma Tun Hussein, Dr. Mahathir, Abdullah dan Najib berjaya ke puncak dalam parti dan seterusnya menyandang jawatan Perdana Menteri.

Dr. Ismail yang dipilih Tun Razak sebagai timbalannya apabila dilantik sebagai Perdana Menteri kedua pada September 1970, bagaimanapun tidak sempat naik ke puncak kerana meninggal dunia disebabkan sakit jantung.

Laluan untuk Naib-naib Presiden sebelum ke puncak kuasa, penuh berliku.



© Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: