SEBAIK-BAIK sahaja selesai membaca rencana
tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad "Masa depan UMNO'" (Utusan Malaysia,
halaman 16, Isnin 16 September 2013), soalan yang terlintas dalam kepala
saya apakah 3.5 juta ahli UMNO seluruh negara akan dengar dan ikut
nasihat beliau?
Tun Dr. Mahathir mula dengan menyatakan beliau kini "berasa serba
salah". Katanya beliau setia pada UMNO tetapi hakikatnya parti itu kini
"menghidap sakit tua dan akan maut kerana sudah tua".
Beliau telah mencuba "sedarkan UMNO akan usianya yang sudah lanjut".
Tun Dr. Mahathir menggesa agar parti "diperbaharui" dengan penerimaan
ahli serta "kepimpinan daripada generasi muda". Hanya dengan kemasukan
generasi muda ini perjuangan UMNO dapat diteruskan.
Sambil menghargai "sumbangan pengasas UMNO" dulu yang pada ketika itu
masih muda, Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa ramai mereka kini sudah
tua, dan "masa mereka sudah terlanjut". Pemimpin yang sudah lanjut usia
ini mesti "sedar akan pentingnya mereka tidak melampaui masa mereka".
Kata Tun Dr. Mahathir lagi: "Lambat laun orang akan berasa bosan,
bahkan naik meluat akan pemimpin yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman
tetapi masih tidak terima kebenaran".
Selain menegur pemimpin parti yang sudah lanjut umur dan "melampaui
masa mereka", Tun Dr. Mahathir juga menegur pemimpin yang mengamalkan
rasuah.
Tegas beliau "Percayalah jika ahli memilih perasuah sebagai pemimpin,
mereka akan amalkan budaya penerima rasuah semasa menjadi pemimpin.
Kuasa mereka akan disalahgunakan. Kita dan bangsa kita akan rugi …
Negara akan hancur. Maruah bangsa akan luput."
Selain isu UMNO sudah tua dan isu rasuah, Tun Dr. Mahathir juga turut
menyatakan: "Kita harus akui bahawa UMNO sekarang tidak lagi dipercayai
oleh ramai orang Melayu". Lantaran itu ramai yang telah menubuhkan
badan bukan kerajaan (NGO) dan bergerak di luar parti.
Di peringkat akhir tulisannya, Tun Dr. Mahathir menyatakan
"Sesungguhnya perjuangan orang Melayu belum selesai". Beliau menyeru
agar ahli UMNO mengetepikan kepentingan diri, menerima masuk dan memberi
tempat kepada orang muda, dan " tolaklah yang sudah tua".
Nampaknya tidak semua pemimpin UMNO yang setuju dengan pandangan Tun
Dr. Mahathir. Antaranya Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Dr. Mohd. Puad
Zarkashi yang menyatakan parti itu telah wujud untuk sekian lama, dan
mengalami "pelbagai penyakit" sejak zaman Tun Dr. Mahathir sendiri dari
1981 hingga 2003 - antaranya perpecahan, tidak menumpukan perhatian
sewajarnya kepada perjuangan parti, dan politik wang (rasuah).
Dr. Mohd. Puad menyangkal pendapat Tun Dr. Mahathir bahawa parti UMNO
akan mati kerana kepimpinan yang ada sekarang bekerja keras mengatasi
pelbagai masalah yang ada dan serius menjalankan transformasi politik
negara.
Turut berbeza pendapat adalah Ahli MT Datuk Bung Mokhtar Radin.
Menurut beliau, kehadiran pemimpin muda seperti Datuk Mukhriz dan Khairy
Jamaluddin adalah bukti bahawa parti memberi tempat kepada generasi
muda.
Bung Mokhtar berkata pemimpin muda menganggotai sayap parti, Pemuda
dan Puteri, dan bila ini meningkat umur 40 tahun, mereka boleh menyertai
MT dan mengambil alih kepimpinan parti. Barangkali Tun Dr. Mahathir
telah terlepas pandang kepada proses pembaharuan yang sedang berjalan
dalam parti, kata Bung Mokhtar lagi.
Seorang Ahli MT lain, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata Tun
Mahathir sepatutnya mengakui proses transformasi sedang berlaku dalam
UMNO. Di bawah sistem lama, hanya 2500 perwakilan layak mengundi bagi
memilih kepimpinan tertinggi parti. Di bawah sistem baru, 146,500
perwakilan secara terus akan memilih kepimpinan bahagian dan MT.
Tersirat dalam kata-kata Shahidan itu adalah harapan bahawa perwakilan
di akar umbi akan memilih pemimpin yang lebih muda sebagai pengganti
pemimpin lama.
Bagi ketua UMNO Bahagian Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan, usaha
meremajakan UMNO akan gagal jika 'orang lama' masih tampil menawarkan
diri bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti bulan depan.
"Masa golongan veteran sudah berakhir. Jika mereka masih merebut
jawatan Naib Presiden, saya bimbang akan ada ahli UMNO yang meluat
terutama orang muda," katanya lagi.
Bagi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan, pesannya mudah
sahaja. "Yang dah lama dan pernah kalah tu, tak payahlah bertanding".
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, akhirnya mengumumkan dia
tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Selain itu dia juga
tidak akan mempertahankan jawatan ahli MT yang disandangnya sekarang.
Ketua UMNO bahagian Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop juga
memutuskan tidak akan mempertahankan jawatannya sekarang. Kekosongan itu
menyebabkan beberapa muka lama menyatakan hasrat mereka bertanding
merebutnya - antaranya Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (bekas Ketua
Menteri Melaka) dan Exco kerajaan negeri sekarang, Datuk Ismail Othman.
Bagi Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad, gesaan pelbagai pihak
agar veteran UMNO tidak lagi menyertai pemilihan parti bagi memberi
laluan kepada pemimpin muda hendaklah "dilihat dari perspektif lebih
meluas".
Veteran UMNO ini berpendapat gandingan muka lama dengan muka baru
akan "mampu merencana inisiatif dan pelbagai agenda parti", sekali gus
menarik sokongan muda dan tua. Padanya penyertaan orang lama pada
pemilihan nanti tidak menimbulkan sebarang masalah.
"Saya masih akan bertanding jawatan Naib Presiden untuk memantapkan parti terutama bagi menghadapi PRU-14 nanti," katanya.
Bagi Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu dan penyandang
jawatan ketua UMNO Bahagian Kemaman, dia "tidak kisah" akan dicabar oleh
Mat Dalam Awang, kerana "ini demokrasi, dan sesiapa pun boleh
bertanding". Mat Dalam adalah bekas Pengerusi Tetap UMNO Bahagian
Kemaman.
Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata
pemimpin muda hendaklah diberi ruang menjadi barisan pelapis. Beliau
berpendapat Menteri Besar atau Ketua Menteri pemimpin lain "yang telah
lama memegang jawatan, tak payahlah tawar diri, biarlah muka baru...
Bantulah Presiden transform parti."
Veteran UMNO dari Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad,
berpendapat semua pihak perlu diberi peluang sama rata untuk bertanding
apa-apa jawatan asalkan mereka yakin layak untuk menerajui parti. "Tidak
ada masalah...terpulang kepada masing-masing kerana sekarang siapa pun
boleh tawarkan diri untuk bertanding," katanya lagi..
Sementara itu, seorang veteran UMNO lain masih lagi berteka-teki
mengenai keputusannya untuk bertanding dalam Pemilihan UMNO Oktober
nanti. Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata dia masih berhasrat
untuk bertanding tetapi masih belum memutuskan jawatan mana yang akan
dipertandingkan.
"Hasrat tu ada untuk bertanding jawatan tapi belum buat apa-apa
keputusan lagi. Tunggu hari pencalonan 21 September nanti. Kalau ada,
adalah. Kalau tiada, tiadalah," katanya.
Kesimpulannya, sementara Tun Dr Mahathir membangkitkan tiga isu
penting dalam tulisan terbarunya (UMNO sudah sakit tua, politik rasuah,
dan UMNO tidak dipercayai lagi), reaksi segera daripada kalangan ahli
parti hanya menyentuh isu pertama. Dan itu pun tidak ada kata sepakat.
Tidak dinafikan masih ada lagi pemimpin lama parti yang menolak
pandangan beliau. Kesannya, sukar bagi pemerhati meramalkan apakah
langkah meremajakan parti itu akan terlaksana sepenuhnya dalam tempoh
yang singkat ini menjelang PRU-14.
No comments:
Post a Comment