ALOR SETAR 9 Sept. - Yang di-Pertuan Agong,
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menasihatkan jemaah haji Malaysia
supaya menjaga nama baik negara sepanjang berada di Tanah Suci.
Seri Paduka bertitah, baginda tidak mahu jemaah haji Malaysia
terpengaruh dengan pergolakan yang sedang berlaku di Asia Barat kerana
tindakan seumpama itu boleh menjejaskan nama negara dan hubungan baik
antara kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi.
"Ikutilah segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan
Arab Saudi supaya segala urusan dapat dipermudahkan serta berjalan
lancar," titah baginda semasa berangkat menyempurnakan Majlis Pelepasan
Jemaah Haji 1434 Hijrah Wilayah Utara di Kompleks Haji dan TH Hotel di
sini hari ini.
Dalam majlis itu, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah
Haminah berkenan berangkat mengucapkan selamat jalan kepada bakal
jemaah haji menerusi penerbangan terus julung kali dari Lapangan Terbang
Sultan Abdul Halim, di sini ke Madinah.
Sebanyak lima penerbangan berlepas terus dari Alor Setar ke Madinah
pada musim haji kali ini melibatkan 1,400 jemaah menggunakan pesawat
Penerbangan Malaysia (MAS) B777 bermula hari ini dan berakhir pada 13
September ini.
Berangkat sama Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku
Annuar Sultan Badlishah dan Ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah iaitu
Tunku Temenggung Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah;
Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan
Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan
Safinaz Sultan Abdul Halim.
Yang turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir;
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom;
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Abdul Azeez Abdul
Rahim; Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji,
Datuk Ismee Ismail dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Fahad A. H.
Al-Rashid.
Tuanku Abdul Halim turut menasihatkan bakal jemaah haji agar
memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat tersebut dengan
sempurna dan dikurniakan haji mabrur.
Titah baginda, para jemaah haji memerlukan pengorbanan tinggi dari
segi mental, fizikal dan spiritual di samping penjagaan kesihatan dan
kebersihan diri serta sekeliling yang baik.
Dalam pada itu, baginda mengucapkan tahniah kepada Tabung Haji dan
agensi terlibat khususnya Kerajaan Kedah yang memberikan kerjasama untuk
menjadikan penerbangan terus dari Alor Setar ke Madinah menjadi satu
realiti.
Tuanku Abdul Halim juga mengucapkan syabas kepada Tabung Haji atas
komitmennya untuk mengekalkan dan menambah baik kualiti perkhidmatan
yang diberikan kepada jemaah haji.
"Ini terbukti dengan penerbangan terus ke Tanah Suci dan terbinanya
Kompleks Haji yang baharu untuk kemudahan para jemaah haji. Beta
berharap Kompleks Haji dan TH Hotel yang beroperasi sepenuhnya pada
musim haji tahun ini mampu memberikan lebih kemudahan, kelancaran dan
keselesaan kepada bakal jemaah haji dalam urusan pelepasan," titah
baginda.
Seri Paduka turut menyeru agar semua umat Islam Malaysia bersyukur
kerana negara ini mempunyai sebuah organisasi seperti Tabung Haji yang
menjadi salah satu ikon negara selain menjadi contoh kepada
negara-negara Islam di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment