Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 3 September 2012

Kuota haji kekal 28,000


PARA peserta Kursus Perdana Haji Musim 1433 Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya melakukan latihan melontar Jamrah di pekarangan Masjid Putra, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

PUTRAJAYA 2 Sept. - Malaysia bernasib baik apabila terlepas 'hukuman' pengurangan jumlah kuota haji pada tahun ini apabila kerajaan Arab Saudi bersetuju mengekalkan kuota yang sama seperti tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mengesahkan perkara tersebut berkata, kerajaan Arab Saudi bersetuju meluluskan peruntukan kuota sebanyak 28,000 jemaah haji dari Malaysia.

Katanya, ia sekali gus menghapuskan kebimbangan sebelum ini kemungkinan kuota jemaah Malaysia terjejas ekoran tindakan segelintir rakyat Malaysia mengadakan perhimpunan haram di Mekah dan Madinah pada 28 April lalu.

"Harapan kita adalah supaya jemaah Malaysia dapat menjaga tingkah laku, disiplin dan keselamatan diri serta tidak melakukan sebarang perbuatan bertentangan dengan undang-undang Arab Saudi termasuk mengadakan berhimpun secara haram ketika menunaikan ibadah haji nanti.

"Ini perlu bagi memastikan jemaah kita dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna dan selamat serta membolehkan kerajaan Arab Saudi memberi keutamaan apabila mereka mahu memberikan kuota tambahan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Perdana Haji Musim 1433 Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Masjid Putra di sini malam tadi.

Isu kuota haji mula mencetuskan kebimbangan rakyat negara ini apabila kerajaan Arab Saudi menghantar nota diplomatik kepada Wisma Putra bagi melahirkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir rakyat Malaysia pro pembangkang mengadakan perhimpunan haram Bersih di Mekah dan Madinah pada 28 April lalu.

Terdahulu, seramai 2,000 bakal haji berkumpul di sini untuk mengikuti simulasi haji selama dua hari yang dilaksanakan dengan kerjasama Tabung Haji (TH) supaya mereka dapat merasai pengalaman sebenar dan memperoleh haji mabrur ketika menunaikan rukun Islam kelima itu.

Menurut Jamil Khir, kerajaan akan terus memohon dan merayu untuk mendapatkan kuota tambahan dengan Arab Saudi bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

Katanya, langkah itu perlu kerana ramai lagi bakal jemaah Malaysia tidak dapat menunaikan haji kerana kuota diberikan adalah terhad.

"Sehingga kini data yang ada di Tabung Haji menunjukkan seramai 936,000 rakyat Malaysia telah mendaftar untuk menunaikan ibadat itu termasuk 4,000 daripadanya kalangan usia emas iaitu berusia lebih 75 tahun," katanya.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, penerbangan untuk membawa kumpulan pertama seramai kira-kira 400 jemaah Malaysia akan berlepas ke Mekah pada 17 September ini, manakala penerbangan terakhir ialah pada 29 Oktober depan.

Beliau berkata kerajaan juga akan mengekalkan kos haji bagi jemaah muassasah seperti tahun lalu iaitu pada kadar RM9,980.

Jemaah haji yang menunaikan ibadat itu bagi kali kedua atau seterusnya pula perlu membayar tambang mengikut kos sebenar tanpa subsidi.

Sementara itu, beliau berkata, TH juga sudah melancarkan e-Book bagi memudahkan jemaah haji merujuk mengenai sebarang masalah berkaitan ibadat itu.

"Mereka boleh merujuk e-Book itu pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja menggunakan iPad atau telefon pintar yang ada aplikasi yang diperlukan.

"Kita juga akan mengeluarkan buku rujukan khas untuk jemaah wanita kerana mereka mempunyai lebih banyak permasalahan yang perlu dijelaskan secara terperinci bagi memastikan ibadat mereka sah," katanya.

KOMEN : ALHAMDULILLAH....AMIN

No comments: