Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 12 September 2012

Anjakan sistem pendidikan


DARI UTUSAN MALAYSIA
12/9/2012
Najib Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin menunjukkan buku Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ Hafiz Johari

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membentangkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 hari ini menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan tindakan yang jelas dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, antara perkara yang boleh dijangka dalam Gelombang Pertama pelaksanaan pelan tersebut mulai 2013 hingga 2015 adalah peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah serta mutu kepimpinan sekolah.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, Gelombang Kedua mulai tahun 2016 hingga 2020 akan menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerjaya baru.

Dalam gelombang sama, tambah Muhyiddin, bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.

"Dalam Gelombang Ketiga mulai 2021 hingga 2025, semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, Kementerian Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Kata beliau, pelan itu juga menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam ciri aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

"Dalam merangka pelan ini, sebanyak sembilan bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi," katanya.

Sembilan bidang keutamaan tersebut adalah: 1. Memartabatkan profesion perguruan; 2. Meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah; 3. Meningkatkan kualiti sekolah; 4. Memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran; 5. Meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa; 6. Mengukuhkan penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan; 7. Meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja; 8. Memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber dan 9. Membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.

Jelas Muhyiddin, berdasarkan sembilan bidang keutamaan tersebut, kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh rakyat.

Sebelas anjakan tersebut adalah: 1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa; 2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris; 3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai; 4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan; 5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah; 6. Mengupaya jabatan pelajaran negeri (JPN), pejabat pelajaran daerah (PPD) dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan; 7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia; 8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan; 9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas; 10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit dan 11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.

Dalam pembentangannya, Muhyiddin berkata, pelan itu dihasilkan menerusi kajian semula secara menyeluruh yang dimulakan Kementerian Pelajaran pada Oktober 2011.

"Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara telah dibentuk untuk mengumpul pandangan masyarakat umum mengenai langkah-langkah yang perlu diambil kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan.

"Menerusi siri jelajah dialog pendidikan di seluruh negara, sebanyak 7,039 syor diterima daripada hampir 12,000 peserta yang mengambil bahagian selain 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu," jelasnya.

Kata beliau, pandangan panel penilai bebas tempatan dan antarabangsa diperolehi dalam penyediaan laporan awal pelan tersebut.

Katanya, kementerian juga turut mendapatkan input daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan
.

1 comment:

tungkaran hati said...

Anjakan sistem pendidikan akan gagal selagi adanya sekolah vernakular pada peringkat awal persekolahan...!