Oleh Norfatimah Ahmad dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
2012/03/12
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mengumumkan pengundurannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selepas tamat tempoh pelantikannya sebagai senator pada 8 April ini, berkata keputusan itu diambil kerana menghormati kerajaan dan kepemimpinannya.
Bagaimanapun beliau memutuskan kekal sebagai Ketua Wanita UMNO dan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) bagi melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan ahli di peringkat akar umbi. Shahrizat dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mulai 9 April 2009 selepas tewas kerusi Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum 2008.
Isu peletakan jawatannya timbul apabila beliau dikaitkan dalam isu National Feedlot Corporation (NFCorp) yang diterajui suaminya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail yang terbabit dalam projek lembu Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan.
Tepat jam 4.24 petang semalam, Shahrizat memulakan sidang medianya dengan mengumumkan pengundurannya, selain berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta rakan menteri lain yang selama ini bekerjasama dengannya selama 10 tahun dalam Kabinet.
Shahrizat berkata, surat berhubung pengundurannya yang berkuat kuasa pada 8 April sudah disiapkan untuk diserahkan kepada Perdana Menteri. Ditanya sama ada keputusan itu ada kaitan dengan skandal NFCorp, Shahrizat berkata:
“Sama ada wujud kepentingan peribadi atau tidak, saya tidak ada kena mengena dengan NFC. Saya berkahwin dengan Pengerusi NFCorp, tetapi sebagai anggota kerajaan, saya rasa perkara yang betul untuk dilakukan ialah berundur.
“Saya amat menghormati kerajaan dan amat menghormati Perdana Menteri. Saya bukan saja seorang pemimpin, saya juga seorang isteri dan seorang ibu. Saya tahu apa yang perlu saya lakukan dan saya lakukan perkara yang betul.”
Beliau berkata, keputusan itu diharap akan membolehkan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan kes berkenaan.
“Selepas 31 tahun dalam politik, saya mahu lakukan perkara yang betul dan saya fikir perkara yang betul ialah berundur sebagai menteri Kabinet.
“Ia adalah keputusan saya sendiri dan saya mahu memastikan apa juga keputusan yang dibuat adalah tepat,” katanya selepas merasmikan majlis Jalinan Kasih Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, semalam.
Shahrizat menganggap keputusan itu yang terbaik selepas melalui pengalaman sebagai peguam terlatih; berkhidmat sebagai majistret; ahli korporat dan politik termasuk menang dan kalah dalam pilihan raya, selain seorang ibu, isteri dan pemimpin.
Mengenai kemungkinan keputusan itu dibuat kerana tiada pihak dalam kerajaan yang menyokong beliau apabila timbul isu NFC, Shahrizat percaya ada kebaikan atau berkat di sebalik apa yang berlaku dan ia masa terbaik untuk beliau berundur.
“Dalam perjuangan, kita perlu jelas tujuan serta khidmat yang diberikan dan ketika ini saya selesa untuk berundur apabila penggal saya tamat pada 8 April ini,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya akan datang, beliau menjawab ringkas: “Kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok.”
Mengenai kementeriannya, Shahrizat berkata, perubahan ketara yang dilakukan sebaik penubuhan kementerian itu adalah keputusan jemaah menteri mengenai isu diskriminasi wanita dan keluarga.
“Dalam masa tiga minggu lagi sebelum saya berundur, saya akan jalankan tugas dan program yang dipersetujui termasuk dengan badan bukan kerajaan membabitkan kumpulan sasar kementerian, termasuk wanita, keluarga, Orang Kelainan Upaya, institusi kebajikan, pembangunan masyarakat dan warga tua,” katanya.
KOMEN : APA PUN BELIAU LEBIH BAIK DARI MENTERI/TIMBALAN MENTERI/MP YANG SERING BALING BATU SEMBUNYI TANGAN.. BERAK MERATA-RATA PM YANG NAK KENA CUCI...
No comments:
Post a Comment