Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 57

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 57
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 57

Wednesday, 7 March 2012

PAS LEBIH PERCAYAKAN ANWAR...

PAS tidak percaya kebolehan Azizan tadbir Kedah
Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my
2012/03/07



Jawatankuasa Pemandu awasi cara MB urus negeri jejas jentera kerajaan, rugikan rakyat

DI atas kertas ia kelihatan seakan-akan sudah selesai. Namun kemelut yang melanda kerajaan PAS Kedah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dijangka berlarutan dan tidak dinafikan ia boleh menjejaskan perjalanan jentera kerajaan.

Ia berikutan corak pentadbiran dan kepemimpinan Azizan tidak lagi dipercayai, bukan saja oleh kedua-dua EXCOnya, malah oleh PAS Pusat yang menubuhkan Jawatankuasa Pemandu yang bertanggungjawab memantau pentadbiran Menteri Besar, sekali gus mengehadkan kuasanya.
Pengumuman mengenai penubuhan Jawatankuasa Pemandu itu dilakukan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kelmarin. Ia antara lain berfungsi memberi pandangan mengenai apa yang dirasakan perlu oleh PAS Pusat dalam tugas Azizan mengurus dan mentadbir Kedah.

Biarpun Mustafa berkata, jawatankuasa itu bukan bertujuan mencampuri urusan pentadbiran Menteri Besar secara terus, namun ia dilihat akan menyebabkan Azizan hilang taring atau cengkaman kerana perlakuannya diperhatikan dari atas.

Segala-galanya angkara dua EXCO terbabit, terutama anak didik dan orang kanan Azizan sendiri, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh yang secara terang-terangan mempersoalkan corak kepemimpinan dan pentadbiran beliau.

Mengulas perkara itu, Pensyarah Politik dan Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Prof Dr Ahmad Atory Hussain menyifatkan ia akan menyebabkan Azizan semakin tertekan dan tidak berpengaruh dalam pentadbirannya nanti kerana dia tidak lagi bebas membuat keputusan.

“Sepatutnya parti memberi kepercayaan penuh kepada seseorang Menteri Besar atau Ketua Menteri yang dilantik mereka, tetapi kewujudan Jawatankuasa Pemandu ini seolah-olah menimbulkan persoalan kepada tahap integritinya.


“Rakyat pasti melihat perkara ini dan PAS tidak boleh menafikannya. Agak janggal mengapa kerajaan PAS Kedah saja dipantau Jawatankuasa Pemandu, sedangkan ia sebahagian daripada pakatan pembangkang, sedangkan Selangor dan Pulau Pinang tidak pula dipantau jawatankuasa seumpama itu?” katanya.

Selain itu, katanya, mengapa pula hanya PAS Pusat yang menubuhkan Jawatankuasa Pemandu untuk memantau Kedah, sedangkan pentadbiran negeri ini turut dikongsi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempunyai tiga wakil dalam kerajaan. Sepatutnya, penubuhan badan pemantauan itu disepakati oleh pakatan pembangkang, jika mereka benar-benar serius mahukan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran.

Dalam pada itu, keanggotaan Jawatankuasa Pemandu itu juga yang dikatakan akan ditubuhkan pada 12 Mac ini turut menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati politik. Adakah jawatankuasa berkenaan akan dikuasai oleh kumpulan Erdogan atau Anwarinas dalam PAS yang ternyata mempunyai strategi menyekat kemaraan kumpulan ulama dalam parti itu. Jika ini terjadi, ia menguatkan teori sebelum ini bahawa konflik yang ini didalangi kumpulan Erdogan dan Anwarinas yang berusaha mengukuhkan pengaruhnya di Kedah.

Beliau juga berkata, ia membuktikan kerajaan PAS Kedah sebenarnya tidak stabil sejak awal lagi kerana ada kemungkinan kedua-dua EXCO terbabit sudah lama mengatur strategi kerana tidak lagi tahan dengan kepemimpinan ‘bos’ mereka. Malah, ia juga memperlihat ketidakupayaan PAS mentadbir negeri ini hingga belum habis sepenggal menubuhkan kerajaan sudah timbul pelbagai masalah.

Sehubungan itu, katanya, tuduhan pihak tertentu bahawa media arus perdana hanya membesar-besarkan isu itu tidak benar. Ia bukan sekadar `ribut dalam cawan' yang didakwa mereka.

Penubuhan jawatankuasa itu juga boleh ditafsirkan memperakui apa yang dibangkitkan oleh kedua-dua EXCO terbabit, malah seorang lagi EXCO mewakili PKR, Lim Soo Nee sebelum ini mengakui mereka sering tidak sependapat ketika bermesyuarat.

Ramai yang melihat krisis ini membawa petanda malang kepada pentadbiran Azizan yang dilihat bersih dalam pentadbirannya, tetapi diperlakukan sedemikian rupa oleh orang bawahannya. Azizan baru-baru ini mengakui ia adalah komplot untuk menjatuhkannya dan menyatakan kekecewaannya.

“Apa dosa saya? Saya tidak ada skandal perempuan. Tidak sapu projek. Tidak ambil balak. Rakyat Kedah gembira dengan apa yang ada sekarang. Orang yang cuba menjatuhkan saya tidak datang berhadapan dengan saya.

“Kalau mereka menggunakan orang dalaman untuk tujuan itu, saya minta maaf...saya memang tidak tahu. Kalau hendak tukar saya pun, rakyat yang akan tentukan dalam pilihan raya. Bukan melalui cara politik macam ini,” kata beliau.

Apakah tekanan dialami Azizan itu berikutan kelantangannya sebelum ini mengatakan Buku Jingga bukan al-Quran yang tidak boleh dipinda ketika menjawab isu lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang digantung kerana berdemonstrasi.

Tindakan Azizan mengkritik Buku Jingga yang turut mengandungi janji pakatan pembangkang mahu menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 mungkin memakan diri apabila ia tidak disenangi sekutu dalam pakatan itu, iaitu DAP dan PKR. Dalam hal ini perjuangan Azizan mungkin dilihat tidak selaras dengan manifesto pakatan pembangkang.

Ahmad Atory juga melihat penubuhan Jawatankuasa Pemandu ini adalah cara halus untuk menyingkirkan Azizan daripada terus menerajui Kedah.

“Apa perasaan kita jika diberi jawatan, tetapi ada pula pihak yang memantau cara kita buat kerja? Mungkin Azizan akan berundur kerana tidak tahan dengan tekanan dihadapinya nanti,” katanya.

Beliau juga berkata, walaupun apa yang diputuskan PAS Pusat itu dilihat sesetengah pihak dapat menyelesaikan kemelut pentadbiran kerajaan negeri, ia sebenarnya tidak menyelesaikan masalah.

Ini kerana antara Azizan dan dua EXCO terbabit sudah ada perasaan syak wasangka dan curiga antara satu sama lain yang menyukarkan mereka untuk bekerjasama, melainkan mereka dapat bermaaf-maafan dan melupakan persengketaan itu tetapi ia amat sukar dilakukan.

“Mereka tidak lagi boleh bekerja secara berpasukan, sedangkan dalam sesebuah Kabinet, ia memerlukan kesepaduan dan ketaatsetiaan. Ia umpama sebuah kapal dua nakhoda,” katanya.

Ahmad Athory berkata, sebagai peneraju, Azizan mahu pun PAS Pusat mempunyai tiga pilihan untuk mengukuhkan semula penguasaannya di negeri ini.

“Pertama, Azizan membuat rombakan secara keseluruhan dalam barisan EXCOnya dengan melantik sejumlah besar muka baru dan kedua menghadap Sultan bagi memohon perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan bagi memilih muka baru.

"Pilihan ketiga pula PAS Pusat melantik Menteri Besar baru yang boleh mendapat kepercayaan barisan EXCO," katanya.

Krisis yang berlaku di Kedah ini juga dikhuatiri akan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat apabila jentera kerajaan negeri tidak dapat berfungsi dengan baik dan dalam hal ini rakyat mestilah bijak membuat penilaian ketika memilih pemimpin mereka.

No comments: