PENULIS ialah Naib Presiden, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia merangkap ketua delegasi MuslimUPRo (Pertubuhan-pertubuhan Islam dalam Proses UPR) ke Geneva, Switzerland.
KITA perlu berwaspada dan menyaring dengan teliti prinsip-prinsip yang terkandung di dalam ideologi Hak Asasi Manusia (HAM). Ideologi dan gerakan HAM semasa yang secara relatifnya agak baru dalam sejarah manusia dilatari oleh pengalaman sekular tamadun Barat yang bersandarkan pemisahan agama dan pemerintahan.
Negara-negara Barat juga mengalami trauma yang dahsyat selepas Perang Dunia Kedua yang berakhir pada 1945. Akibat daripada kegagalan mengawal nafsu mereka membunuh nyawa orang awam dalam perang tersebut, serta akibat sifat bongkak dan takbur mereka mengadakan perlumbaan merebut kuasa dan mendominasi dunia, maka mereka berselindung di sebalik perisytiharan-perisytiharan HAM tertentu bagi memaksakan manifestasi nilai buruk tamadun mereka ke atas masyarakat dunia.
Individu yang bertanggungjawab menulis deraf Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, Charles Habib Malik, seorang pemikir Kristian berbangsa Lebanon, kemudiannya adalah orang yang sama di sebalik gerakan Phalangist yang membunuh sejumlah besar masyarakat awam Sabra dan Shatila di Palestin pada 1982.
Adakah dengan sikap dan tindakan hipokrasi ini, kita masih boleh reda dengan nilai-nilai dan tindakan di dalam ideologi HAM yang cuba digembar-gemburkan para aktivis ideologi ini, sama ada di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mahupun di dalam negara kita?
Begitu juga umum mengetahui sikap hipokrit Amerika Syarikat (AS) yang telah memujuk Israel untuk menyertai semula proses Semakan Berkala Sejagat, (Universal Periodic Review - UPR) Majlis Hak Asasi Manusia PBB setelah memboikot dan berundur daripada proses tersebut seketika pada Januari 2013 lalu akibat tidak tahan dengan tekanan-tekanan daripada Negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab serta beberapa organisasi HAM utama, termasuk Amnesty International berhubung kekejaman mereka terhadap masyarakat awam Palestin.
Sikap Israel ini bukan sahaja mendedahkan sifat bongkak mereka terhadap Majlis Hak Asasi Manusia PBB, tetapi menjadi bukti kukuh betapa ideologi dan tindakan HAM sebenarnya bukanlah suatu ideologi yang sempurna sehingga semua negara anggota perlu mengikut nilai-nilai yang diisytiharkan agar dapat dikategorikan sebagai 'memenuhi piawaian' HAM sejagat.
Di peringkat ASEAN pula, wujud sikap negara-negara yang menjunjung secara membuta tuli nilai-nilai HAM beracuankan ideologi liberal sekular Barat melalui tuntutan-tuntutan kebebasan bersuara (freedom of expression) tanpa batas dan hak-hak Lesbian, Gay, Bisexual & Transgender (LGBT).
Hal ini jelas terjadi melalui kempen dan lobi secara agresif untuk memasukkan klausa bagi mengiktiraf budaya seks songsang tersebut ke dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD) pada November 2012 semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh.
Semasa sesi rundingan masyarakat sivil mengenai deraf perisytiharan tersebut di Manila, Filipina pada September 2012, ternyata yang mendominasi percaturan gerakan tersebut adalah golongan NGO HAM minoriti yang mahukan hak mutlak membudayakan amalan songsang kaum Nabi Luth itu diizinkan dengan meluas di kalangan masyarakat ASEAN.
Pada mereka, oleh kerana sekurang-kurangnya 10 negara di seluruh dunia yang mengiktiraf perkahwinan sejenis sebagai satu lagi kategori institusi perkahwinan yang sah, maka negara di ASEAN perlu mengikut budaya dan hak tersebut demi mencapai penanda aras negara maju dan progresif dalam aspek-aspek HAM.
Apakah yang dapat kita pelajari daripada ketiga-tiga fakta di atas? Setiap kali pertubuhan-pertubuhan Islam (NGI) menyatakan kekhuatiran serta bantahan mereka tentang perkara-perkara yang melanggar batas Islam dan budaya tempatan akibat keghairahan NGO-NGO HAM membuat tuntutan-tuntutan mereka, maka NGI akan dilabel sebagai bermentaliti tertawan (siege mentality), bersikap ekstrem, ketinggalan, tidak progresif dan pelbagai lagi momokan negatif lagi menyakitkan hati.
Para NGI dan umat Islam yang menegaskan bahawa Islam terancam akan dikatakan ketakutan tidak berasas dan diperolok dengan dikatakan bahawa Islam itu tidak memerlukan perlindungan daripada sesiapa.
Namun begitu, melihat pada kebiadapan para aktivis HAM membuat tuntutan-tuntutan mereka di pelbagai pentas khususnya yang berkaitan dengan PBB, maka pada hakikatnya merekalah yang sebenarnya mempunyai minda tertawan, ketinggalan serta tidak progresif oleh kerana pada hakikatnya mereka ingin bebas daripada panduan hidup beragama serta budaya luhur semata-mata.
Malah, sikap mereka tidak menggambarkan realiti sebenar keadaan minoriti yang mendesak HAM tanpa batas tanpa memikirkan realiti agama, budaya serta latar belakang sejarah sesuatu negara, oleh kerana terselindung di sebalik kegiatan mereka, agenda sekular liberal yang mencengkam ideologi HAM tersebut.
Di Malaysia, aktivis-aktivis HAM ini menjadi bertambah kuat dan berani oleh kerana wujud sokongan dalam kalangan segelintir para pemimpin Muslim, khususnya pemimpin politik yang keliru dengan kefahaman agama mereka akibat kerangka sekular yang dianuti.
Mereka juga terlalu ghairah menyanjung ideologi HAM untuk mengangkat diri mereka sebagai juara isu dan permasalahan rakyat. Khususnya bermula semenjak 1999, ramai pemimpin politik ini merupakan aktivis jalanan serta semakin berjinak-jinak dengan gula-gula pendanaan asing yang diberikan melalui pelbagai bentuk wacana, latihan kepimpinan serta zamalah kesarjanaan berkaitan HAM, demokrasi dan kebebasan.
Yayasan-yayasan serta NGO-NGO Barat dengan begitu deras memasuki landskap aktivisme negara pada ketika itu bagi melatih anak-anak muda yang terpengaruh bahawa Malaysia perlu 'lebih demokratik' dan 'bebas' kerana kerajaan pada ketika itu zalim, terkebelakang serta tidak mengangkat HAM mengikut acuan Perisytiharan HAM Sejagat (UDHR).
Pada hakikatnya, NGO-NGO HAM tersebut menjadikan gerakan menyebarkan ideologi dan tindakan mereka sebagai suatu sumber pendapatan melalui akses dana dari dalam dan luar negara.
Kewujudan dan survival mereka sebagai NGO (walaupun banyak yang tidak berdaftar ataupun hanya berdaftar sebagai syarikat sendirian berhad) sebenarnya bergantung pada kemampuan mereka merekayasa tuduhan-tuduhan pelanggaran HAM di pihak kerajaan.
Kejayaan mereka mewujudkan situasi-situasi pelanggaran HAM ini menjadi justifikasi untuk mereka terus hidup atas bantuan dana yang kononnya memperjuangkan HAM, demokrasi dan kebebasan di negara-negara bukan Barat.
Yang terkini, kita boleh melihat betapa Gabungan NGO-NGO Malaysia dalam Proses UPR (COMANGO) (yang hanya mempunyai 12 NGO berdaftar daripada kira-kira 54 ahli gabungan) juga berkeupayaan bergerak secara aktif menyebarkan ideologi batil ini di merata pelosok dunia, memburukkan kedudukan Islam di Malaysia melalui pelbagai tuntutan tidak munasabah serta memberikan persepsi yang kurang tepat mengenai realiti sebenar HAM di Malaysia.
Hal ini mewujudkan persoalan yang besar tentang dokongan dana yang diperolehi golongan ini untuk melaksanakan strategi-strategi melobi di dalam dan di luar negara.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131017/re_05/Tolak-tuntutan-batil-hak-asasi-manusia#ixzz2i2BForX2
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment