DARI JENDELA TOK KI
UMNO dan Pas bakal menghadapi pilihan pucuk pimpinan tidak lama lagi. UMNO sebagai sebuah parti kaum Melayu terbesar perlu melakukan transformasi kerana pendekatan utama dalam dasar-dasar negara seperti pendidikan dan ekonomi sedang mengalami proses transformasi. Transformasi hanya boleh berlaku sekiranya transformasi dalam kepimpinan terjadi.
Pas harus jelas dengan tahalluf siyasinya. Pas ingin perjuangkan Islam tetapi DAP menolaknya. Pas ingin mengembalikan perjuangan akidah yang tulen, malangnya Anwar Ibrahim sedang mendukung fahaman pluralisme agama dan menyebabkan Abdul Hadi Awang terjebak dengan isu kalimah Allah kerana ia bercanggah dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas sendiri.
Kepimpinan adalah suatu taklif atau amanah. Maqasid syariyyah melandaskan lima perkara untuk dijadikan sumber amanah dan yang terpenting sekali adalah memelihara agama (Deen).
Perjuangan UMNO adalah kerana bangsa, agama dan negara. Agama dalam fahaman setulennya adalah suatu sistem kepercayaan dan cara hidup. Konsep orang Melayu di Malaysia amat penting diperkukuhkan oleh UMNO kerana konsep bangsa dalam al-Quran (Alhujurat: 13) meletakkan maksud bangsa dalam konteks litaarafu atau kekenalan. Bangsa adalah fitrah kejadian.
Konsep umat amat penting dijana seperti terungkap dalam Surah al Imran (110) iaitu maksud umat terbaik dimana dukungan terhadap yang makruf terjadi, pencegahan terhadap kemungkaran berlaku dan beriman kepada Allah SWT menjadi tunjangan.
UMNO yang menjadi teras kerajaan banyak memberi sumbangan kepada negara mengenai transformasi terhadap sistem. Perubahan ke arah Islam dalam ilmu dan pendidikan, ekonomi dan institusi kewangan, undang-undang syariah dan keluarga, menyantuni golongan miskin, membiaya pelajar-pelajar terpilih dengan bantuan kewangan dalam dan luar negara adalah sesuatu yang makruf.
Ia adalah suatu taklif untuk disempurnakan dengan lebih kukuh lagi kerana perjuangan memartabatkan umat adalah suatu proses dan ia belum selesai.
Pas juga memilih untuk memartabatkan Islam, malangnya berkembang dalam bahasa retorik dan melabel yang melampau. Apa yang terjadi di Mesir harus menjadi bahan renungan pendukung Pas bahawa menjatuhkan sesebuah rejim boleh berlaku tetapi mengurus sebuah kemenangan tidaklah mudah.
UMNO jangan berkecil hati bila Pas melabel UMNO menolak Islam. Itu hanya kenyataan politik bayangan jiwa kerdil yang tidak mahu menerima kebenaran. Kelulusan kerajaan baru-baru ini untuk menubuhkan sebuah Kolej Universiti al-Quran adalah suatu testimoni komitmen kerajaan terhadap pendidikan Islam.
Kefahaman mengenai kepimpinan Islam UMNO tidak hanya terlihat kepada penglibatan para ustaz semata-mata tetapi yang amat penting adalah fikrah kepimpinan UMNO dalam latar kepimpinan politik, professional, teknokrat dan usahawan yang melihat faktor Islam perlu diperkukuhkan dalam gerak kerja politik dan negara.
Amanah ini amat penting didukung kerana mendepani pengaruh Barat dan Timur di alaf 21 memerlukan ilmu, upaya berfikir, strategi bijaksana dan peribadi teladan supaya kemakrufan berkembang dan kemungkaran dapat diatasi.
Sekiranya ini dapat diperkukuhkan dalam kepimpinan UMNO, UMNO akan tetap relevan dan mampu menyumbang kepada umat Melayu yang menjadi teras kepada kepimpinan Malaysia.
Kepimpinan UMNO tidak harus gusar dengan cabaran Pas kerana pendekatan UMNO yang transformatif dengan melakukan tajdid kepimpinan dan pembangunan negara akan menyebabkan dukungan rakyat semakin bertambah.
Ahli UMNO harus membuat pilihan yang bijak dan berani supaya transformasi kepimpinan yang bakal terjadi dan transformasi negara yang bakal berlaku adalah suatu taklif atau amanah yang wajib disempurnakan.
Politik wang untuk membeli pengaruh adalah barah yang boleh melumpuhkan UMNO. Fikirkan nasib generasi hari depan dan kelangsungan orang Melayu untuk menjadi umat contoh dan mampu menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam yang dihormati dunia.
Justeru, pilihan yang ada bagi UMNO adalah kepimpinan yang berkualiti dengan peluang memilih yang semakin meluas, membolehkan demokrasi berjalan untuk menyaring yang terbaik dan mampu memartabatkan kedudukan umat Melayu dan Islam itu sendiri sebagai asas ketamadunan hari depan Malaysia.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131008/re_02/Kepimpinan-adalah-suatu-amanah#ixzz2hBp1BWzD © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment