"JANGAN cakap pasal kebaikan beli insurans perubatan dan kesihatan untuk anak-anaklah pada saya. Memanglah insurans ini bagus untuk masa depan dan kecemasan, masalahnya wang untuk belanja makan dan sekolah anak-anak pun saya perit hendak keluarkan setiap bulan," kata seorang lelaki apabila disapa oleh seorang penjual insurans di sebuah restoran di ibu kota baru-baru ini.
Saya yang duduk meja yang berjauhan daripada lelaki yang bertali leher itu pun boleh mendengar rungutan panjangnya di depan kawan-kawannya setelah penjual insurans berkenaan berlalu dengan senyum yang kelat. Kata lelaki itu, jangan ingat gaji RM5,000 atau RM6,000 sebulan di Kuala Lumpur ini sudah cukup senang. Duit keluar macam air, kena bayar macam-macam dengan pendapatan yang telah dipotong dengan cukai pendapatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), berapalah yang tinggal untuk dia dan keluarganya, inikan pula mahu beli insurans.
Dengan nada bergurau, katanya, dia nampak saja memakai tali leher ke pejabat tetapi sebenarnya hidup susah dan boleh dimasukkan dalam kategori kemiskinan bandar, sambil disambut gelak ketawa oleh rakan-rakannya. Tambahnya, mereka yang berpendapatan bawah RM3,000, sekurang-kurangnya boleh dapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk mengurangkan bebanan hidup selain boleh memohon macam-macam bantuan, tetapi golongan pertengahan sepertinya, susah pun tanggung sendirilah atau 'mengadu' pada bank.
Sememangnya, rungutan seperti ini biasa didengar di mana-mana terutamanya yang tinggal di bandar-bandar. Pendapatan yang mencecah RM6,000 sebulan pun bukan dikira selesa untuk tinggal di bandar. Inikan pula bagi yang berpendapatan di bawah jumlah itu. Semua perlu membayar ansuran bulanan rumah, kenderaan, duit petrol, duit persekolahan anak-anak, makan dan lain-lain keperluan asas.
Bagi yang menyewa rumah di bandar, sewa untuk pangsapuri yang sempit pun sekurang-kurangnya RM700 sebulan dan sekarang ini membawa wang RM50 untuk membeli keperluan dapur di pasar raya, pun tidak memerlukan troli, guna bakul atau pegang sahaja barang-barang itu.
Bukan banyak pun barang yang dapat dibeli dengan jumlah tersebut. Sebabnya, harga barang-barang keperluan selalunya naik dari semasa ke semasa.Tak dibenarkan naik pun, akhirnya naik juga dengan alasan kos pengangkutan, operasi dan lain-lain, mana ada harga barangan yang turun.
Dengan kos sara hidup yang tinggi di bandar, maka sebenarnya tidak banyak bezanya kesusahan dan keperitan yang perlu ditanggung oleh golongan pertengahan dengan yang berpendapatan rendah.
Adakalanya golongan yang berpendapatan rendah yang tidak mempunyai kenderaan dan menaiki kenderaan awam ke mana-mana, lebih boleh menarik nafas lega berbanding golongan pertengahan yang terpaksa membayar ansuran kenderaan dan mengisi petrol setiap bulan, bahkan kena memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan setiap tahun.
Sekiranya dikaitkan golongan pertengahan ini dengan kemiskinan, mungkin ada kebenarannya juga. Sememangnya, takrifan kemiskinan tidak dapat dinyatakan secara tepat dan mutlak kerana ia bersifat subjektif mengikut keadaan dan tempat.
Bagaimanapun secara umumnya, kemiskinan biasanya dikaitkan dengan pendapatan yang sedikit dan ketidakmampuan ketua keluarga dan isi rumah untuk memenuhi keperluan harian. Dan sekiranya golongan pertengahan ini mengalami keadaan yang sama seperti yang ditakrifkan, maka boleh jadilah juga mereka miskin.
Mengambil kira kepada realiti semasa ini, sewajarnya takrif kemiskinan di negara ini juga disemak semula agar ia benar-benar mencerminkan suasana semasa. Garis kemiskinan kebangsaan ketika ini adalah berdasarkan pendapatan bulanan minimum isi rumah sebanyak RM760 di Semenanjung Malaysia, RM1,050 di Sabah dan RM910 di Sarawak.
Maka satu garis panduan kemiskinan yang lebih realistik perlu diwujudkan supaya kerajaan boleh menggubal dasar-dasar serta program -program yang lebih berkesan dalam menangani masalah berkaitan kemiskinan daripada pelbagai peringkat masyarakat.
Justeru, sudah semestinya, Bajet 2014 yang akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini, adalah juga ditunggu-tunggu oleh golongan pertengahan ini.
Sebabnya, mereka ingin tahu apa langkah-langkah yang boleh mengurangkan kos sara hidup mereka. Golongan ini sepatutnya tidak diabaikan kerana mereka ini ramai dan pembayar cukai yang tinggi. Dan, ketika negara mahu mengejar status rakyat berpendapatan tinggi, tentunya status itu tidak memberi sebarang makna sekiranya kuasa beli mereka rendah akibat terpaksa menanggung kos kehidupan yang tinggi. Itu belum masuk bab-bab kualiti hidup mereka lagi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131023/re_03/Kemiskinan-sudah-berubah-elok-takrifannya-diteliti-semula#ixzz2ibnJaaxh © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment