PENULIS ialah Ahli Majlis Perundingan Melayu Malaysia.
RAKYAT PERLUKAN PERLINDUNGAN... TAPI POLI...TIKUS-TIKUS DI PARLIMEN DAN NGOkkkk-NGOkkkk PEMBANGKANG AJE YANG KALUT.... KENAPA?
BEGITU panas isu ini dibincangkan dan akhirnya Akta Pencegahan Jenayah (PCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 diluluskan juga. Kita tidak perlu lagi melihat bagaimana perbahasan ini dijalankan dalam suasana yang cukup tegang. Apa yang pasti, kita perlu memberi perhatian bagaimana akta ini boleh memberi kelebihan dalam usaha kita membanteras pelbagai kes jenayah berat dan juga jenayah yang terancang.
Sebelum kita berbicara dengan lebih panjang, kita lihat dahulu beberapa fakta yang cukup membimbangkan. Daripada beberapa artikel yang saya baca terdapat laporan yang menyatakan terdapat kira-kira 266,000 penjenayah yang di dalam negara berikutan pemansuhan Akta Ordinan Darurat (EO) pada 2011. Angka itu diperoleh berdasarkan jumlah suspek yang dibebaskan dari Penjara Simpang Renggam, Johor tidak berapa lama dahulu.
Dan tentunya ramai di antara kita yang masih ingat, beberapa bulan lalu, bagaimana hampir setiap hari ada sahaja berlaku kejadian tembak dan bunuh yang menyebabkan beberapa kematian berprofil tinggi.
Antara perkara yang paling banyak dibahaskan adalah tentang isu penahanan tanpa bicara. Secara umum, tindakan seperti ini boleh diibaratkan seperti undang-undang yang tidak berperikemanusiaan, namun ia terpaksa dilakukan apabila kita memikirkan soal kepentingan dan keselamatan rakyat. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah membuat kenyataan dan memberikan pelbagai penjelasan akan isu ini. Menurut beliau:
"Ia (pindaan) bertujuan pencegahan dan tidak ada penahanan tanpa bicara kerana jika keputusan Lembaga Pencegahan Jenayah (yang akan ditubuhkan) tidak memuaskan hati peguam penjenayah yang ditahan, ia boleh terus dibawa ke mahkamah tinggi, bukan atas nama rayuan 'habeas corpus'.
"Tetapi semakan semula dilakukan, ertinya kuasa terakhir adalah Mahkamah Tinggi dan bukan Lembaga Pencegahan Jenayah... ini harus difahami.''
Akta Pencegahan Jenayah memastikan arahan tahanan tidak boleh dikeluarkan oleh cabang eksekutif dalam kerajaan. Ini bermakna arahan penahanan tidak lagi diputuskan oleh menteri atau bahagian eksekutif dalam kerajaan. Arahan ini juga akan diteliti oleh Dewan Rakyat setiap tahun dan ia akan disemak semula setiap lima tahun. Faktor-faktor yang disebut ini merupakan antara sebab mengapa PCA perlu disokong kerana matlamat utamanya adalah untuk membanteras jenayah.
Dunia hari ini semakin pantas dengan kemajuan teknologi yang begitu canggih. Dan sudah pastinya juga , usaha meluluskan PCA diambil kira untuk mengukuh dan memperkasakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang boleh dianggap lapuk dan mungkin tidak relevan lagi apabila kita melihat arus teknologi yang semakin cepat perkembangannya.
Dan sudah pastinya juga pindaan ini memberi peluang kepada pihak polis mengambil tindakan dengan lebih berkesan terhadap penjenayah dan sekali gus membendung aktiviti jenayah daripada terus meningkat. Hanya beberapa bulan lalu, pihak polis seolah-olah dipersalahkan apabila kadar jenayah semakin meningkat. Itulah sebabnya PCA diperlukan untuk membolehkan pihak polis menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Kita sememangnya tidak boleh menafikan yang kadar peratusan jenayah berat dan jenayah terancang daripada keseluruhan peratusan indeks jenayah telah meningkat, dan rakyat semakin bimbang dengan tahap keselamatan mereka.
Kita perlukan Malaysia untuk terus menjadi sebuah negara yang aman. Negara yang mana rakyatnya tidak berasa takut kerana mereka tahu undang-undang ada menyebelahi mereka. Bayangkan jika jenayah berat dan jenayah yang dirancang terus bermaharajalela, imej negara juga akan tercemar.
Pastinya ia akan menjadi tajuk perbualan bukan sahaja di warung-warung kopi tetapi juga di peringkat antarabangsa. Dan apabila ini berlaku, maka nama baik negara dan reputasi Malaysia sebagai negara yang aman dan selamat, pastinya akan terjejas dan kemungkinan besar kita tidak dapat lagi menarik minat pelabur-pelabur asing untuk mencuba nasib mereka di sini.
Bukan itu sahaja, kadar jenayah berat yang tinggi juga akan menyebabkan para pelancong berasa tidak selamat dan kemungkinan besar akan memilih destinasi lain. Tahun 2014 adalah tahun Melawat Malaysia dan pastinya pembangunan ekonomi akan terjejas jika jenayah berat ini tidak dibendung.
Penulis juga amat tertarik dengan kenyataan Ahmad Zahid yang melihat kepentingan akta ini dari sudut politik. Menurut beliau, terdapat kemungkinan kumpulan jenayah terancang mempengaruhi ahli-ahli politik dan pegawai-pegawai kanan kerajaan supaya melindungi kegiatan mereka.
Jika ini berlaku maka, akan menyebabkan institusi kerajaan hilang kewibawaannya dan tentunya perkara seperti ini mesti dielakkan daripada terjadi.
Suara-suara sumbang yang menyatakan bahawa PCA seolah-olah hanya topeng kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga tidak benar. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ISA berbeza kerana ISA memberi kuasa begitu luas untuk menahan seseorang individu tanpa proses mahkamah sebaliknya kuasa itu diberikan kepada pihak polis dan Menteri Dalam Negeri.
"Tetapi kali ini (di bawah pindaan akta) keputusan akan dibuat oleh pihak hakim, jadi kalau polis menahan sesiapa, ia perlu menyakinkan pihak hakim bahawa individu tertentu ini perlu ditahan," begitulah yang ditegaskan oleh Perdana Menteri. Najib juga memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku penganiayaan terhadap sesiapa.
Menurut beliau lagi, seseorang itu tidak ditangkap hanya kerana mempunyai pendirian dan ideologi politik yang berbeza daripada kerajaan.
Apa yang jelas, akta ini hanya terpakai sepenuhnya terhadap penjenayah dan sememangnya tidak akan disalahgunakan atau dimanipulasi untuk menahan atau memenjarakan pihak yang mempunyai fahaman politik yang berbeza. Ini adalah satu jaminan dan penulis yakin akan perkara ini.
Sebenarnya isu ini telah banyak kali diperjelaskan dan apa yang pasti akta ini semata-mata diperkasakan untuk memerangi jenayah terancang kerana pada hari ini, penjenayah sudah semakin terbuka dan berani dengan tindakan mereka.
Kesimpulannya, kita sebagai rakyat Malaysia harus sedar bahawa akta ini amat diperlukan bagi membantu dan memastikan pihak berkuasa diberi ruang yang secukupnya untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab menjaga keselamatan negara. Dalam hal ini kepentingan negara perlulah diberikan keutamaan dari sebarang agenda politik.
Apa yang dilakukan oleh kerajaan menunjukkan bahawa kerajaan sememangnya memandang serius untuk membendung dan menangani isu jenayah khasnya yang berkaitan dengan jenayah berat dan jenayah yang dirancang.
Oleh itu, tidak ada salahnya PCA diluluskan, kerana sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan politik, tentunya kita tidak mahu, satu hari nanti melihat nama Malaysia berada di tangga teratas negara yang mempunyai kadar jenayah yang paling tinggi di rantau ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131008/re_01/Bertindak-sekarang-sebelum-terlambat#ixzz2hBQojnT2
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment