Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 24 February 2016

Zeti harap siasatan 1MDB 
lengkap sebelum bersara

24 Februari 2016 1:28 AM


KUALA LUMPUR 23 Feb. – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berharap, beberapa siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang sedang dijalankan oleh BNM dapat dilengkapkan, sebelum be­liau bersara pada hujung April ini.

Zeti Akhtar Aziz

Beliau berkata, beberapa usaha sedang dilaksanakan bagi memastikan siasatan yang diadakan ke atas syarikat pelaburan strategik kerajaan itu dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan baki perkhid­matannya.

“Inilah antara usa­ha yang dibuat bagi memastikan sebarang siasatan dibuat dapat diselesaikan dalam baki tempoh perkhidmatan saya. Saya mahu ia diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan pengganti saya nanti tidak menghadapi sebarang masalah yang berpanjangan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah bagi membina Pusat Pengajian Perniagaan Asia (ASB) di sini hari ini.

Pembinaan ASB yang turut mendapat kerjasama akademik daripada Sekolah Pengurusan Sloan di bawah Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat, terletak bersebelahan BNM dan dijangka siap pada 2018 dengan sesi pengajian dijangka bermula pada 2019.

Zeti dijangka menamatkan perkhidmatannya sebagai Gabenor BNM pada 30 April ini setelah mengetuai bank pusat itu sejak Mei 2000. Beliau merupakan antara tokoh penting di peringkat pembuat dasar sehingga berjaya mengeluarkan Malaysia daripada menerima kesan paling buruk akibat Krisis Kewangan Asia pada 1997 dan 1998.

Beliau sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk tidak menyambung perkhidmatannya atau menerima lantikan semula sebagai gabenor, dan berharap penggantinya mempunyai latar belakang yang relevan, selain tidak dipilih dalam kalangan ahli politik atau individu yang membawa agenda politik pihak tertentu.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tiga tokoh yang disebut-sebut menggantikan Zeti ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah serta tiga Timbalan Gabenor BNM.

Sementara itu, ditanya mengenai siasatan BNM terhadap pemindahan wang oleh 1MDB, Zeti berkata, masih terlalu awal untuk memberi sebarang ulasan kerana siasatan itu belum dimuktamadkan lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, institusi kerajaan termasuk BNM masih mempamerkan rekod yang baik dalam menjaga sistem kewangan negara, meskipun ada kajian menunjukkan keyakinan umum terhadap kerajaan telah merosot.

“BNM sentiasa memastikan usaha-usaha dibuat untuk menangani kelemahan negara dengan melaksanakan dasar-dasar yang bersesuaian ketika menghadapi persekitaran ekonomi yang mencabar. Hal itu dapat dibuktikan apabila Malaysia tidak menghadapi gangguan dari segi aliran kewangan seperti negara-negara lain.

“Saya percaya majoriti penduduk negara ini masih percaya dan menghormati BNM sebagai institusi, malah memberi harapan kepada kami untuk memastikan kewangan negara ini berkedudukan stabil. Mungkin rizab mata wang asing negara telah merosot sejak kebelakangan ini, namun ia mulai stabil dan kembali meningkat naik,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/zeti-harap-siasatan-1mdb-8232-lengkap-sebelum-bersara-1.193878#sthash.EwbP2ot0.dpuf


No comments: