Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 24 February 2016

Umpama api dalam sekam

SAFINA RAMLI | 24 Februari 2016 12:01 AM

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Tindakan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering mengeluarkan kenyataan mengkritik kepemimpinan negara dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion umpama api dalam sekam yang secara perlahan-lahan boleh merosakkan parti.


Ketua Penerangan UMNO Wila­yah Persekutuan, Datuk Mustapha Kamal Mohd. Yusoff berkata, Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi peluang kepada Muhyiddin namun beliau tidak menggunakan peluang itu dengan betul.

“Kalau nak cakap apa pun buat secara tertutup bukan secara terbuka, Presiden telah memberi pe­luang kepada beliau, jika beliau masih membawa keburukan kepada parti lebih baik beliau undur diri sahaja.

“Sekarang Muhyiddin seperti api dalam sekam, untuk me­nguatkan parti kita kena bersatu jangan waktu gelora kita ambil kesempatan,”katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz meminta Muhyiddin berundur daripada jawatannya jika tidak mahu menjalankan tanggungjawab membantu Presiden parti.

Nazri mengulas mengenai ucapan Muhyiddin di Teluk Kemang, Port Dickson, Sabtu lalu yang yang dilaporkan berkata, rakyat tidak diberikan penjelasan yang mendalam mengenai pelbagai isu termasuk isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata, tindakan Muhyiddin itu amat mengecewakan kerana ia seolah-olah memudahkan pakatan pembangkang memperlekehkan UMNO.

“Pakatan pembangkang kini boleh ambil cuti sakit sebab kerja mereka kini dilakukan oleh Timbalan Presiden UMNO.

“Sampai bila perkara ini harus berlarutan, dalam perlembagaan parti Timbalan Presiden perlu membantu Presiden dalam mengurus tadbir parti, jika Timbalan Presiden gagal kita sokong Timbalan Presiden letak jawatan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Puteri UMNO, Haryaty Hamdzah pula berkata, perbezaan pandangan antara pemimpin merupakan perkara biasa di dalam UMNO, namun ia tidak boleh dilakukan sehingga melampaui batas.

“Berbeza pandangan dalam kepemimpinan UMNO kita sudah biasa melalui proses tersebut tetapi tidak boleh melampau hingga sebabkan ahli keliru.

“Cara pengikut yang baik ialah Timbalan Presiden seharusnya menjadi Timbalan Presiden yang berkesan dan jangan sebabkan perpecahan serta menjadikan ahli berpuak-puak,”jelasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/umpama-api-dalam-sekam-1.193871#sthash.BNHajElR.dpuf


Pemimpin UMNO 
Bahagian desak Muhyiddin dikenakan tindakan tegas

24 Februari 2016 1:29 AM

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Pemimpin-pemimpin UMNO bahagian hari ini mendesak Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat enggan bekerjasama de­ngan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak serta berterusan mengkritik parti menerusi saluran yang salah.

Ini kerana menurut mereka, tindakan Timbalan Presiden UMNO itu boleh menyebabkan parti berpecah sedangkan semua pihak sepatutnya bekerjasama bagi memastikan ahli-ahli kekal bersatu dan tidak ber­puak-puak.

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, UMNO perlu bertindak segera ke­rana Muhyiddin dilihat bukan sahaja mengabaikan saluran parti untuk mengkritik, malah tindakannya kini semakin keterlaluan dan boleh membawa kepada kehancuran.

“Dalam situasi sekarang UMNO memerlukan kekuatan antara dua pucuk pimpinan tertinggi demi membina kekuatan parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Tetapi apa yang berlaku adalah Muhyiddin semakin banyak me­lakukan provokasi terhadap parti dan saya lihat akhirnya nanti boleh membawa kepada unsur sabotaj terhadap Presiden yang sedang bekerja keras memulihkan kekuatan UMNO di semua peringkat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz seperti dilaporkan hari ini meminta Muhyiddin berundur daripada jawatannya jika beliau tidak lagi mahu menjalankan tanggungjawabnya membantu Presiden UMNO mengukuhkan parti serta kerajaan.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi berkata, tindakan tegas daripada Lembaga Disiplin UMNO perlu sebagai pengajaran kepada semua ahli bahawa keutamaan terhadap parti melebihi kepentingan peribadi.

“Saya melihat apa sahaja percakapan dan tindakannya tidak lagi menggambarkan beliau sebagai pemimpin nombor dua parti kerana semuanya lebih kepada memburuk-burukkan UMNO.

“Jadi seelok-eloknya parti mengambil tindakan tegas. Mana-mana pemimpin pun perlu sedar jika mahu mengkritik mesti meng­ikut saluran betul, bukannya sesuka hati demi kepentingan diri sendiri,” tegasnya.

Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya pula berkata, setiap ahli UMNO perlu berpegang kepada prinsip bahawa siapa sahaja ketua yang dilantik mesti ditaati dan jika ada perkara yang tidak dipersetujui perlu di­sampaikan dengan betul, namun jika ingkar mereka perlu sedia dihukum.

“Pada pendapat saya, terpulang kepada Lembaga Disiplin parti untuk meneliti apa ucapan yang telah beliau sampaikan selama ini. Jika dilihat menerusi YouTube, banyak ucapannya yang bertentangan de­ngan hala tuju UMNO.

“Ahli sebenar harus mentaati prinsip iaitu walaupun tidak suka kepada pemimpin atau ketua, mereka perlu tetap disokong dan dihormati kerana telah dilantik dan tegur di dalam mesyuarat MT,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, salam perpa­duan daripada Najib telah dihulur kepada Muhyiddin dalam Perhimpunan Agung UMNO lepas, tetapi ditolak yang menunjukkan bahawa sudah tiba masanya Timbalan Pre­siden UMNO itu berundur.

“Presiden mahu semuanya satu nada, beliau hulur salam perpaduan tetapi ditolak. Ini bukanlah masa untuk kita terus bergaduh, sepatutnya semua kena bersatu. Kalau tidak setuju maka demi kepenti­ngan UMNO berundurlah daripada parti,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pemimpin-umno-8232-bahagian-desak-muhyiddin-dikenakan-tindakan-tegas-1.193880#sthash.m2JEdE4M.dpuf


No comments: