Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 2 February 2016

Ditentukan hari ini

Kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah

JAMLIAH ABDULLAH | 02 Februari 2016 1:05 AM



TUNKU Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah ,Tunku Sallehudin Sultan Badlishah (kanan) dan isteri, Toh Puan Temenggong, Tengku Maliha Tengku Arif (tengah) diiringi Mukhriz Mahathir berkenan ke Istiadat Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Perayaan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-88 di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, semalam. UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

ALOR SETAR 1 Feb. - Kedudukan Datuk Seri Mukh­riz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah akan ditentukan esok apabila Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah mengadakan pertemuan dengan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pembangkang di Wisma Darul Aman di sini.

Pertemuan tersebut terpaksa diadakan bagi membolehkan jumlah majoriti mudah 19 ADUN sama ada mereka bersetuju atau tidak Mukhriz digantikan, ditentukan.

Hal ini kerana pertemuan hari ini antara Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah dengan 20 ADUN Barisan Nasional (BN) yang bermula pada pukul 3 petang dan berakhir kira-kira sejam kemudian gagal memperoleh angka majoriti mudah berkenaan.

Keadaan itu berlaku apabila ada antara 19 ADUN BN yang sebelum ini menandatangani akuan bersumpah bersetuju Mukhriz digantikan me­ngubah fikiran pada saat-saat akhir walaupun telah berjanji dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengekalkan pendirian mereka dalam pertemuan di Kuala Lumpur semalam.

“Kalau terpaksa panggil ADUN pembangkang menghadap Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, maknanya jumlah 19 ADUN bersetuju Mukhriz diganti tidak diperoleh,’’ kata satu sumber kepada Utusan Malaysia.

Sumber itu berkata, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tidak mempunyai pilihan selain daripada memanggil ADUN pembangkang menghadap untuk mencapai keputusan.

Apatah lagi, Mukhriz dikatakan enggan meletakkan jawatan walaupun diminta berbuat demikian oleh Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

“Ini adalah kali kedua beliau menolak setelah diminta berbuat demikian pada Jumaat lalu di Kuala Lumpur, “ kata sumber tersebut.

Kedah mempunyai 36 DUN dengan BN menguasai 21 kerusi, Pas (8 kerusi), PAN (1 kerusi), PKR (4 kerusi) dan DAP (2 kerusi).

Ditanya apakah kemungkinan yang akan berlaku, sumber itu berkata, ia sukar diramalkan.

‘’Malah tidak mustahil juga jika konflik ini berlanjutan sehingga ke sidang DUN bagi membentangkan undi tidak percaya kepada Mukhriz. Ini memandangkan dalam keadaan sekarang Mukhriz tidak boleh menjalankan pentadbiran negeri berikutan sekurang-kurangnya 18 ADUN BN termasuk exco kerajaan negeri tidak menyebelahi beliau,’’ kata sumber tersebut.

Dalam pada itu beberapa ADUN pembangkang ketika dihubungi mengesahkan menerima jemputan menghadap Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah esok.

ADUN Pengkalan Kundor daripada PAN, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, beliau bagaimanapun tidak dimaklumkan tujuan perjumpaan berkenaan namun mempercayai ia berkaitan kes kemelut Menteri Besar itu.

Begitu juga dengan ADUN Sidam daripada PKR, Robert Ling Kui Ee yang mengesahkan perjumpaan berkenaan dan memberitahu akan mengadakan perjumpaan dengan ADUN pembangkang bagi membincangkan pendirian mereka terhadap isu itu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/ditentukan-hari-ini-1.185895#sthash.1YAYYioN.dpuf

No comments: