Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 4 October 2012

Wujudkan akta kawal dana asing




KUALA LUMPUR 2 Okt. - Kerajaan disaran menggubal satu undang-undang atau akta untuk mengawal kemasukan dana asing terutama melibatkan pemberian dana kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, menerusi akta berkenaan, semua NGO perlu mengisytiharkan penerimaan dana terbabit kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Menurutnya, perkara itu telah diamalkan di Amerika Syarikat (AS) melalui Akta Pendaftaran Ejen Asing (FARA) dengan semua penerimaan dana luar oleh mana-mana pertubuhan perlu diisytiharkan kepada kerajaan.

''Saya katakan demikian sebab baru-baru ini timbul isu Suara Inisiatif Sdn. Bhd. terima dana asing dan menyalurkannya kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram). Mereka yang terlibat dalam Suaram pun ada dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

"Apa-apa pun hujah, mereka kata ini (terima dana asing) tak salah, kita tahu dana itu datang daripada beberapa agensi yang ada agenda politik.

''Kita lihat kebangkitan rakyat di Asia Barat atau 'Arab Springs', memang dalangnya daripada NGO asing. Ini kaedah atau strategi Central Intelligence Agency (CIA) dan Pentagon menggunakan kuasa ketiga iaitu NGO bantu Arab Springs," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, isu kemasukan dana asing yang mempunyai agenda politik perlu ditangani segera dengan penubuhan akta berkenaan.

''Jangan terlambat, bertindak sekarang. Jangan takut-takut. Ini untuk keselamatan negara dan bukannya untuk menyekat demokrasi. Tak boleh samakan dengan dana yang diterima kerajaan kerana dana itu diaudit dan ada laporannya.

''Dana asing lain itu dana sulit. Masuk ke dalam Suaram. Pihak yang menerima dana asing ini (yang ada agenda sulit), mereka tidak ada semangat patriotik," tegasnya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan supaya menyediakan imbuhan kepada NGO melalui bajet atau perbelanjaan negara.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta Kementerian Pelajaran menyiasat buku teks Harga Sebuah Lukisan untuk pelajar tingkatan tiga yang didapati menyelitkan nama surah palsu yang boleh mengelirukan pelajar Islam.

Mengenai Bajet 2013, Ibrahim meminta semua pihak khususnya pembangkang mengiktiraf kejayaan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara.

''Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berhujah dan saya tak hairan sebab kerjanya membangkang. Tetapi isu ekonomi memerlukan kepakaran. Kita semua tahu sebelum Menteri Kewangan (Datuk Seri Najib Tun Razak) membentangkan bajet, ada dialog-dialog dengan golongan berkepentingan kemudiannya melibatkan agensi kerajaan dan pakar-pakar.

''Bajet tak digubal sekelip mata. Ini untuk rakyat," katanya.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman menggesa mana-mana pihak yang menuduh bajet berkenaan hanya memberi faedah kepada kroni-kroni kerajaan supaya bertaubat.

''Bertaubatlah. Terutama yang menuduh sedemikian itu orang Islam. Sementara pintu taubat masih terbuka. Kita tahu apa hukum buat tuduhan, memfitnah. Bila nak insaf? Cukuplah, sudahlah.

''Tuhan dah beri peluang. Jangan tunggu peluang ketiga, nanti langsung tiada peluang (bertaubat)," jelasnya.


No comments: