Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 4 October 2012

Sokong gubal segera Akta Patriotik dan Kesejahteraan Kaum


DARI UTUSAN MALAYSIA
3/10/2012


KUALA LUMPUR 2 Okt. - Akta Patriotik dan Kesejahteraan Kaum wajar digubal dan dilaksanakan segera bagi memastikan kedaulatan negara dipertahankan dan terpelihara.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, sudah tiba masanya akta tersebut dilaksanakan agar kesejahteraan dan keamanan yang dibina sejak sekian lama tidak musnah ekoran campur tangan asing.

“Segelintir masyarakat hari ini semakin tinggi pengetahuan mereka, namun didapati semakin rendah moralnya, justeru akta ini perlu segera digubal bagi menyekat perilaku lebih buruk," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah supaya Akta Patriotik dan Kesejahteraan Kaum digubal segera bagi menyekat sebarang anasir negatif menyusup masuk ke negara ini dan meracuni pemikiran rakyat.

Jelas Azwanddin, akta itu perlu bagi menyekat campur tangan asing yang menggunakan medium media massa termasuk portal berita bagi merealisasikan tujuan tersebut.

Sebelum ini beberapa pihak menyuarakan cadangan pembentukan Akta Patriotik dan Kesejahteraan Kaum bagi menghalang cubaan anasir luar menghuru-harakan negara.

Tambah Kamaruddin, dengan adanya akta tersebut dan hukuman setimpal dapat dilaksanakan, sudah tentu tiada pihak berani melakukan perkara buruk berkenaan.

Sementara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman berpendapat, sifat kesetiaan kepada negara semakin terhakis dan lebih mengecewakan apabila ada pihak di dalam negara ini yang rela membantu merealisasikan usaha campur tangan asing.

“Campur tangan asing jelas merupakan satu ancaman kepada negara, maka amat penting akta ini digubal segera bagi menjamin keharmonian negara pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Insan Nasional (Kesan), Mohammad Afandy Yusof berkata, kewujudan akta berkenaan mampu melindungi Parlimen dari kehadiran tali barut pihak asing.

“Akta ini dapat menangkis niat jahat tali barut asing bertopengkan badan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan hak kebebasan bersuara.

“Saya juga percaya akta ini dapat melindungi pemikiran rakyat daripada maklumat yang sudah dimanipulasi oleh media massa dan portal internet yang dibiayai oleh pihak asing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohammad Afandy, beliau turut menyokong penuh cadangan daripada JMM agar akta itu digubal segera bagi memastikan tiada sebarang anasir negatif dapat menyusup masuk dan meracuni pemikiran rakyat.

Katanya, akta sedemikian terbukti berkesan apabila akta yang sama telah lama diguna pakai di Amerika Syarikat dan sekutunya yang mempunyai tujuan yang sama.

“Jadi, kita seharusnya mempunyai akta yang sama secepat mungkin bagi mempertahankan negara dari ancaman luar secara halus dan penyaluran dana pihak asing sebelum terlambat," katanya.


No comments: