Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 26 March 2015

‘Kebebasan mutlak bukan di sini’ - DUDUK DLM HUTAN PUN RIMAU PERHATI AJE...

Perdana Menteri menegaskan kepentingan Akta Hasutan dan Rang Undang-Undang Anti Keganasan adalah tepat

MOHD. ASRON MUSTAPHA | 26 Mac 2015 2:27 AM


NAJIB TUN RAZAK melakukan tabik hormat dalam Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-208 di Kuala Lumpur, semalam. Di sebelah beliau ialah Khalid Abu Bakar. – UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

KUALA LUMPUR 25 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kebebasan mutlak tanpa sebarang rasa bertanggungjawab yang cuba dituntut dan diinginkan pihak tertentu tiada tempat di negara ini.

Serentak dengan itu, beliau dalam nada tegas mempertahankan kepentingan Akta Hasutan, selain turut menyifatkan langkah kerajaan menggubal dan bakal membentangkan Rang Undang-Undang Antikeganasan adalah tepat.

Pada masa yang sama, Najib berkata, tiada sebab untuk kerajaan apologetik dalam usaha memelihara keamanan dan keselamatan negara, walaupun beberapa pihak menuduh langkah tersebut sebagai tidak demokratik.

“Kerajaan mesti pastikan tidak berlaku sebarang bentuk keganasan dalam negara kita, tidak perlu apolo­getik walaupun mungkin akan ada yang kata ini tidak demokratik. Saya nak kata bahawa tiada kebebasan mutlak.

“Kebebasan mutlak tanpa rasa tanggungjawab tiada tempat di negara ini, kita akan pastikan setiap warganegara ikut lunas undang-undang,” katanya semasa berucap pada Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-208 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sambutan tersebut turut diserikan dengan terbang lintas tiga buah helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM), gimik pertunjukan membasmi jenayah pemerdagangan manusia oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan penyampaian Anugerah Integriti PDRM.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, untuk mentadbir dan memastikan sesebuah negara itu menjadi teguh serta kuat, terdapat empat aspek terpenting yang perlu diberi perhatian oleh mana-mana kerajaan.

Menurutnya, aspek pertama adalah mempunyai struktur ekonomi yang kukuh, disusuli kestabilan politik serta perpaduan erat dalam kalangan rakyat sebelum yang ter­akhirnya ialah aman tanpa sebarang kacau bilau.

“Kalau tanya saya antara empat aspek ini, mana yang lebih penting? Mana satu yang perlu kita dahulukan? Saya boleh katakan bahawa keamanan dan keselamatan adalah aspek paling penting yang perlu dipertahankan.

“Sebab itu janganlah kita sebagai rakyat tidak hormati polis, pandang rendah dan tuturkan kata nista, hormatilah mereka kerana disebabkan polis kita dapat hidup dalam keadaan aman tanpa rasa takut,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/8216-kebebasan-mutlak-bukan-di-sini-8217-1.73784#sthash.7JiZy4KQ.dpuf


F1- Jangan cari alasan - Hamilton

26 Mac 2015 1:35 AM


LEWIS HAMILTON (duduk kanan) dan Nico Rosberg melayan peminat dalam sesi ramah mesra di Suria KLCC, Kuala Lumpur semalam menjelang Formula Satu yang akan bermula di Sepang, hujung minggu ini. utusan/RUSHDI SALLEH

KUALA LUMPUR - Pelumba pasukan Formula Satu (F1) Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton menyifatkan pencabar mereka, Red Bull Racing tidak sepatutnya menjadikan peraturan baharu perlumbaan sebagai alasan untuk menarik diri daripada sukan pemotoran itu.

Katanya, F1 memerlukan lebih ra­mai pemandu dan kereta di litar bagi menjadikannya lebih me­nyeronokkan untuk ditonton.

Justeru, alasan yang diberikan Red Bull bukan sesuatu yang bagus untuk sukan berkenana, apatah lagi ia datang daripada pasukan yang pernah menguasai perlumbaan selama empat tahun.

“Jika saya sebagai peminat F1, saya mahu melihat lebih ramai pemandu dan lebih banyak kereta supaya sukan ini lebih menyeronokkan.

“Tidak sepatutnya (peraturan baharu perlumbaan) jadi alasan untuk sebuah pasukan yang menguasai F1 empat tahun, mahu menarik diri.

“Bukan idea yang baik untuk Red Bull menarik diri,” katanya dalam sidang akhbar sambil dite­mani rakan sepasukan, Nico Rosberg di De­wan Filharmonilk Petronas di sini, semalam, menjelang perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia di Litar F1 Sepang, hujung minggu ini.

Sejurus selepas Grand Prix Australia 15 Mac lalu, Red Bull menyatakan hasrat menarik diri daripada F1.

Malah, mereka mencadangkan semua pasukan supaya menggunakan unit kuasa turbo standard yang didapati tidak menepati kehendak peraturan perlumbaan baharu yang diperkenalkan Persekutuan Automotif Antarabangsa (FIA).

Pegawai Teknikal pasukan Williams, Pat Symonds pula mempersoalkan cadangan Red Bull supaya setiap pasukan menggunakan unit kuasa turbo yang standard walaupun cuba meminta FIA mewujudkan garis panduan peraturan yang fleksibel bagi memastikan kelangsungan penyertaan setiap pasukan dalam sukan itu.

Rosberg turut mengecam keras ura-ura penarikan diri Red Bull itu, malah menganggapnya amat mengecewakan selain mereka wajar mengiktiraf terdapat pasukan lain yang mampu memecahkan penguasaan mereka selama empat tahun.

“Saya mengecam keras hasrat mereka. Amat mengecewakan apabila datangnya daripada sebuah pasukan yang sudah lama bergelar juara. Mereka sepatutnya mengiktiraf kejayaan pasukan lain apabila berjaya mengatasi mereka,” katanya.

Sementara itu, Hamilton yang mengakui terpikat dengan keenakan makanan tempatan khususnya roti canai, berkata: “Saya rasa hebat kembali ke sini.

“Kami disambut hangat walaupun saya fikir cuaca panas di Sepang seperti ‘membunuh’. Saya juga mahu lebih banyak kereta dan pemandu yang mampu menamatkan perlumbaan dari di Australia (hanya 11 pasukan tamatkan saingan).

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Mercedes, Toto Wolff me­negaskan beliau tidak mahu mana-mana anak buahnya memandang ringan saingan di Sepang walaupun yakin Hamilton dan Rosberg mampu mencapai keputusan baik.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/jangan-cari-alasan-hamilton-1.73645#sthash.tedX0aq9.dpuf

Wednesday, 25 March 2015

HUDUD : DAP buat keputusan tidak masuk akal

TAK DAPAT KELDAIKAN PRESIDEN, CACAIKAN PENGIKUT OKLAH

25 Mac 2015 1:45 AM

KOTA BHARU 24 Mac – Pas negeri menyifatkan DAP membuat keputusan tidak masuk akal apabila hanya mahu memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bukannya dengan parti itu secara keseluruhannya.

Mohd. Amar

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, DAP sepatutnya mengeluarkan kenyataan lebih jelas dan tidak perlu bermain wayang dengan ayat yang mengelirukan banyak pihak.

Beliau berkata, jika itu keputusan DAP, maka ini bermakna kepemim­pinan parti yang berteraskan kaum Cina itu juga telah memutuskan hubungan dengan Pas.

“Saya tidak faham kenapa putuskan hubungan dengan Presiden, sedangkan Presiden mewakili parti. Kenapa putuskan dengan Presiden tetapi tidak putuskan dengan parti, apa maksud DAP, saya sendiri tidak faham.

“Kami mendukung kepemimpinan Presiden, tolak Presiden bermakna tolak parti dan DAP jangan ingat dengan tindakan itu dia boleh menang. Keputusan tidak munasabah,” katanya kepada kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

DAP hari ini mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi berikutan tindakan Pas bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

Pada masa sama, DAP turut menuduh Abdul Hadi sebagai pe­mimpin yang tidak bermaruah dan tidak jujur, selain tidak menghormati persetujuan Majlis Pimpinan pakatan pembangkang dalam isu itu sebelum ini.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, keputusan sebulat suara dibuat oleh DAP kerana menganggap Abdul Hadi ‘pengkhia­nat’ dalam pakatan pembangkang kerana membentangkan usul rang undang-undang persendirian ber­kenaan hudud ke Parlimen tanpa pengetahuan parti itu.

Sebelum ini, Mohd. Amar mene­gaskan, Pas tidak kisah untuk bersendirian kerana sepanjang berada bersama-sama pakatan pembangkang, mereka sudah beberapa kali disisihkan rakan sekutu sehingga terpaksa berjuang bersendirian dalam pelbagai isu.

Sementara itu, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Pas akan merugikan pakatan pembangkang sendiri yang selama ini saling bergantung antara satu sama lain.

“Parti tidak boleh berdiri sendiri, Pas memerlukan DAP, DAP memerlukan Pas, PKR memerlukan Pas dan kita mencapai kejayaan hari ini kerana kerjasama yang terjalin ini.

“DAP juga bergantung pada Pas, kalau Pas tidak sokong belum tentu DAP boleh menguasai Pulau Pinang, Selangor. Siapa putus antara satu sama lain, semua akan rugi,” katanya.

Dalam pada itu ketika mengulas kenyataan Setiasusaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang menyifatkan pelaksanaan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Kelantan bukan keutamaan berdasarkan pandangan ulama-ulama besar dunia, Mohd. Amar berkata, itu pandangan peri­badi beliau, Pas tetap akan meneruskan hasrat melaksanakan undang-undang Islam tersebut.

“Ulama mana yang beliau maksudkan. Itu pandangan beliau sahaja,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dap-buat-keputusan-tidak-masuk-akal-1.73456#sthash.PFmceMma.dpuf


HUDUD : Pas Selangor teguh 
di belakang Hadi

Terus sokong hudud walaupun ditentang DAP

ZABRY MOHAMAD 
DAN ABDUL YAZID ALIAS | 25 Mac 2015 1:47 AM


Iskandar

SHAH ALAM 24 Mac - Pas Selangor akan terus menyokong Datuk Seri Abdul Hadi Awang meskipun tindakannya dalam isu hudud ditentang keras sekutu mereka, DAP sehingga memutuskan hubungan dengan Presiden parti itu.

Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, beliau akan tetap bersama dengan Abdul Hadi dalam mempertahankan pendirian parti itu untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

“Saya kekal teguh bersama Presiden Pas (Abdul Hadi),” kata­nya dalam akaun Twitter miliknya hari ini.

Kenyataan Iskandar itu kemudiannya disokong oleh ahli-ahli Pas negeri.

Dalam laman Facebook milik Pas Selangor, mereka menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Abdul Hadi dan Iskandar selain bersedia mempertahankan tindakan parti itu dalam isu hudud.

“Kami teguh bersama Pesuruhjaya Pas Selangor (Iskandar) dan Tuan Guru Presiden (Abdul Hadi). Anda bagaimana?” jelas status Facebook Pas Selangor hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Hulu Kelang daripada Pas, Saari Sungib mahu DAP tidak mengambil tindakan unilateral sehingga memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Abdul Hadi.

Malah, beliau turut meminta DAP supaya menghormati prinsip serta perlembagaan parti-parti dalam pakatan pembangkang, bukannya mencampuri hal dalaman yang bukan melibatkan mereka.

“Jika semua pihak menghormati prosedur dan perlembagaan parti masing-masing, saya fikir tidak akan timbul masalah,” ujarnya.

DAP membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dan menghentikan kerjasama dengan Abdul Hadi berikutan ketegasannya mahu membawa rang undang-undang persendirian mengenai hudud ke Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng berkata, parti itu kini sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Abdul Hadi sebagai pemimpin pakatan pembangkang.

Menurutnya, DAP tidak lagi boleh bekerjasama dengan Abdul Hadi yang disifatkan tidak jujur dan tidak bermaruah.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-selangor-teguh-8232-di-belakang-hadi-1.73465#sthash.8yHelpwK.dpuf


DAP putus hubungan dengan Presiden Pas - SETUJU UTK TIDAK BERSETUJU...

DAP tuduh Abdul Hadi Awang tidak bermaruah

KASTHURI JEEVENDRAN | 25 Mac 2015 1:49 AM


Abdul Hadi Awang


KUALA LUMPUR 24 Mac - DAP mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkan tidak bermaruah dan jujur berikutan tindakan parti itu bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng berkata, pengkhianatan Abdul Hadi bukan saja dalam isu hudud, malah dalam isu pencalonan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang menyebabkan krisis besar berlarutan sehingga hampir menjatuhkan kerajaan ne­geri Selangor.

“DAP kesal dengan pengkhianatan Abdul Hadi. Kami telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepemimpinan beliau dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan sebarang kerjasama dengannya.

“Ini bukan kali pertama tetapi kali ketiga perkara membelakangkan dasar persefahaman ini berlaku. Beliau tidak jujur dan bermaruah.

“Tindakan yang diambil sebulat suara dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) juga akan menyebabkan kedudukan majlis pimpinan pakatan pembangkang dalam keadaan terawang-awang namun kami akan bertemu dengan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membincangkan masa depan kami nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mesyuarat tergempar CEC malam tadi diadakan bagi membincangkan kedudukan serta pendirian parti itu dalam pakatan pembangkang selepas Pas meneruskan pembentangan Rang ­Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Kelantan pada Rabu lalu yang diluluskan sebulat suara sehari selepas itu.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan, partinya tetap berkeras menolak pelaksanaan undang-undang hudud kerana bercanggah dengan Perlembagaan.

“Pengundi yang menyokong Pas dalam pilihan raya umum lalu tidak mengundi untuk pelaksanaan hudud tetapi untuk dasar bersama yang dibawa oleh pakatan pembangkang. Yang melanggar dasar ini adalah Pas,” tegasnya.

Dalam pada itu, ketika ditemui di lobi Parlimen pagi ini, Guan Eng turut mendesak Abdul Hadi me­ninggalkan pakatan pembangkang sekiranya masih bertegas mahu membentangkan rang undang-undang persendirian berkenaan hudud di Parlimen.

Menurut Guan Eng, sekiranya Abdul Hadi masih berdegil untuk meneruskannya, beliau harus melaksanakannya di atas kapasiti peribadi sebagai Ahli Parlimen dan bukan sebagai anggota pakatan pembangkang.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dap-putus-hubungan-dengan-presiden-pas-1.73467#sthash.rKbIGg2q.dpuf

Tuesday, 24 March 2015

1,500 lepasan SPM serbu 
program lanjut pelajaran ke UiTM

24 Mac 2015 12:22 AM


Abdul Azeez Abdul Rahim dan Mohd. Noor Mohd Amin (dua dari kiri) beramah mesra dengan pelajar lepasan SPM di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling, kelmarin.

BALING 23 Mac – Kira-kira 1,500 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyerbu program Melanjutkan Pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Peringkat Parlimen Baling 2015 di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak dekat sini semalam.

Program anjuran Pemuda UMNO Baling dengan kerjasama UiTM cawangan Merbok itu bagi membolehkan lepasan SPM di kawasan ini meninjau peluang melanjutkan pelajaran ke universiti berkenaan bagi sesi baharu pada Jun ini.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, ini adalah peluang kedua bagi membantu pelajar yang mempunyai kelayakan agar mereka dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Peluang kedua ini dibuka kepada pelajar lepasan SPM untuk memasuki UiTM setelah mereka gagal ataupun terlepas peluang ke universiti lain.

“Ini merupakan peluang untuk mereka mencapai cita-cita sehingga ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak seharusnya mereka melepaskan begitu sahaja,” kata Abdul Azeez.

Antara kursus yang ditawarkan ialah pra-Perdagangan dan pra-Sains dan mereka akan menjalani kursus pra-Diploma selama enam bulan bermula Jun ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling, Mohd. Noor Mohd. Amin berkata, anak muda di kawasan ini perlu diberi pendedahan dan peluang untuk mengubah nasib dan masa hadapan mereka agar menjadi lebih berjaya dan sempurna.

“Kita tidak mahu anak bangsa ketinggalan jauh daripada arus perdana dan mereka perlukan ilmu untuk terus bersaing,” kata Mohd. Noor.

Lepasan SPM, Nazatul Afigah Mohd. Asri, 18, Kampung Ketemba Luar dekat sini berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang yang disediakan itu demi mencapai cita-citanya.

“Peluang ini amat baik untuk saya dan rakan-rakan. Sekiranya terpilih saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi ini,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/1-500-lepasan-spm-serbu-8232-program-lanjut-pelajaran-ke-uitm-1.72813#sthash.O13LCK13.dpuf

F1 hampir pasti kekal

SIC dijangka sambung kontrak 3 tahun

AIZAWATI AHMAD | 24 Mac 2015 1:11 AM


PEKERJA Litar Antarabangsa Sepang sedang sibuk melakukan persiapan akhir menjelang Grand Prix Formula Satu Malaysia yang akan berlangsung hujung minggu ini.

SEPANG - Ada khabar gembira mungkin menanti peminat sukan pemotoran Formula Satu (F1) negara apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang sedang dalam rundingan penyambungan kontrak dikatakan hampir mencapai kata sepakat untuk menyambung ikatan selama tiga tahun lagi.

Walaupun masih belum ada hitam putih berhubung isu kontrak tersebut, namun Pengerusi SIC, Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir memberi bayangan bahawa perbincangan dengan Pengurusan Formula Satu (FOM) hampir mencapai situasi menang-menang.

“Kita masih dalam perbinca­ngan dengan FOM. Kita sedang mencari satu situasi menang-menang yang sekarang ini hampir mencapai kata sepakat.

“Kita perlu meneliti perjanjian yang paling baharu dan ada isu-isu yang masih belum memuaskan hati kedua-dua belah pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menyertai lawatan media ke SIC menjelang perlumbaan Grand Prix Malaysia pada hujung minggu ini yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali di sini, semalam.

Menurut Mokhzani, sekiranya semua isu yang dibangkitkan dapat dirunding dengan baik bersama FOM, maka kontrak selama tiga tahun akan disambung.

Bagaimanapun jelasnya, buat masa ini, pihaknya masih belum dapat berbuat demikian kerana SIC perlu meneliti perjanjian yang bakal ditandatangani itu mampu memberi hasil pelaburan yang benar-benar berbaloi.

“Kita sebagai penganjur perlu dapat ROI (Return On Investment) yang positif sebelum kita menjadi tuan rumah F1.

“Kita hendak tengok orang yang datang ke sini (mendapati) harga tiket tak begitu mahal. Begitu juga dengan pelancong yang datang Malaysia.

“Lebih-lebih lagi pertukaran mata wang asing antara Ringgit Malaysia (RM) dan Dollar Amerika Syarikat mengalami perubahan. Saya hendak pastikan mereka datang ke Malaysia ini kerana mahu tengok F1,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai kontrak, beliau memberitahu, tempoh tiga tahun dipilih berbanding lima tahun adalah bagi memberi ruang kepada SIC untuk melihat sebarang perubahan yang berlaku dalam F1 sepanjang jangka masa tersebut.

Tambahnya, amat penting juga bagi SIC untuk memantau penglibatan Petronas dalam pasukan Mercedes AMG yang mana mereka dikhabarkan akan terus menjadi penaja pasukan itu bagi tempoh tiga tahun lagi.

Ketika ditanya kemungkinan pengumuman mengenai kontrak akan dibuat sewaktu perlumbaan GP Malaysia pada hujung minggu ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mokhzani menegaskan, segala keputusan muktamad terletak di tangan Kementerian Kewangan yang bertindak selaku rakan kongsi utama.

Selagi ‘lampu hijau’ belum dinyalakan, maka sebarang pengumuman tidak boleh dilakukan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/f1-hampir-pasti-kekal-1.72984#sthash.T4k2oZBy.dpuf


Sultan Ibrahim berikrar pelihara 
Islam, jaga kedaulatan raja

24 Mac 2015 1:55 AM


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melafazkan titah ikrar sebelum Istiadat Kemahkotaan di Bilik Singgahsana, Istana Besar, Johor Bahru, semalam. Ihsan Kerajaan Negeri

JOHOR BAHRU 23 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berikrar akan memelihara kesucian agama Islam, kehormatan adat istiadat Melayu dan kepentingan semua rakyat bangsa Johor.

Baginda turut berikrar untuk menjaga kedaulatan raja dan kerajaan negeri Johor Darul Ta'zim serta memerintah negeri Johor dengan adil dan saksama serta bertimbang rasa.

“Bahawa sesungguhnya saya berikrar dan berjanji dengan limpah kurnia dan izin Allah Subhanahu Wata'ala, saya akan memerintah negeri Johor dengan adil dan saksama serta timbang rasa kepada semua rakyat dan penduduk ne­geri ini dengan mengikut undang-undang dan adat resam mereka yang tidak bertentangan dengan undang-undang negeri ini.

“Saya juga berikrar akan memelihara kesucian agama Islam, kehormatan adat istiadat Melayu dan kepentingan semua rakyat bangsa johor serta menjaga kedaulatan raja dan kerajaan negeri Johor Darul Ta'zim. Ya Allah, peliharakan kami semua,” ikrar ba­ginda pada Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor di Istana Besar, di sini hari ini.

Dalam istiadat itu, Mahkota Kerajaan itu diletakkan di kepala Sultan Ibrahim oleh Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsuddin.

Tahrir kemudian turut meletakkan Mahkota Permaisuri di kepala Raja Zarith Sofiah dengan diiringi bacaan selawat.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-ibrahim-berikrar-pelihara-8232-islam-jaga-kedaulatan-raja-1.73115#sthash.THehIEz9.dpuf


DAULAT TUANKU : MB wakili rakyat ucap tahniah kepada 
Sultan Ibrahim

24 Mac 2015 1:55 AM

JOHOR BAHRU 23 Mac – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan tahniah kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas Istiadat Kemahkotaan baginda yang berlangsung hari ini.

Mohamed Khaled Nordin

Dalam status terkini laman Facebook beliau, Mohamed Khaled turut mendoakan semoga Sultan Ibrahim terus diberkati Allah semasa bersemayam di atas takhta kerajaan Johor Darul Ta’zim dengan penuh keberkatan dan sejahtera.

“Saya mewakili kerajaan negeri dan seluruh bangsa Johor menjunjung setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas Kemahkotaan Tuanku Sultan Johor.

“Seluruh rakyat Johor berdoa ke hadrat Allah agar Tuanku terus diberkati bersemayam di atas takhta Kerajaan Johor Darul Ta’zim dengan penuh keberkatan dan kesejahteraan,” katanya.

Hari ini Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 22 November 1958 mencatat sejarah baharu dan meneruskan tradisi Kesultanan Johor Moden apabila dimahkotakan sebagai Sultan Johor selepas upacara itu kali terakhir diadakan pada tahun 1960.

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor yang diadakan dengan gemilang, penuh tradisi dan mengikut adat istiadat Kesultanan Johor itu berlangsung di Istana Besar, di sini.

Dalam istiadat tersebut, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah turut dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini.

Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri Johor itu dipakai di kepala Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah oleh Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsuddin.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mb-wakili-rakyat-ucap-tahniah-kepada-8232-sultan-ibrahim-1.73118#sthash.OricqbDJ.dpuf

10,000 banjiri Dataran Bandaraya

Mula hadir sejak 5 pagi saksi istiadat menerusi skrin besar

24 Mac 2015 1:55 AM


ORANG ramai menyaksikan perarakan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Raja Zarith Sofiah selepas Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor di Jalan Skudai, Johor Bahru, semalam. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI


JOHOR BAHRU 23 Mac - Kira-kira 10,000 orang membanjiri Dataran Ban­da­raya di sini bagi menyaksikan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang disiarkan secara langsung menerusi dua paparan skrin besar hari ini.

Orang ramai mula hadir ke dataran tersebut seawal pukul 5 pagi bagi menonton upacara tersebut yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 bermula pukul 7.30 pagi.

Malah, orang ramai turut beratur di sepanjang laluan Perarakan Kenderaan Diraja sejauh kira-kira lapan kilometer termasuk di dataran bagi menyaksikan peristiwa bersejarah itu.

Bagi warga emas, Leong Heng Choi, 72, dari Senai, Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor merupakan upacara yang cukup bermakna baginya memandangkan dia pernah menyaksikan upacara serupa pada tahun 1960.

“Ketika upacara bagi Almarhum Sultan Ismail dahulu saya berusia 17 tahun dan saya bersama-sama rakan sekolah pergi ke Jalan Trus di pusat bandar untuk menyaksikan perarakan itu.

“Sebab itulah saya tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan semula upacara bagi Sultan Ibrahim. Bagi saya kedua-dua pe­ristiwa bersejarah itu adalah kena­ngan yang cukup indah dalam hidup saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi V. Ravi, 42, dari Senai, dia bersama keluarganya tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri upacara itu di Dataran Bandaraya memandangkan terdapat paparan skrin besar disediakan di kawasan berkenaan.

“Kalau tengok televisyen di rumah tidak begitu seronok. Sebab itulah saya bawa keluarga ke dataran ini untuk bersama-sama memeriahkan upacara ini bersama rakyat Johor yang lain,” katanya.

Seorang peniaga, Muhammad Hafiz Haikal Hisham, 25, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) sanggup datang ke Dataran Bandaraya bukan hanya untuk berniaga, tetapi pada masa sama menyaksikan siaran langsung berkenaan.

“Sebagai genarasi muda, saya amat gembira kerana dapat menyaksikan peristiwa bersejarah itu, sekali gus meningkatkan jati diri sebagai anak Johor,” ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/10-000-banjiri-dataran-bandaraya-1.73111#sthash.FveboZRV.dpuf


DAULAT TUANKU : Sultan Ibrahim dimahkota Sultan Johor

Istiadat catat sejarah baharu selepas kali terakhir diadakan 55 tahun lalu

24 Mac 2015 1:55 AM


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mengaminkan doa selepas dipakaikan dengan Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri dalam Istiadat Kemahkotaan di Bilik Singgahsana, Istana Besar, Johor Bahru, semalam. - Ihsan Kerajaan Negeri Johor


JOHOR BAHRU 23 Mac - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini bukan sahaja mencatat sejarah baharu, malah meneruskan tradisi Kesultanan Johor Moden apabila dimahkotakan sebagai Sultan Johor selepas kali terakhir upacara itu diadakan pada 1960.

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor yang diadakan dengan gemilang, penuh tradisi dan mengikut adat istiadat Kesultanan Johor itu berlangsung di Istana Besar, di sini.

Dalam istiadat yang bermula pukul 10 pagi itu, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah turut dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini.

Istiadat Kemahkotaan itu dimulakan dengan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berangkat memasuki Bilik Singgahsana dengan pasangan diraja itu lengkap memakai kain pelayang berwarna biru gelap.

Sejurus itu, lagu Bangsa Johor dimainkan sebelum Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menghadap untuk menyembahkan pemasyhuran, sekali gus berseru memaklumkan pemahkotaan.

Majlis diteruskan dengan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli memohon perkenan supaya Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah dimahkotakan dengan pemakaian Mahkota Sultan dan Yang Dipertuan Johor dan Mahkota Permaisuri Johor.

Sultan Ibrahim kemudiannya melafazkan ikrar dan diikuti bacaan ayat suci al-Quran serta khutbah oleh Timbalan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad sebelum Istiadat Kemahkotaan disempurnakan oleh Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsuddin.

Tahrir kemudiannya menatang Mahkota Kerajaan sebelum mele­takkannya di kepala Sultan Ibrahim dan diikuti peletakan Mahkota Permaisuri di kepala Raja Zarith Sofiah dengan diiringi bacaan selawat.

Serentak itu, 21 das bedilan meriam dilepaskan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan diiringi lagu Bangsa Johor dan Yahya membacakan doa selamat.

Istiadat itu diteruskan dengan Majlis Menghadap Takzim yang dimulakan dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che' Puan Khaleeda Bustamam serta putera dan puteri Sultan Ibrahim yang lain.

Sultan Ibrahim juga menerima menghadap adinda baginda, Tunku Aris Bendahara, Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar dan isteri Tunku Teh Mazni Yusuf yang mewakili kerabat diikuti Mohamed Khaled dan isteri, Datin Seri Rosni Omar sebagai wakil kerajaan negeri serta Abdul Rahim mewakili Jumaah Maj­lis Diraja Johor.

Selesai Majlis Menghadap Takzim, lagu Bangsa Johor sekali lagi berkumandang diikuti keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ke Anjung Istana bagi me­nyaksikan lintas hormat udara.

Lintas hormat udara yang melibatkan tujuh helikopter jenis Eurocopter EC725, Super Lynx dan Agusta Loh A109, dengan tiga daripada helikopter berkenaan membawa bendera Johor sambil melepaskan asap putih, biru dan merah - simbolik bagi warna bendera Johor.

Selesai upacara lintas hormat, kedengaran laungan ‘Daulat Tuanku’ dan Sultan Ibrahim serta Raja Zarith Sofiah berangkat untuk perarakan diraja menggunakan kereta Mercedes-Benz 600 melibatkan perjalanan sejauh kira-kira lapan kilometer dari Istana Besar ke Istana Bukit Serene.

Yang turut menyertai perarakan itu Tunku Tun Aminah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar sebelum kenderaan diraja berangkat pulang ke Istana Bukit Serene.

Turut mencemar duli berangkat menghadiri Istiadat Kemahkotaan itu ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom Abdullah; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Yang turut hadir Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Sallehudin Sultan Badlishah dan isteri, Tengku Maliha Tengku Ariff; Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib; Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Ton Puan Norlidah Jasni; Yang Dipertua Ne­geri Melaka, Tun Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan menteri-menteri turut hadir 

.- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-ibrahim-dimahkota-sultan-johor-1.73113#sthash.Czfx0a2W.dpuf

Monday, 23 March 2015

Kekalkan F1 di Malaysia

Rosberg anggap Litar Sepang antara yang terbaik

SUFIAN HADI SOJAK | 23 Mac 2015 1:02 AM





KUALA LUMPUR - Pemandu pasukan Mercedes, Nico Rosberg mahu perlumbaan Formula Satu (F1) terus diadakan di Malaysia dan kontrak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang bakal berakhir pada 29 Mac ini disambung.

Pelumba kelahiran Jerman itu menganggap, SIC memiliki laluan trek yang sangat hebat, selain menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk hadir menyaksikan perlumbaan berprestij dunia itu.

“Semema­ngnya ia sangat penting untuk F1 berada di sini. Selain mempunyai laluan yang menarik, ia turut menarik minat orang di luar sana untuk datang memberi sokongan kepada kami (pelumba).

“Malah, SIC juga menjadi trek pertama yang menganjurkan Grand Prix di Asia dan ia sangat istimewa. Sudah tentu ia menjadi perlumbaan penting buat Petronas di sini.

“Saya harap dapat kembali (berlumba) di sini untuk tahun-tahun seterusnya. Treknya sangat menarik dan bagus untuk dipandu.

“Saya pernah naik podium banyak kali dan ia menjadi satu momen yang istimewa untuk saya datang ke sini lagi,” katanya.

Rosberg berkata demikian selepas majlis menaiki teksi bersamanya di ibu negara, semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan SIC berdepan ancaman hilang hak penganjuran F1 dan perlumbaan 2015 pada 27-29 Mac ini mungkin menjadi yang terakhir di Sepang selepas 16 tahun me­nganjurkannya.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali yang sudah mengadakan perbincangan pertama bersama pengurusan F1 yang diketuai Bernie Ecclestone di London Januari lalu, memberi bayangan penganjurannya pada tahun ini bukanlah yang terakhir.

Keputusan hak penganjuran Malaysia dijangka diketahui, ­minggu depan.

Sementara itu, Rosberg, 31, optimis pasukannya mampu melakar kemenangan kedua musim ini di Sepang, hujung minggu ini.

“Kami mempunyai jentera yang hebat selain berlumba di laman sendiri dan saya ucapkan terima kasih kepada Petronas.

“Kami akan melakukan yang terbaik dan ia akan menjadi satu pertembungan hebat antara saya dan Lewis (Hamilton). Harap-harap saya akan berada di depan untuk saingan kali ini,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/kekalkan-f1-di-malaysia-1.72544#sthash.LjELOHVE.dpuf


POLITIK : Pas boleh ‘hidup' tanpa PKR, DAP

Pernah disisih rakan sekutu sehingga berjuang sendirian

ZAAIN ZIN | 23 Mac 2015 1:04 AM

KOTA BHARU 22 Mac - Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengikut langkah DAP untuk tidak menyokong pembentangan rang undang-undang berkaitan pelaksanaan hudud di Dewan Rakyat kelak gagal memberi kesan kepada Pas kerana perjuangan tersebut akan tetap diteruskan.

Mohd. Amar Nik Abdullah

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sepanjang berada bersama pakatan pembangkang, Pas sudah beberapa kali disisihkan rakan sekutu sehingga terpaksa berjuang bersendirian dalam pelbagai isu.

Sehubungan itu, katanya, beliau yakin Pas tetap boleh 'hidup' sekiranya suatu hari nanti pakatan pembangkang ditakdirkan berpecah.

“Kalau betul PKR pun tak nak bersama kita, kita terima hakikat. Kita tak boleh paksa dia ikut juga. Apa yang penting kita kena teruskan hudud sebab ini memang perjuangan Pas.

“Andai Pas balik ke asal iaitu bersendirian pun kita terima hakikat, tetapi sejarah membuktikan kita tetap boleh `hidup’ walaupun sudah beberapa kali bersendirian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pas kini bersendirian tanpa restu pakatan pembangkang untuk memperjuangkan pelaksanaan hudud di Kelantan selepas PKR memutuskan mengikut langkah DAP untuk tidak menyokong hasrat parti itu membentangkan rang undang-undang berkenaan di Parlimen.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Biro Politik PKR semalam dan kenyataan mengenai­nya ditandatangani Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta barisan kepemimpinan tertinggi parti itu.

Mohd. Amar yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud dalam pada itu menegaskan, jika PKR dan DAP terus membantah dan menghalang usaha Pas, tindakan itu tidak menguntungkan kedua-dua parti tersebut.

Katanya, bantahan tidak sepatutnya berlaku kerana hanya akan merugikan keseluruhan pakatan pembangkang.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-boleh-8216-hidup-tanpa-pkr-dap-1.72572#sthash.ePcCWI3h.dpuf

Sultan Ibrahim dimahkota sebagai Sultan kelima Johor moden

ISNIN, 23 MAC 2015 @ 10:42 AM

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor moden pada satu istiadat gilang gemilang di Istana Besar, pagi ini.

Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah turut dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini.

Istiadat yang dipancarkan secara langsung melalui RTM, TV3 dan layar besar di Dataran Bandaraya, turut disaksikan ribuan rakyat bukan sahaja di Johor malah seluruh Malaysia.

Dalam masa yang sama, ia turut disaksikan bonda Sultan Ibrahim, Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah, kekanda dan adinda Sultan Ibrahim, Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar dan Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che' Puan Khaleeda Bustamam, beserta anakanda-anakanda Sultan Ibrahim yang lain turut hadir menyaksikan istiadat bersejarah itu.

Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Raja-Raja Melayu turut menyaksikan istiadat kemahkotaan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta timbalanya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut hadir.

Istiadat dimulakan kira-kira pukul 10 pagi dengan keberangkatan masuk Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ke Bilik Singgahsana diikuti Lagu Bangsa Johor.

Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin kemudiannya memakaikan Mahkota Kerajaan di kepala Sultan Ibrahim bersama lafaz selawat dan Bismillah diikuti dengan pemakaian mahkota permaisuri 'Diadem' di kepala Raja Zarith Sofiah. - BERNAMA

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah memberi tabit hormat sebelum menuruni Tangga Agong berangkat menaiki kenderaan rasmi untuk berarak di sekitar bandar raya Johor Bahru selepas Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar bagi bertemu rakyat. - Foto Aizuddin Saad


Istiadat Kemahkotaan lambang kasih sayang rakyat kepada raja

23 Mac 2015 1:08 AM

JOHOR BAHRU 22 Mac – Rakyat negeri ini bertuah kerana berpeluang menyaksikan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor dan tidak seharusnya melepaskannya dengan bersama-sama memeriahkan upacara tersebut esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sambutan dan penyertaan rakyat Johor sepanjang perayaan kemahkotaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Sultan Johor Moden yang kelima adalah lambang kasih sayang dan hormat kepada baginda.

“Kelangsungan dan warisan takhta Kesultanan Johor turut menggambarkan sejarah panjang kesultanan Johor. Sejak beberapa bulan lepas, pelbagai lapisan rakyat di segenap pelusuk Johor telah bersama-sama dengan pihak berkuasa tempatan melakukan persiapan.

“Kepada seluruh rakyat Johor, marilah bersama-sama menjadi sebahagian daripada detik bersejarah Istiadat Kemahkotaan yang akan diadakan esok, 23 Mac 2015. Sama-sama kita doakan agar istiadat bersejarah ini nanti berlangsung dengan jayanya, penuh gilang-gemilang, lancar dan diberkati seperti yang telah dirancang,” katanya dalam satu ke­nyataan.

Dalam kenyataan itu, Mohamed Khaled turut menyifatkan Sultan Ibrahim sebagai raja yang sangat budiman dan mempunyai pandangan jauh serta meletakkan negeri ini dan rakyatnya sebagai keutamaan.

Sementara itu dalam laman sosial Facebooknya, Mohamed Khaled berkata. Johor sejak di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar sudah mencatat sejarah kegemilangan dalam bidang ekonomi dan perdagangan antarabangsa, pusat kegiatan intelektual dan budaya.

“Johor adalah pencetus kepada pembentukan citra nasional dari perspektif kedudukan raja, agama Islam, bahasa Melayu, perjuangan kemerdekaan, sistem pentadbiran yang efisien, kepentingan pendidikan dan sekolah agama serta keselamatan melalui penubuhan Askar Timbalan Setia Negeri.

“(Begitu juga) hubungan antarabangsa dari Timur dan Barat, muafakat rakyat dan pembentukan bangsa Johor yang mengekalkan jati diri Johor yang tersendiri,” katanya sambil menambah Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang ditulis dalam tulisan Jawi adalah tiang seri Perlembagaan Johor dan menjadi model perlembagaan melindungi negeri-negeri Melayu 

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/istiadat-kemahkotaan-lambang-kasih-sayang-rakyat-kepada-raja-1.72660#sthash.ISwbjcSd.dpuf


Sultan nampak garang, tetapi 
sebenarnya baik hati, mudah didampingi

23 Mac 2015 1:07 AM


IBRAHIM ALI bersama motosikal roda tiga yang dihadiahkan oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2013. Berita :Zulhisham Isahak.Pic:Ishak Rahmad.

MUAR 22 Mac – “Walaupun Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kelihatan serius dan garang, namun baginda sebenarnya seorang yang baik hati dan mudah didampingi”.

Demikian reaksi bekas askar Timbalan Setia Negeri Johor (TSN) yang pernah berkhidmat dari tahun 1967 hingga 1973, Ibrahim Ali, 67, menggambarkan keperibadian Sultan Ibrahim yang akan dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam istiadat gilang-gemilang esok .

Ibrahim yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mengenali Sultan Ibrahim sejak baginda masih kanak-kanak lagi.

Dia yang kini menetap di Parit Lapis dan masih bujang berkata, perwatakan Sultan Ibrahim tidak banyak berbeza dengan Almarhum ayahanda, Sultan Iskandar Sultan Ismail dan nenda baginda, Sultan Ismail Sultan Ibrahim.

“Semasa saya bertugas sebagai askar TSN di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Ismail bermula dari 1967 sehingga 1969 sebelum berkhidmat dengan Sultan Iskandar dari 1969 sehingga 1973, Tuanku Sultan Ibrahim berusia antara 11 atau 12 tahun.

“Perwatakan baginda masa itu disenangi ramai. Selama ini rakyat mengenalinya sebagai Sultan berjiwa rakyat tetapi tidak mengetahui baginda gemar bergurau dan kelakar,” katanya ditemui Utusan Malaysia di gerainya di Jeti Parit Jawa, di sini hari ini.

Ibrahim yang menjual hasil kampung berkata, ramai juga yang tidak mengetahui baginda membantu ramai golongan kurang bernasib baik daripada semua kaum dengan mengemukakan sendiri masalah mereka kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, Sultan Johor amat mengambil berat masalah rakyat jelata termasuk dirinya yang pernah mendapat sebuah motosikal dihadiahkan baginda selepas kaki kirinya dipotong akibat penyakit kencing manis pada 2009.

“Semasa Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2013 di Pantai Leka, Parit Jawa, baginda masih mengenali saya yang berkerusi roda walaupun sudah lama tidak berjumpa dan kemudian menghadiahkan sebuah motosikal beroda tiga kepada saya,” katanya yang akan menonton detik bersejarah kemahhkotaan Sultan Ibrahim menerusi te­levisyen.

Ibrahim yang berasa bertuah kerana dapat menyaksikan tiga generasi Sultan Johor menaiki takhta mendoakan Sultan Ibrahim sentiasa diberkati dan dirahmati Allah SWT semasa memerintah negeri ini. 

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-nampak-garang-tetapi-8232-sebenarnya-baik-hati-mudah-didampingi-1.72646#sthash.kLzCD6Jt.dpuf


Istiadat Kemahkotaan : Sultan Ibrahim ampun 10 banduan, bebaskan pesalah juvenil

MOHAMAD FAIZAL HASHIM | 23 Mac 2015 1:08 AM


Wawancara khas dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Gambar : The Star

JOHOR BAHRU 22 Mac - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan memberi pengampunan kepada 10 banduan yang menjalani hukuman mati atas pelbagai kesalahan sempena Istiadat Kemahkotaan baginda.

Hukuman terhadap semua banduan berkenaan diringankan menjadi penjara seumur hidup dan sepanjang hayat.

Baginda juga berkenan memberi pengampunan dan pembebasan seorang banduan yang merupakan pesalah juvenil pada 2004 ketika disabitkan kesalahan membunuh selepas menghadap baginda di Istana Bukit Serene di sini Khamis lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim berkata, tiga daripada 10 banduan yang mendapat pengampunan disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 diberi pengampunan dan diringankan daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup.

Beliau berkata, tiga lagi banduan yang turut diberi pengampunan dan diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Sementara itu, empat banduan lagi diberikan pengampunan dan diringankan kepada hukuman penjara sepanjang hayat. Tiga daripadanya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala seorang lagi melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Atas nasihat Lembaga Pengampunan Negeri Johor, Tuanku menitahkan supaya banduan lelaki (kes juvenil) diberi pengampunan dan dibebaskan dengan syarat dikehendaki menghadap baginda bersama ibu bapanya dan diiringi pegawai penjara bagi memastikan dia benar-benar insaf,” katanya .

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas Persidangan Lembaga Pengampunan Johor di Bilik Ge­rakan Tun Abdul Razak, Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan di sini.

Ismail berkata, Sultan Ibrahim berkenan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor pada 5 Mac lalu bagi mempertimbangkan pembebasan dan meringankan hukuman untuk beberapa banduan.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bersama tiga Ahli Lembaga Pengampunan Negeri Johor.

“Dalam mesyuarat berkenaan, Sultan Ibrahim berkenan menimbang 10 kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 dan 13 kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54 Peraturan-Peraturan Penjara 2000,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-ibrahim-ampun-10-banduan-bebaskan-pesalah-juvenil-1.72648#sthash.6c38FcxS.dpuf


Sultan Johor berangkat tiba untuk Istiadat Kemahkotaan

23 Mac 2015 10:13 AM

JOHOR BAHRU 23 Mac - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah tiba di Istana Besar, di sini pukul 9.35 pagi untuk menghadiri Istiadat Kemahkotaan baginda, hari ini.

Sejurus tiba, lagu Bangsa Johor dimainkan sebelum Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berangkat ke Dewan Singgahsana untuk ke Bilik Persemayaman sebelum meneruskan Istiadat Kemahkotaan yang dijangka bermula sebentar lagi. 

- UTUSAN ONLINE- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-johor-berangkat-tiba-untuk-istiadat-kemahkotaan-1.72673#sthash.ZyT2ZRfs.dpuf


Kerabat diraja Johor hadiri Istiadat Kemahkotaan

23 Mac 2015 9:12 AM

JOHOR BAHRU 23 Mac - Bonda Sultan Johor, Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah berangkat menghadiri Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Besar di sini sebentar tadi.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam.

Selain itu, putera dan puteri baginda, Tunku Temenggong, Tunku Idris; Tunku Tun Aminah; Tunku Laksamana, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar turut berangkat.

Berangkat sama Tunku Puteri Johor, Tunku Kamariah Sultan Iskandar dan suami, Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Yang turut berangkat, Tunku Zabedah Sultan Iskandar; Tunku Aris Bendahara, Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar dan isteri, Tunku Teh Mazni Tunku Yusuf. - UTUSAN ONLINE 

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kerabat-diraja-johor-hadiri-istiadat-kemahkotaan-1.72671#sthash.jgLHCtCi.dpuf


PM, TPM hadiri Istiadat Kemahkotaan

23 Mac 2015 9:09 AM

JOHOR BAHRU 23 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Istana Besar di sini untuk menghadiri Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebentar tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. - UTUSAN ONLINE 

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pm-tpm-hadiri-istiadat-kemahkotaan-1.72670#sthash.JC7rn8vU.dpuf


Rakyat tidak lepas peluang saksikan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor

23 Mac 2015 9:05 AM

JOHOR BAHRU 23 Mac - Ribuan rakyat negeri ini tidak melepaskan peluang menyaksikan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi dua paparan skrin besar yang dipasang di Dataran Bandaraya di sini hari ini.

Orang ramai mula membanjiri dataran berkenaan seawal pukul 5 pagi bagi menonton siaran langsung perjalanan upacara tersebut yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 bermula pukul 7.30 pagi. - UTUSAN ONLINE

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rakyat-tidak-lepas-peluang-saksikan-istiadat-kemahkotaan-sultan-johor-1.72669#sthash.X8jClZ74.dpuf

Friday, 20 March 2015

Tambang naik - SPAD

Teksi, kereta sewa naik 20-67%, bas ekspres 22.6%

NAZWIN IZAN 
AHMAD NAZRI | 20 Mac 2015 1:39 AM





KUALA LUMPUR 19 Mac - Tambang teksi dan kereta sewa naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta-merta manakala kadar tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus mulai 15 Mei ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar ketika mengumumkan kadar baharu itu berkata, keputusan membenarkan kenaikan tersebut setelah mengambil kira kenaikan kos terpaksa ditanggung pengusaha pengangkutan awam.

Berdasarkan kadar tambang baharu, penumpang teksi 1Malaysia (Teks1M) di Pulau Pinang perlu membayar RM19.80 bagi 10 kilometer pertama berbanding RM11.80 sebelum ini manakala penumpang di Lembah Klang dan Johor Bahru pula sebanyak RM17.50 bagi 10 kilometer pertama berbanding RM10.80 pada kadar lama.

Bagi teksi bajet di Lembah Klang dan Johor Bahru pula, penumpang perlu membayar RM14.30 di bawah kadar baharu berbanding RM10.80 pada kadar lama bagi 10 kilome­ter pertama; dan di Pulau Pinang, RM17.50 pada kadar baharu berbanding RM11.80 pada kadar lama dan kereta sewa pula RM14.50 berdasarkan kadar siling yang baharu.

“Penyelarasan kadar tambang ini dibuat selepas mengambil kira ke­perluan pihak pengusaha, kos sara hidup dan operasi serta kepenting­an orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu. Penetapan kadar baharu terpaksa dilakukan selepas kali terakhir semakan tambang di buat pada 2009.

“Kenaikan kadar tambang baharu ini tidak melibatkan kadar tambang teksi eksekutif dan lapangan terbang,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan kenaikan kadar tambang pengangkutan awam di Ibu Pejabat SPAD di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Nur Ismail Mohamed Kamal dan Ketua Pegawai Pembangunan SPAD, Dr. Prodyut Dutt.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, peningkatan kadar tambang bas ekspres dianggarkan antara RM4.60 sehingga RM11 berikutan kadar baharu iaitu 11.4 sen bagi setiap satu kilometer berbanding 9.3 sen sebelum ini.

“Kami sudah mengkaji dan menilai kadar munasabah yang tidak membebankan orang ramai,” katanya dengan menambah, pengusaha teksi perlu menyusun semula meter di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan kadar baharu itu.

“Saya mahu semua pemandu teksi lebih patuh dan bertanggungjawab dengan pengumuman kadar baharu ini dan tidak mengambil kesempatan,” kata Syed Hamid.

Ditanya mengenai kadar yang akan dikenakan bagi perkhidmatan di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Prasarana, beliau berkata, perkara itu hanya akan diumumkan oleh syarikat terbabit.

Beliau juga menegaskan, penyelarasan kadar baharu itu tidak dibuat berikutan penguatkuasaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa 1 April ini sebaliknya mengambil kira kepentingan semua pihak.

Sementara itu, Keretapi Tanah Me­layu (KTM) Berhad dalam satu kenyataan memberitahu akan melaksanakan kadar tambang baharu selepas mendapat kelulusan SPAD memandangkan pelarasan harga dilakukan kali terakhir pada Februari 2003.

Kata kenyataan tersebut, perbezaan kadar tambang sehala baharu berbanding sedia ada bergantung kepada jarak perjalanan dari satu stesen ke stesen yang lain.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tambang-naik-spad-1.71533#sthash.Mmd32Nji.dpuf


Tambang komuter naik mulai Mei

20 Mac 2015 1:39 AM

KUALA LUMPUR 19 Mac – KTM Berhad (KTM) hari ini mengumumkan kadar tambang baharu bagi perkhidmatan KTM Komuter dengan peningkatan sehingga RM7.10 berkuat kuasa 1 Mei.

KTM dalam satu kenyataan berkata, perbezaan kadar tambang sehala yang baharu berbanding tambang sedia ada adalah bergantung kepada jarak perjalanan daripada satu stesen ke stesen yang lain.

Ia turut memaklumkan kadar baharu diskaun tiket sebanyak 20 peratus bagi pemegang tiket tambah nilai, diskaun antara 18 peratus hingga 26 peratus kepada pemegang pas mingguan serta diskaun 19 peratus hingga 35 peratus bagi pemegang pas bulanan, bergantung kepada jarak perjalanan.

Sementara itu, pengguna warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia antara 4 hingga 12 tahun pula akan terus menikmati tambang konsesi pada kadar 50 peratus daripada tambang tunai yang baharu.

“Seperti yang sedia maklum, perkhidmatan KTM Komuter telah menunjukkan peningkatan yang ketara dari aspek ketepatan masa perjalanan dan tahap keselesaan penumpang sejak penggunaan tren baharu enam koc mulai tahun 2012.

“Penggunaan tren baharu enam koc yang sangat konsisten prestasinya telah melonjak ketepatan masa perkhidmatan KTM Komuter dari hanya 17 peratus pada 2011 kepada 97 peratus pada 2014,“ kata KTM.

Ia berkata, pelarasan tambang itu dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kadar baharunya turut dikecualikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Kali terakhir KTM melaksanakan pelarasan tambang ialah pada Februari 2003.

Bermula 1 April, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kadar tambang baharu di semua stesen KTM Komuter, laman sesawang KTM Berhad di www.ktmb.com.my atau mengubungi Pusat Panggilan KTMB 1300-88-5862. – BERNAMA- 

 See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tambang-komuter-naik-mulai-mei-1.71541#sthash.4C26Ne6n.dpuf


Kerajaan digesa teliti kadar tambang baharu

20 Mac 2015 1:40 AM

KUALA LUMPUR 19 Mac – Kerajaan digesa mengkaji terlebih dahulu implikasi kenaikan kadar tambang baharu teksi dan bas ekspres yang diumumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini kerana ia dilihat bakal membebankan rakyat.

SHAHARUDDIN AWANG YAHYA

Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Shaharuddin Awang Yahya berkata, bila ada sesuatu kenaikan, ia pasti akan memberi tekanan berat kepada pengguna terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Seharusnya pihak SPAD tidak perlu menaikkan kadar tambang tersebut secara drastik, pihak berwajib sepatutnya mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan pengusaha pengangkutan awam dan orang ramai bagi menentukan kadar tambang yang bersesuaian.

“Kita akur dengan kenaikan tambang baharu ini tetapi mereka perlu mengambil kira pandangan dan kesan-kesannya kepada para pengguna. Kenaikan tambang tersebut sedikit sebanyak menyusahkan pengguna terutamanya kepada mereka yang menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai kenaikan tambang baharu pengangkutan awam yang diumumkan SPAD hari ini.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, pengguna mula berasa tertekan dengan kenaikan harga barangan mahupun servis yang mula naik sedikit demi sedikit sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan bermula bulan depan.

“Saya yakin pengguna akan bertambah bimbang tentang kenaikan harga sama ada akan terus naik ataupun turun selepas pelaksanaan GST nanti. Kita sebagai pengguna faham mengapa kenaikan tambang itu berlaku cuma ia terlalu tinggi dan perlu diteliti semula.

“Tidak adil rasanya sekiranya pihak berwajib tetap meluluskan permohonan kenaikan tambang tersebut tanpa mendapat persetujuan dan kata putus yang terbaik kerana kenaikan tersebut jelas meningkatkan perbelanjaan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, bas ekspres dan teksi merupakan pengangkutan awam yang sering digunakan oleh pengguna.

“Kenaikan tambang tersebut sedikit sebanyak menjejaskan perbelanjaan pengguna. Kita boleh lihat pada masa kini, masyarakat kerap menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja malah kerajaan juga menggalakkan untuk menggunakannya.

“Saya menggesa pihak kerajaan untuk mengkaji dan menyemak semula kenaikan tambang tersebut dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan perkara tersebut. Mereka seharusnya perlu ada garis panduan dalam menentukan paras tambang yang berpatutan agar mampu dibayar oleh semua golongan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menjelaskan, kenaikan tambang tersebut adalah munasabah dalam konteks kenaikan beberapa kos operasi dan penyelenggaraan kenderaan seperti minyak, tayar dan sebagainya yang sudah mening­kat.

“Kami sebagai NGO pengguna tidak menghalang mengenai kenaikan struktur tambang baharu ini cuma pengusaha perkhidmatan awam perlu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada para pengguna. Mereka perlu memberi jaminan keselamatan dan keselesaan kepada pengguna dapat ditingkatkan seiring dengan kenaikan tersebut, ” katanya.

“Saya tidaklah kata bahawa kenaikan tambang ini menguntungkan orang ramai cuma sebagai pengguna bijak mereka boleh meminta mendapatkan mutu perkhidmatan yang berkualiti dari segi layanan dan keselesaan ketika menaiki bas mahupun teksi disebabkan sudah membayar lebih,” katanya.