Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 4 April 2014

MH370 - Kenyataan penuh PM di Perth










KUALA LUMPUR: Berikut teks penuh kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media di Perth, Australia, berhubung misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang:

"Saya ingin memulakan bicara dengan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus lumus berusaha mencari MH370. 

"Sepanjang tiga minggu lepas, beratus-ratus orang telah mengharungi perjalanan beribu-ribu kilometer untuk membantu. Mereka telah melakukan pencarian dalam keadaan laut bergelora, berkabus dan suhu amat sejuk. 

"Mereka belayar dalam keadaan ribut petir untuk mencari pesawat. Kita terhutang budi kepada setiap seorang daripada mereka.

"Ini merupakan satu usaha yang amat mengagumkan, telah menyatukan negara-negara dari seluruh dunia. Semasa MH370 didapati hilang, berpuluh-puluh negara menjawab seruan bagi bantuan. Komitmen mereka tidak akan dilupakan.

"Tatkala berdepan tragedi ini – bagi negara-negara yang warganegara mereka berada dalam pesawat ini, dan keluarga yang anggota keluarga tersayang mereka hilang -- kerjasama ini memberikan kekuatan kepada kita. 

"Perbezaan diketepikan, pada saat 26 negara bersatu dengan satu matlamat. Kehilangan MH370 merupakan insiden yang tidak pernah dialami sebelum ini; begitu juga dengan misi pencarian ini. 

"Pagi ini saya berjumpa dengan anggota tentera laut dan tentera udara di Pangkalan Udara Pearce. Saya juga berbual dengan komander dari tujuh negara yang berada di sini untuk misi mencari MH370. 

"Mereka memberitahu saya tentang kesukaran misi pencarian seperti ini; dari segi jarak, dan cuaca, dan untuk mengekalkan semangat jitu untuk tempoh yang lama. 

"Ketika ini, 10 pesawat dan sembilan kapal sedang melakukan pencarian di Lautan Hindi bagi mengesan sebarang petanda berhubung pesawat yang hilang. Kawasan pencarian amat luas, dan keadaannya bukan mudah. 

"Tetapi kawasan pencarian baharu yang telah dikecilkan memberikan kita harapan baru. Dan saya percaya semangat dan keberanian adalah setara dengan tugas itu. Sekali lagi, saya mengucapkan terima kasih atas apa yang mereka sedang lakukan. 

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Tony) Abbott kerana menjadi hos kepada kami di sini di Perth; atas persetujuan untuk mengetuai operasi mencari di selatan Lautan Hindi; dan sudi menerima undangan kami untuk Australia turut serta sebagai Wakil Bertauliah dalam penyiasatan ini. 

"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Australia untuk mengggariskan persetujuan komprehensif berhubung pencarian ini. 

"Pada waktu sukar ini, Australia terbukti sahabat yang amat bernilai. Pihak berkuasa Australia, seperti banyak negara lain, telah menawarkan bantuan mereka tanpa teragak-agak atau lewat. Saya dengan penuh ikhlas mengucapkan terima kasih kepada Australia bagi semua yang mereka telah lakukan, dan sedang lakukan, untuk mencari pesawat. 

"Kami juga amat berterima kasih kepada mereka yang telah membawa bersama-sama  pakar mereka untuk merungkai apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri Abbott sebagai ‘satu daripada misteri paling luar biasa' pada masa kini".

"Kehilangan MH370 telah menguji azam kolektif kita untuk menyelesaikannya. Berdepan dengan begitu sedikit bukti, menjadikan tugas amat sukar, para penyiasat dari Malaysia, AS, UK, China, Australia dan Perancis telah bekerja keras tanpa mengenal penat lelah untuk mendedahkan pergerakan pesawat. Usaha kolektif mereka telah membawa kita ke sini. 

"Kami berada di sini hari ini, tetapi ingatan kami berada beribu-ribu kilometer jauhnya. Di bandar raya-bandar raya dan negara-negara di seluruh dunia, tatkala anggota keluarga kepada mereka yang berada dalam pesawat sedang resah menunggu berita. Dan tentang betapa luasnya Lautan Hindi, tempat MH370 sedang menunggu. 

"Saya tahu selagi pesawat itu tidak ditemui, banyak keluarga tidak boleh mula berkabung. Saya tidak dapat bayangkan kesedihan yang sedang mereka lalui. Tetapi saya boleh berjanji kepada mereka yang kami tidak akan berputus asa dan mengalah. 

"Terima kasih." - Bernama

MH370 - Siapa saja boleh `terbang’

PENGARAH Simflight KL, Kapten Amin Said bersama peralatan simulator penerbangan Air Bus 320.
SUBANG: “Sesiapa saja memiliki komputer boleh beli perisian simulasi penerbangan dan belajar mendaratkan pesawat di lapangan terbang seluruh dunia. “Oleh itu, tuduh Zaharie terbabit dalam insiden MH370 semata-mata kerana memiliki simulator adalah tidak adil.” Itu tegas Pengarah syarikat simulasi penerbangan Simflight KL Kapten Amin Said yang menganggap tuduhan dilemparkan oleh media asing terhadap juruterbang pesawat penerbangan MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah sebagai tidak berasas.

Katanya, satu kebiasaan bagi juruterbang profesional memiliki simulator penerbangan sendiri untuk menambah kemahiran dan pengetahuan mereka, lebih-lebih lagi bagi seorang individu yang amat berminat dalam bidang penerbangan seperti Zaharie.

“Seperti seorang pemuzik ada perisian peralatan muzik yang boleh dimuatkan dalam komputer, begitu juga juruterbang dengan simulasi mereka. Ini adalah sesuatu yang normal untuk menambah kemahiran.

“Saya kenal rapat dengan Zaharie ketika bersama-sama aktif bermain kapal terbang kawalan jauh lewat tahun 90-an. Dia adalah seorang yang periang dan gemar berkongsi pengetahuan dan amat serius dalam kerjayanya sebagai seorang juruterbang.

“Tak mungkin dia sengaja lakukan sesuatu untuk memudaratkan penumpang dan kru pesawat itu,” katanya di pejabat Simflight KL di sini.


Menurutnya, dia terkejut apabila media asing mengaitkan isu peribadi Zaharie dengan insiden berkenaan dan yakin sahabatnya itu tidak sepatutnya dijadikan kambing hitam dalam isu kehilangan pesawat itu.

Pandangannya terbukti benar apabila Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa tiada sebarang bukti untuk mengaitkan Zaharie selepas pasukan siasatan meneliti cakera keras dan simulator penerbangan itu.

“Log data yang dipadam adalah untuk mengosongkan ruang dalam cakera keras supaya beban komputer berkenaan dapat dikurangkan seterusnya menambah prestasi simulator berkenaan,” jelasnya mengenai log data yang dipadam.

Sejak siasatan terhadap insiden MH370 bermula, pasukan antarabangsa termasuk Polis Diraja Malaysia dan FBI menyiasat latar belakang peribadi kru pesawat berkenaan untuk mencari punca pesawat itu berpatah balik. Malah, siasatan juga diperluaskan kepada ahli keluarga mereka, kakitangan penerbangan lain serta pegawai dan kakitangan agensi berkenaan.

Tragedi MH370 : Tuduhan terhadap Kapten Zaharie tidak adil

Jangan perlekeh usaha cari MH370

Sebahagian orang ramai berdoa untuk keselamatan pesawat MH370 pada majlis solat hajat anjuran Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Adalah sangat menjengkelkan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab cuba memperlekehkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) dengan mengaitkan emosi dan ideologi politik songsang, demi agenda sempit mereka.

Walaupun wajah-wajah ini acapkali mengaibkan negara kita di luar negara dengan tuduhan-tuduhan liar, namun di dalam peristiwa yang berlaku ketika ini, ia merupakan tragedi melibatkan nyawa manusia.

Lebih memualkan ialah apabila seluruh dunia sedang bersatu mendoakan supaya pesawat ini serta penumpangnya selamat dijumpai, apa yang pihak ini lakukan ialah memecah-belahkan masyarakat dengan melemparkan pelbagai tuduhan kononnya kejadian ini disebabkan oleh kerajaan yang memerintah.

Berulang-ulang kali di pentas ceramah, media asing dan blog, kerajaan dituduh tidak cekap sehingga menyebabkan krisis ini berlaku.

Agak melucukan, tiada cadangan atau cadangan alternatif yang disampaikan kepada pihak berkuasa tetapi hanya tuduhan retorik yang bersalut emosi dan sentimen peribadi sahaja.

Pemangku Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussuein berulang kali mengingatkan kepada seluruh dunia di dalam sidang akhbar harian setiap petang, bahawa this is an unprecendented situation yang bermakna kejadian seumpama ini (kehilangan MH370) adalah sesuatu yang belum pernah terjadi.

Kata-kata beliau itu disambut oleh pakar dari seluruh dunia dan dengan teknologi maklumat dan informasi tanpa sempadan, kita sendiri boleh membuat sedikit kajian untuk mensahihkannya.

Walaupun menurut data Aviation Safety Network bahawa terdapat lebih 80 pesawat yang diumumkan sebagai ‘hilang’ sejak 1948, tidak ada satu contoh pun yang boleh dikatakan hampir serupa dengan kronologi kehilangan MH370, di mana sistem komunikasi ACARS dan transponder telah didakwa ditutup atau tidak berfungsi sejurus sebelum pesawat berkenaan dipercayai berpatah balik (ATB).

Satu lagi contoh unprecendented ialah di mana kita terpaksa menggunakan teknologi satelit untuk membuat projeksi laluan pesawat tersebut dan juga mengesan kawasan berkenaan untuk sebarang objek yang menyerupainya.

Ini sangat berbeza dengan tragedi pesawat Air France 447 di mana serpihan pesawat dijumpai dalam linkungan 40 batu garis pusat isyarat radar terakhir.

Apakah Malaysia tidak serta merta menghantar aset-aset ketenteraan untuk operasi SAR di kawasan isyarat radar terakhir milik Jabatan Penerbangan Awam dan juga tentera udara?

Jadi di manakah asas dakwaan kononya Malaysia tidak cekap dan kita lewat bertindak?

Apa yang dimaksudkan sebagai kelewatan bertindak seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak barangkali juga ialah dari segi kelewatan mengumumkan sebarang maklumat, terutamanya kepada pihak media.

Lantas sesetengah pihak media terutama media antarabangsa beranggapan bahawa pihak penyiasat menyembunyikan sesuatu.

Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa maklumat seperti rekod satelit dan radar ketenteraan adalah sangat sensitif.

Memberikan maklumat tersebut sewenang-wenangnya adalah ibarat mendedahkan rahsia ketenteraan dan risikan negara-negara luar.

Sebagai contoh, sekiranya Malaysia meminta rekod surveillance radar primari milik Tentera Udara Indonesia, kita bakal memperolehi maklumat tentang perisian sistem radar mereka seperti sejauh mana sesuatu objek itu dapat dikesan, apakah resolusi radar berkenaan, selain altitud dan kelajuan objek, apakah keistimewaan radar Indonesia, apakah sempadan-sempadan pengesanan radar tersebut dari sudut dan aspek manakah kelemahan radar Indonesia berbanding Malaysia dan banyak lagi.

Selain maklumat yang diklasifikasikan sebagai top secret pihak tentera, kita juga perlu bertanggunjawab dari segi hanya menyampaikan maklumat yang telah disahihkan bukan dari segi teori dan kemungkinan mahupun kebarangkalian.

Untuk satu-satu petunjuk itu disahkan, ia sudah tentu memakan masa kerana memerlukan siasatan dan kajian terperinci.

Selain itu, terdapat juga suara-suara yang mengatakan bahawa tentera udara telah mengesan ATB tetapi tidak berbuat apa-apa.

Mereka juga berkata alasan bahawa objek yang dikesan tersebut didapati sebagai ‘tidak mengamcam keselamatan’ (non hostile) tidak boleh diterima, kerana kita sepatutnya mempelajari daripada pengalaman peristiwa 9 September.

Tetapi apabila kita melihat perkara ini kembali, apakah ciri-ciri baharu terutama dari segi aspek ketenteraan dan keselamatan untuk menangani sebarang kes rampasan pesawat seperti berlaku di Amerika Syarikat 13 tahun lalu?

Selain Akta Patriot dan memperkenalkan Marsyal Udara di dalam penerbangan, tidak ada apa-apa pendekatan baharu lagi canggih yang boleh mematahkan sebarang cubaan untuk merampas pesawat.

Oleh yang demikian, tidak ada banyak perkara pihak tentera udara boleh lakukan pada ketika itu, selain mengekori melalui sistem radar primary mereka serta meminta bantuan radar negara jiran.

DR. FAIZAL TAJUDDIN
Pasir Salak


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20140401/fo_01/Jangan-perlekeh-usaha-cari-MH370#ixzz2xsZA5ig8  © Utusan Melayu (M) Bhd



MH370 - Antara laporan tepat, media China dan Tony Abbott



Oleh SUFFIAN ABU BAKAR







SAYA sempat berbual dengan seorang wartawan penyiaran dari SDTV, China, Steven Han baru-baru ini semasa semua petugas media berkampung di pekarangan pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce di Bullsbrook untuk membuat liputan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Menurut Steven, dia ialah wartawan dari sebuah agensi yang bersifat neutral, iaitu menyiarkan laporan mengenai kehilangan pesawat itu secara `telus' tanpa sebarang unsur ketidakadilan kepada mana-mana pihak sama ada rakyat China atau Malaysia.

Namun Steven yang mendakwa dirinya tidak bias itu, tiba-tiba melontarkan satu persoalan kepada saya.

Soalannya: ``Kenapa Malaysia seolah-olah menyembunyikan sesuatu dan lambat memaklumkan kepada kami? (China).'

Saya tidak terkejut dengan soalan itu, kerana sudah mengagak bahawa soalan itu pasti akan keluar juga, sebaliknya dengan tenang saya menjawab: - "Steven, saya percaya anda mendapat maklumat yang salah daripada agensi berita luar negara (sambil menunjukkan ke arah petugas media asing yang lengkap dengan peralatan canggih untuk menghantar bahan ke pejabat masing-masing)."

Saya meneruskan hujah saya dengan penuh yakin kerana saya berasakan sedang mewakili Malaysia ketika itu untuk berdepan dengan tohmahan yang dilemparkan oleh media asing dan diambil bulat-bulat oleh media di China.

Saya terangkan kepadanya, semua laporan putar-belit yang kononnya kerajaan Malaysia cuba menyembunyikan fakta me­ngenai siasatan insiden kehilangan pesawat MH370 itu dicipta semata-mata untuk melihat Malaysia dan China bersengketa.

Maka tidak hairanlah, ramai pihak termasuk selebriti di China yang mengkritik dan menyalahkan kerajaan Malaysia berhubung pengendalian tragedi pesawat itu yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Kehilangan pesawat MH370 mencetuskan pelbagai reaksi dari China, antaranya kekurangan maklumat berhubung tragedi itu sehingga menerima kritikan pelbagai pihak di republik itu termasuk selebriti seperti Zhang Ziyi, Meng Fei, Ada Choi dan Chen Kun, yang juga mengugut untuk memboikot Malaysia dalam laman sosial.

Berbalik kepada pertemuan saya dengan Steven tadi, reaksi wartawan berusia lingkungan 30-an itu seolah-olah dia bersetuju dengan pendapat saya. Malah katanya, SDTV merupakan sebuah syarikat penyiaran yang tidak bersikap double-standard dan majikannya juga mengarahkannya supaya menghantar laporan yang adil sepanjang berada di Perth.

Steven masih sudi berbual dengan saya. Katanya, sebagai dua negara yang terlibat secara langsung dalam insiden itu, Malaysia dan China perlu sama-sama merungkai misteri kehilangan pesawat MAS tersebut.

Saya memberitahunya, itu sudah pasti. Saya memaklumkan bahawa Malaysia juga tidak mahu insiden seperti ini berlaku begitu juga China. Atas sebab itu juga kata saya, kita berdua dapat bertemu di Perth kerana sama-sama mahu merungkai misteri kehilangan pesawat tersebut yang dianggap paling misteri di dunia.

"Steven, saya harap apa yang berlaku ini tidak menghalang hubungan baik antara kedua-dua negara kita. Saya juga bersimpati dengan nasib menimpa 152 penumpang negara anda.

“Satu pesan saya, jangan percaya bulat-bulat pada laporan media asing. Kita berada di sini sekarang, jadi laporlah apa yang tepat kepada negara anda dan begitu juga saya akan lakukan," kata saya sebelum meminta diri untuk mencari bahan berita lain.

Cabaran seterusnya yang saya hadapi adalah selang dua hari kemudian iaitu ketika Perdana Menteri Australia, Tony Abbott mengadakan kunjungan rasmi ke pusat operasi mencari itu di Pangkalan RAAF Pearce.

Ketibaan Abbott pukul 8 pagi dimulakan dengan lawatannya ke pusat operasi tersebut selama kira-kira 45 minit sebelum sebahagian daripada media luar negara terma­suk saya dan seorang wartawan RTM diberi kebenaran untuk membuat liputan sidang akhbar di dalam kem berkenaan.

Kami petugas media dibawa memasuki kawasan kem RAAF dengan kawalan ketat pasukan tentera sejauh kira-kira satu kilo­meter ke bilik khas.

Sebelum dibenarkan masuk, Ketua Skuadron RAAF Pearce, John Mc Court dengan tegas mengarahkan seorang wartawan wanita dari China supaya tidak menyertai sidang akhbar tersebut kerana keengganannya untuk meninggalkan kamera digital yang disandang.

Sebelum itu kami semua diberi taklimat supaya wartawan tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar sepanjang sesi sidang akhbar tersebut. Ini kerana jurugambar sudah diletakkan tanggungjawab itu dan hanya jurugambar dan jurukamera dari agensi AP serta ABC sahaja yang dibenarkan mengikuti rombongan Abbot ketika melawat pusat operasi di kem itu.

Kebanyakan petugas media Malaysia lain pula tidak menyertai sidang akhbar tersebut kerana menaiki dua buah pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menyertai operasi pencarian.

Semasa sidang akhbar itu, seorang wartawan dari CNN bertanyakan satu soalan, kenapa kerajaan Malaysia lambat memaklumkan tentang hasil pencarian pesawat ini dan seolah-olah cuba menyembunyikan fakta.

Dengan pantas Abbott menjawab, Malaysia tidak menyembunyikan sebarang fakta. Sebaliknya Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan bahawa penerbangan pesawat itu berakhir di Lautan Hindi.

Najib turut menunjukkan komitmennya dalam usaha mencari itu termasuk menghantar pasukan tentera yang kini menyertai operasi itu.

Sepasukan 50 anggota dan pegawai TUDM tiba Sabtu lalu menaiki dua pesawat Hercules C-130 manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tiba dengan kekuatan 160 anggota dan pegawai dengan kapal diraja KD Lekiu dua hari kemudian.

Sikap professional yang ditunjukkan oleh Abbott ketika menjawab soalan itu amat dipuji. Beliau cuba menafikan mainan fakta atau fact-spin yang cuba diolah dan dilakukan oleh media asing tersebut. 

Sememangnya media asing ini, mempunyai agenda tertentu untuk memutarbelitkan kenyataan dan mujurlah pucuk pimpinan kita dan Kerajaan Australia matang dalam menangani situasi ini.

Andai kata saya dan RTM tidak dibawa masuk ke dalam sidang akhbar itu, entah apa sahaja yang akan dilaporkan oleh agensi berita asing dalam sidang akhbar tersebut.

Namun saya kagum dengan layanan yang diberikan oleh pihak berkuasa Australia termasuk RAAF. Sepanjang berkampung di luar kawasan tempat letak kereta di RAAF Pearce, kami diberi layanan yang begitu memuaskan.

Mereka profesional dan sudah semestinya petugas media juga perlu bertindak profesional.

Kepada pihak berkuasa dan kerajaan Australia, kesanggupan mereka membiayai dan menjadi ketua operasi pencarian di selatan Lautan Hindi ini amat dihargai dan saya masih teringat kata-kata Abbott bahawa, Australia berbangga kerana dapat membantu semua negara yang menyertai operasi ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140404/re_03/Antara-laporan-tepat-media-China-dan-Tony-Abbott#ixzz2xsVAw5HN  © Utusan Melayu (M) Bhd 





MH370 - Terima kasih Australia - Najib


Najib Tun Razak bersama Perdana Menteri Australia, Tony Abbott (kanan) ketika berucap di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce Bullsbrook di Perth, Australia, semalam.

PERTH 3 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Australia dan semua negara yang terlibat membantu usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di perairan Lautan Hindi, yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Perdana Menteri berkata, bantuan serta kerjasama yang ditunjukkan oleh kerajaan Australia di bawah pimpinan rakan sejawatnya, Tony Abbott dilihat amat luar biasa kerana mereka tampil dengan penuh kesungguhan serta memberi pelbagai bentuk bantuan termasuk aset, logistik, kepakaran dan bertindak sebagai penyelaras.

Menurutnya, penghargaan itu turut diberikan kepada beberapa buah negara lain yang terlibat membantu usaha mencari pesawat itu yang kini dilakukan di perairan Lautan Hindi tanpa menghiraukan cabaran yang dihadapi termasuk keadaan cuaca seperti lautan bergelora serta tempoh operasi yang panjang.

“Tujuan kedatangan saya ke Perth ini adalah bagi menyampaikan penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia kepada Australia dan negara lain yang terlibat dalam operasi ini. Saya berpeluang bersemuka dengan semua petugas pesawat dan kapal termasuk pasukan dari Malaysia untuk menyampaikan rasa terima kasih kita kepada mereka.

“Saya boleh menyampaikan penghargaan itu melalui kenyataan rasmi yang dibuat di Kuala Lumpur namun saya ambil kesempatan ini untuk datang dan berjabat tangan sendiri dengan mereka dan berterima kasih kepada semua yang terlibat," katanya dalam sidang akhbar kepada petugas media dari Malaysia selepas menghadiri mesyuarat dua hala bersama Abbott di Pejabat Perdana Menteri di Exchange Plaza di sini hari ini.

Sebelum itu, Najib yang tiba di sini malam tadi melawat para petugas operasi mencari pesawat MH370 yang berpusat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce di Bullsbrook dekat sini dan turut diiringi oleh Abbott.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Penasihat Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Kedua-dua pemimpin itu turut meluangkan masa bersarapan di pangkalan bersama kesemua petugas sebelum Najib dan Abbott masing-masing menyampaikan amanat kepada mereka.

Dalam sidang akhbar itu, Perdana Menteri turut mengulangi komitmen Malaysia untuk terus menjalankan operasi mencari pesawat berkenaan sehingga menemukan jawapan yang konklusif berhubung kehilangan pesawat MH370.
“
Malaysia memberi jaminan kita tidak akan menghentikan usaha pencarian ini selagi kita tidak mendapat jawapan yang konklusif berhubung kehilangan MH370. Kita bertanggungjawab terhadap keluarga kesemua 239 penumpang dan anak kapal itu yang pastinya mahukan jawapan yang konklusif tentang apa yang berlaku," kata beliau.

Najib dalam pada itu turut memaklumkan bahawa Malaysia akan berbincang dengan Australia untuk menggunakan kaedah carian laut dalam sekiranya usaha mengesan pesawat MH370 itu belum berhasil.

Menurutnya, antara kaedah yang akan digunakan adalah teknologi sonar, kapal selam ‘robotic drone’ serta penggunaan kamera dasar laut.

Ditanya mengenai hasil mesyuarat dua hala yang diadakan hari ini, Perdana Menteri memberitahu, tumpuan mesyuarat masih diberikan terhadap usaha mencari pesawat MH370. - Utusan


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140404/dn_01/Terima-kasih-Australia---Najib#ixzz2xsKZOcuy  © Utusan Melayu (M) Bhd


Thursday, 3 April 2014

Anwar mahu cabar ROS?





Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan SHARIFAH AZMAWATI SYED ABDUL AZIZ
pengarang@utusan.com.my








PETALING JAYA 2 April - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak berminat dengan jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebaliknya bertanding kerusi nombor satu itu kerana mahu menyalahkan kerajaan jika Pendaftar Pertubuhan (ROS) menolak pencalonannya atau tidak mengiktiraf keputusan pemilihan, sekiranya dia menang.

Bekas Bendahari Agung PKR, Abdul Rahman Othman berkata, tindakan itu sudah dijangkakan dari awal lagi apabila Anwar mengumumkan mahu mencabar penyandang jawatan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga isterinya.

Katanya, taktik itu menyamai kejadian dalam pemilihan PKR di Seremban, Negeri Sembilan pada 2007 apabila parti itu bermesyuarat pada saat akhir untuk mengkaji apa kesan sekiranya Anwar menjadi Presiden.

“Pada malam itu, PKR tidak membenarkan Anwar bertanding dan dia mengumumkan berundur. Apabila dia berundur, saya juga tidak bertanding sebab saya hanya mahu lawan dia.

Sebab itu bagi saya, kesimpulan orang ramai bahawa Anwar mengamalkan nepotisme dalam PKR apabila dia bertanding jawatan Presiden adalah tidak tepat. Sebenarnya, Wan Azizah hanyalah ‘insurans’ kepada Anwar jika berlaku apa-apa kepadanya," katanya kepada Utusan Malaysia di kediamannya, di sini hari ini.

Abdul Rahman mengulas pertembungan Anwar dan Wan Azizah dalam perebutan jawatan Presiden parti itu dalam Pemilihan PKR yang bermula 25 April sehingga 11 Mei ini.

Abdul Rahman berkata, pada pemilihan kali ini, Anwar dilihat mahu mengulangi perkara sama meskipun beliau mengetahui risiko akan ditolak pencalonannya oleh ROS sebagaimana tujuh tahun lepas.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Anwar yang tidak bertanding pada 2010 walaupun tidak mempunyai sebarang kes mahkamah.

“Hal ini sekali gus membayangkan beliau sengaja mahu mencabar ROS," tegasnya.

Abdul Rahman tidak menolak PKR akan mengheret penyokong mereka untuk mengadakan demonstrasi jalanan sekiranya ROS menolak pencalonan Anwar atau mengisytiharkan kemenangannya sebagai tidak sah.

“Penyokong akan beranggapan Anwar dianiaya dan dinafikan hak untuk bertanding," katanya.

Mengikut Seksyen 9A (1) (b) Akta Pertubuhan 1966, seseorang tidak boleh menjadi atau kekal memegang jawatan dalam pertubuhan yang berdaftar jika disabitkan atas apa-apa kesalahan dan didenda tidak kurang daripada RM2,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun.

Sementara itu, Fasa 7.1.4 Perlembagaan PKR menyebut tanpa menghiraukan peruntukan lain, seseorang ahli tidak boleh dicalonkan atau bertanding untuk memegang sebarang jawatan (jika telah dipilih atau terlantik maka dengan serta-merta ter­lucut dengan sendirinya) jika dia dilarang oleh undang-undang dari memegang jawatan di dalam pertubuhan atau dia dikenakan tindakan disiplin yang melarangnya meme­gang jawatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140403/po_01/Anwar-mahu-cabar-ROS#ixzz2xnb901Qn  © Utusan Melayu (M) Bhd 



KOMEN : TAK HABIS-HABIS DENGAN POLITIK LONGKANG DIA...

Tiga rebut Presiden FAM?

TUNKU ISMAIL, TENGKU ABDULLAH

PETALING JAYA - Spekulasi mengenai kemungkinan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan ditandingi buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun semakin kuat apabila tiga nama disahkan telah dicalonkan untuk jawatan berkenaan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan mengenai perkara itu, tetapi tidak mendedahkan nama-nama mereka yang dicalonkan oleh 20 badan gabungan bagi kongres kali ke-50 yang akan diadakan pada 25 Mei ini.

Walaupun tidak disahkan, namun perkhabaran terbaru ini menguatkan lagi spekulasi bahawa Presiden Persatuan Bola­sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Ibrahim merupakan antara yang akan bertanding selain pe­nyandang jawatan berkenaan, Sultan Ahmad Shah dan anakanda baginda iaitu Tengku Abdullah yang kini Timbalan Presiden.

Hamidin turut mengesahkan bilangan calon yang akan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Exco dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Wanita untuk merebut 17 kerusi yang ditawarkan pada penggal 2014-2018.

Buat masa ini, Hamidin mengesahkan Sekretariat FAM sedang menunggu jawapan daripada mereka yang telah dicalonkan sama ada akan mengambil pendirian bertanding atau menolak pencalonan mereka dalam tempoh sebulan sebelum kongres berlangsung.

Selain itu, beliau menjelaskan terdapat individu sama yang turut dicalonkan untuk jawatan lain dan mereka perlu menyatakan pendirian jawatan mana yang mereka pilih untuk ditandingi.

"Bagi Kongres FAM ke-50, setelah tarikh menghantar borang pencalonan ditutup pada 24 Mac lepas, Sekretariat FAM me­nerima tiga nama bagi kerusi Presiden, 10 bagi jawatan Timbalan Presiden, 17 untuk Naib Pre­siden, 35 exco dan 11 bagi exco wanita.

"Pihak sekretariat sedang melalui proses memaklumkan kepada calon-calon (mengenai pencalonan mereka).

"Mengikut statut FAM, semua calon ini perlu menyatakan pendirian mereka sebulan sebelum kongres berlangsung dan pengesahan penuh nama yang akan bertanding dijangka diketahui pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif pada pertengahan bulan ini," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) di Wisma FAM semalam.

Walaupun begitu, status sama ada akan terdapat pertandingan atau sebaliknya dijangka tetap bergantung kepada pendirian Sultan Ahmad Shah sama ada akan mempertahankan jawatannya kali ini. Jika baginda berhasrat untuk mengekalkan jawatan, kemungkinan besar Tengku Abdullah dan Tunku Ismail akan beralih kepada merebut jawatan Timbalan Presiden.

Jika tidak, prospek untuk melihat pertandingan satu lawan satu antara Tengku Abdullah dan Tunku Ismail ternyata cukup besar kerana difahamkan kedua-duanya menerima pencalonan yang seimbang.

Selain itu, dua penyandang Naib Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Seri Afandi Hamzah juga mengintai tempat Timbalan Presiden namun semuanya bergantung kepada percaturan Tengku Abdullah dan Tunku Ismail.

Beberapa nama lain turut dijangka menerima pencalonan bagi kerusi Naib Presiden seperti Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Rosmadi Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu, Datuk S. Sivasundram dan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Sudarsono Osman.

Dua tokoh besar bola sepak negara, Tan Sri Annuar Musa yang merupakan Timbalan Pre­siden FAM tidak boleh bertan­ding kerana masih perlu menjalani penggantungan hingga Oktober tahun ini, begitu juga dengan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Shahidan Kassim.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140403/su_01/Tiga-rebut-Presiden-FAM#ixzz2xnQgBLT7  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Brunei mula laksanakan hukum hudud

Sultan Hassanal Bolkiah

BANDAR SERI BEGAWAN 2 April - Brunei muncul negara Asia Timur pertama melaksanakan hukum hudud bermula semalam, yang menyaksikan semua rakyatnya termasuk masyarakat bulan Islam turut tertakluk di bawah undang-undang tersebut.

Pemerintahnya, Sultan Hassanal Bolkiah menyelia sendiri peralihan itu yang antaranya memperuntukkan hukuman berasaskan undang-undang Islam terhadap pelbagai kesalahan seperti mencuri, merogol, berzina, meliwat, minum minuman keras dan terlibat dalam kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Brunei sebelum ini telah pun melaksanakan undang-undang syariah, namun hanya terhad kepada masalah melibatkan perkahwinan, wasiat dan keluarga Islam.

Bermula semalam, perundangan Islam itu diperluaskan lagi melibatkan hukuman seperti direjam sampai mati kerana kesalahan berzina dan sebatan sekiranya melakukan pengguguran bayi.

Badan bebas, Global Voices Online yang beribu pejabat di Amsterdam, Belanda sebelum ini melaporkan, Sultan Hassanal Bolkiah pernah memberi amaran bahawa individu yang menentang pelaksanaan hukum hudud boleh didakwa.

Akhbar berbahasa Inggeris India, Deccan Chronicle pula melaporkan, keputusan Brunei untuk melaksanakan hukuman hudud dan memperkenalkan semula hukuman mati, menerima banyak kritikan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkannya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Selain itu, perkara tersebut turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat bukan Islam Brunei, yang turut tertakluk dalam beberapa ketetapan kod berkenaan.

Penasihat Undang-Undang Antarabangsa Asia Tenggara, Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa (ICJ) Emerlynne Gil dalam sepucuk suratnya kepada Sultan Hassanal Bolkiah berkata, jika peraturan baharu itu dilaksanakan, pencabulan hak asasi manusia yang serius bakal berlaku.

"Brunei tidak mengamalkan hukuman mati sebelum ini dan keputusan melaksanakannya begitu mengejutkan," ujar Gil.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140403/lu_01/Brunei-mula-laksanakan-hukum-hudud#ixzz2xnNgYf3X  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370 - Kapal selam HMS Tireless sertai misi

Kapal Selam Nuklear British, HMS Tireless menghampiri pelabuhan Gibraltar dalam perjalanan ke selatan Lautan Hindi untuk menyertai misi mengesan pesawat MH370, semalam. - AFP

KUALA LUMPUR 2 April - Kapal selam milik United Kingdom (UK) jenis Trafalgar Class tiba di selatan Lautan Hindi untuk membantu pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 777 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Suruhanjaya Tinggi British dalam kenyataan di sini hari ini menyatakan, penghantaran HMS Tireless itu telah dimaklumkan oleh Setiausaha Pertahanan United Kingdom, Philip Hammond kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

“Dengan keupayaan tinggi mencari sehingga ke dasar laut, HMS Tireless boleh menyumbang kepada pencarian lokasi pesawat yang hilang itu.

“UK telah menjalin kerjasama erat dengan pihak berkuasa Malaysia sejak kehilangan pesawat itu dan memberikan sokongan yang tidak terhingga," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kapal HMS Echo yang berkeupayaan tinggi mencari serpihan pesawat di permukaan air dan mampu mengesan isyarat dari kotak hitam akan turut dihantar ke Lautan Hindi.

“Kapal itu yang mempunyai keupayaan meninjau kawasan di sekitarnya akan dapat membantu pihak berkuasa mengecilkan lagi lokasi pencarian.

“Kerajaan UK turut membantu dengan menyediakan bantuan kepakaran teknikal daripada Kementerian Pertahanan, Pejabat Hidrografi, Jabatan Pengangkutan dan Pejabat Meteorologi untuk membantu mengesan pesawat itu," jelasnya.

Tambahnya, empat pegawai Tentera Udara Diraja British yang dipinjamkan kepada Tentera Udara Diraja Australia dan Tentera Udara Diraja New Zealand turut terlibat secara aktif dalam pencarian maritim itu.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140403/dn_09/Kapal-selam-HMS-Tireless-sertai-misi#ixzz2xnMb5lS8  © Utusan Melayu (M) Bhd


MH370 - China tak pernah salahkan Malaysia

HUANG HUIKANG

KUALA LUMPUR 2 April - Kerajaan China tidak pernah menuding jari mahupun menyalahkan Malaysia atas insiden kehilangan pesawat MH370 dan menghargai segala usaha yang dilakukan untuk mencari pesawat tersebut.

Malah, menurut Duta China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang, hubungan dua hala dan jalinan kerjasama antara negara itu dan Malaysia tidak akan terjejas berikutan kejadian itu, sebaliknya yakin hubungan sedia ada akan lebih erat pada masa hadapan.

Beliau turut memuji kerajaan Malaysia yang tidak pernah berputus asa dan berkerja keras untuk mencari pesawat itu walaupun mendapat pelbagai kritikan sejak hari pertama lagi.

“Kami (kerajaan) tidak pernah sekalipun marah kepada Malaysia atau mahu memboikot apa-apa. Malaysia dan China seperti keluarga, negara jiran yang begitu akrab. Mengapa mahu salahkan Malaysia sedangkan insiden ini adalah suatu bencana.

“Kami sangat terhutang budi dan menghargai semangat serta dedikasi ditunjukkan oleh kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini, kami langsung tidak marah malah akan terus bekerjasama dalam apa jua perkara termasuk misi pencarian MH370 ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar khas berhubung pendirian negara itu terhadap kehilangan pesawat MH370 di Kedutaan China di sini hari ini.

Menurut Huikang, kemarahan segelintir rakyat di negara itu berikutan pelbagai spekulasi mengenai kejadian tersebut menyebabkan mereka keliru dan tidak sabar untuk mengetahui nasib yang menimpa orang tersayang.

“Perasaan itu adalah normal, mereka juga manusia biasa. Sudah tentu mereka mahu tahu apa yang terjadi. 

Mereka tentunya tidak senang duduk memikirkan kesudahan yang menimpa orang tersayang.

“Kerajaan China juga komited dan berusaha sedaya upaya bagi memastikan misi pencarian pesawat dan jawapan kepada pelbagai persoalan berhubung insiden ini terjawab. Sehingga itu, kami juga tidak senang duduk. Ini bukanlah misi pencarian yang mudah," ujarnya.

Beliau berkata, ramai ahli keluarga penumpang China masih berharap orang yang mereka sayangi terselamat dan pesawat berkenaan dirampas.

Menurut Huikang, adalah tidak adil untuk meletakkan beban di bahu kerajaan Malaysia sahaja justeru beliau meminta semua pihak tidak terus membuat kesimpulan sendiri.

Beliau juga meminta supaya semua pihak cuba untuk memahami mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan perkataan 'berakhir' bagi menjelaskan nasib yang menimpa pesawat MH370.

“Kenyataan beliau boleh memberi pelbagai makna dan kadang-kala disalah tafsir. Ada yang anggap ia bermaksud kehilangan, ada yang memahaminya sebagai terhempas dan ada yang mentafsir tidak ada yang selamat.

“Saya faham Najib berhati-hati memilih perkataan. Tujuannya hanya untuk menggelakkan sebarang maksud yang ‘menyakitkan’ anggota keluarga penumpang yang masih berharap ahli keluarga mereka akan pulang," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140403/dn_06/China-tak-pernah-salahkan-Malaysia#ixzz2xnJRbqyW  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370 - 227 penumpang 'bebas' - Khalid

Khalid Abu Bakar bersalaman dengan sebahagian tetamu khas yang turut hadir dalam majlis perasmian Seminar Pemantapan Polis di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

KUALA LUMPUR 2 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan kesemua 227 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, bebas daripada empat elemen siasatan pasukan itu iaitu rampasan, sabotaj, masalah peribadi dan psikologi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, bagaimanapun, pasukan khas masih lagi melakukan siasatan terhadap juruterbang, pembantu juruterbang serta anak kapal lain berdasarkan empat elemen terbabit.

“Hanya penumpang sahaja yang telah bersih, selebihnya belum lagi," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pemantapan Polis di Maktab PDRM, Cheras, di sini hari ini.

Khalid berkata, dalam perkembangan terbaharu iaitu sehingga semalam, pihaknya telah merekodkan kenyataan daripada lebih 170 individu.

Jelas beliau, masih ramai individu yang akan ditemu bual selepas ini dan pihaknya sentiasa berhubung dengan keluarga anak kapal dalam proses siasatan itu.

“Ini adalah siasatan jenayah mengikut Seksyen 130C Kanun Keseksaan yang mana prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dilakukan.

“Sebab itu kami tidak boleh dedahkan hasil siasatan. Kamu (wartawan) hanya akan tahu hasil siasatan kami sekiranya ada perbicaraan nanti," ujarnya.

Kata beliau, PDRM juga masih belum menerima sebarang keputusan atau maklum balas daripada pihak berkuasa luar berhubung perisian simulasi yang dimiliki oleh juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Sementara itu, mengulas mengenai Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Perluasan) 2013 yang dikuat kuasa hari ini, Khalid berkata, polis bersiap sedia untuk melaksanakannya serta sudah mempunyai senarai individu yang akan ditahan mengikut akta terbabit.
“
Sabarlah, cukup masanya nanti kita akan umum," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140403/dn_05/227-penumpang-bebas---Khalid#ixzz2xnHvWZZd  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Wednesday, 2 April 2014

MH370 - Transkrip kokpit didedah









Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan mendedahkan transkrip penuh komunikasi antara pesawat penerbangan MH370 dan Pusat Kawalan Udara Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, transkrip penuh yang sudah diberikan kepada ahli keluarga penumpang itu bagaimanapun tidak mengandungi sebarang komunikasi luar biasa.

"Siasatan awal Malaysia Airlines sebelum ini mendapati suara terakhir dari kokpit pesawat adalah pembantu jututerbang, namun polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesahkan perkara itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya pasukan siasatan antarabangsa dan pihak berkuasa Malaysia kekal dengan pandangan bahawa sebelum pesawat berkenaan hilang dari radar primer milik tentera, pergerakannya konsisten dengan tindakan sengaja oleh seseorang dalam pesawat.

Foto
Foto

MH370 - Mahkamah Chicago tolak publicity stunt - Oleh Salleh Buang

Monica Kelly dari firma guaman Amerika Syarikat, Ribbeck Law Chartered International menghadiri sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 26 Mac lalu, bagi mengumumkan yang firma itu telah memulakan prosiding undang-undang bernilai berjuta-juta dolar terhadap syarikat Boeing dan Malaysia Airlines (MAS) berhubung kes kehilangan pesawat MH370. - AFP

BERITA terkini dari Chicago menyatakan prosiding mahkamah yang difailkan oleh firma guaman Ribbeck Law Chartered di bandar raya itu minggu lalu berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 adalah pra-matang dan menyalahi peraturan.

Hakim Kathy Flanagan memutuskan pada Isnin lalu (31 Mac 2014) bahawa undang-undang hanya membenarkan kes seperti itu difailkan di mahkamah apabila identiti bakal defendan sudah pun dikenal pasti.

Hakim itu selanjutnya memarahi firma itu kerana memfailkan kesnya terlalu awal sebelum ada apa-apa keterangan kukuh dikumpulkan. Walaupun kapal terbang malang itu hilang pada 8 Mac lalu, hakikatnya sehingga kini usaha mencari dan menyelamatkan pesawat dan penumpang masih lagi belum menunjukkan apa-apa hasil.

Keputusan hakim ini disokong pelbagai pihak dalam kalangan pengamal undang-undang di bandar raya itu.

Robert Clifford, seorang peguam yang punyai pengalaman luas selama 30 tahun mewakili ahli keluarga mangsa nahas kapalterbang, menganggap perbuatan firma Ribbeck Law Chartered itu sebagai satu publicity stunt untuk mendapatkan manfaat bagi firma itu sahaja.

"Perbuatan seperti ini membuat kita semua (pengamal undang-undang) nampak buruk sekali di mata rakyat," tambah Clifford lagi.

Menurut Clifford, firma Ribbeck Law telah melakukan perkara yang sama pada tahun lalu selepas nahas pesawat Penerbangan 214 di San Francisco. Dalam kes itu, mahkamah telah juga menolak kes yang difailkan itu sebagai pra-matang.

Pakar litigasi penerbangan sependapat dengan Clifford. Walaupun tindakan memfailkan kes di mahkamah dengan maksud memelihara keterangan yang berkaitan itu adalah satu langkah yang amat penting, perbuatan memfailkan kes sebelum pesawat yang hilang itu ditemui adalah jumping the gun dan tidak wajar sama sekali.

Prof. Bruce Ottley dari De Paul University menyatakan bahawa tindakan memfailkan kes di peringkat awal memang menarik perhatian semua pihak. "Tetapi bila anda failkan kes anda sebelum ada kepastian penumpang kapal terbang itu telah meninggal dunia, itu adalah terlalu awal sekali".

AMARAN DIKENAKAN SEKATAN

Hakim Flanagan turut menyatakan dalam penghakiman empat halamannya bahawa firma Ribbeck telah memfailkan petisyen yang hampir serupa pada tahun lalu selepas peristiwa nahas kapal terbang di San Francisco dan Laos. Dalam semua kes itu, dia (Hakim Flanagan) telah menolaknya atas alasan yang sama - iaitu kes difailkan terlalu awal dan belum matang.

Kata Hakim Flanagan lagi, walaupun firma berkenaan telah diperintahkan jangan mengulangi perbuatan silam mereka, firma berkenaan masih degil melakukannya lagi dalam kes ini (petisyen berhubung penerbangan MH370), walaupun ia tahu belum ada asas untuk berbuat demikian.

Justeru, Hakim Flanagan memberi amaran kepada firma itu sekiranya ia meneruskan juga memfailkan kes sedemikian pada masa depan, mahkamah akan (impose sanctions) mengenakan hukuman terhadap firma tersebut.

PETISYEN PENZAHIRAN

Dalam dua kes yang difailkan oleh firma Ribbeck Law Chartered minggu lalu (di­sebutkan sebagai ‘petisyen penzahiran’) dua orang plaintif yang diwakili firma itu memohon mahkamah memerintahkan syarikat Boeing dan MAS menzahirkan beberapa perkara yang didakwa ada kaitannya dengan kehilangan pesawat MAS yang malang itu.

Perkembangan berikutnya menunjukkan bahawa salah seorang plaintif, bernama Januari Siregar, yang disebutkan sebagai bapa kandung penumpang Firman Chandra Siregar (24 tahun) yang hilang bersama pesawat MAS itu, ialah sebenarnya bapa saudara dan hubungannya dengan ahli keluarga lain pun tidak begitu mesra atau rapat. Seorang jurucakap bapa sebenar Firman Chandra memberitahu akhbar Chicago Tribune bahawa firma Ribbeck Law tidak diberi apa-apa kebenaran atau izin memfailkan kes bagi pihak keluarga mereka di Chicago.

Pada minggu lalu, seperti semua rakyat Malaysia sudah sedia maklum, sepasukan peguam dari firma Ribbeck Law, diketuai Monica Kelly, sudah pun mendarat di lapangan terbang KLIA dan sejurus selepas itu telah membuat sidang akhbar menawarkan khidmat dan kepakaran firma itu kepada ahli keluarga penumpang yang hilang dalam pesawat MAS pada 8 Mac lalu.

Selesai bercakap dengan wakil media di Kuala Lumpur, mereka terus bergegas ke Beijing, pastinya dengan maksud mencari pelanggan dalam kalangan ahli keluarga penumpang China yang hilang bersama pesawat malang itu.

DAKWAAN MONICA KELLY

Semasa bercakap kepada pengamal media di Kuala Lumpur minggu lalu, Monica Kelly menyatakan bahawa sebagai peguam plaintif, mereka telah memohon dibekalkan dokumen berhubung reka bentuk dan kecacatan mekanikal serta tindakan yang diambil oleh syarikat Boeing dan MAS (defendan) yang mungkin menyebabkan nahas itu berlaku.

"Kita percaya kedua-dua defendan bertanggungjawab atas nahas MH370," katanya lagi.

Monica menjelaskan bahawa matlamat petisyen itu adalah meminta mahkamah memerintahkan Boeing menzahirkan identiti pembuat komponen kapal terbang malang itu, termasuklah komponen elektrik dan pendawaian, bateri, bekalan oksigen, dan sistem penggera api. Permohonan itu juga mahu dizahirkan identiti syarikat atau individu yang membuat pemeriksaan terakhir badan kapal terbang (fuselage) dan siapakah yang menjalankan penyenggaraan.

Petisyen itu juga meminta mahkamah memerintahkan MAS memberi maklumat sepenuhnya mengenai latihan yang diberi kepada anak kapal untuk menangani insiden nahas, amalan dan latihan keselamatan, serta penilaian anak kapal.

"Kita mesti cari kepastian apa yang menyebabkan nahas itu dan selanjutnya mendesak agar apa sahaja masalah yang ada kaitan dengan reka bentuk dan pembuatan pesawat itu segera diatasi agar nahas yang serupa tidak berlaku lagi di masa depan," tambah Monica.

Monica juga memaklumkan wartawan bahawa firmanya akan menamakan beberapa defendan lain dalam masa terdekat, termasuklah pereka (designers) dan pembuat bahagian-bahagian kapal terbang yang berkaitan.

Akhbar South China Morning Post minggu lalu ada memetik kata-kata Monica Kelly setelah dia selesai ditemubual warga media di negara itu. Kata peguam dari Chicago itu - "Our theory of the case is that there was a failure of the equipment in the cockpit that may have caused a fire that rendered the crew unconscious, or perhaps because of the defects in the fuselage, which had been reported before, there was some loss in the cabin pressure that also made the pilot and co-pilot unconscious."

Lalu Monica Kelly membuat kesimpulan - "That plane was actually a ghost plane for several hours until it ran out of fuel."

Kini setelah dua kesnya yang difailkan di mahkamah ditolak Hakim Flanagan, manakala dia sendiri telah ditegur oleh mahkamah, apakah Monica Kelly akan terus mempromosikan teorinya tanpa mengambil kira perasaan ahli keluarga penumpang pesawat malang MH370 di saat-saat begini? Sama-samalah kita tunggu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140402/re_01/Mahkamah-Chicago-tolak-ipublicity-stunti#ixzz2xh9k7nhP  © Utusan Melayu (M) Bhd