Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 26 December 2013

Antara kesulitan rakyat dan minda menteri



oleh Salleh Buang 
PENULIS ialah penganalisis undang-undang.




SEDIKIT masa dulu, bila harga ayam naik dan rakyat mula meluahkan rasa kecewa, ada menteri yang dilaporkan berkata "Jangan makan ayam", tapi cari alternatif lain seperti daging.

Di lain waktu, apabila segolongan rakyat menyuarakan rasa terkilan mereka tentang sistem pilihan raya di negara ini, ada Menteri yang dilaporkan berkata "Kalau tak suka sistem sedia ada di negara ini, boleh berhijrah ke negara lain". Kenyataan menteri ini kemudian disokong oleh seorang menteri lain, dengan kata-kata (lebih kurang), "Kalau tak suka, boleh duduk dalam hutan".

Begitu juga, bila pada suatu ketika, harga gula naik, dan rakyat mula menyuarakan rasa sedih mereka, ada menteri yang dipetik sebagai berkata "Jangan makan gula, untuk hidup lebih lama".

Baru-baru ini, bila berita bertiup kencang tentang kemungkinan tol lebuh raya akan naik dan rakyat (seperti telah dijangka) kemudian menzahirkan rasa kesal mereka, ada menteri lain pula yang dipetik telah berkata "Jangan gunakan lebuh raya. Gunakan jalan lama yang sedia ada".

Memandangkan jawapan-jawapan menteri seperti yang disebutkan di atas tadi itulah, saya faham kenapa Dr. Asyraf Wajdi Dasuki (tokoh muda yang baru dilantik anggota MT UMNO) telah menyifatkannya sebagai sebagai "kenyataan dangkal yang hanya menambah kemarahan rakyat"

Lalu beliau menasihatkan agar menteri-menteri kita merungkai "formula terbaik" bagi menyelesaikan kesulitan rakyat akibat "pelbagai kenaikan hampir serentak" yang sudah pasti akan memberi kesan buruk kepada kos sara hidup. berikut adalah jawapan menteri apabila setiap barangan di naikkan harga selepas 5 mei lalu.

Pada Selasa lalu (17 Disember) saya pulang dari Subang dengan pesawat udara Firefly dan tiba di lapangan terbang di Kepala Batas (dekat Alor Setar) kira-kira jam 3.45 petang. Ketibaan saya dengan kerusi roda disambut oleh seorang sahabat yang bertugas di situ. Dalam perbualan kita yang tidak dirancang itu, sahabat saya itu sempat berpesan kepada saya untuk melihat kandungan portal berikut setibanya saya di rumah nanti - http://ajensifakap.blogspot.com/2013/12/harga-barang-naik-najib-razak-hari-ini.html.

Untuk makluman pembaca Utusan, saya salinkan di bawah ini sebahagian sahaja dari apa yang saya temui di portal itu. Mengikut pemilik portal itu, kenyataan-kenyataan berikut dibuat oleh Menteri-Menteri kita semenjak 5 Mei lalu -

* "jika petrol naik, jalan kaki jangan bawa kereta".

* "jika tepung naik, jangan makan tepung, makan ubi".

* "jika tambang bas naik, hantar anak sendiri ke sekolah".

* "jika letrik naik, pakai lilin.. ".

* "jika tol naik, sila guna jalan biasa tiada tol".

* "gula naik untuk elak obesiti …".

* "jika tidak buat gst, malaysia akan bangkrap".

* "tambang lrt paling rendah di dunia, mesti perlu di naikkan sebab sudah 10 tahun tak naik-naik".

* "ayam naik jangan makan ayam, makan ikan".

* "harga rumah naik jangan beli rumah, sewa saja".

* "harga kereta naik tidak bebankan rakyat".

Berikutnya, saya dapati bahan yang sama juga telah disiarkan dalam portal lain, iaitu http://akuanakpahang.blogspot.com/2013/12/kerajaan-barisan-nasional-dikecam-hebat.html. Rakyat kita yang tinggal di Lembah Klang sudah pun sedia maklum bahawa Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) telah mengeluarkan kenyataan tentang kemungkinan tambang pengangkutan awam LRT dan monorel akan naik tahun depan (2014). Bagi SPAD, kenaikan itu wajar memandangkan sudah 10 tahun tiada kenaikan.

Kenaikan kos hidup sudah tidak dapat dielakkan lagi memandangkan bahawa selain kenaikan harga gula, harga petrol juga telah naik dan tidak lama lagi tarif elektrik (dijangka berkuatkuasa tahun depan).

Kenaikan tarif elektrik itu akan memberi impak negatif kepada negara. Mengikut Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, kadar inflasi negara dijangka meningkat daripada 2.8 kepada 3.0 peratus tahun depan.

Saya difahamkan oleh pihak yang lebih arif mengenai hal ini bahawa secara amnya kenaikan gaji rakyat kita (yang bekerja dengan majikan) adalah pada tahap 2.5% setahun sahaja, manakala kenaikan harga barang keperluan adalah lebih tiga kali ganda, iaitu 8.5% setahun. Perbezaan ini pastinya membebankan rakyat, terutama yang berpendapatan rendah.

Rakyat hairan bagaimana harga gula boleh naik tiga kali dalam tempoh kurang satu tahun. Kali pertama, harga gula naik adalah pada 6 Julai 2010, kali kedua pada 4 Disember 2010, manakala kali ketiga pada 9 Mei 2011. Alasan yang diberi oleh kerajaan adalah "rasionalisasi subsidi."

Rakyat negara ini tahu Malaysia adalah salah satu pengeluar gula utama dunia. Ada 4 buah kilang gula di negara kita, iaitu Malayan Sugar Manufacturing Co. Bhd (juga dipanggil Gula Prai), Central Sugar Refinery Sdn. Bhd, Gula Padang Terap Berhad dan Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd. Rakyat juga tahu Raja Gula Malaysia, Robert Kuok, merupakan antara orang terkaya di negara ini dan di rantau Asia.

Justeru, rakyat mahu tahu kalau Malaysia antara pengeluar gula utama dunia, bagaimana harga gula di negara ini boleh terus naik?

Pada Ogos 2012 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kepada rakyat negara ini bahawa usaha menangani kenaikan kos sara hidup rakyat akan terus menjadi "komitmen utama" kerajaan.

Harapan kita jaminan keramat Perdana Menteri ini akan terus ditunaikan, dan bila rakyat meluahkan rasa hati mereka mengenai kos sara hidup yang terus meningkat, hendaknya tidak ada lagi jawapan dari mana-mana menteri yang tidak masuk akal, seolah-olahnya memperbodohkan rakyat.






Menjelang 2014: Selagi ada kuasa, gunakanlah...






SEMINGGU lagi kita akan menyambut Tahun Baru 2014. Setahun lagi umur kita akan meningkat, setahun lagi cabaran akan mendatang, setahun lagi dosa pahala terus dihitung. Selagi hayat dikandung badan, selagi itu cabaran tetap mendatang.

Si pemakan rasuah pula akan terus makan rasuah, waima sedar majikannya sedang seksa berjuang untuk hidup. Si pejuang akan terus berjuang dan si pendemostran akan terus berdemostrasi.

Namun, negara akan tetap berdiri. Malaysia bukanlah sebuah rumah yang sedang terbakar dan kapal sedang karam. Ia masih lagi berlayar, walaupun badai terus melanda.

Semua pihak mahukan Malaysia ini milik mereka. Pembangkang amat dahagakan negara ini. Hanya orang bodoh sahaja yang tidak mahu merebut negara yang makmur ini.

Negara asing pun melihat Malaysia dengan cemburunya. Walaupun, pihak pembangkang terus-menerus membangkang, mereka masih lagi hidup dengan mewahnya. Jangan tipulah.

Jangan tipu rakyat mengatakan negara ini penuh dengan kezaliman. Kakitangan kerajaan menikmati segala kesenangan mengatasi pekerja swasta, tetapi ada antara mereka tetap tidak bersyukur. Malah ada yang bercita-cita mahu mengebom di malam Tahun Baru ini. Memang taksub gila penjawat awam itu.

Tapi kasihan, mereka ini jadi begitu kerana terlalu taksub dengan pemimpin mereka. Di belakang mereka, para pemimpin itu cakap tak serupa bikin.

Saya tidak pasti, apakah ada ramai lagi yang berfikiran macam itu?

Jadi, selagi ada kuasa jika tidak digunakan kuasa itu, maka tunggulah akibatnya kelak.

Tahun 2014 akan diharungi dengan penuh mencabar. Harga barangan dan perkhidmatan akan terus naik. Satu demi satu diumumkan serentak. Rakyat cukup tersentak. Tak pasti kita, siapa yang mengatur semua itu. Alahai, ada kuasa pun tak pandai atur.

Kini harga teh 'O' kurang manis di KL ada tempat sudah pun berharga RM2.80! Jangan disebut yang lain-lain lagi. Pihak berkuasa pergilah tengok-tengok apa yang patut dilakukan. Selagi ada kuasa lakukanlah apa yang patut.

Siapa yang menerajui kuasa, tolonglah pastikan harga itu dan harga ini tidak dinaikkan satu demi satu. Jika sayangkan kuasa, tadbirlah dengan baik-baik.

Pihak politik yang berkuasa jangan terus berangan-angan untuk menjadi kaya-raya. Kaya boleh, tapi janganlah berlebih-lebih. Rakyat memerhati anda sekalian. Selagi ada kuasa, gunakanlah secara bijak. Berhemahlah. Jangan anggap di zaman siber ini rakyat itu bodoh. Jika anda beranggap sebegitu, maka tunggulah masanya nanti. Jangan ditunjuk-tunjuk kemewahan itu kepada rakyat yang terkial-kial untuk membayar bil itu dan bil ini setiap bulan.

Jika dulu ada ISA tapi sudah dibungkus, gunalah undang-undang baru dengan setegas mungkin. Jangan nanti menyesal di kemudian hari. Jika dah tahu ada yang nak berdemo di malam Tahun Baru, pergilah bertindak. Bukan kita tidak mahu kebebasan bersuara, tetapi biarlah ia dengan niat yang baik dan murni, bukan untuk memenuhi kehendak politik peribadi pihak-pihak tertentu.

Selagi ada kuasa gunakanlah setegas-tegasnya. Jangan biarkan kepala kita dipijak- pijak.

Bagi negeri yang dirampas balik daripada tangan pembangkang, jaga negeri itu baik- baik. Jika semasa mereka memerintah dulu, kita lihat betapa gelojohnya mereka mengondolkan gunung-ganang. Oleh itu jangan diulangi perangai seperti itu.

Jadi betullah, politik itu bukan untuk tujuan keredaan Allah semata-mata, tetapi duitan juga matlamat akhirnya.

Selagi ada kuasa, jangan dipinggirkan mana-mana rakyat yang terpinggir. Orang Melayu, India dan Cina yang miskin harus dibantu. Bantu mereka seadil-adilnya mengikut apa yang diperaku dan ditetapkan oleh Perlembagaan negara.

Kaum yang kaya, jangan menganiayai kaum lain yang miskin. Jangan cakap tak serupa bikin. Jangan tuduh Malaysia mengamalkan Aparteid, sedangkan di negara ini minoriti yang menguasai kekayaan dan kemewahan.

Malaysia ialah negara berbilang kaum, jagalah rakyat supaya hidup sayang-menyayang dan hormat-menghormati.

Jadikan 2014 ini tahun Perpaduan dan Rukun Tetangga. Sengketa tidak akan membawa ke mana-mana. Malah musuh akan lebih seronok untuk menangguk di air keruh.

Yang majoriti dan minoriti teruslah bermuhasabah. Lancarkan Tahun 2014 tahun Bahasa Kebangsaan, supaya semua bangsa bercakap satu bahasa.

Amat malu jika ada rakyat Malaysia tidak tahu berbahasa negara sendiri. Nak cakap Melayu pun terkial-kial. Namun, kita juga kena menguasai bahasa-bahasa lain supaya kita boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa dunia lain.

Jangan biarkan orang Melayu merasa terpinggir apabila berada di Ipoh atau di Butterworth.

Ingatlah orang Melayu ini pemurah. Orang Cina boleh hidup selesa dan mewah di kampung Melayu, jangan pula biarkan orang Melayu tercicir dan tersisih di pekan-pekan besar milik anda.

Bagi orang Melayu pula, selagi ada kuasa bersatulah.

Seorang rakan menghantar SMS Tahun Barunya "hati UMNO sudah lama terbuka luas, hati Hadi Awang sudah terbuka untuk muzakarah dengan UMNO. Ayuh bangsaku Melayu demi maruah bangsa dan agama bersatulah demi kelangsungan kuasa di bumi sendiri. Kita diherdik dicaci....sedarlah jika kita lemah layulah Melayu... tiada harapan untuk bangkit lagi."

Oleh itu menjelang tahun baru ini, gunakanlah kuasa yang ada sebaik-baik mungkin - sebelum semuanya terlambat!


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131225/re_06/Menjelang-2014-Selagi-ada-kuasa-gunakanlah#ixzz2oYG6Sblj © Utusan Melayu (M) Bhd


SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2014

Thursday, 19 December 2013

Setuju lucut kerakyatan











KUALA LUMPUR 18 Dis. - Ahli-ahli Dewan Negara hari ini bersetuju agar kerajaan melucutkan taraf kewarganegaraan mana-mana pihak yang menghina Jalur Gemilang termasuk dengan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya.

Senator Muhammad Olian Abdullah (gambar) ketika mencadangkan hukuman keras tersebut berkata, perbuatan menghina bendera negara adalah kesalahan serius dan tidak boleh dimaafkan kerana Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan negara.

Katanya, motif kumpulan tertentu yang berulang kali mengibarkan bendera Sang Saka Malaya termasuk pada malam sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang lalu jelas bertujuan mahu mencetuskan suasana perpecahan dalam kalangan rakyat.

"Motif jahatnya kita semua tahu, jadi setujukah mereka ini kita lucutkan kewarganegaraan," katanya ketika mencelah semasa Senator Datuk Noriah Manaf membahaskan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Cadangan itu kemudian mendapat sokongan Noriah yang berpendapat perbuatan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya adalah bertujuan mahu mengembalikan semula sejarah hitam negara sedangkan dunia sudah mengiktiraf Jalur Gemilang.

Bagaimanapun, Senator Syed Husin Ali yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat ketika sesi perbahasan sebelum dewan berhenti rehat dilihat cuba mempertahan perbuatan pihak yang mengibarkan Sang Saka Malaya apabila berkata, tindakan tersebut hanya lontaran idea daripada rakyat.

"Kita kena hormati hak bersuara setiap rakyat termasuk dalam soal memberi pandangan dalam perkara Sang Saka Malaya kerana bendera ini berkait dengan sejarah kemerdekaan negara," katanya sebelum tercetus sedikit perdebatan dalam kalangan ahli dewan.


YANG INI AKU SOKONG 100%... BAGAIMANA PULA DENGAN PENGKHIANAT YANG MEMPERSOALKAN DAN MEMPERSENDAKAN PERLEMBAGAAN NEGARA???

GURINDAM " JANGAN PEDULI KAMI "







These are people on "our side". Bukan pembangkang. 
Umpama timun hendaknya
Melanggar kami terluka
Dilanggar kami cedera
Tapi itulah nasib kami yang hina

Tanpa elaun seperti menteri
Makan bayar sendiri
Kereta pandu sendiri
Minyak isi sendiri
Jalan sesak kami hadap setiap hari

Mudah pula tuan berkata
Jangan makan bila ayam naik harga
Jangan minum manis bila naik harga gula
Jangan guna jalan jika tol naik berganda
Pindah ke negara lain jika tak suka Malaysia 

Kami umpama kain basahan
Tuan perah habis habisan
Akhirnya kami kekeringan
Merana kami tuan kesenangan

Duit sejemput kami diperas hingga rabak
Gaji tuan sedikit pun tak boleh ditolak
Diusul kami tuan amuk sampai koyak
Kami senyum lihat tuan makin menggalak

Tak mengapalah tuan
Kami terima segala ketentuan
Cuma ingat pesan Tuhan
Setiap perkara ada balasan
Nasib tuan belum ketahuan

Tuan jangan lupa
Kami manusia biasa
Sabar kami ada tahapnya
Luka kecil boleh menjadi nanah juga
Jangan sampai menjadi barah pula
Cukuplah tuan menyeksa
Cukuplah tuan buat kami merana

Kuasa tuan dari kami
Naiknya tuan dari kami
Jatuhnya tuan juga dari kami..

**** tolong sebarkan.tanda protes KAMI****



Wednesday, 18 December 2013

Isu Syiah ialah isu akidah, keselamatan





APABILA Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan isu Syiah dan kaitannya dengan pemimpin Pas, beliau menyatakan isu Syiah ialah persoalan akidah dan keselamatan negara.

Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu memberi respons bahawa ia adalah isu sementara tanpa menyedari bahawa dari segi sejarah perkembangan Syiah dari sudut akidah, syariah dan fikah banyak perkara yang menyalahi dan bukan isu sementara.

Ramai pemimpin Pas membuat anggapan bahawa tidak salah mengagumi Ayotullah Khomeini. Pemimpin Pas patut merujuk juga wasiat Khomeini dalam majalah Dustur terbitan Lebanon (1 Ogos 1983, edisi 197, hal. 16-18) memberikan wasiat supaya memerangi negara-negara Islam sampai mereka menjadi negara Syiah.

Kata Khomeini, “Ketika perang dengan Iraq telah selesai, maka kita wajib memulai perang dengan negara lainnya. Saya mengimpikan bendera kita berkibar di Amman, Riyadh, Damsyik, Kaherah dan Kuwait".

Profesor Yusof al Qardawi ‘sahabat baik’ Anwar Ibrahim dan tempat rujukan Haji Hadi Awang yang sekian lama lunak dengan isu Syiah, akhirnya menyatakan Syiah membawa ajaran yang menyesatkan dan kafir (Aljazeera-9.3.2013) selepas menyaksikan pembunuhan ratusan ribu umat Islam di Syria.

Wasiat Khomeini dan penegasan Qardawi amat penting diteliti oleh golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berada dalam Pas dan parti-parti politik dan NGO Islam yang lain, kerana apa yang sedang berlaku di Iraq, Syria dan Bahrain adalah gambaran apa yang diwasiatkan oleh Khomeini dan dibimbangi oleh Qardawi. 

Apakah mengagumi Khomeini mengagumi wasiat dan ajarannya?

Banyak kitab Syiah sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Antaranya termasuk kitab-kitab Khomeini, Kasyful Asrar, Al Hukumah al Islamiah dan Tahrir al Wasilah yang menjadi rujukan utama penganut Syiah di Malaysia. Apakah kitab Khomeini ini selari dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Tidak mustahil Indonesia yang semakin subur pengaruh Syiahnya dengan penerbitan al Mizan, Bandung sebagai penerbit utamanya dan Malaysia yang mempunyai penganut Syiah dikatakan suku juta orang bakal jadi ancaman kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan keselamatan negara di rantau ini.

Menurut kaca mata Ahli Sunnah Wal Jamaah, ajaran Syiah didapati bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Pengikut Syiah mempercayai jawatan Imam telah ditentukan Allah melalui lisan Rasulnya secara nas. Ini dijelaskan dalam kitab Aqaid al-Imamah oleh Syeikh Muhammad Redha al Muzaffar (hal.78).

Syiah juga mempercayai bahawa orang yang dilantik menunaikan wasiat Rasulullah SAW adalah Saidina Ali. Usul ini disebutkan dalam kitab Aslu Al-Syiah Wa Usluha oleh Muhamad bin Husiain Ali Kasyif al-Ghita (hal.136).

Imamah dan Khilafah dianggap sebahagian daripada Rukun Islam dan ia berlaku melalui nas. Perkara ini dinyatakan dalam buku Minhaj Kebenaran dan Pendedahannya (Fiqh Lima Mazhab Di antara Nas dan Ijtihad) oleh al Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al Hulliyy, terjemahan Dr. Lutfi Ibrahim, (hal. 145-146).

Banyak lagi buku tentang akidah Syiah ini menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam di Malaysia merupakan umat ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu berpegang dengan cara Abu Hassan al-Asya‘ri dan al Matruridi dalam akidah.

Menggunakan pendekatan Mazhab al-Shafie dalam penentuan hukum fikah dan meraikan mazhab muktabar yang lain.

Banyak lagi ajaran Syiah yang menyeleweng dari sudut Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu menyatakan semua imam adalah maksum, Ilmu Allah berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia, kemunculan semula Imam Mahdi dan kumpulan orang yang telah mati untuk memberi keadilan, taqiyyah (berpura-pura), menyamakan Saidina Ali dengan Allah SAW (kitab al Usul Min al Kafi oleh al Kulaini, Jilid 1, hal. 197), mengkafirkan para Sahabat (kitab al Anwar al-Nu‘maniah, oleh Syed Nikmatullah al Musawi, hal. 81).

Perpecahan yang berlaku di Malaysia tidak saja dilatari oleh faham politik yang berbeza tetapi juga anutan fahaman dan aliran keagamaan yang tidak sama.

Pertentangan Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh menghasilkan pertentangan yang tajam. Menjadi kewajipan bagi kerajaan, parti politik dan NGO Islam yang masih meyakini kebenaran faham Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak memandang ringan akan pengaruh Syiah ini.

Langkah-langkah keselamatan perlu diambil supaya faham yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ditangani dengan tegas supaya perpecahan yang lebih parah dapat dibendung.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131217/re_02/Isu-Syiah-ialah-isu-akidah-keselamatan#ixzz2nnDeqeFR  
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Penyatuan UMNO-Pas suatu realiti

Yang Dipertua Yadim Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (dua kanan) ketika mempengerusikan Majlis Pertemuan Khas NGO-NGO Islam berkenaan Muzakarah UMNO-Pas Perpaduan Nasional di Kuala Lumpur pada 29 November lalu. - UTUSAN/zaini husin

UMAT Islam di negara ini perlu mengambil iktibar hasil Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei 2013 lalu. Tidak perlulah kita membuang masa bercakaran sesama sendiri.

Jika kita berpecah-belah, terus bergelut dalam krisis yang berpanjangan dengan mahu menyingkirkan antara satu sama lain, tidak akan ke mana kemajuan umat Islam di Malaysia.

Adakah sesiapa bersetuju atau menyanggah kenyataan ini: “Menyokong atau memberi undi kepada pakatan pembangkang PKR-Pas-DAP akan memperkukuhkan umat Islam dalam Parlimen?

Jika semasa pilihan raya umum 2008, perbezaan antara Ahli Parlimen Islam dan bukan Islam pakatan pembangkang hanya enam orang. Tetapi pada PRU-13 bilangan anggota Parlimen bukan Islam pembangkang telah melebihi 17 orang. Pada PRU-13, bilangan Ahli Parlimen Islam dalam Parlimen adalah 137 orang.

Hanya yang ketara meningkat adalah Ahli Parlimen UMNO yang menambah 12 orang lagi Ahli Parlimen Islam, sementara bilangan Ahli Parlimen bukan Islam adalah 85 orang pada PRU-13.

DAP pula telah menambah 10 lagi kerusi bukan Islam.Sementara PKR yang tidak ketahuan hala tujunya untuk umat Islam negara ini pula, menambah lima orang lagi Ahli Parlimen bukan Islam berbanding pilihan raya umum 2008.

Rumusannya, mengundi pakatan pembangkang akan menguatkan lagi suara bukan Islam dalam Parlimen. Justeru, umat Islam harus sedar, ke manakah haluan negara ini bakal dibawa jika pengundian hanya dilakukan tanpa asas matematik yang kukuh tentang realiti umat Islam di Malaysia.

Atas sebab ini, umat Islam perlu melangkah ke depan. Barangkali kedudukan jumlah Ahli Parlimen UMNO dan Pas jika dicampurkan iaitu 89 UMNO dan 21 Pas akan menjadi kepada 110 kerusi, tetap masih belum mencapai majoriti 148.

Namun, cuba kita realisasikan seandainya Ahli Parlimen Melayu/bumiputera dari Pas dan PKR bergabung atau setidak-tidaknya cukup sebagai anggota komponen mesra BN tanpa menyertai gabungan itu, kelak, hasilnya mencapai lebih dua pertiga majoriti dalam Parlimen.

Carta di atas menunjukkan seramai 122 Ahli Parlimen Melayu/bumiputera daripada BN. Cuma 38 orang Melayu/bumiputera daripada pakatan pembangkang. Pakatan pembangkang pula didominasi oleh kaum Cina dengan 43 Ahli Parlimen.

Justeru, daripada carta: 122 + 38 = 160 Ahli Parlimen Melayu/bumiputera, maka sudah tentu umat Islam/bumiputera meraih lebih 148 kerusi, sekali gus mendapat kuasa dua pertiga majoriti.

Hakikat atau fakta yang perlu segera disedari adalah perasaan membuak-buak untuk berkuasa oleh satu pihak atau dipopularkan sebagai ‘tsunami Cina’ Mei lepas, telah meningkatkan jumlah wakil pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 196 kerusi kesemuanya dalam 2008, kepada 229 kerusi pada tahun 2013.

Bagi kerusi DUN pula, terdapat sejumlah 505 kerusi di seluruh negara tidak termasuk Sarawak. Dan DAP terbukti parti pembangkang yang paling berkuasa sekali.

Akibat tsunami Cina jugalah, beberapa orang calon Melayu muka baru dari Pas dan PKR turut mendapat ‘manfaat’ di kerusi-kerusi bercampur kaum. ‘Tsunami’ inilah turut membantu calon-calon Melayu yang lain mempertahankan kerusi mereka.

Cuba ditanya kepada Rafizi Ramli (PKR), bagaimana dia boleh menang di kawasan 48.2 pemilih Cina di Pandan, Selangor? Calon PKR, Mansor Othman pula mampu menang kerusi Nibong Tebal (37.3% Cina) di Pulau Pinang selain calon-calon Pas, Che Rosli Che Mat dan Mohd. Hanipa Maidin, masing-masing membuat ‘kejutan’ memenangi kerusi Hulu Langat (34.3% Cina) dan Sepang (34.0% Cina), Selangor.

Tambah pelik lagi, Mohd. Idris Jusi (PKR) boleh menang di kawasan 45.7 pemilih Cina di Batu Pahat, Johor dengan Shamsul Iskandar Akin (PKR) memeranjatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang begitu mesra Cina di kawasan 40.8 pemilih Cina di Bukit Katil, Melaka.

Kita sama sekali tidak menyalahkan ‘tsunami’ Cina kerana itu hak demokrasi mereka. Akan tetapi yang merisaukan kita adalah pihak-pihak tertentu ini yang sudah seakan-akan ‘naik tocangnya’.

Selain rentetan isu-isu yang ‘mengusik’ hati umat Islam berkisar laungan azan Subuh dan bacaan al-Quran di Pulau Pinang dan isu ‘Nenek Rasis’, tercuit pula isu terbaharu di Pahang, Menteri Besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob turut menerima ‘tempias’nya. Ini menyebabkan beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan menafikan terdapat usaha-usaha untuk pembangunan projek Spiritual Tourism (pelancongan rohani) di kawasan Gambang.

Projek ini dikatakan ‘begitu hebat dimomok-momokkan oleh youtube Cina’ sehinggakan ada percubaan mengutip duit untuk tujuan berkenaan. Terima kasih Tok Nan!

Berbalik kepada penyatuan UMNO-Pas, cuma persoalannya adakah ia akan berlaku, atau apakah masih jauh untuk digapai? Memang kita akui masih ada sebilangan orang dalam Pas yang masih berfikiran ekstrem dan taksub membabi buta . Terlalu ke kiri, hendak tegakkan ideologi sendiri.

Tetapi alangkah indahnya sekiranya ‘mereka’ ini berpegang kepada konsep wasatiyyah atau kesederhanaan yang ditekankan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Waktu ini pun, UMNO sendiri tampak kemelayuannya seperti mana keterampilan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atau tidak kurang Melayunya, ahli Majlis Tertinggi, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Dalam Pas sendiri, harapan untuk penyatuan dua parti Melayu ini setidak-tidaknya dapat disandarkan kepada Salahuddin Ayub, Takiyuddin Hassan dan KJ atau Datuk Kamaruddin Jaafar. Dan PKR, mungkinkah kepada Saifuddin Nasution Ismail?

Kalau kita lihat Menteri Besar Kelantan yang baharu, Datuk Ahmad Yaakub, sikapnya lebih rasional dan toleran untuk melihat muzakarah Pas-UMNO ini menjadi realiti. Walaupun pertemuan dengan Najib di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya November lalu hanya berlangsung setengah jam, impaknya cukup besar ke arah permuafakatan dua parti Melayu ini.

Dan apa yang kita dapat lihat seperti ada cahaya di hujung terowong setelah ketiadaan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kerajaan negeri.

Malahan kerjasama Pas-UMNO kelihatannya tampak lebih mudah apabila Mohamad Sabu atau Mat Sabu menang Timbalan Presiden Pas baru-baru ini setelah nasihat Nik Abdul Aziz sehingga ke saat-saat akhir pemilihan supaya perwakilan memilih ulama untuk menduduki kerusi nombor dua itu, tidak dipedulikan. 

Nampaknya Nik Abdul Aziz bukan lagi pemutus atau pemimpin de facto Pas. Penyatuan Pas-UMNO akan lebih mudah asalkan akar umbi Pas terbuka pemikiran mereka ke arah ini.

Dan kalaulah ada segelintir pengikut Pas mendesak kepimpinan mereka agar jangan ‘tertipu’ lagi dengan UMNO ketika Pas menyertai dan berada dalam BN pada 1970-an, maka kita boleh mengatakan begini: “itu sejarah dengan kepemimpinan waktu itu".

Walaupun dakwaan itu masih boleh dipersoalkan kesahihannya, sekurang-kurangnya Pas harus memberi peluang kedua kepada UMNO dalam melihat realiti landskap politik hari ini. Tidak perlu dihambat sejarah silam.

Perhimpunan Agung UMNO dari 2 hingga 7 Disember lalu nampaknya kurang menghentam Pas, atau saya sendiri tidak perasan perbahasan perwakilan sama sekali tidak bersuara akan hal ini. Ini suatu yang positif. Kedua-dua parti, baik UMNO atau Pas kalau hendak bersatu, masing-masing mesti memikirkan kepentingan jangka panjang demi masa depan anak-anak dan cucu mereka.

Ke mana hala tuju umat Islam Malaysia dalam 50 tahun akan datang? Cuba kita fikirkan sejenak, apakah untung nasibnya seperti mana dalam lagu ‘Anak kecil main api’.

Kalau tidak digerakkan secara serius usaha-usaha penyatuan ini, umat Islam Malaysia akan terus bercakaran sesama sendiri tanpa kesepaduan dan wawasannya.

Semua ini menguji keikhlasan pihak-pihak terbabit. Kalau benar-benar jujur mengutamakan kepentingan umat Islam Melayu, inilah peluang terbaik yang perlu direbut. Penyatuan UMNO-Pas suatu realiti. Penyatuan yang berpaksikan Islam!

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM
Penganalisis isu-isu semasa


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131217/re_01/Penyatuan-UMNO-Pas-suatu-realiti#ixzz2nn9IvncS 
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Bagaimana meningkatkan kekuatan umat Islam?


Sejak pengarah filem terkenal, Yasmin Ahmad meninggal dunia, tidak banyak filem Melayu yang berkualiti yang boleh merangsang pemikiran orang Melayu.

Yang ada, filem seperti tahyul, gengster, rempit, suami isteri bergaduh sampai bercerai berai, watak penggoda, kaki pukul, ragut, mabuk, berjudi, jual anak dan isteri, menagih dadah dan golongan elit yang angkuh.

Tidak terkecuali filem yang memaparkan penipuan, maki hamun, mengadu-domba, mengumpat dan memfitnah. Tidak banyak filem berunsur kekeluargaan yang berbentuk nasihat-menasihati.

Tetapi tidak buat pengarah filem seperti saudara Aflin Shauki yang sering memaparkan budaya kekeluargaan yang positif seperti filem Papadom dan Papadom 2. Filem-filem sebeginilah mampu merangsang minda dan tingkah laku orang Melayu.

Malangnya tidak ramai pengarah dan penerbit yang sanggup menerbit filem sebegini kerana kononnya tidak menguntungkan. Sedangkan filem sebeginilah boleh meningkatkan kekuatan umat Islam. Itu bab filem. Bagaimana pula dalam sektor korporat?

Diberitakan bahawa kemunculan semula seorang tokoh korporat Melayu yang suatu ketika dahulu senyap sepi selepas krisis kewangan tahun 1997/98 melanda negara. Ramai usahawan dan jutawan Melayu tersungkur ketika krisis kewangan tersebut.

Tokoh korporat yang dimaksudkan membuat kemunculan semula adalah Tan Sri Halim Saad. Siapa yang tidak kenal beliau, salah seorang tokoh korporat yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan bumiputera tetapi juga antara tokoh korporat terhebat di era sebelum krisis ekonomi yang melanda Malaysia di penghujung 1990-an.

Kemunculan semula Halim menggambarkan bahawa beliau tidak pernah berputus asa dalam perniagaan. Beliau bercadang dan sedang melaksanakan strategi-strategi untuk menjadikan syarikat yang mana beliau merupakan pemegang saham utama iaitu, Sumatec sebagai sebuah syarikat yang berjaya.

Sifat keusahawanan beliau perlu dipelajari dan dijadikan contoh oleh usahawan-usahawan Melayu Islam yang lain.

Apabila berbicara mengenai kekuatan umat Islam, satu aspek yang perlu diterapkan dan dipraktikkan oleh orang Melayu Islam ialah berkenaan dengan budaya keusahawanan, disiplin yang kuat serta menjadi seorang yang sentiasa mengejar ilmu pengetahuan.

Orang Melayu Islam tidak boleh sekadar berpuas hati apa yang mereka peroleh, tatkala dunia luar dan dalam Malaysia sendiri, perubahan berlaku dengan cepat sama sekali.

Ketika dunia luar berubah lebih jauh berbanding Malaysia dari segi pemikiran, pendidikan, ilmu pengetahuan dan cara bertingkah laku, umat Islam Malaysia pula masih dimomok-momokkan dengan pelbagai perkara negatif yang menjadi budaya mereka.

Tunjukkan perkara positif dalam kehidupan umat Islam. Yang negatif pula ditangani secara berhemah. Yang positif pula dibudayakan agar tingkah laku umat Islam dan Melayu Islam sentiasa ke hadapan atau sekurang-kurang berada di garisan sama dengan kaum lain.

Sebagai contoh, budaya berfikir berasaskan fakta dan ilmu wajib dipraktikkan supaya umat Islam tidak mudah ditipu oleh orang lain seperti skim cepat kaya, ajaran sesat dan pelbagai lagi penipuan yang berskala kecil sehinggalah besar.

Apabila fakta dan ilmu diperhebatkan, ia boleh merangsang seseorang itu berfikir di luar kotak. Malang sekali, sering kali berlaku dalam kalangan umat Islam yang mempercayai sesuatu membuta tuli dan akhirnya boleh membawa masalah kepada kekuatan umat Islam.

Perlu diingat, terdapat usaha berterusan sama ada secara kecil dan besaran-besaran untuk melaga-lagakan umat Islam Malaysia.

Banyak contoh yang boleh kita lihat sama ada tersirat atau tersurat tetapi masih ramai yang tidak sedar mengenai perkara ini.

Percayalah, usaha untuk melaga-lagakan sesama Islam tidak akan berkubur sehinggalah umat Islam di Malaysia ini benar-benar berpecah belah dan senang dicucuk oleh musuh Islam.

Lihatlah di negara-negara Islam di Timur Tengah, musuh-musuh Islam telah berjaya memecah belahkan kesatuan umat Islam. Adakah kita masih tidak nampak bahawa usaha ini sedang berlaku ke atas umat Islam Malaysia?

Atau kita terlalu lena dibuai kesenangan yang dinikmati oleh Malaysia sampaikan kita alpa untuk meningkatkan kekuatan umat Islam Malaysia?

Dibimbangi kita tidak dapat menikmati kesenangan ini apabila kita sendiri yang menyebabkan kesenangan ini dirampas oleh musuh-musuh Islam.

Mungkin perkara ini tidak berlaku kepada kita, tetapi kalau kita sayangkan generasi akan datang, anak cucu cicit kita, umat Islam tidak boleh memberi ruang dan peluang kepada musuh-musuh Islam.

Persekitaran umat Islam perlu diperbaiki, sentiasa sokong-menyokong sesama sendiri, bersaing secara sihat, bekerja bersungguh-sungguh, berdisiplin dan bersatu padu hanya kerana Allah SWT.

Jangan buang masa terlalu berhibur atau bercakap mengenai orang lain. Buang jauh-jauh dilema Melayu lama mahupun Melayu moden. Pepatah Inggeris ada menyatakan, “Great minds discuss ideas, average minds discuss events, small minds discuss people".

Begitu juga, nenek moyang orang Melayu Islam mengatakan jangan jadi seperti katak bawah tempurung. Ini bermaksud berbincang idea dan digabungkan dengan ilmu pengetahuan yang luas akan berupaya untuk merealisasikan kekuatan umat Islam Malaysia.

Syaratnya umat Islam Malaysia perlu bersatu padu dalam apa jua perkara baik dan menentang perkara yang mungkar. Ia perlu dimulai oleh kepimpinan tertinggi umat Islam Malaysia dan disokong oleh media, pemimpin badan bukan kerajaan, cendekiawan, para guru, sistem pendidikan dan setiap individu Islam.

Kalau ini dapat direalisasikan, insya-Allah, musuh-musuh Islam tidak akan berani menyentuh sikit pun umat Islam Malaysia, malahan akan mengundang rasa hormat terhadap umat Islam Malaysia.

Oleh Rohami Shafie : PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.
 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131218/re_02/Bagaimana-meningkatkan-kekuatan-umat-Islam#ixzz2nmsZIn4x 
© Utusan Melayu (M) Bhd



Dasar populis pembangkang helah tutup kelemahan









Mohamad Ezam, Tan Chew Wah

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Kerajaan negeri pakatan pembangkang hanya menggunakan dasar-dasar populis untuk menutup kegagalan mereka menyelesaikan masalah rakyat.

Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, dasar- dasar populis yang diamalkan pakatan pembangkang juga hanya untuk meraih undi daripada rakyat secara murahan.

“Saya tidak rasa pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang berupaya membentuk satu dasar yang benar-benar memberi manfaat dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab sudah tentu tidak akan membiarkan dasar populis menjadi asas utama kepada kerajaan kerana hal itu tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya masalah rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang menegur kerajaan pakatan pembangkang di negeri itu supaya menghentikan dasar-dasar populis setelah masuk penggal kedua pemerintahan mereka.

Chang Khim berkata, kerajaan negeri yang bertanggungjawab perlu berpandangan jauh mengenai kebajikan rakyat dan bukan hanya memperkenal dasar populis seperti pemberian air percuma.

Sementara itu, Ezam berkata, dasar populis pakatan pembangkang tidak mengejutkan kerana itu adalah gaya politik mentor mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar hanya pandai memperkenalkan dasar populis untuk kekal menjadi pemimpin. Malah, apakah dasar yang dilaksanakan Anwar sewaktu menjadi Menteri Kabinet dahulu yang telah memberi manfaat kepada rakyat pada hari ini.

“Pemimpin-pemimpin kerajaan pakatan pembangkang yang lain juga tidak berupaya untuk membentuk dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat kerana mereka terikut dengan telunjuk Anwar," jelasnya.

Sementara itu, bekas Setiausaha DAP Cawangan Kampung Baru Balakong, Tan Chew Wah mempersoalkan mengapa pemimpin pakatan pembangkang Selangor mahu menarik balik dasar yang diamalkan selama ini.

“Kerajaan Selangor mempunyai banyak wang dan sering memperjuangkan isu populis seperti pemansuhan caj tol dan sebagainya.

“Ini semua mungkin disebabkan mereka mahu mencari publisiti sama seperti isu cukai pintu, apabila mereka cuba bantah bagi melihat sama ada mendapat sokongan atau tidak," tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20131218/po_01/Dasar-populis-pembangkang-helah-tutup-kelemahan#ixzz2nmndoojP 
© Utusan Melayu (M) Bhd





MENTERI BOLEH DIAM TAK?


Kim Swee jawab kritikan
Pemain Harimau Muda, Mohamad Nasir Basharudin (tengah) dan Ashri Chuchu meraikan kejayaan Malaysia menumpaskan Vietnam 2-1 di Stadium Zeyar Thiri, Nay Pyi Taw, Myanmar semalam, sekali gus melangkah ke separuh akhir Sukan SEA 2013.

NAY PYI TAW - Kemenangan 2-1 Harimau Muda ke atas Vietnam bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir Sukan SEA Myanmar ke 27 umpama jawapan terbaik terhadap keraguan yang dilemparkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Walaupun tidak mahu membidas terhadap apa yang diperkatakan oleh Khairy, jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee, mengingatkan mereka masih berada dalam misi mempertahankan pingat emas.

Tambahnya, Harimau Muda masih mampu melakukan yang terbaik di Sukan SEA kali ini biarpun kehilangan ramai pemain utama seperti Wan Zack Haikal Wan Nor, Junior Eldstal dan Syahrul Azwari.

''Kita semua tahu situasi mengenai pasukan saya, bukannya saya mahu memberikan sebarang alasan tetapi kita berada di sini tanpa tujuh tonggak utama.

''Namun, kita berjaya juga mara ke separuh akhir dan dalam masa sama mengharapkan sokongan semua pihak.

''Satu perkara yang saya mahu ingatkan, kita belum tewas di Sukan SEA dalam 14 perlawanan dan kejayaan layak ke separuh akhir membuktikan kita masih berada di atas landasan yang betul untuk memenangi pingat emas, " katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan Malaysia dan Vietnam, semalam.

Khairy dalam Utusan Malaysia semalam meragui peluang pasukan negara untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA kali ini.

Semuanya berpunca daripada aksi goyah ketika menentang Singapura yang menyaksikan skuad negara terpaksa bergantung kepada jaringan penyamaan Mohd. Rozaimi Abd. Rahman pada minit terakhir permainan.

Mengulas kemenangan pasukannya, dia berkata, kegagalan Vietnam mengambil kesempatan terhidang memberikan keyakinan kepada para pemainnya untuk cuba mendapatkan kemenangan.

''Sudah tentu apabila Vietnam gagal menjaringkan gol dan banyak percubaan dapat diselamatkan oleh penjaga gol (Mohd. Izham Tarmizi), memberikan satu kesempatan kepada kita.

''Semua pemain saya menunjukkan satu sikap yang cukup positif walaupun kebanyakan pemain saya mula menunjukkan tanda keletihan kerana terpaksa bermain dalam selang satu hari.

''Taktikal saya cukup mudah, saya tahu Vietnam amat memerlukan kemenangan dan kita perlu bermain secara serangan balas.

''Selagi lawan tidak mendapatkan jaringan, itu bermakna peluang kita mendapatkan jaringan cukup tinggi dan Ahsri Chuchu serta D. Saarvindran berjaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik untuk mendapatkan gol, " katanya. - UTUSAN





APA LAGI CINA MAHU?????

44.8 peratus kaum Cina kuasai sektor swasta, awam






JOSEPH ENTULU

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Kaum-kaum lain termasuk Cina dan India di negara ini tidak pernah dipinggirkan sebaliknya mempunyai peluang yang lebih baik berbanding orang Melayu untuk bekerja di sektor awam dan swasta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Anak Belaun berkata, berdasarkan statistik, kaum Cina yang bekerja di sektor awam dan swasta adalah sebanyak 44.8 peratus, kaum India (42 peratus) manakala orang Melayu hanya kira-kira 39.3 peratus.

"Peratusan ini menunjukkan kaum- kaum lain termasuk kaum Cina dan India tidak pernah terpinggir dalam arus pembangunan negara ini.

"Boleh dikatakan setiap orang mempunyai pekerjaan kerana kadar pengangguran negara hanya sekitar dua peratus," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di Dewan Negara hari ini.

Mengulas lanjut, beliau juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kerajaan lebih memberi keutamaan kepada orang Melayu dalam mendapatkan pekerjaan di sektor awam.

Katanya, statistik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menunjukkan daripada 1.6 juta permohonan kaum Melayu sepanjang Januari hingga Oktober lalu, hanya 22,000 diterima.

"Peratusan kaum Melayu yang diambil bekerja hanya sekitar 1.4 peratus.

"Jumlah itu lebih rendah berbanding kaum India pada tahap 2.03 peratus manakala Cina 5.49 peratus," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20131218/pa_02/448-peratus-kaum-Cina-kuasai-sektor-swasta-awam#ixzz2nmfzrTRO  
© Utusan Melayu (M) Bhd