Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 17 July 2013

PENATLAH...PEKAKNYA MENJADI-JADI...

Satu Sekolah Untuk Semua: Iltizam politik PM...
Zaini Hassan



APA sudah jadi? Agama Islam menjadi bahan senda. Bahan lawak, bahan gurauan yang menyakitkan hati.

Lebih malang ia berlaku di bulan Ramadan al-Mubarak ini, bulan paling suci bagi umat Islam.

Saya mahu bertanya dengan YAB Perdana Menteri mengapa jadi begitu? Saya juga mahu bertanya dengan Menteri Dalam Negeri (KDN) mengapa mereka itu terlalu berani mempersendakan Islam - agama yang juga dianuti oleh Perdana Menteri dan Menteri KDN sendiri?

Saya juga mahu bertanya dengan Menteri-menteri Pelajaran, tidak terpelajarkah mereka itu? Adakah mereka ini terlalu jahil dengan Islam? Tidak tahukah mereka bahawa Islam itu bukan hak mutlak orang Melayu. Islam itu adalah agama sejagat yang dianuti oleh ribuan juta umat seluruh pelosok alam ini.

Jika mereka membenci orang Melayu sekali pun -- sebagaimana yang ditunjukkan dalam PRU-13 lalu -- janganlah sentuh agama Islam. Itu agama suci majoriti rakyat Malaysia.

Saya mahu tanya dengan YAB PM lagi, mengapa orang bukan Melayu, malah Melayu sendiri di Malaysia ini terlalu jahil dalam serba-serbi mengenai perhubungan antara kaum, selain kaum mereka sendiri?

Sudahlah Perlembagaan negara ini pun mereka jahil, bahasa ibunda negara ini pun mereka tergagap-gagap nak bercakap, ini pula mengenai agama Islam.

Nampaknya saya mahu merujuk semula kepada sistem pelajaran kita. Sedarkah kita bahawa budak-budak yang bertindak menghina agama Islam itu adalah generasi baru yang dilahirkan sekitar 80-an.

Generasi 70-an dan 60-an atau lebih awal mungkin lebih waras dan rasional. Pada masa itu kita dalam satu sekolah. Satu acuan.

Adakah sistem pelajaran kita kini telah menyebabkan generasi ini menjadi begitu?

Benarkah sistem pendidikan kita yang melahirkan generasi seperti Ng Mun Tatt, 24, Alvin Tan, 27, dan Vivian Lee, 24.

Sebagaimana Melissa Gooi yang saya tidak salahkan 100 peratus kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, saya juga tidak salahkah ketiga-tiga budak itu. Mereka ini sebenarnya terlalu jahil. Mereka kurang didikan. Mereka ini dilahirkan dalam sistem pendidikan negara yang silap!

Namun begitu, saya juga tidak akan menyokong sama sekali keterlanjuran yang telah mereka lakukan dengan menghina umat Islam dan agama itu di negara ini. Ia sama sekali tidak boleh dimaafkan.

Bolehkah saya andaikan bahawa bahawa rata-rata budak-budak Cina itu berpendidikan di sekolah mereka sendiri, yang menyisihkan diri mereka daripada kaum-kaum lain?

Semasa era 70-an dan 60-an gejala dan kemelut ini tidak seserius generasi 80-an ini. Kini jurang itu dilihat semakin menebal.

Malah generasi itu dan dibantu pula oleh persatuan-persatuan pendidik yang jumud dan totok pemikiran serta media mereka; terus-menerus mendesak supaya pendidikan Cina dijadikan sebagai agenda nasional. Mereka mahu sekolah aliran Cina diteruskan dan dikembangkan.

Apa sudah berlaku ini? Sepatutnya, sekolah kerajaan harus dinasionalkan sepenuhnya berdasarkan sistem pendidikan kebangsaan. Hanya perlu ada satu sistem sekolah sahaja. Semua kanak-kanak -- Melayu, Cina, India, Orang Asli, Pribumi serta semua rakyat negara ini wajib diletakkan di dalam satu acuan.

Acuan itulah yang akan dibentuk untuk satu generasi akan datang.

Cuba YAB PM bayangkan apa akan terjadi kepada negara ini jika fenomena sistem pendidikan mengikut kaum itu terus menyelubungi Malaysia? Satu generasi lagi, atau sedekad dari sekarang keadaan Malaysia ini akan lebih gawat lagi.

Hanya kepemimpinan YAB PM sahaja yang boleh memperbetulkan keadaan ini. YAB PM memerlukan iltizam politik yang kuat untuk mengubahnya.

Saya yakin jika satu referendum atau pungutan suara dilakukan untuk Sistem Satu Sekolah Untuk Semua ini, saya pasti majoriti rakyat Malaysia yang waras akan sokong.

Ambillah langkah yang dilakukan oleh Singapura yang menasionalkan semua sistem persekolahannya.

Perkasakan (sepenuhnya) sistem persekolahan kita. Jika perlu tiru dari Singapura, silakan. Lagi pun sistem persekolahan di republik itu adalah antara yang terbaik di dunia. Ia adalah model terbaik dalam suasana kemajmukan penduduk, sama seperti di negara ini.

Jika orang Cina di Malaysia terlalu jahil dengan Islam, bawa masuk pendakwah-pendakwah Islam dari Tanah Besar China untuk mentarbiah mereka.

Kikis stigma dalam benak mereka bahawa Islam itu adalah Melayu. Memeluk Islam bererti masuk Melayu. Jika mereka masih memandang rendah dengan kita orang Melayu ini biarkan, tapi usaha tarbiah atau pendidikan Islam ke atas mereka perlu diteruskan.

Saya pernah berbincang hal ini dengan seorang sahabat Cina Islam asal dari Tanah Besar China. Beliau amat bersetuju dengan pendapat itu. Beliau yang telah menetap di negara ini bersama keluarganya, dan kini telah mendapat taraf Penduduk Tetap, turut mencadangkan masjid-masjid Cina didirikan sebagai cara menarik mereka mendekati dengan ajaran itu.

Jika pelbagai jenis gereja mengikut kaum dan masjid jamek India ada di negara ini, mengapa tidak masjid Cina? Biarkan Cina-Cina Islam ini yang mengurus-tadbir masjid itu. Ambil contoh Masjid Niujie di Beijing atau Masjid Kowloon di Hong Kong yang turut menempatkan restoran makan Cina yang enak.

Bawa masuk lebih ramai alim ulama dari China ke negara ini -- bukannya GRO China Doll dan tukang urut yang sudah melata di negara ini!

Akhir sekali, wahai YAB PM yang bijak bistari, hanya keiltizaman politik YAB yang kuat sahaja dapat memperbaiki keadaan yang semakin getir ini.

Jika tidak, 10 tahun dari sekarang, Malaysia akan terus berada dalam kancah kucar-kacir akibat kecelaruan identiti bangsa dan budaya.

Pada masa itu, nasi sudah menjadi bubur. YAB PM jangan menyesal nanti ya.


No comments: