AZIZI MAJID | 04 April 2016 12:11 AM
PENYERANG JDT, Jorge Pereyra Diaz meraikan jaringan pertamanya ketika menentang PDRM dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru semalam. UTUSAN/Raja Jaafar Ali
JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menepati ramalan layak ke separuh akhir Piala FA memberi peringatan awal kepada tiga pasukan lain yang turut mara setelah berjaya membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-2 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kelmarin.
Turun selaku penyandang juara Piala AFC dan Liga Super musim lalu, JDT dilihat berada di landasan terbaik untuk menyapu bersih kejuaraan domestik musim ini.
Bagaimanapun, pengendali JDT, Mario Gomez enggan memikirkan mengenai prospek skuadnya mendominasi kesemua pertandingan, malah mengingatkan anak buahnya jangan terlalu cepat berpuas hati dengan prestasi mereka kerana masih ada kekurangan dari segi taktikal yang perlu diperbaiki.
“Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan mutu persembahan kesemua pemain namun masih ada kekurangan dari segi taktikal yang perlu diberi perhatian segera.
“Pada separuh masa pertama, pemain kami berjaya mengawal permainan namun masuk babak kedua pemain agak hilang rentak sehingga membolehkan PDRM memperoleh dua gol berturut-turut.
“Perkara itu adalah normal, saya juga sering mengingatkan kepada pemain untuk tidak terlalu memaksa diri kerana faktor tersebut boleh mengakibatkan perubahan corak permainan,” katanya selepas perlawanan.
Selepas menang tipis 1-0 dalam suku akhir pertama bulan lalu, Jorge Pereyra Diaz memastikan JDT mendahului PDRM setelah menjaringkan gol pada minit ke-15 dan 28 sebelum kapten Safiq Rahim menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-40 diikuti jaringan Aznie Taib tiga minit sebelum tamat babak pertama perlawanan.
The Cops menggandakan asakan sebaik sahaja babak kedua bermula dan memperoleh dua gol berturut-turut pada minit ke-49 dan 62 menerusi Andrea Francisco Williams dan Ahmad Nizam Mohd. Rodzi.
Tersentak dengan dua gol berturut-turut pasukan pelawat, JDT menggandakan asakan dan berjaya memperoleh gol kelima menerusi gerakan solo Juan Martin Lucero pada minit ke-66 untuk JDT mara ke separuh akhir dengan agregat 6-2.
Dalam pada itu, Gomez mengakui kecederaan pemain yang menjadi tonggak dalam JDT sedikit mencacatkan permainan secara keseluruhan.
“Ketiadaan Junior Eldstal memang dirasakan, bagaimanapun kami cuba untuk mengubah cara permainan dan memasukkan pemain gantian yang dirasakan sesuai untuk mendapatkan rentak sebenar kami,” katanya
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/gomez-masih-belum-puas-hati-1.208352#sthash.2kUd2Bku.dpuf
No comments:
Post a Comment