18 April 2016 12:15 AM
NICO ROSBERG menjulang trofi ketika meraikan kejayaannya memenangi Grand Prix Vhina di Shanghai semalam. – AFP
SHANGHAI 17 April - Nico Rosberg merangkul kejayaan dalam kekalutan perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) China sekali gus melengkapkan kemenangan hatrik bagi permulaan musim 2016.
Pelumba Mercedes AMG Petronas itu dipintas Daniel Ricciardo pada awal perlumbaan tetapi selepas berjaya mengelak kemalangan di selekoh pertama, dia berjaya memintas pelumba Red Bull itu dan merangkul kejuaraan dengan kelebihan 38 saat di hadapan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel.
Juara dunia Lewis Hamilton, yang bermula di petak belakang selepas mengalami kerosakan mekanikal sewaktu sesi kelayakan semalam, berjaya meraih tempat ketujuh meskipun terpaksa masuk lebih awal ke pit untuk menggantikan sayap hadapan yang rosak.
“Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Lewis hanya ketinggalan 30 mata, tidak banyak, hanya satu perlumbaan dan sudah pasti dia tidak akan berputus asa,” kata Rosberg yang kini mendahului senarai kejuaraan dengan kelebihan 36 mata.
Ferrari berdepan nasib malang selepas Vettel dan Kimi Raikkonen kemalangan di selekoh pertama yang membolehkan Daniil Kvyat dari Red Bull meraih kedudukan ketiga.
Vettel berjaya memberikan persaingan sepanjang perlumbaan dari kedudukan ke-15 tetapi menyalahkan Kvyat kerana memandu seperti orang gila dalam pertelingkahan yang berlaku di dalam radio pasukan.
“Pemanduan Kvyat seperti aksi membunuh diri,” kata pemandu Jerman itu kepada Kvyat ketika Rosberg memberikan ucapan kejayaan.
“Awak memandu seperti torpedo!” kata Vettel kepada Kvyat lalu melangkah meninggalkan podium sebelum Kvyat membalas: “Ini adalah perlumbaan.”
Juara dunia empat kali itu mengakui dia bernasib baik kerana berjaya menamatkan perlumbaan.
“Saya bernasib baik kerana masih boleh meneruskan perlumbaan.
“Kemalangan itu sangat kuat di antara saya dengan Kimi. Saya bersimpati dengan Kimi tetapi saya seperti sandwich di antara Kimi dan Daniil, tiada apa yang boleh dilakukan,” kata Vettel.
Sementara itu, Rosberg menjadi pemandu keempat meraih enam kemenangan berturut-turut, termasuk memenangi tiga perlumbaan terakhir 2015, untuk menyertai Vettel (sembilan), Alberto Ascari (tujuh) dan Michael Schumacher (enam). – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-kereta/rosberg-cipta-hatrik-di-china-hamilton-ketujuh-1.273787#sthash.yaDPsozm.dpuf
No comments:
Post a Comment