Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 30 January 2015

Ahli keluarga MH370 anjur bantahan

30 Januari 2015 1:17 AM


Seorang ahli keluarga penumpang warga China pesawat MH370 dihalang oleh anggota polis selepas dia cuba mendekati Kedutaan Malaysia di Beijing dalam satu tunjuk perasaan bagi menuntut kerajaan Malaysia meneruskan usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370, semalam. – RE UTERS

BEIJING 29 Jan. – Ahli keluarga penumpang warga China pesawat Malaysia Airlines MH370 mengadakan bantahan di luar Kedutaan Malaysia, di sini hari ini bagi menuntut supaya operasi mencari dan menyelamat penumpang dan anak kapal MH370 diteruskan.

Satu laporan dijangka dikeluarkan pada 7 Mac ini, sehari menjelang ulang tahun pertama nahas itu, dan sesetengah waris penumpang terbabit bimbang sekiranya operasi mencari dan menyelamat itu akan dihentikan.

Berpuluh-puluh ahli keluarga penumpang terbabit berhimpun dan mengadakan bantahan di luar Kedutaan Malaysia di sini awal hari ini.

Beberapa anggota polis bertindak mengepung kawasan kedutaan itu di daerah Chaoyang dan lebih 50 buah kenderaan polis, bas dan lima jentera bomba turut dikerahkan ke kedutaan berkenaan.

Seramai 15 penunjuk perasaan diusir oleh polis dan dibawa ke sebuah pusat sokongan, kata seorang waris mangsa nahas MH370 kepada dpa.

Katanya, dua warga emas kelihatan menangis dan enggan beredar dari kawasan itu manakala beberapa orang yang lain duduk dan enggan berganjak.

Sebahagian ahli keluarga berkata, mereka bimbang laporan yang bakal dikeluarkan itu akan mengumumkan operasi mencari dihentikan.

“Jangan umumkan MH370 hilang tanpa bukti,” kata satu kenyataan yang diterbitkan ahli keluarga penumpang MH370 yang dimuat naik di laman sosial Weibo.

Kebanyakan mangsa nahas pesawat MH370 itu adalah warga China dan kebanyakan ahli keluarga penumpang terbabit berharap kesemua penumpang masih hidup.

“Operasi mencari masih belum selesai dan mereka masih tidak mempunyai bukti mencukupi untuk merumuskan bahawa pesawat itu telah hilang,” kata, Zhang Yuxi, bapa kepada salah seorang penumpang pesawat MH370.

“Tindakan itu seumpama tidak menghormati kehidupan dan tidak menghormati penduduk China dengan bertindak menghentikan pencarian sebelum rangka pesawat ditemukan.

“Saya rindukan anak saya dan saya tidak dapat tidur sejak nahas itu berlaku,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ahli-keluarga-mh370-anjur-bantahan-1.54126#sthash.JwjnR9F0.dpuf


Keluarga penumpang pesawat MH370 sedih

30 Januari 2015 1:16 AM


Kelly, 29, isteri kepada salah seorang penumpang pesawat MH370 memegang gambar suaminya bersama Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada satu acara di Putrajaya. – REUTERS


BEIJING 29 Jan. - Ahli keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 dari China sedih dengan tindakan pihak berkuasa Malaysia mengisytiharkan pesawat tersebut sebagai satu kemalangan selepas 10 bulan ia tidak ditemukan.

Portal berita USA Today yang memetik sepucuk surat yang mewakili kesemua ahli keluarga 154 penumpang warga China dalam pesawat itu kepada media melaporkan mereka sedih dengan tindakan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) mengisytiharkan pesawat itu ‘tidak ditemukan atau terhempas’.

Kira-kira 30 ahli keluarga penumpang pesawat itu turut menangis dan menjerit-jerit ketika berkumpul melahirkan kesedihan mereka.

Seorang ahli keluarga terbabit, Li Yeuhua, 57, yang anaknya, Li Wenbo, 29, merupakan salah seorang daripada 239 penumpang pesawat tersebut berkata, tindakan DCA itu tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan perjanjian untuk mengumumkan perkara itu tanpa sebarang bukti.

Ketua Pengarah DCA, Azharuddin Abdul Rahman, hari ini mengumumkan kehilangan pesawat MH370 itu dan kesemua 239 penumpang serta anak kapalnya dianggap terkorban pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung melalui TV1 di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua kumpulan yang mewakili ahli-ahli keluarga penumpang tersebut, Jiang Hui berkata, surat itu turut meminta bantuan kaunseling psikologi dan sara hidup ketika ada anggota keluarga penumpang pesawat itu jatuh sakit sejak tahun lepas kerana kesedihan berikutan nahas tersebut dan kurang sumber kewangan untuk perbelanajaan dan mendapatkan rawatan.

“Kami masih berharap ahli keluarga kami masih hidup kerana tiada bukti pesawat itu terhempas.

“Saya seorang yang rasional. Saya belajar kejuruteraan dan sains, namun saya tidak percaya dengan Malaysia Airlines. Terlalu banyak fakta yang bertentangan,’’ kata Jiang Hui anak kepada Jiang Cuiyun, 71, yang merupakan salah seorang penumpang pesawat MH370.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/keluarga-penumpang-pesawat-mh370-sedih-1.54111#sthash.iIq1hSDB.dpuf

POLITIK : Guan Eng mulut celupar - 2 KALI 5 SAMA AJE MEREKA NI..

Mustafa Ali cabar KM Pulau Pinang bersemuka isu pilihan raya PBT

MOHAMMAD YASIR JAAFAR | 29 Januari 2015 1:43 AM


Mustafa Ali (kiri) ketika menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali melepaskan ge­ram hari ini dengan mencabar Lim Guan Eng bersemuka berikutan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang itu bahawa beliau tidak jujur berhubung pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mustafa yang menyifatkan Guan Eng sebagai seorang bermulut celupar menegaskan, Setiausaha Agung DAP itu ada menghubungi­nya berkenaan hasrat parti tersebut untuk melaksanakan pilihan raya PBT namun dibuat selepas beberapa hari cadangan berkaitan diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

“Perkataan yang digunakan oleh Guan Eng itu bukan sahaja tidak tepat malah tidak betul dan menggambarkan beliau seorang manusia mulut celupar.

“Saya cabar dia supaya bersemuka secara terbuka, biar dia bagi versi dia, saya bagi versi saya. Biar masyarakat tentukan siapa betul, siapa salah, siapa bohong, siapa tidak bohong,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di sini hari ini.

Yang turut hadir Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Cabaran itu dibuat berikutan kenyataan Guan Eng dalam sebuah portal propembangkang yang mendakwa beliau telah menghubungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mustafa untuk berbincang tentang pelaksanaan pilihan raya PBT sebelum memulakan kempen undi di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut melahirkan rasa terkejut apabila kedua-dua pemimpin terbabit gagal mengakui perkara tersebut serta menuduh mereka bersikap tidak jujur.

Jelas Mustafa, beliau tidak pernah membincangkan soal pelaksanaan pilihan raya PBT bersama Guan Eng kerana perkara itu tidak termaktub dalam rangka kerja dasar bersama pakatan pembangkang.

“Memang saya akui dia meng­hubungi saya, tetapi benda bercakap ikut suka hati ini tidak bagus bagi seorang pemimpin seperti dia.

“Dia (Guan Eng) minta supaya memberikan kenyataan positif, saya hanya menjawab insya-Allah dan tidak membantah kerana perkara itu sudah berlaku dan dibentangkan waktu itu.

“Sebenarnya saya hendak menjaga suasana harmoni dalam kalangan pakatan pembangkang, kerana waktu itu Guan Eng maklumkan dia terpaksa lakukan (pilihan raya PBT) kerana menerima tekanan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah masuk dalam janji DAP di Pulau Pinang, maka kita (Guan Eng) terpaksa puaskan mereka (NGO),” ujarnya.

Dalam pada itu, Mustafa yang mengakui hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana turut tidak termaktub dalam rangka kerja dasar bersama pakatan pembangkang memberitahu, Pas tidak boleh memberi persetujuan terhadap pilihan raya itu kerana bercanggah dengan dasar pakatan.

“Saya mendapat tahu berkenaan pembentangan pilihan raya PBT pada sidang DUN Pulau Pinang itu ketika wakil tunggal Pas, Datuk Salleh Man menghubungi saya.

“Ketika itu saya bertanya bila hendak dibentangkan ini, dia berkata mungkin esok (Mei 2012), jadi saya maklumkan perkara itu tidak pernah dirujuk kepada pimpinan tertinggi pakatan pembangkang.

“Maka saya selaku Setiausaha Agung mengarahkannya supaya mengelak daripada menyokong atau menolak usul itu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Pas akan meninggalkan pakatan akibat kemelut berkenaan, Mustafa berkata, isu itu masih belum berbangkit.

“Jangan cepat sangat, niat dalam hati siapa yang tahu,’’ katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/guan-eng-mulut-celupar-1.53873#sthash.TEYQgTHg.dpuf


MH 370 : Bersabar, reda dengan ketentuan-Nya

OLEH ZULKIFLI JALIL PENGARANG@UTUSAN.COM.MY | 30 Januari 2015 1:50 AM


Reaksi isteri dan anak kepada Mohd. Hazrin Hasnan, Krew Penerbangan Malaysia MH370, Intan Maizura Othaman dan Muhammad semasa meninggalkan pekarangan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Putrajaya, semalam. – Bernama

ORANG yang bersabar itu apabila ditimpa musibah mereka akan mengucapkan kalimah Istirja’ iai­tu “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”. Inilah yang membezakan antara orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman.

Apabila petang semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu, secara rasmi diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap terkorban, kita mengharapkan pihak keluarga mangsa menerimanya.

Kepada keluarga mangsa yang beragama Islam, redalah dengan ketentuan-Nya.

Seandainya kita tidak mengimani takdir, mungkin kita akan terus meratapi kepergian anak, isteri, suami serta insan tercinta yang pergi terlebih dulu. Setiap kali mengingatinya akan terasa ‘lemas’ dan tidak terasa air mata mengalir. Sentiasalah mengingati Allah dan berharap rahmat di sebalik takdir-Nya, barulah terasa ringan menjalaninya.

Tragedi MH370 turut dibincangkan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 25 Mac 2014.

Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam yang disabitkan kematiannya dalam tragedi

MH370 ini adalah tergolong sebagai Syahid Akhirat berasaskan kepada hadis Nabi SAW yang menyebutkan bahawa mati kerana tenggelam termasuk dalam salah satu kategori Syahid Akhirat.

Mengenai hal berkaitan pengagihan harta pusaka, pembubaran status perkahwinan mangsa, atau hukum-hukum lain yang bersangkutan daripada tragedi ini, Muzakarah menegaskan bahawa ia hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan berasaskan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan setelah pengesahan atau pensabitan kematian diputuskan oleh mahkamah.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pada 8 Mac tahun lalu dalam perjalanannya ke Beijing, China.

Beberapa bulan kemudian, pada 17 Julai, negara dikejutkan lagi dengan berita tragis penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal pula terhempas di timur Ukraine semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, selepas ditembak jatuh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sedekahkan Al-Fatihah buat penumpang MH370 dan MH17 yang beragama Islam. Semoga roh para arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan soleh.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/bersabar-reda-dengan-ketentuan-nya-1.54195#sthash.fwfNnGa6.dpuf


Keluarga Muzi reda pengisytiharan kerajaan

30 Januari 2015 1:51 AM

KUALA LANGAT 29 Jan. – Ibu kepada salah seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370, Muzi Yusof reda dengan pengumuman kerajaan yang mengisytiharkan anaknya bersama-sama 238 orang lagi penumpang pesawat itu dianggap telah kehilangan nyawa mereka.

Saimah Sidek, 70, ketika ditemui di kediamannya di Jenjarom di sini, berkata, sebagai umat Islam beliau menerima perkara itu sebagai kententuan Allah SWT meskipun perasaan kecewanya wujud.

Namun, beliau sedar bahawa pelbagai pihak khususnya pihak berkuasa telah melakukan usaha yang terbaik bagi mencari pesawat tersebut di Lautan Hindi dengan kerjasama pelbagai negara.

“Perasaan sedih, kecewa itu memanglah ada lebih-lebih lagi apabila mendengar pengumuman tersebut hari ini. Bagaimanapun, saya reda dengan pengumuman itu.

“Namun, saya masih mengharapkan usaha mencari pesawat itu diteruskan supaya segala persoalan kehilanganya terjawab,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika menerima kunjungan kepimpinan UMNO Bahagian Kuala Langat yang diketuai Datuk Sulaiman Karli.

Tambah Saimah, beliau sentiasa mendoakan kesejahteraan anaknya itu yang berusia 50 tahun ketika insiden kehilangan tersebut dilaporkan berlaku hampir setahun lalu.

Sementara itu, Sulaiman ketika ditemui di sini berkata, pengumuman oleh pihak kerajaan hanya untuk memudahkan urusan waris kesemua penumpang MH370 dan berharap usaha mencari diteruskan sehingga bukti kehilangan pesawat ditemui.

“Saya sentiasa memantau perjalanan pencarian MH370, seperti orang lain saya juga ingin tahu ke mana pesawat sebesar itu hilang. Apa pun sebagai umat Islam kita reda dengan setiap ketentuan yang telah ditetapkan Allah SWT,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/keluarga-muzi-reda-pengisytiharan-kerajaan-1.54214#sthash.pMVy3iAl.dpuf

Ahli keluarga kecewa tidak dimaklum sidang akhbar MH370

THOMAS CHONG 
DAN SAIFULIZAM MOHAMAD | 30 Januari 2015 1:50 AM


POLIS menghalang anggota keluarga mangsa tragedi pesawat MH370 yang terlalu sedih menyerbu Pejabat Kedutaan Malaysia di Beijing, China, semalam berikutan pengumuman Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) mengenai kesemua penumpang pesawat itu terkorban. - REUTERS


PUTRAJAYA 29 Jan. – Ahli-ahli keluarga kepada penumpang pesawat MH370 kecewa kerana tidak dimaklumkan tentang sidang akhbar oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerba­ngan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengenai status terkini kehilangan pesawat tersebut.

Sidang akhbar yang pada awalnya dijadual diadakan di ibu pejabat DCA di sini hari ini turut ditunda dan ditukar tempat selepas pihak pe­nganjur dikejutkan dengan keha­diran beberapa orang ahli keluarga.

Isteri kepada pramugara MH370, Mohd. Hazrin Mohamed Hasnan, iaitu Intan Maizura Othman hadir bersama anak bongsunya, Muhammad yang berusia lapan bulan.

Seorang ahli keluarga dari China yang mahu dikenali sebagai Kelly pula menunjukkan kertas yang meminta supaya suaminya yang menaiki pesawat MH370 dipulangkan.

Walaupun terdapat ahli keluarga yang kelihatan menitiskan air mata ketika dikerumuni pemberita, namun semua kelihatan tenang.

Jacquita Gonzales, isteri kepada pramugara, Patrick Gomes berkata, ahli keluarga berasa kecewa kerana hanya menerima maklumat mengenai sidang akhbar itu melalui pemberita pada petang ini.

“Kami langsung tidak dimaklumkan mengenai sidang akhbar ini dan adalah amat sukar untuk menggambarkan perasaan saya pada masa ini.

“Emosi saya seperti roller-coaster yang turun dan naik secara mendadak kerana gagal mendapat maklumat mengenai orang kesayangan,” katanya.

Seorang ahli keluarga, Lim Wee Hoon pula berkata, dia menghadiri sidang akhbar DCA walaupun tidak dijemput kerana ingin mendapat maklumat terkini mengenai iparnya yang masih hilang sejak 8 Mac lalu.

“Saya tertinggal siaran langsung mengenai satu pengumuman pen­ting pada tahun lalu dan saya tidak mahu ketinggalan apa-apa maklumat penting mengenai ahli keluarga saya yang menaiki pesawat MH370.

“Apa yang mengecewakan ialah pihak Malaysia Airlines (MAS) ketika dihubungi gagal mengesahkan sidang akhbar hari ini, kami hanya mendapat maklumat melalui petugas media,” katanya.

Sepupu kepada Mohd. Razahan Zamani yang menaiki pesawat MH370, Mohammad Sharil Shaari pula berkata, ibu Mohd. Razahan masih tidak dapat menerima kehilangan anaknya sejak 8 Mac lalu.

“Ibunya akan berasa marah jika ada sesiapa yang meminta supaya dia reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ahli-keluarga-kecewa-tidak-dimaklum-sidang-akhbar-mh370-1.54197#sthash.OaIbtBA4.dpuf

MH 370 : Keluarga persoal keputusan DCA

ABDUL RASHID 
ABDUL RAHMAN | 30 Januari 2015 1:50 AM


ANAK dan isteri mangsa MH370, Patrick Francis Gomes, Michelle Gomes (kiri) dan Jacquita Gonzales saling menenangkan di rumah mereka di Kuala Lumpur, semalam.

BERA 29 Jan. - Pengumuman kesemua mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dianggap kehilangan nyawa tidak dapat diterima oleh salah seorang waris penumpang penerbangan itu.

Bapa kepada Khairul Amri, Selamat Omar, 61, berkata, keputusan berkenaan amat memeritkan memandangkan tiada sebarang bukti yang menunjukkan pesawat berkenaan terhempas atau sebaliknya.

Malah katanya, keputusan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membuat pengumuman tanpa menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membuat keputusan penting itu amat mengecewakan.

“Saya boleh terima seperti pada awal kehilangan pesawat ini tetapi sekarang tidak ada satu bukti pun, tidak ada satu pun baju keselamatan dan serpihan ditemui.

“Selain itu tidak ada ayat yang lebih baik untuk dinyatakan selain pesawat terhempas dan semua mati. Selama ini kami menunggu jawapan konkrit namun akhirnya DCA mengeluarkan kenyataan seperti ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Khairul Amri merupakan seorang daripada 239 anak kapal dan penumpang pesawat MH370 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac lalu.

Hari ini Malaysia secara rasmi mengisytiharkan semua 239 penumpang dan anak kapal MH370 dianggap telah kehilangan nyawa sekali gus membolehkan keluarga mangsa mendapat pampasan.

Dalam pada itu, Selamat turut mempersoalkan kenyataan pihak berkuasa sebelum ini iaitu semasa satu perjumpaan bersama waris yang menyatakan pengisytiharan hanya boleh dilakukan selepas tujuh tahun.

Katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri pernah menyatakan bahawa kehilangan itu perlu mempunyai bukti seperti kemalangan sebelum diisytiharkan terkorban.

Sementara itu, ibu Khairul Amri, Normah Jaafar yang tinggal di Taman Seri Kerayong di sini gagal ditemui kerana dimaklumkan guru tadika berkenaan tiada di rumah.

Seorang ahli keluarganya memohon maaf kerana Normah tidak mahu membuat apa-apa kenyataan dalam tempoh terdekat.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/keluarga-persoal-keputusan-dca-1.54203#sthash.VilvmE7s.dpuf

MH370 terlibat nahas, kesemua penumpang, krew terkorban

HERMAN HAMID | 30 Januari 2015 1:51 AM


AZHARUDDIN ABDUL RAHMAN bercakap dalam perisytiharan khas mengenai 239 penumpang dan anak kapal MH370 di Kuala Lumpur, semalam. Pesawat jenis Boeing 777-200ER itu hilang daripada radar ketika dalam perjalanan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur pada 8 Mac tahun lalu. Laluan penerbangannya dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Kerajaan hari ini mengisytiharkan kesemua 239 penumpang dan krew pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang daripada radar kurang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Beijing, 8 Mac lalu sebagai terkorban.

Dalam pengumuman oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang disiarkan RTM1 pada pukul 6 petang ini, pengisytiharan tersebut dibuat setelah pesawat itu dianggap terlibat nahas, menepati takrifan Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa yang juga dikenali Konvensyen Chicago.

Beliau berkata, sehubungan itu, selepas 327 hari (setakat semalam) dan dengan segala data yang diperoleh, adalah tidak mungkin untuk kesemua penumpang dan krew yang berada di dalam pesawat tersebut berpeluang untuk hidup.

Menurut beliau, ini berikutan data menunjukkan penerbangan MH370 berakhir di dasar laut kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi melibatkan kedalaman mencecah 6,000 meter yang jauh daripada kemungkinan untuk mendarat di mana-mana lokasi.

“Untuk itu, dengan perasaan berat hati dan kesedihan yang amat mendalam, bagi pihak kerajaan Malaysia, kami secara rasmi mengisytiharkan MH370 adalah suatu nahas selaras dengan Piawaian Lampiran 12 dan 13 Konven­syen Chicago.

“Justeru, kesemua 239 penum­pang dan krew dalam pesawat itu dianggap telah terkorban,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Teknikal Peringkat Tertinggi MH370 dalam pengumuman kira-kira 15 minit itu.

Menurut Azharuddin, buat masa ini tidak ada keterangan untuk pihak penyiasat mengaitkan sebarang spekulasi kepada punca nahas tersebut.

Katanya, ini berikutan siasatan pihak berkuasa berhadapan kekangan kekurangan bukti fizikal terutama perakam pesawat.

“Pasukan siasatan keselamatan MH370 melibatkan tujuh negara dan siasatan jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga masih berlangsung.

“Laporan interim berkaitan perkembangan siasatan keselamatan dijangka dikeluarkan dalam tempoh setahun atau kira-kira setahun selepas insiden nahas tersebut berlaku,” jelasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mh370-terlibat-nahas-kesemua-penumpang-krew-terkorban-1.54218#sthash.zjfTsh9V.dpuf


Pencarian diteruskan

Malaysia, China, Australia komited dalam misi

MOHD. AZRAIE MD. YUSOF | 30 Januari 2015 1:50 AM

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Kerajaan Malaysia, China dan Australia komited meneruskan pencarian MH370 walaupun Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini mengisytiharkan pesawat itu kemalangan dan kesemua penum­pang dan anak kapalnya terkorban.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ini dibuktikan melalui beberapa langkah yang telah diambil baru-baru ini dalam usaha untuk terus mengesan pesawat tersebut.

“Malaysia telah menghantar aset tambahan di kawasan pencarian. Kapal Fugro Supporter telah tiba untuk membantu pencarian bawah laut menjadikan empat kapal kese­muanya berada di sana.

“Laman web MH370 juga telah dipertingkatkan dan kini mempu­nyai seksyen khas untuk waris mang­sa,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Tiong Lai, pengisytiharan yang dibuat DCA terlebih dahulu dipersetujui bersama oleh kerajaan Malaysia, China dan Australia bagi membolehkan waris mangsa mengambil langkah sewajarnya.

“Pengisytiharan dibuat mengikut konvensyen antarabangsa dan amalan standard yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi memastikan bantuan dapat disediakan kepada keluarga terdekat,’’ katanya.

Sementara itu, Malaysia Airlines (MAS) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan menghubungi waris untuk meneruskan proses pampasan.

Syarikat penerbangan itu berkata, pihaknya akan memastikan pampasan yang adil dan munasabah dibayar kepada semua keluarga mangsa selaras dengan undang-undang.

“Dalam usaha untuk memudahkan dan mempercepatkan pro­ses pampasan, selain proaktif menyedia­kan maklumat terkini kepada ahli-ahli keluarga, MAS telah memasang talian telefon tambahan.

“Pusat Sokongan Keluarga (FSC) yang ditubuhkan di Kuala Lumpur akan menjadi titik utama hubungan bagi waris di Malaysia dan waris dari negara-negara lain, bersama-sama dengan beberapa pejabat serantau kami, selain dari China.

“Operasi di Pusat Komunikasi dan Sokongan Keluarga (FCSC) yang terletak di Beijing juga akan diteruskan. Untuk kemudahan ahli keluarga di sana, pusat itu akan disokong oleh kakitangan tambahan yang boleh bertutur bahasa Mandarin,’’ kata kenyataan itu di sini.- 

See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pencarian-diteruskan-1.54204#sthash.zZGBNt6t.dpuf


dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: 1MDB - Sekadar Bertanya Lagi, Perlu Ke DiWujudkan ...

dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: 1MDB - Sekadar Bertanya Lagi, Perlu Ke DiWujudkan ...: " Jika hendak maju dalam pelajaran, kamu hendaklah bertanya jika tidak faham akan sesuatu perkara kerana malu bertanya sesat jalan, mal...

Wira Kenyalang™: KENYATAAN MEDIA ZULKIFLI NORDIN BERHUBUNG DESAKAN ...

Wira Kenyalang™: KENYATAAN MEDIA ZULKIFLI NORDIN BERHUBUNG DESAKAN ...: Saya merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Saudara Zahid Md Arip, Mursyidul Am TIBAI mengenai kekhuatiran beliau kemungkinan An...

! BUJANG SENANG ! : RINGGIT JATUH LAGI DAN PALING TERUK DI ASIA

! BUJANG SENANG ! : RINGGIT JATUH LAGI DAN PALING TERUK DI ASIA: Ringgit Jatuh Lagi - Kali Ini Nilai Ringgit Di Anggap Paling Lemah Di Asia. Laporan oleh Bloomberg disiarkan kembali menerusi The Ma...

The Sense, Credibility and Accountability: PERASAN tak PE'EL dan PERANGAI mereka ini pada HAR...

The Sense, Credibility and Accountability: PERASAN tak PE'EL dan PERANGAI mereka ini pada HAR...: ASSALAMUALAIKUM dan SALAM SEJAHTERA.. HE!HE!HE! Anda jangan terKEJUT pulak jika orang yang sedang diLABELkan sebagai ' ENEMY of the...

Wednesday 28 January 2015

Penduduk berdepan 
kadar cukai lebih tinggi

28 Januari 2015 1:48 AM

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Penduduk di kawasan yang terlibat dengan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) berisiko membayar kadar cukai lebih tinggi bagi menampung sumber kewangan pihak kerajaan tempatan.

Abdul Rahman Dahlan

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kerajaan tempatan yang dipilih menerusi pilihan raya PBT mempunyai kuasa dalam menaikkan cukai di kawasan mereka kerana sebelum ini pihak berkenaan terikat di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

“Pilihan raya PBT bakal mewujudkan penyelarasan dasar yang tidak selari serta menimbulkan pelbagai percanggahan dan masalah antara kerajaan negeri dan tempatan.

“Lebih memburukkan keadaan, penduduk di kawasan yang melaksanakan pilihan raya PBT terpaksa berdepan risiko kenaikan kadar cukai sedia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan persoalan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada kerajaan DAP Pulau Pinang sama ada pilihan raya PBT yang mahu diadakan membolehkan setiap kerajaan tempatan mempunyai autonomi dalam soal kewangan.

Muhyiddin turut mempersoalkan kemampuan kebanyakan kerajaan tempatan yang kini mendapat bantuan daripada Kerajaan Persekutuan memperoleh sumber kewangan baharu melalui autonomi kewangan selepas mengadakan pilihan raya PBT.

Menurut Abdul Rahman, secara puratanya, kerajaan Pusat memperuntukkan kira-kira RM250 juta hingga RM300 juta setahun kepada kerajaan tempatan di seluruh negara. 

“Jika kerajaan tempatan menjalankan aktiviti kutipan cukai mereka sendiri, Kerajaan Pusat mungkin akan mengalihkan peruntukan yang disediakan untuk disalurkan ke bahagian pembangunan,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penduduk-berdepan-8232-kadar-cukai-lebih-tinggi-1.53499#sthash.Tk31bbzl.dpuf

Transgender: Negeri Sembilan peroleh kebenaran merayu

SUWARNI MOKHTAR | 28 Januari 2015 1:42 AM


Beberapa ahli NGO hadir untuk mendengar permohonan kerajaan Negeri Sembilan, berhubung keputusan mahkamah rayuan kes lelaki transgender, di Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMIN

PUTRAJAYA 27 Jan. - Kerajaan Negeri Sembilan dan empat yang lain hari ini berjaya mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap perintah Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa undang-undang syariah negeri itu yang menghalang kaum lelaki berpakaian wanita di tempat awam sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan demikian sebulat suara ketika bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Sehubungan itu, panel tersebut memerintahkan semua pihak terlibat menjawab persoalan yang akan menjadi teras kepada rayuan tersebut.

Persoalan itu adalah sama ada Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan 1992 yang melarang kaum lelaki memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam bertentangan dengan lima Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kelima-lima Perkara itu adalah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan (hak rakyat untuk hidup dan kebebasan diri), Perkara 8 (1) dan (2) (perlindungan sama rata tanpa mengambil kira agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina), Perkara 9 (hak untuk bergerak dengan bebas) dan Perkara 10 (1)(a) (hak untuk bercakap dan bersuara).

Kerajaan Negeri Sembilan diwakili peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang merupakan pemohon di dalam rayuan terbabit.

Yang turut disenaraikan sebagai pemohon adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai penguat kuasa syariah dan ketua pendakwa raya syariah.

Tiga pak andam, Muhamad Juzaili Mohd. Khamis, 28, Shukor Jani, 29, dan Wan Fairol Wan Ismail, 31, yang dilahirkan sebagai lelaki dan beragama Islam, kemudian membuat pembedahan pertukaran jantina dinamakan sebagai responden.

Terdahulu, panel sama membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang diwakili peguam Datuk Sulaiman Abdullah untuk menjadi pencelah dalam rayuan tersebut.

Permohonan serupa yang dikemukakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Johor pula ditolak oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Majlis-Majlis Agama Islam negeri-negeri yang ditolak permohonannya itu dibenarkan untuk menjadi pemerhati dalam rayuan tersebut dan boleh mengemukakan permohonan untuk berhujah, jika perlu.

Pada 7 November 2014, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus sebulat suara memutuskan Seksyen 66 itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas didapati bertentangan dengan Perlembagaan.

Panel terbabit menyatakan, penguatkuasaan Seksyen 66 itu akan meletakkan pihak responden yang mengalami kecelaruan identiti jantina (GID) terus hidup dalam ketidakpastian, kesengsaraan dan rasa malu kerana undang-undang tersebut telah menghukum golongan transeksual yang mempamerkan jantina pilihan mereka, mencemarkan maruah dan nilai individu-individu tersebut dalam masyarakat.

Muhammad Shafee ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, pihak-pihak terlibat mempunyai tempoh sebulan untuk memfailkan notis dan hujah rayuan masing-masing berhubung persoalan yang diberikan oleh mahkamah.

Tarikh pengurusan kes rayuan itu akan ditetapkan kemudian.

Dalam pada itu sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Justice for Sisters, S. Thilaga memberitahu pemberita, pihaknya mengambil pendekatan neutral dalam rayuan tersebut namun gembira mahkamah akan melihat kes tersebut dari segi Perlembagaan dan bukannya undang-undang moral.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/transgender-negeri-sembilan-peroleh-kebenaran-merayu-1.53451#sthash.XqLTMHei.dpuf

POLITIK : Pas cabar bentang usul pilihan raya PBT

DAP mesti sanggup berdepan risiko ditolak

HUSSAINI AMRAN | 28 Januari 2015 1:51 AM

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Pertelingkahan dalam pakatan pembangkang semakin sengit berikutan tindakan Pas mencabar DAP untuk membentangkan rang undang-undang persendirian pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Parlimen.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika melontarkan cabaran itu berkata, langkah berkenaan adalah jauh lebih baik daripada bertengkar melalui media dan mencemuh mereka yang melahirkan kebimbangan terhadap kesan negatif pilihan raya PBT.

Menurut beliau, seperti Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993, kelulusan usul pilihan raya PBT di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sahaja tidak mencukupi kerana ada halangan di peringkat Perlembagaan Persekutuan.

“Jika DAP yakin bahawa pilihan raya PBT merupakan usaha menyuburkan sistem demokrasi maka berusahalah membentangnya di Parlimen, mungkin secara rang undang-undang persendirian, kerana ini juga adalah sebahagian daripada amalan demokrasi.

“Pas sedia berdepan risiko ditolak dan ditentang oleh rakan dalam pakatan pembangkang jika kerajaan negeri Kelantan mengemukakan rang undang-undang persendirian untuk Enakmen Jenayah Syariah II 1993 di Kelantan malah, Pas menerima hakikat bahawa DAP akan menentangnya,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau hari ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mempertikaikan kebimbangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentang kemungkinan pilihan raya PBT mencetuskan suasana tidak stabil dan melebarkan jurang masyarakat apabila memberi ‘keuntungan’ kepada penduduk bandar yang majoritinya kaum Cina, sekali gus menimbulkan kebimbangan peristiwa 13 Mei 1969 berulang.

Ahli Majlis Syura Ulama Pas itu menambah, sebagaimana Pas, DAP juga harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan usul pilihan raya PBT ditolak di Parlimen.

Walau bagaimanapun, beliau berpandangan, tindakan membentangkan rang undang-undang persendirian pilihan raya PBT di Parlimen adalah lebih baik bagi DAP kerana kebarangkalian Ahli-ahli Parlimen Pas menyokongnya adalah lebih tinggi berbanding kebarangkalian ahli-ahli Parlimen DAP menyokong rang undang-undang persendirian hudud.

“Hudud dan pilihan raya PBT bukanlah dasar yang dipersetujui bersama. Kedua-duanya tiada konsensus untuk dilaksanakan dan ini diakui DAP dan Pas. Ini satu persamaan antara Pas dan DAP,” ujarnya.

Tuan Ibrahim turut membangkitkan tentang keputusan Mahkamah Persekutuan pada 14 Ogos lalu yang menolak permohonan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk melaksanakan pilihan raya PBT atas alasan perkara itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.

Beliau memberitahu, meskipun tindakan mahkamah yang diambil DAP tidak berjaya, langkah itu jelas menunjukkan konsensus pakatan pembangkang tidak diperlukan untuk DAP meneruskan janji dalam manifestonya di Pulau Pinang.

“Apakah hanya Pas di Kelantan yang perlu didesak untuk mematuhi konsep konsensus pakatan pembangkang, manakala parti komponen lain tidak memerlukannya, untuk mengotakan janji pilihan raya untuk melaksanakan hudud di Kelantan?” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-cabar-bentang-usul-pilihan-raya-pbt-1.53524#sthash.lR4AiGOP.dpuf

S A N G G A H T O K J A N G G U T: Audit JPM sudah selesai..SPRM bila lagi?

S A N G G A H T O K J A N G G U T: Audit JPM sudah selesai..SPRM bila lagi?: SEBENARNYA tika dan saat  ini, fikiran dan seluruh tumpuan tenaga saya sedang di tumpukan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kela...

APANAMA: Scapegoats and Oxygen for the boss

APANAMA: Scapegoats and Oxygen for the boss: Little birds tell me that the Prime Minister has washed his hands and distanced himself from the recent unwarranted mainstream i.e. TV...

Tuesday 27 January 2015

JELAPANG: NAJIB BERNASIB BAIK TUN MAHATHIR TAK "SERANG" ROSM...

JELAPANG: NAJIB BERNASIB BAIK TUN MAHATHIR TAK "SERANG" ROSM...: HARI ini Jelapang terbaca di sebuah akhbar Melayu sebuah kisah hendak MENDAMAIKAN Najib Razak dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. http://...

dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: Perang Team Mahathir - Team Najib Hanya Satu GAME ...

dinturtle - Blogger PARTI MELAYU: Perang Team Mahathir - Team Najib Hanya Satu GAME ...: Dah lama perkara/senario ini bermain dalam fikiran .... sejak team Najib menyerang Daim secara bersungguh2 ( yang mana target utama merek...

Pejuang Tok Gajah46: Bongkar: Rasuah punca bau najis babi tidak selesai...

Pejuang Tok Gajah46: Bongkar: Rasuah punca bau najis babi tidak selesai...: Masalah pencemaran bau dan air melibatkan najis babi ekoran wujudnya penternakan haram yang banyak di sekitar kawasan Tanjung Sepat, Banti...

1400 sukarelawan UiTM

Membantu membersihkan rumah penduduk yang terjejas banjir di Pantai Timur

ABDUL RAZAK IDRIS | 26 Januari 2015 3:02 PM


Dr. Abdullah Mohd. Said mengibarkan bendera UiTM sebagai tanda pelepasan Konvoi Misi Bantuan Pasca Banjir UiTM ke Pantai Timur baru-baru ini.

Universiti Teknologi MARA(UiTM) menghantar seramai 1400 mahasiswa bagi membantu kerja-kerja membersihkan rumah mangsa banjir di Pantai Timur baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohd. Said berkata, misi kali ini disertai mahasiswa semester akhir kursus ijazah sarjana muda.

“Setelah menghantar misi seramai 2000 termasuk misi seramai 200 orang bagi membersihkan rumah mangsa banjir misi kali ini menghantar 1400 orang pelajar ke pantai timur.

“Misi kali ini, kesemua sukarelawan akan dibawa dengan beberapa buah bas diiringi oleh sukarelawan 1M4U dan pegawai keselamatan UiTM,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan acara pelepasan Konvoi Misi Bantuan Pasca Banjir Fasa Kedua di Pusat Ko-Kurikulum UiTM di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.

Abdullah berkata, kesemua mahasiswa bergabung dengan sukarelawan Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) bagi menjayakan misi kali ini yang lebih menumpukan membersih selut tebal di rumah, sekolah dan bangunan yang terlibat dengan banjir.

“Selain daripada misi membersihkan rumah penduduk kita turut membawa bersama beberapa barangan keperluan mangsa banjir.

“Kita berasa bangga kerana sukarelawan yang terpilih dalam misi ini mendaftar dengan sukarela sehingga UiTM terpaksa membuat penapisan kerana hampir 2,000 yang berminat menjadi sukarelawan,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/1400-sukarelawan-uitm-1.52664#sthash.D6CxRAjJ.dpuf

JENAYAH MEROTAN : Ambil kira pandangan orang ramai

27 Januari 2015 1:47 AM

MUAR 26 Jan. – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diminta mengambil kira pandangan orang ramai sebelum menggubal rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang akan menjadikan tindakan merotan anak sebagai satu ke­salahan jenayah.

Razali Ibrahim

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, pandangan orang ramai dapat membantu untuk membuat keputusan tentang perkara itu selain tidak mengetepikan keperluan hukuman tersebut mengikut Islam.

“Reaksi orang ramai boleh diberi pertimbangan yang wajar. Namun perkara ini (hukuman merotan anak-anak akan menjadi satu kesalahan jenayah) perlu diberi penjelasan bagi mengelak masyarakat salah faham sebelum digubal.

“Apabila tidak diperjelaskan secara betul, perkara ini menjadi bahan gurauan. Cadangan hukuman merotan anak-anak sebagai satu jenayah boleh dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pasar Awam Maharani, di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memberitahu, merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai ini diluluskan.

Kenyataan tersebut telah mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk golongan ulama seperti Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria yang meminta kerajaan tidak terlalu mengikut kaedah atau sistem perundangan Barat dalam usaha melindungi hak dan kepen­tingan kanak-kanak di negara ini.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, masyarakat perlu faham bahawa tindakan merotan untuk mendidik anak-anak de­ngan merotan sehingga mengakibatkan penganiayaan dan pende­raan adalah dua perkara berbeza.

Justeru, cadangan itu, perlu dipastikan tidak bercanggah dengan hukum agama dan harus diperhalusi dari sudut Islam.

“Islam membolehkan merotan tetapi mesti mengikut garis panduan yang betul dan dibenarkan agama. Orang Islam tidak boleh membuat satu dasar yang menolak sesuatu perkara dibenarkan dalam agama.

“Kita mahu setiap undang-undang baharu dapat menyelesaikan masalah. Jangan kita terpesong jauh daripada konteks asal cadang­an ini. Maksudnya, ja­ngan kita tambah masalah baharu dalam kita cuba menyelesaikan masalah sedia ada,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ambil-kira-pandangan-orang-ramai-1.53013#sthash.T8oNH5Zk.dpuf

POLITIK : Pasma ‘dipersila’ tinggalkan Pas

Jangan rosakkan parti jika tidak sehaluan

HUSSAINI AMRAN | 27 Januari 2015 1:48 AM

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) ‘dipersilakan’ untuk meninggalkan Pas sekiranya pendirian pertubuhan itu tidak lagi sehaluan dengan parti.

ABDUL HADI AWANG

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ‘bahtera’ yang dikemudikan setiap parti dalam pakatan pembangkang adalah berbeza.

Beliau secara berkias meminta semua pihak di dalam Pas agar jangan membocor dan merosakkan ‘bahtera’ parti sekiranya mereka merasakan ‘bahtera’ itu bergerak perlahan serta mempunyai kekurangan.

“Pasma ini ibarat mereka yang menebuk kapal. Kalau rasa payah sangat pergilah ke bahtera lain yang kamu suka, yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi.

“Pergilah ke kapal DAP, kapal Parti Keadilan Rakyat (PKR), kalau nak cepat lagi ke Putrajaya pergilah ke bahtera UMNO,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook milik beliau hari ini.

Pada 26 Oktober lalu, Abdul Hadi membidas Pasma kerana mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang melarang ahli-ahli parti menyertai pertubuhan tersebut.

Beliau ketika itu turut mempersoalkan status Pasma yang kononnya bergerak selari dengan kepentingan parti dan secara sinis menggambarkan tidak tahu asal usul mereka yang dianggap ‘entah daripada spesies mana’.

Pasma yang diketuai Presidennya, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi ditubuhkan pada 11 Ogos lalu ketika Pas dilanda konflik dalaman yang serius ekoran perbezaan pendirian dalam kalangan pemimpin-pemimpinnya berhubung krisis Menteri Besar Selangor.

Pasma yang didalangi kumpulan Anwarinas dan sering mengkritik pimpinan tertinggi Pas termasuk Abdul Hadi tidak disenangi oleh golongan ulama di dalam parti.

Phahrolrazi dalam wawancara dengan portal berita propembangkang, Malaysiakini yang disiarkan pada 21 Januari lalu mendakwa, Abdul Hadi seolah-olah tidak berminat lagi untuk berada dalam pakatan pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor itu membuat andaian tersebut berdasarkan sikap Abdul Hadi yang enggan menghadiri mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Sementara itu, Abdul Hadi turut mengingatkan tentang peranan penting yang dimainkan Majlis Syura Ulama Pas dalam memandu parti agar tidak terbabas daripada sempadan syarak.

“Kita menggabungkan para ulama yang menguasai kepelbagaian bidang dalam memutuskan sesuatu ijtihad mengikut kesesuaian zaman,” ujarnya.

Beliau juga menyarankan ahli-ahli Pas mencontohi pendekatan bekas Timbalan Presiden Pas, Allahyarham Datuk Dr. Zulkifli Muhammad yang sanggup menarik balik cadangan membuka keahlian bersekutu kepada orang bukan Islam setelah dibantah oleh golongan majoriti dalam parti.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pasma-8216-dipersila-8217-tinggalkan-pas-1.53026#sthash.eXSx0VNI.dpuf


LIWAT : Keputusan rayuan Anwar 10 Feb.

SUWARNI MOKHTAR | 27 Januari 2015 1:50 AM

KUALA LUMPUR 26 Jan. - 10 Februari 2015, pu­kul 9 pagi, Dewan Mahkamah Persekutuan 1, Istana Kehakiman, Putrajaya.

Anwar Ibrahim

Pada tarikh tersebut, Mahkamah Persekutuan akan memuktamadkan rayuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat keduanya membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Pada tarikh tersebut juga, umum bakal mengetahui sama ada Anwar akan dipenjara, dibebaskan daripada sabitan dan hukuman atas pertuduhan meliwat buat kali kedua atau kes itu dibicarakan semula (sekiranya mahkamah mendapati terdapat kekhilafan yang teruk).

Mahkamah Persekutuan juga boleh mengekalkan sabitan salah dan meminda hukuman penjara lima tahun yang telah dijatuhkan (sama ada mengurangkan atau menambah tempoh pemenjaraan. Tempoh penjara maksimum bagi kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan ialah penjara 20 tahun dan sebat).

Makluman berhubung tarikh keputusan rayuan tersebut diumumkan oleh Mahkamah Persekutuan melalui laman sosial Twitter rasminya, @MYJudiciary kira-kira pukul 12.03 tengah hari sebelum disusuli dengan siaran akhbar oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada sebelah petang.

Notis rasmi mengenai perkara tersebut juga telah dihantar melalui faksimile oleh mahkamah kepada pihak-pihak terlibat sekitar waktu sama.

Peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan ketika dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) memberitahu menerima notis terbabit lewat pagi tadi manakala peguam, Ramkarpal Singh yang mewakili Anwar mengesahkan penerimaan notis berkenaan pada kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Rayuan akhir Ahli Parlimen Permatang Pauh itu telah didengar selama lapan hari bermula 28 Oktober hingga 7 November tahun lalu di hadapan panel lima hakim mahkamah tertinggi negara diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu nanti adalah muktamad dan tidak boleh dikemukakan ra­yuan lagi.

Sekiranya gagal dalam rayuannya, Anwar akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen sebagaimana Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika dijatuhkan hukuman penjara lebih dari setahun atau denda lebih daripada RM2,000.

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan akhbarnya meluahkan rasa optimis akan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan itu berdasarkan hujah ‘perincian fakta dan undang-undang kukuh yang telah dibentangkan’ oleh barisan 14 peguamnya.

“Fitnah tidak wajar dijadikan alat dalam tinju politik dan diberi ruang untuk memporak-perandakan negara.

“Saya panjatkan doa pada Allah Yang Maha Esa agar keadilan dapat ditegakkan dan saya dibebaskan,” katanya lagi.

Anwar, 68, memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 30, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008 di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.

Pada 7 Mac 2014, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Balia Wahi Yusof yang bersidang bersama-sama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh sebulat suara mendapati Anwar bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Mereka memutuskan demikian selepas mendapati Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa integriti bahan bukti yang diletakkan di dalam 11 botol sampel berlainan telah tercemar.

Bahan bukti itu sebelum ini didakwa tercemar apabila beg plastik yang digunakan untuk menempatkan kesemua sampel itu digunting di bahagian bawahnya oleh bekas pegawai penyiasat, Superintenden Judy Blacious Pereira.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/keputusan-rayuan-anwar-10-feb-1.53031#sthash.wGDe4JH1.dpuf

Cameron Highlands: Penguatkuasaan ke atas PATI diteruskan

OLEH THOMAS CHONG (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 27 Januari 2015 1:49 AM


Keratan Utusan Malaysia 10 November 2014.

PUTRAJAYA 26 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan pengu­atkuasaan diteruskan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membanjiri dan melakukan kerja-kerja penerokaan di Came­ron Highlands.

Muhyiddin berkata, tindakan perlu dikenakan terhadap mereka sama ada yang meneroka tanah secara haram atau bekerja di destinasi peranginan tersebut.

“Setakat ini hampir 800 PATI telah ditahan dan tindakan undang-undang turut diambil ke atas mereka,” katanya kepada pembe­rita selepas mempengerusikan me­syuarat mengenai isu Cameron Highlands, di sini hari ini.

Muhyiddin pada 9 November lalu telah mengarahkan operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan dilancarkan bagi memastikan peneroka haram termasuk PATI di Cameron Highlands dikenakan tindakan tegas.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pihak berkuasa telah berjaya membersihkan kira-kira 7.8 peratus atau kira-kira 177 hektar daripada 2,258 hektar tanah di Cameron Highlands yang dikenal pasti diceroboh oleh peneroka haram.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, Muhyiddin berkata, kerajaan negeri Pahang bercadang memberi Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada penduduk yang sudah lama mengusahakan kebun di Cameron Highlands.

Beliau berkata, kerajaan negeri Pahang telah memaklumkan bahawa sesetengah pengusaha kebun buah-buahan dan sayur-sayuran telah mengerjakan tanah selama 40 tahun mungkin layak menerima TOL walaupun permohonan mereka gagal sebelum ini atas pelbagai sebab.

“Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sudah memberi jaminan bahawa hal ini (pengeluaran TOL) akan dipertimbangkan dalam tempoh sebulan iaitu sehingga akhir bulan Februari.

“Sementara kerajaan negeri mempertimbangkan pengeluaran TOL, kita akan meneruskan kerja-kerja pembersihan tanaman di kawasan yang diceroboh secara ha­ram,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan akan membantu aktiviti penguatkuasaan di Came­ron Highlands dengan menyediakan aset seperti jentolak bagi digunakan untuk membersihkan kebun-kebun yang diusahakan secara haram.

“Penyediaan aset ini bertujuan meningkatkan keberkesanan dalam tindakan penguatkuasaan, sebahagian kos akan dibiayai menerusi Tabung Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa telah ditugaskan untuk meneliti semula pelan pembangunan di Cameron Highlands bagi memastikan kelestarian pusat peranginan itu untuk jangka panjang.

“Pelan akan disiapkan dalam tempoh enam bulan supaya tindakan susulan boleh diambil untuk menambah baik, memulih serta mencantikkan kawasan Cameron Highlands,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/cameron-highlands-penguatkuasaan-ke-atas-pati-diteruskan-1.53028#sthash.nXULY1tF.dpuf

Monday 26 January 2015

Jangan ‘tergagau-gagau’ ikut Barat – Rais - TAK PAYAH POPULER SANGATLAH..

26 Januari 2015 1:13 AM

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim diminta membuat kajian terlebih dulu tanpa ‘tergagau-gagau’ mengikut budaya barat untuk menjadikan perbuatan merotan anak suatu kesalahan jenayah.

Rais Yatim

Sambil menyuarakan rasa hairan dengan kenyataan menteri itu, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Rohani tidak perlu terlampau mahu mengikut perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan amalan itu sehingga mengabaikan sosiobudaya yang dipraktikkan institusi keluarga di negara ini dalam mengawal tingkah laku anak-anak.

“Merotan anak ini sebenarnya perbuatan yang selaras dengan sosio budaya kita atau sengaja beliau (Rohani) nak tiru apa yang terkandung dalam konvensyen PBB sehingga menampakkannya popular.

“Sekarang pun anak-anak susah dikawal budi pekertinya, kalau bapa sendiri tak boleh merotan sedikit atau memukul tangan anaknya, ini sudah melampau.

“Kalau tidak ikut konvensyen ini tidak mengapa, bukan satu kemestian sebab aspek-aspek hak kemanusiaan ini lebih besar, bukan terhad pada kanak-kanak sahaja...ada 11 lagi konvensyen, jika semua nak ikut tanpa disesuaikan dengan amalan sosio budaya kita, susah kita nanti,” kata beliau kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Rais yang juga pakar undang-undang dan perlembagaan Persekutuan meminta Rohani merujuk mereka yang pakar sebelum mahu menjadikan perbuatan merotan anak suatu kesalahan jenayah.

“Jangan ‘tergagau-gagau’ menjadikan perkara itu kesalahan jenayah hanya kerana nak mengikut konvensyen PBB yang seolah-olah ‘bapa meniru’ yang tampak tidak ikut budaya timur,” kata beliau.

Semalam, Rohani berkata, penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001 yang baharu berhubung isu merotan suatu perbuatan jenayah itu kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara.

Kata Rohani: “Walaupun merotan anak merupakan sebahagian budaya masyarakat kita, namun kita perlu akur dengan perjanjian CRC yang memandang serius perkara tersebut.”

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jangan-8216-tergagau-gagau-8217-ikut-barat-8211-rais-1.52551#sthash.j9v5geTx.dpuf

Peringatan kepada DAP

Bimbang peristiwa 13 Mei 1969 mungkin berulang

HUSSAINI AMRAN | 26 Januari 2015 1:14 AM


HARON DIN

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Negara boleh ditimpa padah sekiranya DAP terus berdegil untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) walaupun dibantah keras oleh Pas yang juga sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Malah, kepemimpinan ulama di dalam Pas yakin kebimbangan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentang kemungkinan pilihan raya PBT mengakibatkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang, ada asasnya.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berpandangan, pelaksanaan pilihan raya PBT tidak menyumbang ke arah usaha mewujudkan keharmonian politik di negara ini.

“Sebarang isu yang boleh menimbulkan ketidaktenteraman akan mengundang padah.

“Kalau tidak segera, maka masa mendatang akan lebih mencabar kerana itulah isu pilihan raya PBT ini elok dihentikan segera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Abdul Hadi mendakwa, pilihan raya PBT yang diperjuangkan DAP akan hanya mencetuskan suasana tidak stabil dan melebarkan jurang masyarakat apabila memberi ‘keuntungan’ kepada penduduk bandar yang majoritinya kaum Cina, sekali gus menimbulkan kebimbangan peristiwa 13 Mei 1969 mungkin berulang.

Polemik pilihan raya PBT yang mencetuskan konflik dalam pakatan pembangkang dibangkitkan oleh Pas setelah DAP membantah hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hudud.


Haron turut mengingatkan DAP bahawa pandangan Abdul Hadi itu bukan bersifat peribadi kerana pelaksanaan pilihan raya PBT tidak dipersetujui oleh semua ahli Pas.

Beliau menambah, semua pihak termasuk DAP sepatutnya bersikap prihatin sebelum melakukan sebarang tindakan yang melibatkan kepentingan umum, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.

“Lebih-lebih lagi apabila ditegur atau ditentang oleh rakan-rakan dalam pakatan pembangkang, maka sepatutnya diberi pertimbangan,” ujarnya.

Tokoh ulama berpengaruh dalam Pas itu juga meminta DAP tidak menyamakan isu pilihan raya PBT dengan isu hudud kerana ke­dua-duanya langsung tidak mempunyai kaitan.

“Hudud adalah teras perjuangan parti dan kerana itulah Pas diwujudkan sedangkan pilihan raya PBT ini apa bendanya, bukan perjuangan parti dan bukan teras DAP,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam kenyataan melalui laman Facebooknya menempelak sikap dwistandard DAP terhadap isu pilihan raya PBT dan hudud.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mempersoalkan tindakan DAP menuduh Pas mencabul kesepakatan dalam pakatan pembangkang berikutan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian tentang hudud di Dewan Rakyat.

“Cuma, adakah pilihan raya PBT tidak perlu ke Parlimen sebagaimana hudud? Itu saya tak pasti, kena rujuk kepada orang undang-undang.

“Jika Pulau Pinang berjaya mengadakan pilihan raya PBT, adakah Pas akan menganggap langkah itu mencabul pakatan pembangkang? Jawapannya tidak,” jelasnya.

Sehubungan itu, Nik Mohamad Abduh memberitahu, DAP seharusnya bertindak secara demokratik dan menerima hasrat Pas untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/peringatan-kepada-dap-1.52556#sthash.RBFP40HZ.dpuf

Batalkan cadangan larang rotan anak-anak

26 Januari 2015 1:14 AM

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diminta membatalkan cadangan agar tindakan merotan anak-anak dianggap sebagai kesalahan jenayah kerana larangan yang terkandung dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) turut mendapat tentangan di Sweden.

Khairul Anwar Rahmat

Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya telah mengenal pasti perkara itu berdasarkan pengalaman sebagai pemerhati dalam kes pasangan Malaysia di Sweden tahun lalu bahawa beberapa pengamal undang-undang, bekas hakim, aktivis masyarakat dan ibu bapa di negara itu turut menyatakan tidak bersetuju dengan larangan tersebut.

Katanya, larangan itu turut dikecam hebat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sweden, antaranya Nordic Committee for Human Rights, World Peace Foundation (Sweden) dan The Stockholm Institute of Public and International Law.

“Ini jelas menunjukkan bahawa jika negara luar tidak sependapat tentang larangan itu, mengapa Malaysia mahu mencontohi undang-undang yang jelas berlawanan dengan amalan agama majoriti rakyat di sini yang merotan anak untuk mendidik dan mendisiplinkan mereka.

“Kerajaan harus menyedari bahawa merotan bagi tujuan mendidik mempunyai maksud berbeza dengan mendera seperti ditafsir dalam CRC, mungkin menteri berkenaan terkhilaf dalam perkara ini dan belum terlambat untuk membetulkannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/batalkan-cadangan-larang-rotan-anak-anak-1.52560#sthash.DVaeO89U.dpuf