Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 25 August 2015

Bahana politik keterlaluan

KHABAR DARI NEGERI

MOHD. KHUZAIRI ISMAIL | 25 Ogos 2015 1:12 AM


PEMILIHAN 'Bersih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang mencetuskan rasa kurang senang banyak pihak kerana mempunyai nama sama dengan perhimpunan haram yang dirancang diadakan secara besar-besaran di ibu negara pada akhir bulan ini.

DARI awal-awal lagi Kerajaan DAP Pulau Pinang sudah dapat menjangkakan pemilihan tema sambutan Hari Kemerdekaan yang berbeza dengan peringkat Pusat boleh mencetuskan rasa kurang senang banyak pihak.

Mereka sudah melakukannya sejak 2010 dan setiap kali itu jugalah, Kerajaan DAP Pulau Pinang dikritik hebat.

Tahun ini mereka bukan sahaja tidak belajar daripada pengalaman, malah bertindak lebih jauh sehingga boleh disifatkan ke tahap melampau.

Pemilihan `Bersih’ sebagai tema awal Hari Kemerdekaan ketika perhimpunan haram dengan nama sama dirancang diadakan besar-besaran di ibu negara memperlihatkan rendahnya nilai patriotik dan cintakan negara yang dipegang Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Meskipun cuba ditenangkan dengan menggantikannya kepada Bersih, Cekap, Amanah, tindakan itu tidak dapat menyembunyikan sikap dan pendirian sebenar Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam isu berkenaan.

Sehinggalah ‘diugut’ beberapa pihak untuk tidak menyertai upa­cara perbarisan sempena Hari Kemerdekaan itu, barulah Kerajaan DAP Pulau Pinang akur dan bersetuju untuk menggunakan tema Sehati Sejiwa yang diangkat Kerajaan Pusat.

Hakikatnya ini bukanlah soal tunduk kepada desakan atau tekanan mana-mana pihak.

Tetapi ini adalah mengenai tanggungjawab sebuah kerajaan dalam mengajak rakyatnya menghayati erti dan makna sebenar sebuah kemerdekaan.

Jika Kerajaan DAP Pulau Pinang terlupa, mereka perlu diingatkan nikmat kemerdekaan itu sejak 58 tahun lalu dikecapi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum sama ada Melayu, Cina atau India.

Kebebasan daripada penjajahan itu juga dinikmati setiap rakyat tanpa mengira pegangan agama atau fahaman politik.

Maka, sepatutnya hari yang cukup penting dan bersejarah bagi setiap rakyat Malaysia itu disambut dalam semangat sebagai sebuah keluarga yang besar.

Tetapi apabila Kerajaan DAP Pulau Pinang memilih tema berbeza, yang dilakukan mereka sejak lima tahun lalu, tindakan itu menimbulkan persoalan adakah mereka tidak mengiktiraf kemerdekaan negara selama ini?

Adakah Kerajaan DAP Pulau Pinang beranggapan mereka perlu melakukan usaha lain untuk mencapai kemerdekaan yang baharu?

Apa pun alasan yang dikemukan Kerajaan DAP Pulau Pinang, tindakan mereka yang seolah-olah mahu memisahkan diri daripada pe­rayaan besar dan penting kepada negara adalah sangat mengecewakan.

Maka wajarlah apabila Pejabat Pendidikan negeril; Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memilih untuk tidak menyertai perbarisan sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri itu.

Adalah tidak adil untuk peserta perbarisan itu yang turut terdiri daripada pelajar sekolah, agensi swasta dan awam serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadi mangsa kepada politik keterlaluan kerajaan negeri.

Apatah lagi penyertaan mereka itu dibuat atas semangat patriotik dan cintakan negara.

Itu adalah sebahagian usaha dan sumbangan kecil mereka dalam menzahirkan penghargaan serta kesyukuran atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini.

Namun apabila kesungguhan mereka itu cuba dicemarkan de­ngan unsur-unsur politik lebih-lebih lagi perhimpunan haram Bersih, mereka berhak untuk berasa kecewa dan tidak terlibat sama sekali.

Kita menerima hakikat sampai bila-bila sekali pun Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak akan pernah bersetuju dengan kerajaan Pusat.

Dalam banyak keputusan dan tindakan, sekali pun yang membabitkan kebajikan dan pembelaan rakyat, Kerajaan DAP Pulau Pinang lebih selesa untuk tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Lihat sahaja bagaimana mereka menyukarkan pembinaan rumah-rumah mampu milik kepada golo­ngan miskin di negeri ini yang diusahakan agensi kerajaan menerusi Majlis Tindakan Persekutuan Ne­geri Pulau Pinang (MTPNPP).

Sedangkan usaha itu jelas bertujuan membela nasib penduduk negeri ini yang tertekan untuk memiliki kediaman sendiri memandangkan kerajaan negeri dilihat lebih berminat meluluskan projek-projek rumah mewah.

Permainan politik keterlaluan seperti ini hanya akan menjadikan rakyat tidak berdosa sebagai mangsa.

Sikap sebegini juga tidak akan membantu membawa negara apatah lagi negeri ini ke arah masa depan yang lebih baik.

Kerajaan negeri hanya akan mewujudkan rasa kurang senang dan hilang hormat banyak pihak kepada dasar-dasar dan polisi yang disediakan mereka.

Kita bimbang lama-kelamaan rasa itu bertukar menjadi benci yang boleh merebak dalam kala­ngan rakyat sehingga mencetuskan ketegangan.

Sudah tiba masanya Kerajaan DAP Pulau Pinang melihat dan menilai peranan serta tanggungjawab mereka sebagai pentadbir di negeri ini.

Walaupun daripada kem pembangkang, tetapi di Pulau Pinang mereka adalah kerajaan negeri.

Maka, seharusnya dasar dan polisi mereka selari atau sesuai dengan amanah yang diberikan rakyat itu. Keutamaan mereka ketika ini adalah membela nasib rakyat.

Bukannya menunjukkan sikap berseteru yang berpanjangan de­ngan kerajaan Persekutuan sehingga membelakangkan amanah kepada rakyat.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/bahana-politik-keterlaluan-1.128284#sthash.iKJDlF9f.dpuf


No comments: