Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 31 March 2014

SEKALI LAGI - Catuan air dilanjut hingga 30 April


Oleh SITI AINIZA KAMSARI
pengarang@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 29 Mac - Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijadual berakhir Isnin ini akan dilanjutkan sehingga 30 April.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Priscilla Alfred berkata, keputusan itu hasil daripada Mesyuarat Pelan Kontigensi Pengagihan Bekalan Air Berjadual yang berlangsung semalam yang turut dihadiri oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kerajaan negeri Selangor.

''Walau bagaimanapun, pelan catuan ini terus dikaji oleh pihak kerajaan negeri Selangor bergantung kepada keadaan semasa dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan oleh Syabas kepada pengguna dari semasa ke semasa,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, merujuk kepada pelan catuan bekalan air yang dilaksanakan pada masa ini, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama yang melibatkan beberapa kawasan di kawasan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang masih diaktifkan.

"Ini kerana kedua-dua Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi masih ditutup berikutan paras kandungan ammonia yang masih tinggi di Sungai Langat.

"Pada masa sama, penurunan hujan di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang sejak beberapa hari kebelakangan ini masih tidak dapat meningkatkan paras empangan dan aliran air di Sungai Selangor menyebabkan pelan catuan bekalan air peringkat ketiga masih terus dilaksanakan," katanya.

Menurutnya, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga dilaksanakan berikutan pengawalan dan pengurangan pelepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor dan empangan Klang Gates masing-masing sebanyak 500 juta liter sehari (JLH) dan 30 JLH masih diteruskan oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd seperti yang diarahkan oleh kerajaan negeri Selangor.

"Justeru, para pengguna juga ditegaskan agar mengelakkan pembaziran dan tidak menggunakan air untuk tujuan kurang penting seperti mencuci kenderaan, mencuci premis kediaman, mencuci longkang, mengisi kolam renang, menyiram pokok bunga dan menyiram bumbung premis kediaman perniagaan semata-mata untuk menyejukkan keadaan," katanya.

Sehubungan itu, para pengguna juga diminta untuk bekerjasama dan mengambil tindakan serius terhadap tindakan berjimat cermat ini.

Pengguna juga ditegaskan agar tidak melakukan sebarang kerosakan terhadap sistem bekalan air Syabas khususnya aset-aset seperti jajaran paip, rumah pam atau kolam kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu akan turut menyebabkan kesulitan kepada pengguna.

Pihak Syabas juga berhak mendakwa pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sekiranya didapati bersalah melakukan kesalahan tersebut selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140330/wk_01/Catuan-air-dilanjut-hingga-30-April#ixzz2xVumeqsv  © Utusan Melayu (M) Bhd


MANC U - Rooney selamatkan air muka Moyes

Juan Mata (kiri) meraikan jaringan ketiga Manchester United bersama Ashley Young dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa di Old Trafford, Manchester semalam. - AFP

MANCHESTER - Selepas perlawanan dibuka dengan insiden yang memalukan David Moyes, dua gol Wayne Rooney menyelamatkan air muka pengurus Manchester United itu apabila membantu pasukannya membenam Aston Villa 4-1 di Old Trafford, semalam.

Kemunculan sebuah pesawat ringan yang membawa sepanduk, ‘WRONG ONE-MOYES OUT’ (Pilihan Yang Salah, Moyes Keluar) berlegar di ruang udara Old Trafford mencemari permulaan perlawanan, ditambah lagi dengan kejayaan Villa memperoleh gol awal menerusi sepakan percuma Ashley Westwood pada minit ke-13.

Namun begitu, dua gol yang diledak oleh Rooney sebelum tamat babak pertama, selain jaringan Juan Mata dan Javier Hernandez pada separuh masa kedua kembali menceriakan Moyes.

Biarpun kemenangan itu masih tidak merubah kedudukan United yang kekal menghuni tangga ketujuh liga dengan 54 mata, sembilan mata di belakang pasukan tangga keempat, Arsenal, namun tiga mata yang diraih sekurang-kurangnya merawat kelukaan juara bertahan itu selepas tewas 0-3 kepada Manchester City di tempat sendiri, Selasa lalu.

Old Trafford sunyi seketika selepas sepakan lencong Westwood menerjah gawang United di awal permainan untuk meletakkan pelawat di depan.

Rooney bagaimanapun me­nyamakan kedudukan pada minit ke-20 selepas menyudahkan hantaran Shinji Kagawa, sebelum melengkapkan kebangkitan tuan rumah dengan meledak penalti yang menerjah ke penjuru kanan pintu gol Villa selepas Mata dijatuhkan oleh Leandro Bacuna.

Jaringan Mata pada minit ke-57 membolehkan United terus bernafas dan pemain gantian, Hernandez memastikan tuan rumah menutup perlawanan dengan selesa apabila menambah gol keempat pada masa kecederaan selepas menerima hantaran Adnan Januzaj. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140330/sl_01/Rooney-selamatkan-air-muka-Moyes#ixzz2xVsTIwWJ  © Utusan Melayu (M) Bhd


 

LGBT: Jangan undang bala Allah


NASHARUDIN MAT ISA





SESI pembentangan Malaysia dalam proses semakan berkala (UPR) di Geneva telah berlalu. Proses seterusnya adalah dijangkakan pada tahun 2017. Alhamdulillah, kerajaan Malaysia telah menyatakan maklum balas yang cukup meyakinkan khasnya dalam mempertahankan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan, selain dengan jelas menolak cadangan beberapa buah negara anggota supaya Malaysia menandatangani beberapa perjanjian (covenant) antarabangsa dan juga mengiktiraf hak-hak LGBT (singkatan bagi Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender). Antara negara yang terang-terang meminta supaya Malaysia mengiktiraf LGBT ialah Belanda, Kanada dan Argentina, selain itu juga bebebarapa buah NGO luar dan dalam negara mendesak agar Malaysia dan kerajaannya mengiktiraf golongan-golongan pengamal seks songsang ini melalui kenyataan-kenyataan seperti "…regrets Malaysia rejection of all recommendations related to sexual orientation and gender identity. Carnal intercourse against the order of nature is punished with imprisonment and whipping…Criminalisation of same sex conduct encourages and reinforces intolerance, abuse, discrimination and marginalisation - leading to an overall destabilisation of society…"

Walaupun pendirian Malaysia sudah jelas dalam hal yang berkaitan dengan LGBT, namun pihak Comango masih belum berdiam diri. Pada 21 Mac 2014, iaitu sehari selepas Malaysia membentangkan pendiriannya di HRC, pihak Comango telah mengadakan satu acara sampingan di Geneva. Antara yang berucap ialah wakil penganjur Seksualiti Merdeka, Thilaga Sulathireh, yang menyentuh isu LGBT ini secara terbuka malah menuduh pihak polis dan pihak berkuasa agama bertindak ganas terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender.

Thilaga memanipulasi isu ini apabila menuduh pihak berkuasa dan autoriti agama dengan perbuatan ‘mendiskriminasi’ golongan LGBT, sedangkan mereka berselindung di sebalik isu ini, dengan bermatlamat akhir untuk mendapat pengiktirafan perlakuan homoseksual secara bebas dan perkahwinan sesama jenis.

Pihak Comango dalam laporan mereka kepada proses kedua UPR Malaysia, dengan jelas menyatakan tuntutan mereka tentang hak LGBT yang mana mereka menyatakan bahawa “Malaysia refuses to recognise SOGI rights as human rights. Lesbians, bisexuals, gays, transgendered, inter-sexed and queer persons (LGBTIQ) are vilified, faced violence..." dengan memetik insiden-insiden seperti serbuan terhadap sebuah pusat mengurut yang menawarkan khidmat kepada golongan songsang ini, selain menuntut agar Malaysia mengkaji, meminda dan memansuhkan undang-undangnya agar mematuhi prinsip-prinsip Yogyakarta. Tindakan ini juga selari dengan tekanan-tekanan antarabangsa di UPR yang mengesyorkan agar Malaysia memulakan proses memansuhkan elemen-elemen perundangan Seksyen 377A, Seksyen 377B, dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang menyifatkan amalan seks di luar tabii itu sebagai perbuatan jenayah.

Saya percaya bahawa umumnya, masyarakat kini telah terdedah dan mengetahui akan polemik serta ancaman tuntutan hak asasi manusia yang dibawa oleh Comango pada sesi UPR Malaysia yang kedua ini (sesi pertama telah diadakan pada 2009). Namun mungkin juga terdapat pertanyaan dalam kalangan masyarakat tentang apakah itu LGBT, SOGI dan kini, Prinsip Yogyakarta?

Kesinambungan kepada LGBT ini, telah wujud dasar SOGI (Sexual Orientation and Gender Identity) yang memperjuangkan kebebasan bagi mereka yang mengamalkan perhubungan seks songsang, semuanya di atas nama hak asasi manusia.

Bagi kelangsungan perjuangan mereka, suatu pertemuan kumpulan-kumpulan pakar hak asasi manusia telah diadakan di Yogyakarta pada 2006. Menurut mereka, sebagai suatu bentuk respons terhadap apa yang dirasakan sebagai pola penderaan dan penindasan terhadap golongan ini, maka diilhamkan Prinsip Yogyakarta 2006. Di dalamnya terkandung prinsip-prinsip hak asasi manusia yang bersifat ‘sejagat,’ mematuhi dan menuruti piawaian undang-undang antarabangsa yang mana kesemua negara di dunia ini harus patuhi. 

Setakat kini, dalam kerancakan dunia mencanang penerimaan budaya seks songsang ini sebagai satu bentuk hak asasi manusia, tinggal 76 negara sahaja yang tidak mengiktiraf homoseksualiti dan mengkategorikannya sebagai unsur jenayah.

Umat Islam di dunia kini, yang mengakui beriman kepada Allah dan berpegang pada al-Quran dan as-Sunnah, seharusnya menentang gerakan untuk membenarkan, mengiktiraf dan mempromosikan kegiatan mungkar ini. Malahan, penentangan ini juga tidak terhad kepada agama Islam memandangkan tidak wujud mana-mana agama lain yang mengiktiraf budaya dan kelakuan homoseksual ini.

Akhir tahun lalu, Mahkamah India telah menarik kembali pengiktirafannya terhadap LGBT dan penentangan ini bukan sahaja terdiri daripada umat Islam, bahkan juga penganut Hindu, Kristian berserta aktivis-aktivis lain. Keputusan yang sama juga dilihat di Australia. Keputusan-keputusan sebegini memberi harapan bahawasanya masih wujud nilai-nilai moral di negara-negara lain selain polemik yang timbul dalam kalangan mereka sendiri apabila aktivis-aktivis hak asasi manusia ini mahukan hak perlakuan beastiality (hubungan intim bersama haiwan seperti anjing dan kambing) seperti yang diperjuangkan oleh sebuah organisasi bernama Equality For All (EFA). Polemik juga timbul ekoran keputusan senat Amerika meluluskan undang-undang membenarkan askar-askarnya untuk bukan sahaja berperilaku homoseksual tetapi beastiality juga.

Merujuk kepada al-Quran sendiri dan pendirian Islam terhadap seks luar tabii, Allah telah menerangkan akan laknat-Nya terhadap kaum Nabi Lut (a.s) yang melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk (homoseksual), yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana kaum sebelum itu dalam Surah al-‘Ankabut, ayat 28-29.

Kisah kehancuran kaum Nabi Luth a.s ini juga telah dimaktubkan dalam al-Quran (Surah Hud, ayat 82) yang berbunyi: “Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu daripada tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu."

Persoalannya, adakah sanggup bagi seseorang Muslim untuk kita menidakkan perintah Allah SWT setelah datangnya peringatan daripada Rasulullah SAW, dan adakah kita lebih gagah daripada kaum Nabi Luth a.s? Di sini, saya amat tertarik dengan kenyataan seorang pendakwah terkenal iaitu Mufti Ismail Menk, dalam satu ceramahnya, telah menyatakan bahawa jika umat terdahulu melakukan satu jenis kemungkaran atau kemaksiatan, namun umat masa kini seperti berlumba-lumba melakukan kesemua kemungkaran dan kemaksiatan yang telah dinyatakan dalam al-Quran. Sesungguhnya, Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang berbunyi, “Dari Jabir r.a., Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya yang paling aku takuti (menimpa) umatku ialah perbuatan kaum Luth." (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Dalam hal ini, adalah amat wajar bagi umat Islam, dalam melaksanakan kewajiban al-amr ma‘ruf nahi munkar, selain bangkit untuk menentang gerakan fahaman hak asasi manusia yang bersifat sekular ini secara ilmiah, untuk juga mengamalkan pendekatan prinsip Sad al Zaraie dalam fiqh Islam (yakni menutup jalan yang boleh membawa keburukan).

Melihat kepada konteks ini, kita amat berterima kasih di atas usaha-usaha pihak kerajaan dan juga masyarakat setempat (baik persatuan guru dan lain-lain) dalam usaha mendidik para guru dan ibu bapa mengenal pasti anak-anak yang cenderung ke arah tersebut, selain usaha mendekati dan memulihkan golongan yang terjerumus dalam kancah seks songsang.

Antara cadangan usaha itu ialah diwujudkan dana untuk tujuan kaji selidik mengenal pasti dan mencegah fahaman luar tabii selain menyekat penularan budaya mempromosikan budaya lelaki menjadi perempuan dan seangkatannya, yang kian hari kian galak dilakukan.

Selain itu, kita berharap dengan adanya kerjasama yang erat antara pihak-pihak yang prihatin, dapat dibentuk sebuah gerak kerja mantap dalam menyelidiki dan seterusnya menentang serta mencegah penularan fahaman-fahaman atas hak asasi manusia yang dikatakan sebagai agama sekular dunia moden, yang mengancam nilai-nilai agama, secara ilmiah dan bersepadu. Ini kerana, pada hemat saya, kita amat bernasib baik pada kali ini selain usaha-usaha ini juga tidak akan terhenti di sini, sesuai dengan firman Allah yang berbunyi:

“Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur." (Surah Al- A’raf; ayat 16-17).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140330/re_09/LGBT-Jangan-undang-bala-Allah#ixzz2xVopwj6B  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PRK BALINGIAN - BN pertahan DUN Balingian

Muhyiddin Yassin (dua dari kanan), Adenan Satem (tiga dari kiri) bersama pemimpin BN lain mengangkat tangan meraikan kemenangan Yussibnosh Balo (tiga dari kanan) dalam PRK DUN Balingian di Mukah, Sarawak, malam tadi. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

MUKAH 29 Mac - Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dengan kemenangan bergaya apabila mencatatkan undi majoriti lebih tinggi iaitu 6,911 berbanding 5,154 undi pada Pilihan Raya Negeri Kesepuluh (PRN-10).

Calon BN yang merupakan bekas Pegawai Daerah Dalat, Yussibnosh Balo, 48, memperoleh 8,194 undi mengatasi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Jalil Bujang, 55, yang meraih 1,283 undi manakala 146 undi rosak.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shafrie Saili pada pukul 8.45 malam ini di Dewan Mesra Mukah di sini.

Peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Kajang didapati meningkat kepada 72.92 peratus berbanding 69.98 peratus pengundi yang menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN-10.

Berdasarkan keputusan itu, hasrat PKR untuk merampas kerusi yang dikosongkan oleh penyandangnya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud iaitu bekas Ketua Menteri Sarawak yang kini menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak gagal.

Kemenangan BN di kawasan yang menjadi kubu kuat parti itu memang sudah dijangka kerana kelebihan Yussibnosh yang merupakan anak tempatan berketurunan Melanau berasal dari Kampung Tellian Tengah di sini dan diterima baik oleh pengundi sejak awal lagi.

Pada pilihan raya kali ini, BN memang mengharapkan undi majoriti lebih tinggi bagi menunjukkan tanda sokongan rakyat terhadap Ketua Menteri baharu, Tan Sri Adenan Satem memandangkan DUN berkenaan pernah ditadbir oleh Abdul Taib yang merupakan pemimpin paling dikagumi di negeri ini.

Yang turut hadir meraikan kemenangan itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan beberapa barisan menteri kabinet negeri.

PRK Balingian diadakan selepas Abdul Taib meletak jawatan sebagai Ketua Menteri dan dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 28 Februari lalu.

Ketika PRN-10 pada 2011, Abdul Taib menang dengan majoriti 5,154 undi selepas mendapat 6,210 undi mengatasi calon PKR, Suriati Abdullah yang meraih 871 undi dan calon Bebas, Datuk Salleh Jafaruddin (1,056 undi).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140330/po_03/BN-pertahan-DUN-Balingian#ixzz2xVkD1b52  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK - Anwar cabar Wan Azizah jawatan Presiden PKR













KUALA LUMPUR 29 Mac - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan diadakan Mei ini bakal menyaksikan pertarungan menarik bagi kerusi Presiden, apabila penyandangnya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan dicabar oleh suaminya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehingga tempoh pencalonan ditutup pada pukul 5 petang di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, hanya Dr. Wan Azizah dan Anwar menyerahkan borang bagi merebut jawatan tersebut.

Keadaan itu menimbulkan persoalan, apakah pertembungan itu benar-benar akan berlaku atau ia sekadar satu lagi sandiwara politik oleh PKR dalam usaha memastikan jawatan presiden tidak dikuasai oleh individu lain.

Pemerhati politik melihat, langkah Dr. Wan Azizah untuk mempertahankan jawatan itu dengan dicabar oleh Anwar sebagai 'insurans' memandangkan Anwar masih dalam peringkat rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadi, Saiful Bukhari Azlan.

Pada 2007, Dr. Wan Azizah turut bertanding bersama Anwar bagi jawatan yang sama dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu bertindak sebagai 'insurans' kerana Anwar yang baru sahaja dibebaskan dari penjara mempunyai larangan lima tahun daripada aktif berpolitik.

Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, penyandangnya, Azmin Ali yang dianggap tidak sehaluan dengan Dr. Wan Azizah bukan sahaja akan berhadapan dengan 'musuh ketat politiknya' iaitu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi juga empat calon lain.

Mereka ialah Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Setiausaha Agung PKR Saifudin Nasution, K.Ramachandran dan S.Murali.

Kerusi Naib Presiden pula menyaksikan perebutan oleh 15 calon termasuk penyandangnya iaitu Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Padang Serai N.Surendran, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mansor Othman dan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

Antara mereka yang mencuba nasib bagi merebut jawatan itu ialah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Untuk jawatan Ketua Wanita PKR pula, penyandangnya, Zuraida Kamarudin akan berdepan satu lawan satu dengan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Roziah Ismail.

Jawatan Ketua Pemuda yang dikosongkan oleh Shamsul Iskandar akan direbut oleh tiga calon iaitu ADUN Seri Setia yang juga Timbalan Speaker DUN Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, ADUN Batu Caves, Amirudin Shaari dan Nazri Yunus.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140330/po_02/Anwar-cabar-Wan-Azizah-jawatan-Presiden-PKR#ixzz2xVi0akwe  © Utusan Melayu (M) Bhd 




KOMEN : LANTAK PEE..LAH... KAN KAUM KELUARGA DIA PUNYA PARTI... YANG KASIHAN NYA TU PENYOKONG YANG KENA KENCING TU TAK BOLEH FIKIRKAH????

YADIM - Program Dakwah Negara

Jamil Khir Baharom (dua dari kiri) memukul gong bagi merasmikan prapelancaran Program Dakwah Negara 2014 di Karnival TV AlHijrah di Pantai Murni, Yan, Kedah, kelmarin. - MINGGUAN/ISMAIL KAMADIN.

JERAI 29 Mac - Bulan Dakwah Kebangsaan yang dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sejak 1978 kini dikenali sebagai Program Dakwah Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau percaya Yadim telah merencana aktiviti Program Dakwah Negara tahun ini dengan baik.

Katanya, tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 Yadim yang kewujudannya dirasai di medan dakwah kebangsaan dan antarabangsa.

"Ini merupakan ruang dan peluang terbaik untuk kita bersama meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan Islam sebagai agama kasih sayang demi kesatuan dan perpaduan umat.

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yadim atas penganjuran program ini dan mendoakan pelaksanaannya berjalan lancar serta mencapai objektifnya dengan impak positif kepada seluruh rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis prapelancaran Program Dakwah Negara 2014 di Karnival TV AlHijrah di Pantai Murni, Yan di sini semalam.

Menurut Jamil, Program Dakwah Negara itu dianjurkan tepat pada masanya untuk menyampaikan Islam sebagai agama yang menganjurkan kasih sayang sebagai asas kesatuan dan perpaduan umat.

"Kemelut perpecahan pada hari ini menggambarkan betapa kasih sayang telah dipinggirkan dalam mendepani isu yang tidak kunjung putus.

"Tambahan pula perbezaan yang wujud sesama kita diperbesarkan dengan api kebencian dan ini melahirkan sikap yang tidak sepatutnya dibudayakan," ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya perkara itu dibiarkan berterusan, maka kesatuan dan perpaduan umat sukar untuk dicapai.

"Islam sebagai agama yang menganjurkan kasih sayang dalam setiap tindak-tanduk kita dan kasih sayang disemai dalam umat akan melahirkan watak dengan sikap terhormat.

"Inilah asas kepada kesatuan dan perpaduan yang ingin kita tuai bersama," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140330/dn_11/Program-Dakwah-Negara#ixzz2xVfMuKjr  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370 - Dua pesawat TUDM sertai misi di Lautan Hindi

Pegawai dan anggota Skuadron 20 TUDM yang menyertai misi mencari pesawat MH370 memeriksa bagasi selepas tiba dengan pesawat Hercules C-130 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia Pearce di Bullsbrook, Perth, semalam. - AFP

PERTH 29 Mac - Dua pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di sini hari ini bagi membantu operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Lautan Hindi mulai lusa.

Kedua-dua pesawat itu mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce di Bullsbrook dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi.

Operasi TUDM itu diketuai Pegawai Pemerintah Skuadron 20 TUDM Subang, Mejar Mohd. Jafri Suboh bersama 49 anggota dan pegawai.

Menurut jurucakap TUDM, dua pesawat C-130 itu berlepas dari Pangkalan TUDM Subang pukul 10 malam tadi dan singgah di Jakarta, Indonesia pukul 1 pagi ini sebelum meneruskan penerbangan ke Perth pukul 5.30 pagi.

"'Kesemua anggota dan pegawai terlibat ditugaskan membantu RAAF mengesan pesawat MH370 di Lautan Hindi untuk tempoh dua minggu.

"Keperluan tempoh pasukan ini berada di Perth juga bergantung kepada arahan daripada TUDM," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, hari ini.

Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dalam akaun Twitter miliknya mengesahkan ketibaan pesawat itu.

Ketua Skuadron RAAF, John McCourt memaklumkan bahawa sidang akhbar akan diadakan esok berhubung ketibaan dua pesawat C-130 dari Malaysia.

Bagaimanapun, RAAF tidak membenarkan mana-mana wakil media untuk merakam gambar kedua-dua pesawat tentera Malaysia itu.

Sementara itu, kapal TLDM KD Lekiu dijangka tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Stirling pada pagi Isnin ini.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah pesawat P3-Orion dari RAAF yang menyertai operasi di zon baharu pencarian tidak menemukan sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat MAS itu.

Juruterbang pesawat berkenaan, Kapten Russell Adam berkata, pihaknya telah meletakkan tanda di beberapa lokasi di zon pencarian itu bagi memudahkan tugas pasukan mencari.

"Walaupun cuaca hari ini agak baik, tiada petunjuk terbaru yang boleh membantu. Objek yang ditemukan pesawat Tentera Udara Diraja New Zealand semalam adalah di lokasi yang berlainan," katanya dalam sidang akhbar petang ini sebaik sahaja tiba di Pangkalan RAAF di sini selepas menjalankan pencarian hampir 10 jam hari ini. - MINGGUAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140330/dn_07/Dua-pesawat-TUDM-sertai-misi-di-Lautan-Hindi#ixzz2xVdR4wbr  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370 - Malaysia menaruh harapan ada yang masih hidup

Hishammuddin Tun Hussein (dua dari kiri) dan isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah menemui kaum keluarga penumpang pesawat MH370 di Hotel Everly, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 29 Mac - Kerajaan masih menaruh harapan untuk menemui penumpang atau anak kapal pesawat MH370 yang kali terakhir dikesan di selatan Lautan Hindi selamat biarpun peratusannya sangat tipis.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, harapan masih ada berikutan operasi mencari dan menyelamat masih belum menemui sebarang objek serta maklumat sahih mengesahkan pesawat jenis Boeing 777-200 itu terhempas di lautan tersebut.

“Tidak kira terpencil mana sekalipun kawasan pencarian ini kita tetap berharap untuk menemui penumpang yang masih hidup. Saya berharap dan berdoa operasi mencari dan menyelamat ini dapat menemui mereka yang hidup biarpun harapan itu agak tipis.

“Saya juga memahami sensitiviti ahli keluarga terbabit dan sekiranya ada bukti yang menjurus ke arah penemuan bukti mengenai pesawat tersebut termasuk penumpang yang masih selamat ia tetap menjadi keutamaan kita dalam misi ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas bertemu dengan ahli keluarga penumpang pesawat MH370 dari Malaysia dan China di Hotel The Everly, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan memahami perasaan ahli keluarga penumpang tersebut dan akan memenuhi permintaan mereka meneruskan operasi mencari biar apa jua keadaan.

Mengulas mengenai operasi yang masuk hari ke-22 itu, katanya, operasi akan tetap diteruskan di kawasan selatan Lautan Hindi berdasarkan penemuan enam imej yang dikesan oleh satelit.

Katanya, beberapa kapal telah dikerahkan ke kawasan tersebut dan pihaknya yakin akan menerima visual objek tersebut hari ini.

“Saya yakin akan menerima visual objek berkenaan hari ini bagaimanapun kita masih perlu menunggu laporan sama ada pasukan mencari dan menyelamat telah menjumpai objek terbabit dan ke mana ia telah dibawa. Ini akan memberi kita petunjuk untuk meneruskan operasi ini.

“Saya juga telah memaklumkan kepada keluarga terbabit mengenai maklumat ini, namun, saya tidak boleh memberikan harapan palsu kepada mereka, selebihnya kita hanya mampu berdoa kepada tuhan," katanya.

Ditanya adakah beliau kecewa dengan perjalanan operasi itu, Hishammuddin berkata: “Saya tidak kecewa dengan operasi ini setakat ini, malah selepas pertemuan dengan ahli keluarga terbabit satu kekuatan baru muncul dalam diri. Mereka memahami usaha yang dilakukan Malaysia kerana bukan melibatkan kita saja malah seluruh dunia.

“Mereka memahami situasi pencarian di kawasan koridor selatan yang diketuai oleh Australia dan penglibatan pelbagai aset canggih seperti pesawat P8-Poseidon, P3-Orion serta pesawat dari China yang tidak pernah dilihat berada di Perth untuk menyertai misi ini. Saya berasakan ini satu usaha terpuji yang dikoordinasi oleh negara sekecil Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin juga mahu orang ramai memahami dan menghormati perasaan ahli keluarga penumpang tersebut dengan tidak menyebarkan berita tidak sahih sehingga boleh menyebabkan emosi mereka terganggu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140330/dn_06/Malaysia-menaruh-harapan-ada-yang-masih-hidup#ixzz2xVcDBV2p  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370 - Anak perempuan Ketua Pramugara masih menaruh harapan

Maira Elizabeth Nari, anak kepada ketua pramugara, Andrew Nari

PUTRAJAYA 30 Mac - Maira Elizabeth, anak perempuan ketua pramugara Andrew Nari yang berada dalam pesawat MH370, masih menaruh harapan walaupun langsung tiada perkhabaran mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu berada.

Gadis berusia 18 tahun itu, apabila menjawab mesej daripada peminat dalam laman twitternya @MairaElizxbeth- berkata: "saya sihat, kami tidak apa-apa," "Saya okay" , "Saya baik, terima kasih."

"Saya okay. Saya percaya mereka dalam keadaan baik. Jadi, saya okay," kata Maira dalam laman twitternya hari ini, masuk hari ke-23 operasi pencarian bagi menjejaki pesawat Boeing 777-200 itu yang hilang pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Maira sentiasa mengemaskini laman twitter mengenai bapanya sejak pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbangsa Antarabangsa KL menuju Beijing pada 8 Mac.

Beliau mewujudkan akaun twitter baharu semalam selepas akaun lamanya, @Gorgxous- digantung. Beliau mempunyai lebih 2,000 peminat sekarang.

Daripada laman twitternya, Maira menunjukkan sikap lebih positif terhadap tragedi itu.

"I orang biasa je la. Makin kita membesar, makin kita mempelajari erti kehidupan" "Saya mempunyai kelapangan sekarang. Sebab itu saya boleh menjawab mesej daripada setiap peminat," kata Maira dalam laman twitternya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140330/dn_20/Anak-perempuan-Ketua-Pramugara-masih-menaruh-harapan#ixzz2xVZus68O  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370 - Media barat cuba burukkan keadaan? Oleh Salleh Buang

Seorang pembeli surat khabar menunjukkan laporan berita mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airline (MAS) MH370 yang turut membabitkan lebih 150 rakyat negara itu di Beijing, China pada 10 Mac lalu. - AGENSI

SAYA tidak pasti jika ada mana-mana negara di luar sana yang bercita-cita mahukan hubungan antara negara ini dengan China menjadi buruk dan meruncing.

Tetapi laporan sesetengah media barat kecenderungannya memang ada. Jika kita lihat cara mereka melaporkan isu-isu tertentu melibatkan kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu hingga ke hari ini, ia seolah-olah mahu menyalakan api kemarahan dan kebencian rakyat negara berkenaan terhadap negara ini.
Protes jalanan yang tidak dihalang?

Dalam siarannya pada 25 Mac lalu, Cable News Network (CNN) menyatakan lebih 300 ahli keluarga dan saudara mara penumpang penerbangan MH370 telah mengadakan protes jalanan di Beijing untuk meluahkan rasa marah dan kecewa mereka terhadap pihak berkuasa Malaysia.

Mengikut portal ABC NEWS pula, wakil ahli keluarga yang menyertai protes jalanan itu ada mengeluarkan kenyataan berbunyi, antara lain, bahawa kerajaan Malaysia telah menyembunyikan dan sengaja lewat mendedahkan maklumat kepada ahli keluarga dan seluruh dunia. Kenyataan itu selanjutnya berbunyi - "Sekiranya 154 nyawa orang yang kita kasihi hilang, maka MAS, kerajaan Malaysia dan angkatan bersenjatalah yang sebenarnya pembunuh orang yang kita kasihi".

Akhbar berpengaruh Washington Post juga ada menyiarkan berita protes jalanan ini. Dalam laporannya bertarikh 25 Mac lalu, di bawah tajuk Flight 370 families in China boil in anger, march on Malaysian Embassy, portalnya menyatakan - Days of anxious waiting and simmering anger exploded into full-blown outrage Tuesday as relatives of Chinese passengers on the missing Malaysia Airlines Flight 370 marched to the Malaysian Embassy in Beijing to demand answers.

Bila kita baca sepenuhnya berita itu, mesej yang hendak disampaikan oleh akhbar itu adalah bahawa protes jalanan oleh ahli keluarga penumpang MH370 itu direstui oleh pihak berkuasa atau kerajaan China. Akhbar Washington Post menyebut protes ini sebagai sebagai satu protes yang direstui oleh pemerintah ("A state-sanctioned protest").

Walaupun lazimnya protes jalanan tidak dibenarkan kerana ia diharamkan di negara itu, akhbar itu menyatakan bahawa pada kali ini protes itu mendapat restu dan sokongan pihak-pihak tertentu, dan polis yang berada di situ juga tidak menghalang, malah membenarkan mereka maju mendekati kedutaan Malaysia dan mengeluarkan kenyataan mereka.

Isu pesanan ringkas

Dalam satu laporan berasingan, CNN merujuk kepada penghantaran khdimat pesanan ringkas (SMS) oleh MAS kepada ahli keluarga penumpang yang hilang, di mana pihak MAS menyatakan - Malaysia Airlines deeply regrets that we have to assume beyond any reasonable doubt that MH370 has been lost and that none of those on board survived. As you will hear in the next hour from Malaysia’s Prime Minster we must now accept all evidence suggests the plane went down in the southern Indian Ocean.

Laporan CNN itu juga memetik Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, pihaknya telah mencuba sebaik mungkin menghubungi ahli keluarga secara peribadi atau menerusi telefon tetapi gagal. Sebagai langkah tambahan MAS menghantar pesanan ringkas itu kepada hampir 1,000 ahli keluarga, agar mereka mengetahuinya secara langsung dari MAS sebelum perkara yang sama diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada media dan seluruh dunia.

Dalam pada itu, CNN memetik pakar undang-undang penerbangan dan perunding krisis, Robert Alpert Sr. yang menyatakan bahawa perbuatan memaklumkan pihak lain tentang satu perkara seburuk itu menerusi pesanan ringkas adalah satu tindakan yang "tidak sensitif, tidak sesuai dan amat tidak produktif dalam usaha membina semula imej dan kredibiliti kita".

CNN juga memetik pakar psikologi, Erik Fisher yang berkata bahawa MAS gagal memikirkan sepenuhnya impak pesanan ringkas itu kepada emosi penerimanya, sebaliknya hanya mementingkan berapa cepat berita itu dapat disampaikan kepada ahli keluarga penumpang.

Dalam siaran terbarunya pada 27 Mac lalu, di bawah tajuk berita China treads carefully amid the anger and grief of MH370 relatives CNN menyatakan bahawa dalam beberapa hari kebelakangan ini, ahli keluarga 154 penumpang warga China di pesawat MH370 itu berada dalam keadaan marah dan sedih menanti hasil usaha mencari dan menyelamatkan (SAR) yang dijalankan selama ini tapi masih belum berhasil.

CNN juga menyiarkan semula luahan rasa hati Zhang Ziyi, artis terkenal China, bila seniwati itu menyatakan dalam media sosial "Kerajaan Malaysia, anda salah kerana tidak menghormati nyawa. Anda salah kerana tidak menghormati usaha mencari kebenaran".

CNN turut menyiarkan semula kata-kata seorang seniman veteran, Chen Kun, yang mempunyai 72 orang pengikutnya dalam media sosial Weibo, yang mendesak agar satu tindakan tegas diambil terhadap Malaysia.

Kata seniman ini - "Disebabkan segala pembohongan oleh kerajaan Malaysia dan MAS, dan kelakuannya yang tidak menghormati rakyat kita, saya seru anda semua untuk memboikot apa jua barang komersial dan program pelancongan yang ada kaitan dengan Malaysia. Bukan hanya sekarang tetapi untuk selama-lamanya".

CNN merumuskan bahawa reaksi orang awam yang penuh emosi itu telah memberi tekanan besar kepada kerajaan China.

CNN juga memetik Victor Zhikai Gao, seorang personaliti yang berpengaruh di negara itu, yang berpendapat bahawa rakyat negara itu khuatir kerajaan Malaysia tidak mendedahkan segala-galanya dan tidak telus sejak dari mula. Kontradiksi dalam memberi maklumat, yang didedahkan sedikit demi sedikit, satu demi satu, menunjukkan niat sengaja menyembunyikan maklumat, setidak-tidaknya membayangkan sikap tidak telus serta keengganan mendedahkan maklumat sepenuhnya".

Sambil mengakui bahawa hubungan Beijing dengan Kuala Lumpur selama ini adalah akrab dan mesra walaupun ada tuntutan bertindih melibatkan sekumpulan pulau di Laut China Selatan, CNN menyatakan - "Masa akan memberitahu kita sama ada kerajaan Malaysia boleh melakukan sesuatu yang lebih baik dalam menangani insiden yang tragis ini. Buat masa ini, kita harap Malaysia akan bersedia mendedahkan semua data dan maklumat yang mereka miliki".

Tidak percaya

Sehari sebelumnya, pada 26 Mac 2014, CNN ada menemubual seorang wanita rakyat negara China bernama Cheng Li Peng di Kuala Lumpur. Suaminya adalah salah seorang penumpang MH370. Wanita itu memberitahu CNN - "Saya tak boleh percaya kerajaan Malaysia. Saya tak boleh buat apa-apa sekarang, kerana sentiasa memikirkan tentang suami dan anak-anak saya. Kepala saya berserabut.. ‘‘

Cheng mendakwa kerajaan Malaysia telah berbohong (They have been hiding the truth).

Katanya, kerajaan Malaysia tahu apa sebenarnya yang berlaku tapi mereka lambat bertindak dan hilang peluang keemasan untuk menjalankan pencarian yang boleh mendatangkan hasil.
Media beretika

Media yang bertanggungjawab adalah media yang menyampaikan berita secara beretika. Yang disampaikan adalah berita, iaitu fakta yang sudah disahkan sebagai betul dan tepat.

Sepatutnya, yang disiarkan bukan spekulasi dan ramalan yang belum tentu sahih atau berasas, jauh sekali kenyataan atau tohmahan yang mengapi-apikan rasa marah atau benci pihak tertentu terhadap pihak lain.

Jika sesuatu yang hendak disiarkan itu adalah komen atau pandangan, dan bukan fakta, media yang bertanggungjawab akan terlebih dahulu memastikan bahawa komen atau pandangan itulah adalah jujur, berasaskan fakta yang betul, dan dibuat secara suci hati, demi kebajikan dan kebaikan, bukan untuk memburukkan situasi yang ada - apatah lagi melaga-lagakan satu kaum dengan kaum lain, atau satu negara dengan negara lain.

Bila kita baca apa yang disiarkan oleh sesetengah media luar negara, kita perlu tanya diri kita dulu - Apakah kita sudah 100% yakin media berkenaan itu tidak punyai agenda tersembunyi terhadap negara kita, atau masyarakat kita? Fikirkanlah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140329/re_01/Media-barat-cuba-burukkan-keadaan#ixzz2xVXYCDy5  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK - Anwar diminta henti guna 'mahkamah rakyat'












BATU PAHAT 28 Mac - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta berhenti menjadikan pentas politik sebagai mahkamah rakyat untuk mempertikai keputusan Mahkamah Rayuan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perbuatan tidak matang itu hanya menggambarkan Anwar seolah-olah orang yang tidak boleh menerima hakikat dan cuba menagih simpati rakyat.

Menurutnya, perhimpunan Reformasi 2.0 yang sedang digerakkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hanya menyusahkan rakyat.

"Kalau boleh beliau mahu siri perhimpunan seumpama itu diadakan sepanjang masa dengan harapan negara akan berdepan konflik kerana beliau tahu cara itu sahaja kerajaan mampu dijatuhkan.

"Ini kerana mereka tidak mampu menggunakan cara yang betul semasa Pilihan Raya Umum (PRU)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ceramah Reformasi 2.0 yang diadakan di Parit Raja dekat sini malam tadi.

Dalam ceramah kira-kira 30 minit itu, Anwar menggunakan sepenuhnya pentas untuk menghentam badan kehakiman yang didakwa mengikut nasihat bomoh ketika mahu menjatuhkan hukuman terhadapnya 7 Mac lalu.

Anwar turut menjadikan isu pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebagai modal ucapan biarpun pada awalnya menyatakan pembangkang turut bersimpati dengan apa yang berlaku kepada penumpang dan anak kapal pesawat itu.

Tambah Mohd. Puad, Anwar tidak perlu berdolak-dalik dalam kes dihadapinya dengan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan jika mendakwa badan kehakiman negara tidak telus.

"Mengapa perlu pertikai keputusan hakim dan selepas itu membuat rayuan serta menjadikan pentas politik sebagai mahkamah, pada saya ini hanya disebabkan oleh agenda peribadi dalam dirinya.

"Saya juga yakin gerakan yang dilancarkannya itu akan gagal kerana ia tidak sama seperti reformasi pada 1998 kerana waktu itu ramai masih keliru dan tidak mengetahui hal sebenar mengenai Anwar," tegasnya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140329/po_01/Anwar-diminta-henti-guna-mahkamah-rakyat#ixzz2xVTxqI9o  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370 - Lokasi MH370 lebih dekat

Hishamuddin Tun Hussein (tengah) bersama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya (kiri) pada sidang akhbar mengenai kehilangan pesawat MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Mac - Lokasi pencarian pesawat MH370 yang dianjakkan 1,100 kilometer (km) ke arah timur laut dari lokasi sebelum ini dibuat berdasarkan maklumat meyakinkan daripada Boeing hasil pengiraan kompleks terhadap kelajuan pesawat tersebut.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dengan mengambil kira kelajuan, ketinggian, jarak dan keupayaan pesawat, Boeing merumuskan MH370 mungkin terbang lebih dekat tetapi masih dalam kawasan pencarian di koridor selatan.

Katanya, zon baharu itu lebih kecil berbanding sebelum ini dan operasi menyelamat mesti dilakukan berpandukan pada petunjuk terbaik yang diperoleh ketika ini.

"Semalam proses pengiraan itu memberikan petunjuk baharu yang menunjukkan MH370 terbang lebih laju daripada disangka sebelum ini iaitu 855 km sejam. Ini bermakna lebih banyak minyak telah digunakan MH370 dan pesawat itu tidak boleh terbang lebih jauh seperti disangka.

"Pasukan penyelamat Australia telah mengubah lokasi pencarian tetapi kekal konsisten iaitu di kawasan di mana banyak objek berpotensi berjaya dikesan oleh satelit pelbagai negara sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin memberitahu, kerajaan mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail meneliti segala implikasi perundangan berikutan insiden menimpa pesawat MH370 termasuk kemungkinan Malaysia Airlines (MAS) disaman waris penumpang.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat Kabinet hari ini selepas mengambil kira perkembangan terkini insiden pesawat MH370, selain sebagai persiapan awal kerajaan untuk melangkah ke hadapan.

Pada masa sama, beliau menjelaskan Kabinet turut memutuskan bahawa semua waris penumpang yang ketika ini berada dalam tekanan emosi tinggi perlu didekati dan dibantu dengan segala langkah perlu terutamanya dalam aspek penjelasan mengenai maklumat terkini MH370.

"Kerajaan faham emosi keluarga mangsa kini cukup tinggi tetapi kita bekerjasama rapat dengan semua pihak untuk mencari MH370 dan segala maklumat berkaitan dikongsi bersama ahli keluarga," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140329/dn_04/Lokasi-MH370-lebih-dekat#ixzz2xVO0qzDJ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370 - SAR guna 3 aset baharu operasi di Lautan Hindi

SEBUAH pesawat pengangkut C17a Globemaster milik Tentera Udara Diraja Australia yang membawa helikopter jenis Sikorsky SH-60 Seahawk milik Tentera Laut Amerika Syarikat bagi operasi mencari pesawat MH370 di perairan Lautan Hindi mendarat di Pangkalan RAAF Pearce di Bullsbrook, utara Perth, Australia, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

PERTH 28 Mac - Operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di perairan Lautan Hindi yang memasuki hari ke-22 esok bakal menggunakan tiga aset baharu bagi mengesan serpihan atau objek di perairan tersebut.

Ketiga-tiga aset itu adalah kapal perang HMAS Toowoomba (FFH 156) milik Tentera Laut Diraja Australia, pesawat pengangkut C17a Globemaster milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dan sebuah helikopter jenis Sikorsky SH-60 Seahawk milik Tentera Laut Amerika Syarikat.

Penggunaan aset canggih itu berikutan penemuan 'petunjuk berwibawa' terbaru di perairan Lautan Hindi sebelum ini.

Jurucakap RAAF memberitahu, ketiga-tiga aset itu baru tiba di sini hari ini dan akan mula beroperasi awal pagi esok.

Katanya, pesawat C17a itu tiba di kem RAAF di Pearce, Bullsbrook dekat sini pukul 6 petang ini dari Pangkalan Udara Skuadron 36 di Brisbane bersama helikopter Seahawk.

Puluhan wartawan dari Malaysia dan luar negara yang 'berkampung' di pekarangan kem itu sejak beberapa hari lalu turut dibawa menyaksikan ketibaan pesawat berkenaan.

"Pesawat pengangkut C17a ini akan membawa helikopter Seahawk ke lokasi pencarian baharu sebelum pulang ke pangkalan.

"Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berharap penggunaan ketiga-tiga aset ini mampu membantu usaha mencari," katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Lokasi pencarian pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu kini diubah susulan penemuan 'petunjuk berwibawa' terbaru oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA).

Agensi itu dalam laman webnya hari ini memaklumkan, lokasi pencarian akan diubah ke zon baharu di 1,100 kilometer ke timur laut perairan Australia.

Kawasan pencarian baharu itu dianggarkan merangkumi kawasan seluas 319,000 kilometer persegi, kira-kira 1,850 kilometer dari Perth.

Sementara itu, AMSA dalam laman Twitter lewat petang ini memaklumkan Pesawat P3-Orion milik Tentera Udara Diraja New Zealand mengesan beberapa objek di kawasan lokasi pencarian.

Bagaimanapun, objek itu sukar dikenal pasti dan memerlukan pengesahan daripada kapal laut yang terlibat dalam operasi mencari pesawat MH370 esok. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140329/dn_03/SAR-guna-3-aset-baharu-operasi-di-Lautan-Hindi#ixzz2xVMr1Ybx  © Utusan Melayu (M) Bhd


MH370 - 200 umat Islam di Perth adakan solat hajat

SEBAHAGIAN daripada 200 Umat Islam menunaikan solat hajat yang dipimpin oleh imam Abdul Jalil Ahmad selepas solat Jumaat bagi memohon dipermudahkan urusan mencari pesawat penerbangan Malaysia MH370 di Masjid Al-Majid, Hepburn Height, Perth, Australia, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

PERTH 28 Mac - Kira-kira 200 umat Islam di Wanneroo di sini menunaikan solat hajat bagi mendoakan usaha mencari penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang disahkan berakhir di Lautan Hindi pada 8 Mac lalu.

Solat hajat itu yang pertama kali diadakan, disempurnakan oleh umat Islam di sini di Masjid Al-Majid di Hepburn Heights, kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Perth selepas solat Jumaat.

Umat Islam yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat berketurunan Melayu dari Malaysia dan negara jiran mendoakan semoga usaha mencari pesawat berkenaan dipermudahkan.

Imam merangkap Penasihat Persatuan Komuniti Islam Wanneroo, Abdul Jalil Ahmad berkata, sebagai umat Islam beliau terpanggil untuk menyeru penduduk Islam di kawasan itu bagi sama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kesemua penumpang dan anak kapal pesawat tersebut.

Dalam khutbah solat Jumaat yang dibacakan beliau sebelum itu, Abdul Jalil mengingatkan bahawa hidup dan mati setiap umat Islam itu adalah ketentuan Allah SWT.

"Setiap yang berlaku itu sama ada kehidupan atau kematian adalah perjalanan hidup manusia yang sudah ditetapkan-Nya," katanya.

Ketika ditemui selepas solat hajat itu, Abdul Jalil yang berasal dari Aceh, Indonesia berkata, doa yang dipanjatkan itu memohon supaya dipermudahkan segala usaha mencari pesawat dari Malaysia yang disahkan berakhir di perairan berdekatan negara mereka.

Dalam pada itu, bilal masjid tersebut, Khalid Hussein, 63, berkata, dia mencadangkan solat hajat di masjid itu kerana prihatin dengan nasib yang menimpa kesemua mangsa.

"Sebagai umat Islam, saya terpanggil untuk mengajak penduduk di kawasan ini sama-sama mendoakan kesejahteraan semua mangsa kerana sebahagian daripada mereka tetap saudara seagama," katanya yang berasal dari Serkam, Melaka dan menetap di sini selama 42 tahun.

Seorang jemaah masjid, Abdul Samad Mohd. Isa, 67, pula berkata, dia sebak apabila mengenangkan nasib yang dialami kesemua penumpang pesawat berkenaan.

"Saya terpanggil untuk menunaikan solat hajat ini bagi mendoakan semoga usaha mencari pesawat ini akan berhasil," kata warga emas itu yang tinggal di sini sejak 1974. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140329/dn_02/200-umat-Islam-di-Perth-adakan-solat-hajat#ixzz2xVLVMDSb  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370 - Terdapat petunjuk baharu








MELBOURNE 28 Mac — Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata, terdapat satu petunjuk baharu yang boleh dipercayai dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang hampir tiga minggu lepas.

Laporan media Australia berkata, Abbott telah diberi taklimat mengenai analisis data terbaharu radar yang membuatkan pihak berkuasa memindahkan kawasan carian 1,100 km ke timur laut, berikutan makluman terbaru daripada pasukan penyiasat antarabangsa di Malaysia.

Zon pencarian kini seluas kira-kira 319,000 kilometer persegi dan 1,850 km ke barat Perth.

Analisis itu datang dari data radar antara Laut China Selatan dan Selat Melaka sebelum perhubungan dengan MH370 terputus.

"Ini adalah petunjuk baharu yang boleh dipercayai dan akan diperiksa dengan teliti," Abbott berkata dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, ia menunjukkan pesawat itu terbang lebih laju daripada anggaran sebelumnya, menyebabkan peningkatan penggunaan bahan api dan mengurangkan kemungkinan jarak perjalanannya ke selatan Lautan Hindi.

"Kemungkinan laluan penerbangan itu boleh menjadi subjek untuk dihalusi lagi sementara pasukan penyiasat antarabangsa yang membantu pencarian itu meneruskan analisis mereka," kata AMSA dalam satu kenyataan.

Australian Geospatial-Intelligence Organisation pula sedang menyusun semula tugas satelit-satelit bagi mendapatkan imej di kawasan baharu itu.

Pencarian pesawat itu ditangguhkan dua kali dalam minggu ini kerana cuaca buruk tetapi keadaan cuaca bertambah baik pagi Jumaat dengan pesawat-pesawat mula berlepas dari Pangkalan Pearce Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dekat Perth, selepas pukul 6 pagi.

Operasi pada hari ini disertai sembilan pesawat tentera, termasuk dua P3 Orion RAAF, sebuah jet Pengawal Pantai Jepun, sebuah P3 Orion Jepun, sebuah P3 Orion dan sebuah C130 Hercules Korea Selatan, sebuah P3 Orion Tentera Udara Diraja New Zealand, sebuah Ilyushin IL-76 China dan sebuah P8 Poseidon Tentera Laut Amerika Syarikat.

Enam kapal sedang menuju ke kawasan pencarian baru itu, terdiri daripada HMAS Success dan lima kapal China. - BERNAMA



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140329/dn_01/Terdapat-petunjuk-baharu#ixzz2xVKCNaQ4  © Utusan Melayu (M) Bhd