Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 12 March 2014

Pertandingan satu lawan satu


Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my




Muhyiddin Yassin bersama Chew Mei Fun (depan, tiga dari kanan) ketika hadir pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Kajang di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang, Hulu Langat, Selangor, semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

HULU LANGAT 11 Mac - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menariknya, pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan antara dua wanita selepas Wan Azizah terpaksa menjadi calon apabila suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak bertanding kerana Mahkamah Rayuan mendapatinya bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Apatah lagi, 50 peratus daripada keseluruhan 39,278 pemilih berdaftar yang layak mengundi di Kajang termasuk 1,197 pengundi awal merupakan wanita dan perkembangan itu tentunya menjadikan golongan tersebut antara penentu utama kepada kemenangan mana-mana calon.

Mei Fun, 50, yang dilabelkan calon 'underdog' tiba lebih awal berbanding lawannya sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyerahkan kertas penamaan calon pada pukul 9.07 pagi manakala Wan Azizah pula berbuat demikian tiga minit kemudian.

Perkara itu disahkan Pengurus Pilihan Raya, Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman pada pukul 10.10 pagi, sebaik sahaja proses penamaan calon yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi ditutup.

Sebelum ini, beberapa pihak menyatakan minat untuk bertanding di Kajang selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh meletak jawatan tanpa alasan kukuh bagi memberi peluang kepada Anwar bertanding, tetapi menukar pendirian selepas Ketua Pembangkang itu didapati bersalah oleh mahkamah.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR berkata, tiada sebab lagi untuk beliau bertanding dan pendirian serupa turut diambil Presiden Gerakan Reformis Rakyat (Reformis), Ramlan Abu Bakar.

Dalam pada itu, jumlah kehadiran penyokong Pas yang kecil pada proses penamaan calon Wan Azizah menimbulkan pelbagai persoalan kerana sebelum ini pada setiap kali pilihan raya, jentera Pas tidak pernah gagal menghantar penyokong mereka bagi memeriahkan suasana.

Malah, kehadiran Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai tanda solidariti kepada Wan Azizah juga tidak banyak membantu menghilangkan hakikat pergeseran antara mereka kerana kedua-dua pemimpin dilihat tidak banyak berbual.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140312/po_01/Pertandingan-satu-lawan-satu#ixzz2viyxh130  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: